Politik

9 posts

Suruhanjaya Pilihan Raya perlu melantik semula Penolong Pegawai Pendaftar (ARO) daripada parti-parti politik untuk menghentikan penurunan bilangan pengundi berdaftar

Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 25 Ogos 2015

Suruhanjaya Pilihan Raya perlu melantik semula Penolong Pegawai Pendaftar (ARO) daripada parti-parti politik untuk menghentikan penurunan bilangan pengundi berdaftar

Selepas lebih daripada 2 tahun berlakunya PRU ke-13 serta keputusan SPR untuk tidak memperbaharui status Penolong Pegawai Pendaftar (Assistant Registrar Officers atau AROs) daripada parti politik, jumlah bersih pengundi baru berdaftar pada suku kedua tahun 2015 telah menunjukkan penurunan secara keseluruhan. Menurut data yang dikeluarkan oleh SPR, hanya tiga buah negeri yang menunjukkan peningkatan pengundi (pendaftaran baru + pendaftaran tukar alamat – penandaan pemotongan, iaitu mereka yang telah meninggal atau berpindah). Tiga buah negeri ini adalah Melaka (+496 pengundi), Sarawak (+4,588 pengundi) dan Terengganu (+10,311 pengundi). [1] (Rujuk Jadual 1)

Kesemua negeri lain mengalami penurunan bilangan bersih jumlah pengundi, termasuklah Perak (-5,303 pengundi), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (-3,487 pengundi), Selangor (-3,425 pengundi) dan Kedah (-2,911 pengundi). Sungguh tidak masuk akal apabila Selangor yang mengalami peningkatan penduduk dan mempunyai bilangan terbanyak pengundi tidak berdaftar mengalami penurunan bersih bilangan pengundi pula.

Jelas bahawa SPR tidak berusaha secukupnya untuk mendaftarkan pengundi baru. Kita tidak boleh mengelakkan daripada berfikir bahawa SPR TIDAK agresif melakukan pendaftaran pengundi baru dan muda kerana golongan inilah yang kemungkinan besar TIDAK akan mengundi parti pemerintah. Pada masa yang sama, peningkatan ketara dalam bilangan bersih pengundi baru di Terengganu juga sangat mencurigakan. Ia mengingatkan saya kepada peningkatan pesat dalam bilangan pengundi baru di Terengganu selepas BN hilang kuasa sebagai kerajaan Negeri Terengganu pada 1999. Adakah agensi kerajaan seperti JASA terlibat dalam pendaftaran pengundi baru di Terengganu?

Sekali lagi, saya menyeru SPR untuk memulihkan hak parti politik untuk melakukan pendaftaran pengundi baru melalui Penolong Pegawai Pendaftar. DAP telah membuktikan kebolehan mereka dalam mendaftarkan ramai pengundi baru terutamanya di kalangan anak muda melalui pusat khidmat, acara awam dan inisiatif pendaftaran pengundi di tempat-tempat awam di seluruh Malaysia. Tambahan lagi, peratusan pengundi berdaftar yang ditolak oleh SPR setakat ini bukanlah besar dan ini menunjukkan DAP lebih daripada mampu untuk menjalankan proses pendaftaran pengundi secara teratur.

Jika SPR gagal untuk mengambalikan hak ini, ia akan menjadi satu lagi titik hitam kepada institusi ini yang sepatutnya merupakan badan bebas dan menunjukkan bahawa SPR tidak berminat untuk membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia mengambil bahagian dalam proses pilihan raya.

Dr. Ong Kian Ming
Ahli Parlimen Serdang

[1] Putrajaya menunjukkan peningkatan 196 pengundi.

Adakah Idris Jala benar-benar mengeluarkan cabaran atau sekadar melindungi Najib?

Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 15 Ogos 2015

Adakah Idris Jala benar-benar mengeluarkan cabaran atau sekadar melindungi Najib?

Walaupun saya seringkali tidak bersetuju secara umum dengan strategi dan polisi Program Transformasi Ekonomi (ETP), saya dulu tetap menghormati CEO PEMANDU, Dato Idris Jala sebagai seorang yang berintegriti dan benar-benar mahu menyumbang secara positif kepada negara.

Disebabkan itu, saya amat terkejut apabila membaca catatan terbaru beliau di laman web ETP yang bertajuk “Throwing Down the Gauntlet”[1] (‘Mengeluarkan Cabaran’) di mana beliau bukan sahaja seolah-olah mempertahankan tindakan BN, tetapi juga mendakwa bahawa pihak pembangkang adalah penghalang utama kepada reformasi pembiayaan politik.

Beliau bukan sahaja tidak bersuara bagi pihak pegawai SPRM yang disoal siasat oleh polis dan juga 2 orang pegawai yang ditukarkan ke JPM sehari selepas berjumpa dengan pemimpin pembangkang, malahan beliau cuba mempertahankan “derma” RM2.6b yang diterima oleh Perdana Menteri dengan mengeluarkan kenyataan ini:

“Saya merujuk kepada pakar undang-undang untuk penjelasan di sisi undang-undang berkenaan isu derma politik. Secara umumnya, ia tidak menyalahi undang-undang bagi sesiapa untuk menderma wang kepada parti politik. Seterusnya, tiada undang-undang di negara ini yang mengharamkan derma politik disumbangkan kepada akaun bank individu mahupun parti politik. Bagaimanapun, ia adalah menyalahi undang-undang apabila derma tersebut secara langsung berkait dengan rasuah.”

Pembisuan Idris Jala mengenai serangan ke atas kebebasan SPRM amat mengecewakan, sedangkan pengukuhan SPRM dalam usaha membanteras rasuah merupakan salah satu teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). Laporan Tahunan GTP 2013 memberi penerangan berikut berkenaan bidang anti rasuah:

“Bidang ini bertujuan untuk membina dan mewujudkan Malaysia sebagai sebuah negara yang adil dan saksama untuk didiami, hidup dan bermain. Komponen utama untuk mencapai matlamat ini adalah memastikan SPRM menjadi sebuah institusi bertaraf dunia, berbekalkan sumber yang diperlukan untuk beroperasi secara bebas, menyiasat dengan efektif dan mengambil tindakan ke atas kes-kes rasuah.”

Namun apabila kebebasan SPRM dipertikaikan dan diserang bertubi-tubi, Idris Jala mengambil keputusan bagi membela bos beliau dan meninggalkan SPRM untuk mempertahankan diri sendiri.

Namun, apa yang lebih teruk adalah percubaan Idris Jala yang seolah-olah berniat menggambarkan BN sebagai menyokong reformasi pembiayaan politik, sementara Pakatan menentangnya. Beliau menyatakan:

“Pada tahun 2014 iaitu kali kedua PM menyarankan pengawalan pembiayaan politik, ahli kanan Barisan telah berkata bahawa ia harus dilakukan seiring dengan Pakatan bagi menjamin keadilan. Kami berasa positif kerana sekurang-kurangnya sebelah pihak (Barisan) telah bersetuju untuk menerima cadangan ini, dan Pakatan mungkin akan turut serta berdasarkan pendirian mereka terhadap pentadbiran dan ketelusan. Namun sekali lagi, kita tidak dapat penyertaan mana-mana pihak secara sukarela. Jelas bahawa pada masa itu, tiada yang berminat terhadap reformasi tersebut.”

Saya hanya boleh mengulangi apa yang diperkatakan oleh rakan sejawat saya, iaitu bahawa DAP tidak pernah dirujuk mahupun ditanya oleh PEMANDU ataupun mana-mana agensi kerajaan untuk bersetuju dengan sebarang cadangan atau perundangan berkaitan pembiayaan politik di Malaysia. DAP juga tidak pernah menolak sebarang reformasi mahupun rang undang-undang terhadap pembiayaan politik. Jadi, saya amat terkejut apabila Idris Jala menulis seolah-olah cadangan pembiayaan politik itu hanya dipersetujui oleh sebelah pihak sahaja, iaitu pihak BN dan ditolak oleh pihak Pakatan. Bagaimana mungkin cadangan itu ditolak sedangkan ia langsung tidak pernah diusulkan kepada kami?

Malahan, saya ingin mengingatkan Idris Jala bahawa Ahli Parlimen pembangkang jauh lebih terbuka untuk bekerjasama dengan PEMANDU bagi teras NKRA Anti Rasuah berbanding dengan Ahli Parlimen Barisan Nasional. Setahu saya, perkara ini masih belum pernah dilaporkan, oleh itu saya akan menyenaraikan turutan peristiwa dengan terperinci.

Di bawah GTP 2.0, NKRA Anti Rasuah mencadangkan agar Ahli-Ahli Parlimen mengikuti latihan bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan berkenaan rasuah / penyalahgunaan kuasa / salah laku. (Rujuk Inisiatif 19 di bawah).

Pasukan NKRA telah bertemu Pengerusi Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional, Tan Sri Shahrir Samad untuk mengadakan sesi latihan di Parlimen secara bipartisan, namun beliau tidak berminat. Bagi memenuhi KPI akhir tahun mereka, PEMANDU telah bertemu Institute of Democracy and Economic Affairs (IDEAS) untuk menganjurkan latihan anti-rasuah itu. Walaupun IDEAS telah berusaha penuh, hanya Ahli Parlimen pembangkang yang hadir ke sesi latihan tersebut. TIADA SEORANG AHLI PARLIMEN BN menghadiri latihan ini di Majestic Hotel yang dikendalikan oleh Tan Sri Abu Kassim, Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Tan Sri Ambrin Buang, Ketua Audit Negara Malaysia. Latihan integriti untuk Ahli Parlimen ini dilaporkan dalam Laporan Tahunan GTP 2013 (Rujuk di bawah). Laporan tersebut ada menyatakan bahawa “Tidak semua Ahli Parlimen hadir pada latihan anti rasuah yang julung kali diadakan, namun pasukan Anti-COR akan berusaha untuk meningkatkan peratusan kehadiran pada masa hadapan” tanpa menyebut bahawa tiada seorang Ahli Parlimen BN yang hadir pun. Gambar dalam Laporan Tahunan GTP 2013 menunjukkan hanya Ahli Parlimen pembangkang yang bergambar bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Paul Low, yang bertanggungjawab terhadap urusan pentadbiran dan integriti. Ini sepatutnya menjadi tanda jelas yang menunjukkan pihak mana yang benar-benar serius mengenai reformasi untuk mengurangkan rasuah, dan saya berharap ini akan menjadi peringatan kepada Idris Jala dari masa ke semasa.

Akhir sekali, inilah kenyataan yang menunjukkan bahawa Idris Jala sama ada naïf politik atau sengaja berlagak jahil:

“Apabila ditinjau kembali, saya percaya bahawa jika kedua-dua pihak telah menerima cadangan pada 2010, kita tidak akan sama sekali berada dalam dilema pada masa ini, dengan seluruh negara mengalami pertempuran politik yang berlarutan.”

Adakah beliau benar-benar berfikir bahawa jika pihak BN dan Pakatan bersetuju dengan cadangan reformasi pembiayaan politik yang disyorkan oleh PEMANDU, maka skandal 1MDB tidak akan berlaku? Perlukah saya mengingatkan Idris Jala dengan hakikat bahawa Perdana Menteri Najib telah menandatangani Ikrar Integriti Pilihanraya oleh Transparency International pada Februari 2013[2], dan sebulan kemudian, iaitu Mac 2013, hampir 700 juta USD telah masuk akaun peribadi beliau di AmBank?[3]

Dengan kenyataan-kenyataan sebegini, saya mempersoalkan kredibiliti Idris Jala untuk memainkan peranan efektif sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP)[4] yang diumumkan baru-baru ini. Adakah Idris Jala dan Pengerusi JKNMPP, Paul Low akan menggunakannya untuk mengalihkan perhatian orang awam daripada masalah besar yang menimpa Najib dan sumber wang yang masuk ke dalam akaun peribadi beliau di AmBank pada tahun 2013, 2014 dan 2015?

Dr. Ong Kian Ming

Ahli Parlimen Serdang

[1] http://etp.pemandu.gov.my/Transformation_Unplugged-@-Throwing_Down_the_Gauntlet.aspx

[2] http://timalaysia-electionpledge.org.my/

[3] http://www.sarawakreport.org/2015/07/sensational-findings-prime-minister-najib-razaks-personal-accounts-linked-to-1mdb-money-trail-malaysia-exclusive/

[4] http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/najib-unveils-new-committee-to-develop-political-funding-laws#sthash.M1tRfbby.dpuf

Kedudukan Malaysia dalam kajian ‘Money, Politics and Transparency’ terhadap pembiayaan politik menunjukkan bahawa kita amat memerlukan reformasi kewangan kempen

Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 21 Julai 2015

Kedudukan Malaysia dalam kajian ‘Money, Politics and Transparency’ terhadap pembiayaan politik menunjukkan bahawa kita amat memerlukan reformasi kewangan kempen

Pada 16 Julai, projek Money, Politics and Transparency (MPT) iaitu sebuah inisiatif antara Sunlight Foundation, Global Integrity dan Electoral Integrity Project telah menerbitkan sebuah dataset baru yang mengandungi hasil kajian mereka mengenai undang-undang dan perbelanjaan pilihan raya.[1]

Daripada 54 buah negara yang dikaji, Malaysia berada di tangga ke-50 dengan skor 19 daripada 100 (markah penuh). Skor Malaysia lebih rendah daripada Indonesia (47 markah), Bangladesh (41 markah) dan Nigeria (29 markah). Dapatan ini juga selari dengan kajian lain yang meneliti proses pilihan raya di Malaysia. Electoral Integrity Project (salah satu penggerak Projek MPT) sebelum ini telah menyenaraikan Malaysia di kedudukan 114 daripada 127 dari segi integriti pilihan raya.[2]

Dalam kajian MPT, pemantauan kewangan kempen dihuraikan seperti berikut:

“Suruhanjaya Pilihan Raya bertanggungjawab ke atas penyeliaan kewangan politik. Dari segi undang-undang, Suruhanjaya tidak diperuntukkan kuasa penyiasatan. Individu yang dilantik tidak dilantik berdasarkan merit, malah kebebasan mereka tidak dijamin sepenuhnya. Badan tersebut tidak menjalankan penyiasatan, tidak mempunyai kapasiti untuk berbuat demikian, dan tidak mengenakan sekatan terhadap parti atau calon yang melanggar undang-undang. Di Malaysia, bukan sahaja kerangka kerja pengawalseliaan agak lemah, malah penguatkuasaan juga sungguh lemah.” [3]

Kekurangan kebebasan politik Suruhanjaya Pilihan Raya dan kelemahan perbelanjaan pilihan raya di Malaysia sangat ketara dan menjadi perhatian setelah dakwaan oleh Wall Street Journal berkenaan transaksi dana 1MDB yang disalurkan kepada beberapa akaun bagi tujuan perbelanjaan pilihan raya semasa PRU ke-13 pada tahun 2013,[4] termasuklah akaun peribadi di bawah nama Perdana Menteri.[5]

Isu ketelusan perbelanjaan pilihan raya dan pembiayaan politik ini bukanlah sesuatu yang baru. Ia merupakan salah satu daripada 8 tuntutan Bersih 2.0.[6] Transparency International Malaysia juga secara konsisten menyokong reformasi pembiayaan politik dan telah menerbitkan sebuah buku komprehensif dengan cadangan konkrit untuk reformasi pembiayaan politik di Malaysia.[7] Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU) telah berbicara tentang reformasi pembiayaan politik sejak 2012.[8] Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low juga menyokong ketelusan pembiayaan politik yang lebih tinggi bagi sejak menjawat jawatan dalam kabinet.[9] Tidak dilupakan juga tandatangan Perdana Menteri yang diturunkan semasa Ikrar Integriti Pilihan Raya sebelum PRU ke-13 pada tahun 2013.[10] Kini, semua ini seolah-olah sandiwara sahaja.

Berdasarkan dakwaan Wall Street Journal dan prestasi Malaysia yang lemah dalam pelbagai kajian pilihan raya yang berkaitan, saya menyeru Perdana Menteri untuk mengingat kembali ikrar yang ditandatangani sebelum PRU ke-13 dan menjalankan kajian menyeluruh terhadap sistem pilihan raya di Malaysia termasuk pembiayaan politik dan perbelanjaan berkaitan pilihan raya. Terdapat banyak contoh daripada negara lain yang Malaysia boleh mengguna pakai sebagai sebahagian daripada proses reformasi pilihan raya yang lebih besar. Kini, apa yang sungguh diperlukan oleh negara ini adalah kepimpinan dan kehendak politik untuk memulakan dan menjalankan pembaharuan ini.

Dr. Ong Kian Ming
Ahli Parlimen Serdang

Lampiran daripada kajian Money, Transparency and Politics:
Rankings, Brief, Key Findings dan Full Methodology

[1]  http://moneypoliticstransparency.org/

[2] https://sites.google.com/site/electoralintegrityproject4/home

[3] http://data.moneypoliticstransparency.org/countries/MY/

[4]  http://www.wsj.com/articles/fund-controversy-threatens-malaysias-leader-1434681241

[5] http://www.wsj.com/articles/SB10130211234592774869404581083700187014570

[6] http://www.bersih.org/about-bersih/bersihs-8-points/ (di bawah ‘stopping corruption via vote buying’)

[7] http://transparency.org.my/category/what-we-do/reforming-political-financing/

[8] http://www.thestar.com.my/news/nation/2012/03/08/pemandu-to-work-on-guidelines-for-political-funding/

[9]  http://english.astroawani.com/politics-news/political-financing-one-thing-bn-and-pakatan-can-both-agree-upon-36477

[10] http://transparency.org.my/what-we-do/election-integrity-pledge/prime-minister-signs-transparency-international-malaysias-election-integrity-pledge/