Politik

9 posts

Sejauh mana keperwakilan dalam Parlimen Belia Malaysia?

Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 15 Mei 2015

Sejauh mana keperwakilan dalam Parlimen Belia Malaysia?

Baru-baru ini, tirai telah dilabuhkan bagi Persidangan Parlimen Belia yang pertama kali diadakan pada tahun 2015. Penubuhan Parlimen Belia ini merupakan satu perkembangan positif di negara ini terutamanya dari segi menggalakkan perdebatan antara generasi muda berkenaan isu-isu penting dan cabaran yang dihadapi oleh negara. Sebagai contoh, wakil-wakil belia pada sesi ini telah diberi peluang untuk membincangkan kesan positif dan negatif berkenaan kemungkinan penglibatan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Namun, komposisi Parlimen Belia menunjukkan kelemahan dari segi perwakilan itu sendiri. Saya diberikan statistik berikut dalam jawapan parlimen yang diterima pada 10 Mac 2015:

Jadual 1: Komposisi kaum dalam Parlimen Belia tahun 2015-2016

Melayu Cina India BumiputeraSarawak Bumiputera  Sabah Orang Asli Lain – lain Jumlah
101 6 7 5 12 1 1 133
75.9% 4.5% 5.3% 3.8% 9.0% 0.8% 0.8% 100.0%

Sekali imbas sudah tentu dapat melihat kekurangan perwakilan daripada sesetengah kumpulan. Merujuk kepada anggaran awal bilangan belia dalam setiap negeri, di mana setiap seorang wakil akan mewakili 100,000 orang, Sarawak sepatutnya mempunyai 10 orang wakil. Namun dalam Parlimen Belia, hanya terdapat 5 posisi yang diperuntukkan kepada Bumiputera Sarawak.[1] Menurut bancian 2010, belia Cina merupakan 23.5% daripada kumpulan umur 15-40 tahun, namun hanya 4.5% daripada Parlimen Belia. Pemuda India yang merupakan 7.6% daripada kumpulan umur 15-40 tahun pula hanya 5.3% dalam Parlimen Belia.

Kekurangan perwakilan daripada kumpulan minoriti dalam Parlimen Belia mungkin akan lebih ketara tanpa sesetengah wakil yang dilantik secara langsung. Menurut anggaran asal, Parlimen Belia sepatutnya mempunyai 119 ahli. Seramai 14 ahli tambahan dilantik oleh Menteri Belia dan Sukan yang bertanggungjawab bagi inisiatif ini.

Di samping itu, hanya terdapat sedikit maklumat berkenaan identiti Ahli Parlimen Belia memandangkan laman web mereka tidak menunjukkan keputusan pengundian pilihan raya parlimen belia mahupun senarai nama dan latar belakang mereka.[2] Pada zaman ini yang mementingkan ketelusan, mengapa kelihatan sukar bagi sebuah entiti yang mewakili golongan belia yang celik teknologi untuk mempamerkan maklumat tentang identiti wakil dengan profil Twitter, Facebook serta sedikit latar belakang mereka?

Selain itu, hanya sedikit maklumat berkenaan aktivti Parlimen Belia yang disebarkan kepda umum. Malahan Twitter rasmi bagi Parlimen Belia, iaitu @Myparlimenbelia, hanya mempunyai kurang daripada 6,000 pengikut.[3]

Hanya satu aspek Parlimen Belia menggambarkan LEBIH perwakilan berbanding Parimen Malaysia iaitu peratusan perwakilan wanita. 23 daripada 133 wakil merupakan wanita (17%) yang lebih tinggi peratusannya berbanding Dewan Rakyat Malaysia (10%).

Parlimen Belia merupakan sebuah idea dan permulaan yang baik dalam membenarkan wacana yang lebih demokratik dalam kalangan golongan muda. Namun ia tidak haruslah berubah menjadi sebuah ‘kelab orang sendiri’ yang tidak mencerminkan perwakilan golongan belia di Malaysia.

Dr. Ong Kian Ming
Ahli Parlimen Serdang

[1] It is not stated how many other youth representatives from the other races were from Sarawak

[2] http://www.parlimenbelia.gov.my/index.php/2014-03-24-17-31-47/keputusan

[3] https://twitter.com/myparlimenbelia

Menteri Abdul Rahman Dahlan dan Khairy Jamaluddin perlu berhenti mempertahankan tindakan Perdana Menteri Najib Tun Razak menandatangani MoU dengan Hindraf sebelum PRU ke-13 yang sebenarnya beliau tiada niat untuk tunaikan

Kenyataan Media oleh Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 24 Februari, 2014 di Kuala Lumpur

Menteri Abdul Rahman Dahlan dan Khairy Jamaluddin perlu berhenti mempertahankan tindakan Perdana Menteri Najib Tun Razak menandatangani MoU dengan Hindraf sebelum PRU ke-13 yang sebenarnya beliau tiada niat untuk tunaikan

Pada minggu lalu, dua Menteri – Abdul Rahman Dahlan, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Khairy Jamaluddin, Menteri Belia dan Sukan – telah menyerang bekas Timbalan Menteri, P Waythamoorthy melalui Twitter atas sebab beliau meletak jawatan dan mendesak Perdana Menteri Najib untuk turut meletak jawatan kerana gagal menunaikan janji-janji yang dibuat dalam Memorandum Persefahaman (MoU) antara BN dan Hindraf sebelum PRU ke-13. Kedua-dua Menteri sebenarnya tidak ikhlas ​​mempertahankan Perdana Menteri kerana mereka langsung tidak menyebut kandungan MoU Hindraf dan sejauh mana Perdana Menteri telah gagal atau berjaya melaksanakan janji-janji yang digariskan dalam MoU ini.

Walaupun saya tidak mempunyai akses kepada MOU Hindraf spesifik yang ditandatangani oleh Perdana Menteri, saya mempunyai akses kepada salinan Rangka Tindakan Hindraf (lihat Lampiran I di bawah) yang telah dibentangkan kepada Pakatan Rakyat sebelum pilihan raya umum ke-13 di mana tuntutan-tuntutan tertentu tertentu telah digariskan. Saya pasti tuntutan-tuntutan ini telah dimasukkan dalam MoU yang ditandatangani dengan Perdana Menteri.

Di bawah seksyen “Pelan Kesedaran” dalam Rangka Tindakan Hindraf, sebuah Kementerian Berkuatkuasa yang dipanggil Kementerian Hal Ehwal Minoriti telah dicadangkan di mana Hindraf akan ‘memimpin Kementerian tersebut.’ Peranan Kementerian ini juga diterangkan dengan jelas dalam Rangka Tindakan Hindraf, di mana ia menyatakan bahawa Kementerian:

1. Harus menerajui usaha-usaha pembangunan sosio-ekonomi untuk masyarakat terpinggir dan minoriti

2. Harus merancang keperluan belanjawan dan memperoleh peruntukan yang diperlukan

3. Harus merancang dan melaksanakan semua usaha pembangunan

4. Harus menyelaras semua kementerian lain yang berkaitan bagi melaksanakan kuota/sasaran peruntukan yang berkaitan dengan masyarakat terpinggir dan minoriti.

5. Harus menduduki jawatankuasa timbang tara yang bertanggungjawab menyelesaikan konflik mengenai peruntukan, kuasa, sokongan dan masalah pelaksanaan lain-lain.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib sudah pun memberi isyarat bahawa beliau tidak berniat untuk menghormati MoU ini apabila beliau melantik Waythamoorthy sebagai Timbalan Menteri tanpa Kementerian sendiri, dan bukannya mewujudkan sebuah Kementerian Hal Ehwal Minoriti baru dan melantik Waythamoorthy sebagai Menteri Kementerian tersebut seperti yang digariskan dalam Rangka Tindakan Hindraf dulu.

Rangka Tindakan Hindraf juga mencadangkan bajet tahunan berjumlah RM4.9 bilion untuk diperuntukkan kepada Kementerian Hal Ehwal Minoriti termasuk RM2 bilion untuk tanah yang diperuntukkan untuk pertanian berkontrak, RM1 bilion untuk perumahan, RM20 juta bagi program latihan kemahiran semula dan RM400 juta untuk tanah kuil dan tanah perkuburan, semuanya untuk pekerja ladang tersisih. Ia juga mencadangkan bahawa 10% daripada semua pekerjaan kerajaan, lesen dan permit, kontrak kerajaan dan penyertaan dalam program keusahawanan diberikan kepada masyarakat India. Tanpa Kementerian Hal Ehwal Minoriti dan Menteri Hindraf, tidak hairan apabila janji untuk bajet khusus tersebut tidak menjadi kenyataan.

Dengan mengambil kira permintaan Rangka Tindakan Hindraf dan, saya syaki, kandungan MoU yang ditandatangani, adalah salah untuk Khairy Jamaluddin mengkritik Waythamoorthy yang ingin mengawal bajet sendiri terutamanya jika ini telah pun jelas dinyatakan dalam MoU! Jika Khairy yang telah menduduki kabinet kurang daripada setahun boleh mengatakan bahawa ‘ini bukan cara kerajaan beroperasi’, maka Perdana Menteri Najib yang telah menduduki kabinet untuk lebih lama tidak sepatutnya menandatangani MoU dengan Hindraf jika beliau tidak berniat memberi pemimpin Hindraf apa-apa kawalan belanjawan pun!

Adalah jelas bahawa Perdana Menteri Najib tidak berniat untuk menghormati MoU dengan Hindraf dan beliau hanya menandatanganinya dalam keadaan terdesak kerana mahu memenangi sokongan komuniti India semasa pilihan raya umum ke-13. Ini adalah konsisten dengan banyak ‘pusingan-U’ yang telah beliau buat sebagai Perdana Menteri selepas menggantikan Abdullah Badawi pada tahun 2009 dan kegagalannya untuk memenuhi janji pilihan raya ke-13 seperti mengurangkan kadar tol antara bandar dan mengurangkan harga kereta. Ia hanya soal masa sebelum Perdana Menteri Najib memungkiri lebih banyak janji pilihan raya.

Alternatif kepada program komuniti khusus Hindraf ialah falsafah dan program-program tindakan afirmatif berdasarkan keperluan (needs based affirmative action) Pakatan Rakyat yang telah dinyatakan dalam manifesto PR GE13 dan pelbagai belanjawan alternatif PR. Setiap masyarakat mempunyai kumpulan terpinggir dan kurang bernasib baik yang tersendiri. Walaupun sesetengah kumpulan ini mungkin mempunyai cabaran asas tertentu dan memerlukan preskripsi dasar tertentu untuk mengatasi cabaran-cabaran ini, pendekatan yang lebih holistik diperlukan bagi menangani isu-isu seperti kemiskinan dan ketidaksamarataan menyeluruh untuk semua kumpulan yang terlibat. Inilah sebab saya menyokong pembentangan Akta Keterangkuman Sosial 2014 sebagai rang undang-undang ahli persendirian pada sesi parlimen yang akan datang pada bulan Mac.[1]

Dr. Ong Kian Ming

Ahli Parlimen Serdang

Lampiran I: Petikan daripada Rangka Tindakan Hindraf yang dibentangkan kepada to Pakatan Rakyat

Tindakan disiplin mesti diambil terhadap Dato Fuad Hassan, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas kerana melanggar Tatatertib Peraturan-Peraturan Pegawai Awam

Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, pada 24 Oktober 2013 di Kuala Lumpur

Tindakan disiplin mesti diambil terhadap Dato Fuad Hassan, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas kerana melanggar Tatatertib Peraturan-Peraturan Pegawai Awam

Mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993], pengawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT) dan Kumpulan Pengurusan & Profesional (P&P) dilarang mengambil bahagian di dalam politik. Pengawai tidak boleh:

a) membuat apa-apa pernyataan awam, sama ada lisan atau bertulis, memberi pandangan yang berat sebelah atas perkara yang menjadi isu parti politik;

c) terlibat dalam merayu undi bagi menyokong mana-mana calon pada suatu pilihanraya umum, pilihanraya kecil, atau apa-apa pilihanraya untuk apa-apa jawatan dalam mana-mana parti politik;

FAQ mengenai Politik Pejawat Awam yang disediakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam[1] menyatakan bahawa pegawai KPT atau P&P dilarang untuk ‘like’ dan ‘share’ Facebook dan ‘retweet’ artikel berkaitan politik. FAQ ini juga menyatakan bahawa Jika artikel berkenaan cenderung memihak kepada parti politik tertentu, aktiviti tersebut boleh ditafsirkan sebagai sokongan pegawai terhadap parti politik tersebut. Ia dikatakan juga sebagai aktif politik”.

Dato’ Fuad Hassan, sebagai Pengarah Jabatah Hal Ehwal Khas (JASA) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah melanggar tatatertib tersebut dengan begitu ketara.

Dato’ Fuad telah menggunkan akaun twitter @fuhas_tweet untuk menyerang parti dan juga pemimpin Pakatan Rakyat. Sebagai contoh:

27 April 2012: #Bersih3 – Lagi usaha DSAI untuk jadikan Dtrn Mdeka as Dtrn Tahrir Mesir. Yang menari ikut rentak DSAI akan tewas dlm prg saraf ini.

1 Mei 2012: Tony Pua: Najib must apologise for police brutality @DrRaisYatim @NajibRazak @fuhas_tweet – Spin, spin, spin. Fight them, fight them hard.

22 January: LGE arah sesiapa yg mahu guna perkataan “Penang” dlm program perlu dapat kelulusan kerajaan negeri. Permulaan kea rah dictator @klposdotcom

3 Feb 2013: Harakah: YB Nizar terlalu yakin PR dapat tawan Perak tapi kalau kalah ia kerana pengundi hantu. @fuhas_tweet: ini politik bangang!!.

29 Ogos 2013: Banning #TandaPutera : Arrogant and stupid move by Racist Chinese #Dap @teresakok

Pada masa yang sama, Dato’ Fuad juga menggunakan akaun twitter untuk menyokong dan berkempen untuk Barisan Nasional and UMNO dari segi politik, bukan dari segi polisi ataupun dasar. Beberapa contoh:

21 Julai 2013: Insya Allah“@wirakenyalang: RT @fuhas_tweet: Selamat pagi Dato’. Selamat berpuasa dan memastikan BN menang di DUN Kuala Besut #kbesutkini

8 Oktober 2013: Tertarik perjalanan pemilihan Umno kini: Teratur, kekeluargaan, pembahruan, lebih meakar umbi & penyertaan menyeluruh. Umno has transform!.

Pada keseluruhannya, Dato’ Fuad telah tweet sebanyak 372 kali untuk menyerang Pakatan Rakyat dan 18 kali untuk menyokong Barisan Nasional / UMNO dari tahun 2011 sehingga 24 Oktober 2013.

Pada masa yang sama, Dato’ Fuad juga telah menggunakan blog beliau (http://dakwat-kertas.blogspot.com) untuk menyerang Pakatan Rakyat dan menyokong Barisan Nasional / UMNO.

Sebagai contoh:

“Film “The New Village” menceritakan kesengsaraan bangsa Cina di zaman penjajahan British namun ternyata mengesahkan hubungan cinta & kerjasama masyarakat Cina kepada Komunis.  Film ini dilihat sebagai mendukung pandangan PKR, PAS dan DAP bahawa perjuangan komunis adalah perjuangan kemerdekaan.”[2]

Jikalau Dato’ Fuad, sebagai mantan Ahli Dewan Undangan negeri Hulu Kelang sebelum ditewaskan oleh Azmin Ali pada tahun 1999,  mahu melibatkan diri dalam kegiatan politik dengan secara aktif, beliau boleh meletak jawatan ataupun memohon persaraan pilihan.

Dengan menyalahgunakan jawatan beliau sebagai Pengarah JASA, Dato’ Fuad telah memburukkan nama baik pejawat awam di negara kita yang kebanyakkannya melakukan tugas dengan sikap profesional dan tidak menyebelahi mana-mana pihak politik dan tidak ada niat untuk berpolitik aktif semasa menjalankan tugas sebagai pejawat awam.

Saya minta Tan Sri Mohamad Zabidi bin Zainal, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) dan Tan Sri Dr. Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Negara (KSN) untuk mengambil tindakan disiplin dengan segera terhadap Dato’ Fuad Hassan untuk menegakkan profesionalisme and memeliharakan nama baik perkhihdmatan awam in Malaysia.

Saya akan emelkan kesemua ‘screenshot’ tweet Dato’ Fuad kepada Tan Sri Mohamad Zabidi dan juga Tan Sri Dr. Ali Hamsa sebagai bukti bahawa Dato’ Fuad telah melanggar tatatertib SPA. Saya berharap bahawa KPPA dan KSN akan melakukan siasatan yang sepenuhnya dan tindakan yang sewajarnya diambil terhadap Dato’ Fuad.

Dr. Ong Kian Ming

Ahli Parlimen Serdang