• Adakah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, memberi kelulusan untuk permohonan bagi mengadakan Malaysia Marathon yang telah dibatalkan pada baru-baru ini?

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 9 September 2017

    Adakah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, memberi kelulusan untuk permohonan bagi mengadakan Malaysia Marathon yang telah dibatalkan pada baru-baru ini?

    Malaysia Marathon yang dijadualkan berlangsung pada 1 Oktober telah dibatalkan secara tiba-tiba kurang daripada sebulan sebelum tarikh perlangsungannya.  Pembatalan ini diumumkan di laman web dan laman Facebook Malaysia Marathon pada 5 September 2017.  Pada 7 September, Menteri Pelancongan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz telah mengumumkan bahawa sebab pembatalan acara ini adalah kerana pihak penganjur tidak dapat memenuhi janji awalnya untuk membawa masuk 5,000 peserta China untuk menyertai program ini.[1]

    Tidak mengejutkan, pelari-pelari Malaysia telah menunjukkan kekecewaan mereka di Facebook termasuk laman Facebook Malaysia Marathon. Ketika artikel ini ditulis, posting Facebook berkenaan pembatalan pertandingan telah menerima 371 komen yang rata-rata adalah komen negatif.[2] Pembatalan acara larian pada saat-saat akhir bukanlah sesuatu yang baru di Malaysia. Telah banyak kali perkara ini berlaku di Malaysia, dan inilah sebab mengapa saya menyerahkan hasil kajian saya terhadap pelari-pelari di Malaysia kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin melalui Timbalan beliau, Datuk M. Saravanan di Parlimen pada 1 Ogos 2017.[3] Difahami, Menteri agak sibuk menghadapi Sukan SEA ke-29 dan Sukan Paralimpik yang akan bermula pada 17 September 2017. Pembatalan pada saat-saat akhir ini perlu dijawab oleh Menteri Perlancongan serta Menteri Belia dan Sukan, yang tersenarai sebagai penganjur bersama untuk acara ini (termasuklah DBKL dan Wisdom Sports (M) Sdn Bhd).

    Pertamanya, adakah Menteri Perlancongan mempunyai pelan kontingensi jika penganjur, Wisdom Sports, tidak mampu membawa masuk bilangan peserta China yang dijanjikan? Menteri sepatutnya tahu bahawa untuk acara maraton yang telah bertapak seperti Standard Chartered Kuala Lumpur Marathon (SCKLM) dan Penang Bridge International Marathon (PBIM) yang biasanya disertai oleh lebih daripada 40,000 pelari, jumlah peserta asing biasanya adalah jauh kurang dari 5,000 orang. Apatah lagi untuk pertandingan yang hanya melibatkan anggaran 20,000 peserta.[4] Adakah Kementerian tidak terfikir berkenaan kebajikan peserta Malaysia yang telah mendaftar diri untuk pertandingan ini, termasuk peserta-peserta dari luar KL ada yang telah membeli tiket perjalanan untuk menyertai acara ini? Adakah Kementerian tidak mampu untuk menarik lebih banyak penaja korporat bagi menampung perbelanjaan penganjuran walaupun bilangan peserta China tidak mencukupi? Penjelasan yang diberi oleh Menteri berhubung pembatalan program ini adalah tidak mencukupi dan ini menunjukkan Menteri tidak mengambil berat terhadap kebajikan pelari-pelari Malaysia dan pelancong-pelancong.

    Kedua, Menteri Belia dan Sukan perlu memaklumkan kepada orang awam jika beliau yang sendiri telah meluluskan acara ini. Seksyen 33 Akta Pembangunan Sukan 1997 menyatakan bahawa “tiada seorang pun boleh membuat tawaran menjadi tuan rumah bagi apa-apa pertandingan atau acara sukan antarabangsa di Malaysia tanpa kelulusan bertulis Menteri terlebih dahulu dan keputusan Menteri tentangnya adalah muktamad”.

    Memandangkan Kementerian Belia dan Sukan disenaraikan sebagai salah satu penganjur bagi acara ini, malahan ia merupakan acara peringkat antarabangsa yang melibatkan begitu ramai peserta China yang sememangnya memerlukan persetujuan Menteri, maka Khairy Jamaluddin perlu menyatakan jika beliau sendiri telah memberi kelulusan untuk pertandingan ini. Jika beliau memang telah memberi kebenaran bertulis untuk menganjurkan pertandingan ini, maka beliau harus menerangkan kepada orang ramai apakah jaminan yang diberi kepadanya bahawa acara ini tidak akan dibatalkan jika bilangan peserta dari China tidak mencapai sasaran. Saya tidak fikir ini akan menjadi alasan yang sah bagi maraton antarabangsa lain seperti SCLKM dan PBIM untuk dibatalkan. Mengapa pula ia harus diterima sebagai alasan yang sah untuk pembatalan Malaysia Marathon?

    Tambahan, terdapat pelbagai maklumat berkenaan Malaysia Marathon yang menunjukkan penganjuran program ini tidak mengikut piawaian sukan antarabangsa (yang diperlukan oleh Seksyen 34 Akta Pembangunan Sukan 1997) termasuklah kegagalan untuk mempamerkan maklumat laluan bagi kategori 42km, 21km dan 10km, kegagalan untuk mempamerkan jumlah hadiah wang tunai dan hadiah lain bagi kategori 42km, 21km dan 10km dan kecuaian awal dalam ‘salah melabel’ pertandingan ini sebagai kononnya diperakui oleh International Association of Athletics Federation (IAAF).[5] Adakah Menteri sedar akan kelemahan-kelemahan yang mungkin ini sebelum beliau meluluskan penganjuran Malaysia Marathon?

    Pembatalan acara maraton peringkat antarabangsa pada saat-saat akhir yang melibatkan dua buah kementerian sebagai penganjur bersama meninggalkan tanda hitam dalam dunia larian di negara ini. Jika kerajaan Malaysia tidak dapat melindungi kebajikan para pelari Malaysia dalam acara larian yang digelar Malaysia Marathon, maka bolehkah kita menaruh kepercayaan kepada kerajaan untuk menjaga kebajikan para pelari Malaysia dalam acara lain yang dianjurkan di negara ini?

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] http://www.thesundaily.my/node/479618?

    [2] https://www.facebook.com/notes/malaysia-marathon/cancellation-of-malaysia-marathon-2017/276215422875144/

    [3] http://ongkianming.com/2017/08/01/media-statement-the-ministry-of-youth-and-sports-needs-to-do-more-to-improve-the-quality-of-running-events-in-malaysia/

    [4] http://www.thestar.com.my/news/nation/2017/03/01/marathon-targeting-20000-entries-one-belt-one-road-run-at-dataran-merdeka-expected-to-generate-rm40m/

    [5] Dakwaan tentang pensijilan IAAF kemudian telah dikeluarkan apabila ia disoal oleh anggota komuniti larian.

  • Sebab-sebab mengapa isu penundaan tarikh SCKL Marathon adalah penting

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 15 Julai 2015

    Sebab-sebab mengapa isu penundaan tarikh SCKL Marathon adalah penting

    Mengapakah kita perlu memberi perhatian kepada isu penangguhan acara larian di Kuala Lumpur, memandangkan berlakunya skandal 1MDB dan siasatan polis terhadap insiden Low Yat?

    Berikut merupakan sebab-sebab mengapa penangguhan Standard Chartered Kuala Lumpur Marathon daripada Ahad 4 Oktober kepada tarikh baru, iaitu Sabtu 5 Oktober, atas permintaan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, supaya ia diadakan serentak dengan sambutan Hari Sukan Negara, adalah lebih penting daripada apa yang anda fikirkan.

    Sebab Pertama: Khairy Jamaluddin sepatutnya merupakan salah seorang pemimpin UMNO yang lebih progresif dan berfikiran terbuka

    KJ telah mendapat gelaran sebagai salah seorang pemimpin UMNO yang berfikiran terbuka, bijak, progresif, celik media dan mempunyai pemikiran selari dengan rakyat terutamanya golongan muda. Beliau sendiri merupakan seorang pelari dan pernah menyertai larian SCKL Marathon pada tahun lepas dalam kategori 10km. Jika seorang pemimpin yang progresif dan berfikiran terbuka seperti KJ boleh membuat keputusan menukar tarikh acara larian antarabangsa di negara ini hanya semata-mata untuk kepentingan KPI Hari Sukan Negara tanpa mengambil kira kemudahan peserta, apa yang dapat dikatakan tentang tahap kepimpinan di kalangan kumpulan pemimpin BN?

    Tindakan sedemikian memberi sebab yang baik kepada kita untuk meragui keikhlasan dan kredibiliti pemimpin BN yang lain, termasuklah Perdana Menteri, apabila Menteri Belia dan Sukan yang kononya progresif tergamak membuat keputusan yang tidak bertimbang rasa seperti ini.

    Sebab Kedua: Episod ini menunjukkan bahawa Menteri di Malaysia memegang terlalu banyak kuasa dalam tangan mereka.

    Bayangkan jika pentadbiran Obama mahupun pentadbiran David Cameron meminta penganjur dan penaja Chicago Marathon atau London Marathon untuk menunda tarikh larian bagi menyesuaikannya dengan sesebuah sambutan tajaan kerajaan. Saya yakin penganjur akan meminta pentadbiran Obama atau Cameron untuk berambus, meskipun menggunakan bahasa yang lebih sopan dan formal. Sudah tentu pentadbiran Obama atau Cameron tidak akan mengambil risiko sebegini kerana mengerti serangan politik yang akan diterima mereka jika permintaan mengubah tarikh acara dilakukan.

    Namun di Malaysia, penganjur dan penaja SCKL Marathon seakan-akan tidak berkuasa untuk mengatakan ‘tidak’ terhadap permintaan Menteri untuk menukar tarikh bagi menyesuaikan acara tersebut dengan sambutan Hari Sukan Negara, walaupun Kementerian Belia dan Sukan bukanlah penaja utama mahupun pengajur utama acara tersebut.

    Episod ini hanyalah sebahagian kecil daripada masalah Malaysia yang lebih besar di mana Menteri mempunyai terlalu banyak kuasa di tangan mereka. Mereka bukan sahaja boleh memberi tekanan melalui kementerian sendiri, malahan boleh bergantung kepada sokongan kementerian dan agensi kerajaan yang lain. Sebagai contoh, Menteri Belia dan Sukan boleh meminta DBKL untuk menarik balik sokongan dan dana untuk SCKL Marathon jika penganjur tidak bersetuju untuk menukar tarikh. Saya tidak mengetahui apa yang berlaku di sebalik tabir, tetapi saya tidak akan terkejut jika pelbagai agensi kerajaan telah digerakkan bagi ‘menggalakkan’ penganjur SCKL Marathon untuk menukar tarikh.

    Sebab Ketiga: Episod ini membuktikan bahawa kerajaan langsung tidak mengendahkan maklum balas orang ramai selepas pengumuman penukaran tarikh dibuat

    Jika Khairy benar-benar senada dengan komuniti pelari, beliau sepatunya dapat menjangkakan reaksi awam terhadap perubahan tarikh daripada 4 Oktober kepada 10 Oktober. Tiket penerbangan telah dibeli awal, acara telah ditanda dalam jadual larian masing-masing, dan tempoh percutian juga telah dirangka awal untuk membolehkan pelari-pelari berada di KL pada hujung minggu.

    Laman Facebook Standard Chartered KL Marathon telah dihujani dengan lebih daripada 1000 komen yang rata-rata mengutuk dan mengkritik keputusan tersebut.[1] Facebook Khairy juga telah diserang oleh mesej-mesej orang awam berkenaan tindakan sebelah pihak ini.[2]

    Laman Facebook “Bring SCKLM Back to October 4: Stop Politicising Sporting Events” juga telah diwujudkan pada 13 Julai setelah pengumuman penukaran tarikh dibuat, dan kini mempunyai lebih 3,000 ‘likes’.[3] Petisyen yang dibuat pada 14 Julai (Selasa) juga telah mendapat 1,500 tandatangan.[4]

    Walaupun dihujani dengan pelbagai maklum balas negatif, Khairy yang kebiasaannya merupakan pengguna aktif media sosial telah ‘hilang tanpa dikesan’ selama 2 hari dan masih belum tampil memberi penjelasan kepada komuniti pelari tentang mengapa beliau perlu mencabuli hak 35,000 orang pelari semata-mata untuk memenuhi KPI yang ditetapkan untuk Hari Sukan Negara.

    Beliau mungkin berfikir bahawa beliau boleh melepaskan diri, dan jangkaan itu mungkin betul. Ada pelari yang akan menarik diri dan meminta ganti rugi. Namun terdapat juga orang lain yang sanggup mendaftar diri bagi acara tersebut terutamanya larian jarak 5km dan 10km (kategori tersebut telah habis dijual dalam tempoh 4 hari, maksudnya terdapat permintaan tinggi). Walaupun Khairy mungkin boleh melepaskan diri, namun tidak bermakna tindakan ini adalah betul dan suara mereka yang tidak berpuas hati boleh diabaikan begitu sahaja.

    Sebab Keempat: Nama baik Malaysia di peringkat antarabangsa telah tercemar

    SCKL Marathon merupakan acara marathon peringkat antarabangsa dan ini bermakna peserta dari pelbagai negara akan datang ke Malaysia untuk mengambil bahagian dalam acara ini. Marathon antarabangsa seperti di Berlin, London, Boston, Chicago, New York dan Tokyo menarik penyertaan antarabangsa di peringkat elit dan bukan elit. Walaupun SCKL Marathon jauh daripada tahap World Major Marathon,[5] ia tetap merupakan salah satu daripada dua marathon peringkat antarabangsa negara ini selain daripada Penang Bridge International Marathon. Perubahan tarikh akan memberi kesan bukan sahaja kepada nama baik SCKL Marathon, malah tempias juga akan terkena kepada acara larian lain di Malaysia terutamanya di kalangan komuniti pelari antarabangsa. Daripada menghadapi kemungkinan perubahan tarikh lagi disebabkan campur tangan politik, ramai yang lebih rela untuk tidak menyertai acara ini. Kerja keras penganjur selama ini dalam membina nama baik acara ini di peringkat antarabangsa telah tercemar dan kemampuan Malaysia untuk menganjurkan acara larian peringkat dunia turut diragui.

    Disebabkan faktor-faktor tersebut, keputusan menunda acara larian ini merupakan sebahagian kecil daripada masalah-masalah besar yang dihadapi oleh negara ini, dan inilah sebab mengapa keputusan sebelah pihak yang dibuat oleh Menteri untuk menunda tarikh acara harus diberi perhatian.

    Dr. Ong Kian Ming merupakan Ahli Parlimen Serdang dan telah mendaftar dalam kategori 42km untuk tujuan kebajikan bagi EcoKnights. Setakat ini, beliau telah mengumpul dana RM1000 dan amat kecewa jika perubahan tarikh ini akan memberi kesan kepada pengumpulan dana kebajikan semua orang yang telah mendaftar bagi larian kategori Run for a Cause (RFAC).

    [1] https://www.facebook.com/SCKLmarathon?fref=ts

    [2] https://www.facebook.com/SCKLmarathon?fref=ts

    [3] ps://www.facebook.com/pages/Bring-SCKLM-Back-To-October-4-Stop-Politicising-Sporting-Events/1011197192277453?ref=hl

    [4] http://www.ipetitions.com/petition/bring-scklm-back-to-october-4

    [5] https://www.worldmarathonmajors.com/

  • Seruan kepada penganjur dan penaja Standard Chartered Kuala Lumpur (SCKL) Marathon untuk mengekalkan acara tarikh tersebut pada 4 Oktober

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 13 Julai 2015

    Seruan kepada penganjur dan penaja Standard Chartered Kuala Lumpur (SCKL) Marathon untuk mengekalkan acara tarikh tersebut pada 4 Oktober

    Saya terkejut apabila membaca kenyataan akhbar oleh Kementerian Belia dan Sukan pada awal hari ini yang mengumumkan bahawa Standard Chartered Kuala Lumpur Marathon (SCKL Marathon)[1], iaitu acara marathon utama di Kuala Lumpur, telah ditunda dari tarikh asal 4 Oktober (Ahad) ke tarikh baru iaitu 10 Oktober (Sabtu) bertepatan dengan Hari Sukan Negara yang bakal disambut untuk kali pertama pada tahun ini. Langkah Kementerian Belia dan Sukan serta Menteri Khairy Jamaluddin ini adalah langsung tidak bertanggungjawab, tidak bertimbang rasa dan bercanggah dengan tujuan asal Hari Sukan Negara.

    Salah satu tujuan Hari Sukan Negara adalah untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia bersukan dan menjaga kesihatan bersama-sama. Ironinya, keputusan untuk menukar tarikh SCKL Marathon kepada 10 Oktober mungkin akan menyebabkan pengurangan bilangan individu yang bersenam dan menjaga kesihatan. Berikut adalah beberapa sebab mengapa:

    Sebab Pertama: 10 Oktober merupakan hari Sabtu, maka individu yang bekerja pada hari Sabtu dan tidak dapat mengambil cuti akan terlepas acara ini.

    Sebab Kedua: 10 Oktober merupakan hari Sabtu, maka individu dari luar negeri yang tidak dapat mengambil cuti pada hari Jumaat untuk pergi ke KL juga akan terlepas acara ini.

    Sebab Ketiga: Disebabkan SCKL Marathon tidak memberi pemulangan duit tiket penerbangan, peserta dari luar negeri yang telah pun membeli tiket penerbangan dan tidak mahu membayar untuk tiket baru terpaksa melepaskan peluang menyertai larian ini.

    Sebab Keempat: Sekurang-kurangnya 9 acara larian lain akan berjalan pada 10 dan 11 Oktober. Daripada dapat menyertai 2 acara larian pada asalnya, iaitu SCKL Marathon (4 Oktober) dan satu lagi larian lain pada minggu berikutnya, pelari hanya dapat memilih untuk mengambil bahagian dalam satu acara sahaja.[2]

    Sebab Kelima: Sesetengah pelari mungkin akan melepaskan acara ini atas campur tangan politik daripada Menteri Belia dan Sukan.

    Sebab Keenam: Pelari mungkin akan menarik diri disebabkan keadaan trafik di Kuala Lumpur pada hari Sabtu. Pertambahan trafik pada hari Sabtu dengan jalan yang tidak ditutup sepenuhnya akan mengurangkan keseronokan berbanding larian pada hari Ahad dengan trafik yang lebih rendah.[3]

    Menteri mungkin tidak sedar tentang perkara ini tetapi tarikh apa-apa marathon antarabangsa ditetapkan awal dan tidak harus diubah hanya 3 bulan sebelum acara tersebut. Setakat 3.30 petang, hanya 2 jam selepas pengumuman kenyataan oleh Kementerian Belia dan Sukan, Facebook SCKL Marathon telah dihujani dengan 660 komen yang kebanyakannya mengkritik keputusan ini dan ramai orang telah menghantar ‘tweet’ kepada @khairykj dan @scklmarathon untuk menyatakan rasa tidak puas hati mengenai keputusan ini. Saya menyeru penganjur SCKL Marathon dan Kementerian serta Menteri Sukan untuk mendengar suara rakyat dan mengembalikan Marathon SCKL ke tarikh asal iaitu 4 Oktober. Saya juga menggalakkan semua pelari untuk ‘tweet’ @scklmarathon dan @khairykj dengan hashtag #SCKLM4October dan untuk menghantar mesej kepada laman Facebook mereka meminta Marathon SCKL diadakan pada tarikh asal iaitu 4 Oktober 2015.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] http://www.kl-marathon.com/

    [2] 10Oct 2015(Sat) 21km HRDF Half Marathon Putrajaya
    10Oct 2015(Sat) 12km Run Forrest Run Trail, Mardi Maeps Serdang
    10Oct 2015 (Sat) 6km+22obstacles Reebok KL Spartan Sprint Race
    10Oct 2015(Sat) Kepong Ballbreaker Run,Taman Botani,Shah Alam
    10Oct 2015(Sat) 5km Music Run,SIC Sepang
    10Oct 2015(Sat) Petzl Trail Nite Run,Taman Rimba Alam,Putrajaya Precinct 15
    11Oct 2015 15&10&5km HCP Run,Stadium Arena,UM
    11Oct 2015 12km Mahkota Charity Run,Mahkota Medical Centre,Melaka
    11Oct 2015 Water Carpark Run,Kuching

    [3] ‘Pagi Bebas Kereta’ di KL hanya merangkumi pusat bandar dan bukan semua jalan di sepanjang laluan SCKL Marathon.