Pengangkutan

9 posts

Pengangkutan awam di Lembah Klang mestilah berpatutan, bersepadu, mudah digunakan dan boleh dipercayai

Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 14 Julai 2016

Pengangkutan awam di Lembah Klang mestilah berpatutan, bersepadu, mudah digunakan dan boleh dipercayai

Pada 30 Jun 2016, Perdana Menteri telah merasmikan laluan sambungan LRT bagi laluan Kelana Jaya dan Ampang ke stesen pertukaran Putra Heights.[1] Lebih kurang setahun yang lepas, Najib juga telah merasmikan perkhidmatan Bus Rapid Transit (BRT) daripada Sunway-Setia Jaya ke USJ 7.[2] Walaupun pengembangan liputan pengangkutan awam di Lembah Klang amat dialu-alukan, namun penyediaan pengangkutan awam adalah lebih daripada sekadar membina stesen LRT dam MRT yang baru. Khususnya, pengangkutan awam mestilah berpatutan, bersepadu, mudah digunakan serta boleh dipercayai.

Saya sendiri telah cuba menggunakan sambungan LRT baru dan juga beberapa jenis pengangkutan awam lain pada Selasa lepas, 5 Julai 2016 iaitu sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri. Saya telah memandu kereta ke stesen Awam Besar (stesen baru berhampiran Taman OUG) dan menaiki LRT ke stesen pertukaran Putra Heights. Saya menukar tren dan turun di stesen USJ 7, kemudian menaiki BRT menghala ke Sunway-Setia Jaya. Dari sana, saya menaiki KTM ke KL Sentral. Selepas itu, saya mengambil laluan Kelana Jaya ke Masjid Jamek dan balik semula ke stesen Awan Besar dengan menukar tren ke laluan Ampang. Bagaimanakah kadar pengalaman saya berdasarkan empat kriteria yang telah dinyatakan tadi?

Pertama, tambang LRT kita bukanlah begitu berpatutan. Tambang perjalanan saya dari Awan Besar ke USJ 7 adalah RM5.20 menggunakan kad RapidKL (jika menggunakan bayaran tunai, tambang akan berjumlah RM6.10 bagi perjalanan yang sama). Tambang perjalanan BRT dari USJ 7 ke Sunway Setia pula berjumlah RM5.40, yang bermakna perjalanan sehala menggunakan LRT dan BRT menelan kos RM10.60! Mungkin akan ada orang yang berkata bahawa tidak ramai pengguna yang akan memilih laluan ini untuk Sunway-Setia Jaya, namun jika saya turun di stesen Sunway University / Sunway Monash (katakan jika saya pelajar di salah sebuah institusi tersebut), kos perjalanan BRT tersebut akan berjumlah RM2.70, iaitu RM7.90 bagi perjalanan sehala dari LRT Awan Besar ke stesen BRT SunU-Monash.

Atas dasar perbincangan, katakan jika saya ingin menaiki tren dari Awan Besar untuk ke stesen akhir di laluan Kelana Jaya, iaitu Gombak. Kos perjalanan sehala tanpa tunai adalah RM5.70 dan RM6.70 bagi perjalanan menggunakan bayaran tunai. Walaupun harga ini masih dikira murah berbanding dengan kos memandu dan parkir, namun ia masih menjadi beban untuk pekerja gaji minima yang perlu menghabiskan RM11.40 sehari iaitu RM250 sebulan semata-mata untuk pengangkutan awam.[3]

Sebagai perbandingan, kita boleh melihat Singapura, di mana penggunaan MRT adalah percuma tanpa sebarang caj untuk perjalanan sebelum 7.45pagi bagi mengurangkan kesesakan pada waktu puncak antara 8 pagi hingga 9 pagi.[4] Tambang perjalanan daripada stesen MRT pertama dari arah Timur – Pasir Ris (E1) hingga ke stesen MRT terakhir di Barat – Joo Koon (E29) hanya berjumlah SGD 2.03 bagi jarak sejauh 42.6km.

Catatan: KDNK Singapura adalah 5 kali lebih tinggi berbanding Malaysia.

Untuk kriteria pertama, iaitu sama ada tambangnya berpatutan atau tidak, pengangkutan awam Malaysia adalah agak ketinggalan.

Kedua, sejauh manakah sistem pengangkutan awam kita bersepadu? Saya melihat sudah banyak penambahbaikan yang dilakukan di Lembah Klang. Integrasi antara KTM, KRT, ERL dan sebahagian laluan bas telah menjadikan KL Sentral sebagai sebuah hab pengangkutan awam yang digunakan oleh beribu-ribu pengguna setiap hari. Sistem BRT Sunway menghubungkan KTM kepada LRT (walaupun dengan kos yang agak tinggi untuk pengguna). Jajaran 1 MRT Sungai Buloh-Kajang akan meningkatkan perhubungan dan integrasi pengangkutan awam apabila ia mula beroperasi pada tahun hadapan. Satu jurang besar yang perlu diatasi adalah kekurangan laluan bas pengantara dari pelbagai kejiranan untuk pergi ke stesen LRT dan MRT.

Namun integrasi pengangkutan awam bukanlah sekadar integrasi fizikal. Ia juga perlukan integrasi tambang. Maksudnya, tidak kira sama ada pengguna menggunakan bas Rapid KL, LRT atau KTM, sebuah perjalanan dari mula hingga akhir perlulah mempunyai kos yang sama tanpa mengira berapa kali mereka menukar jenis pengangkutan awam. Buat masa ini, jika kita menggunakan bas dari stesen LRT dan disusuli oleh tren LRT dan bas BRT, kita akan dikenakan 3 jenis caj bagi sebuah perjalanan sehala. Sebaliknya, sistem pengangkutan awam bersepadu hanya akan mengenakan caj sekali sahaja bagi sebuah perjalanan sehala. Ini akan meningkatkan kadar kemampuan rakyat untuk menggunakan pengangkutan awam.

Sebagai contoh, pada Mac tahun ini, saya menaiki bas daripada Nanyang Technological University (NTU) di Singapura untuk ke stesen MRT Book Lay (di Barat) dan kemudian menghala ke Lapangan Terbang Changi menggunakan MRT (di Selatan). Tambang perjalanan hanya berjumlah SGD 2.03 (0.88 sen untuk bas dan 1.15 bagi MRT). Ia dikira sebagai sebuah perjalanan walaupun saya menaiki bas dan MRT. Integrasi tambang bagi pengangkutan awam di Singapura ini menjadikan ia lebih berpatutan. Di Malaysia, konsep integrasi tambang masih agak janggal bagi hampir kesemua pengguna pengangkutan awam.

Salah satu sebab mengapa integrasi tambang masih menjadi sebuah cabaran di Malaysia adalah ketidakupayaan KTM untuk menyelaraskan sistem tiket mereka dengan LRT dan Monorail. Walaupun pengguna boleh menggunakan kad Touch n Go untuk membayar tambang KTM, namun kad RapidKL tidak boleh digunakan untuk membayar tambang KTM. Tambahan lagi, sistem tiket automatik KTM masih belum berfungsi. Sebagai contoh, di stesen KTM Setia Jaya, salah sebuah mesin tiket automatik tidak berfungsi, sebuah lagi mesin masih dalam peringkat ujian, dan tiada staf yang bertugas di kaunter tiket manual! (Lihat bawah)

Walaupun pada bulan November yang lepas, pihak KTM telah berjanji akan memperkenalkan sistem tiket bersepadu antara KTM, LRT dan Monorail pada bulan Jun tahun ini, nampaknya kita masih jauh lagi daripada matlamat tersebut.[5]

Ketiga, adakah sistem pengangkutan kita mudah digunakan?

Ketika saya menggunakan tren pada Selasa lepas, terdapat petunjuk stesen yang tidak berfungsi untuk  stesen sambungan baru di laluan Kelana Jaya dan Ampang. Ini bermakna pengguna tren tidak dapat mengenal pasti dengan baik stesen yang berikutnya. Pada masa yang sama, tiada sebarang pengumuman stesen berikutnya yang dibuat melalui sistem pembesar suara tren.

Tambahan lagi, semasa saya menggunakan LRT dari Masjid Jamek ke Awan Besar, tiada sebarang pengumuman yang dilakukan untuk memberitahu penumpang supaya menukar tren di Sri Petaling jika hendak ke Awam Besar. Dalam peta laluan LRT, laluan Sri Petaling ke Awan Besar kelihatan lancar dan pengguna seolah-olah tidak perlu menukar tren. Saya hanya menyedari perkara ini apabila tren tersebut berhenti di Sri Petaling dan kemudiannya balik ke stesen Bukit Jalil tanpa pergi ke Awan Besar.

Banyak penambahbaikan yang perlu dilakukan lagi untuk papan tanda dan pengumuman di stesen LRT. (Saya akan menghuraikan masalah kekurangan peta laluan bas Rapid KL pada masa lain).

Keempat dan terakhir, adakah sistem pengangkutan kita boleh dipercayai? Sekali lagi, saya akan mengetepikan persoalan berkenaan bas pengantara memandangkan saya tidak menggunakan perkhidmatan ini pada Selasa lepas. Walaupun ketibaan tren LRT boleh dikatakan agak kerap (dengan selang masa kurang dari 10 minit bagi setiap stesen yang saya lawati), namun perkara berbeza bagi KTM. Hanya kerana saya terlepas tren di KTM Setia Jaya, saya perlu menunggu 45 minit untuk tren seterusnya. Salah satu sebab kekerapan tren KTM rendah terutamanya ketika waktu puncak adalah disebabkan oleh isu kerja di landasan berkembar. Namun saya juga difahamkan bahawa walaupun semasa waktu puncak, tren di sepanjang laluan Tanjung Malim dan Sentul hanya tiba sekali setiap 45 minit.

Sistem pengangkutan awam yang tidak boleh dipercayai dalam erti kata kekerapan dan ketepatan masa akan kurang menggalakkan ramai pengguna daripada bertukar dari pengangkutan awam kepada pengangkutan sendiri. Ia juga akan menyebabkan ketidakselesaan dan meningkatkan masa perjalanan bagi mereka yang tidak mempunyai pilihan lain selain menggunakan pengangkutan awam.

Saya menggalakkan ahli politik kita, terutamanya Menteri-Menteri, untuk mencuba sendiri dan merasai pengalaman menggunakan sistem pengangkutan awam kita tanpa diiringi rombongan, termasuklah membeli sendiri tiket dan merancang perjalanan supaya mereka boleh melihat masalah yang dihadapi oleh penumpang pada setiap hari. Melalui cara itu, mereka akan mengetahui sama ada sistem pengangkutan awam di Lembah Kelang ini berpatutan, bersepadu, mudah digunakan dan boleh dipercayai ataupun tidak.

Dr. Ong Kian Ming
Ahli Parlimen Serdang

[1] http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/lrt-extension-project-helps-reduce-cost-of-living-say-commuters

[2] http://www.thestar.com.my/news/nation/2015/06/01/najib-brt-sunway-electric-bus-service/

[3] Berdasarkan anggaran ada 22 hari bekerja dalam sebulan.

[4] https://www.mytransport.sg/content/mytransport/home/commuting/trainservices.html

[5] http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/new-fare-system-to-integrate-ktm-lrt-mrt-monorail

Wajarkah harga tambang KLIA Ekspres dinaikkan sebanyak RM20 selepas keuntungan tahunan bertambah sebanyak anggaran RM89juta akibat sambungan KLIA2?

Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 7 Disember 2015

Wajarkah harga tambang KLIA Ekspres dinaikkan sebanyak RM20 selepas keuntungan tahunan bertambah sebanyak anggaran RM89juta akibat sambungan KLIA2?

Saya terkejut apabila membaca bahawa Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi, cuba mewajarkan peningkatan harga sebanyak RM20 bagi tambang KLIA Ekspres, iaitu daripada RM35 kepada RM55 bermula pada 1 Januari 2016. Menurut beliau, kenaikan harga ini diperlukan bagi menampung kerugian yang dialami syarikat tersebut sejak ia mula beroperasi pada 2002. Yang memeranjatkan lagi, KLIA Ekspres pula telah menyatakan bahawa ianya dibenarkan dalam perjanjian konsesi untuk menaikkan harga tambang kepada RM64.

Mengikut statistik Kementerian Pengangkutan, jumlah penumpang KLIA Ekspres telah meningkat sebanyak 42% iaitu daripada 2,062,223 penumpang (2013) kepada 2,928,302 penumpang (2014). Jumlah penumpang KLIA Transit juga telah meningkat sebanyak 44% daripada 4,373,220 (2013) kepada 6,310,323 penumpang (2014). Jumlah peningkatan keseluruhan dianggarkan sebanyak 44% iaitu daripada 6,436,443 penumpang (2013) kepada 9,238,625 penumpang (2014). Peningkatan bilangan penumpang ini adalah disebabkan oleh pembukaan laluan keretapi dari KLIA ke KLIA2 pada 6 Mei 2014. (Rujuk Jadual 1.) Peningkatan 44% daripada 2013 hingga 2014 ini boleh dikira sebagai pendapatan tambahan sebanyak RM64juta (anggaran) bagi KLIA Ekspres.[1]

Jumlah penumpang KLIA Ekspres telah bertambah sebanyak 26.3% daripada suku pertama (Q1) hingga suku ketiga (Q3) tahun 2015 berbanding Q1 hingga Q3 pada tahun 2014, dan sebanyak 9% bagi KLIA Transit untuk tempoh waktu yang sama. Jika trend ini berterusan pada suku keempat (Q4) tahun 2015, ini bermakna tambahan keuntungan boleh dianggarkan sebanyak RM25juta.

Ini bermakna bahawa dengan pembukaan sambungan KLIA2, anggaran pendapatan tambahan oleh Express Rail Link Sdn Bhd adalah RM89juta untuk tahun 2015 berbanding tahun asas 2013.

Memandangkan ERL Sdn Bhd tidak menanggung walau satu sen daripada kos pembinaan sambungan KLIA2 dan kos tambahan operasi laluan sambungan KLIA2 adalah kecil, mengapa ERL dibenarkan untuk menaikkan harga tambang dengan begitu tinggi? Bukankah penambahan keuntungan ekoran daripada peningkatan penumpang adalah mencukupi bagi ERL untuk meraih keuntungan yang munasabah dan mendapatkan semula perbelanjaan modal?

Ia merupakan amalan biasa bagi pemegang konsesi untuk menandatangani perjanjian tambahan apabila terdapat perubahan besar kepada perjanjian konsesi asal. Sebagai contoh, BESRAYA telah menandatangani perjanjian tambahan dengan kerajaan pada 2011 berikutan perlaksanaan BESRAYA Eastern Extension (BEE) ke Ampang. Pemegang konsesi KLIA Ekspres dan KLIA Transit, ERL Sdn Bhd juga menandatangani perjanjian tambahan dengan kerajaan ekoran pembukaan laluan KLIA2. Perjanjian tambahan ini merangkumi maklumat seperti peningkatan tambang yang dibenarkan dari masa ke semasa. Adakah kerajaan sengaja mengabaikan fakta dengan membenarkan peningkatan tambang bagi ERL Sdn Bhd dalam perjanjian tambahan walaupun mengetahui KLIA2 akan mendatangkan pertambahan penumpang yang ketara? Mengapa kerajaan tidak menekan pemegang konsesi untuk menghadkan atau menghalang peningkatan tambang perjalanan memandangkan sambungan KLIA2 adalah dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan?

Saya menggesa kerajaan untuk mendedahkan perjanjian konsesi yang melibatkan pihak ERL Sdn Bhd supaya rakyat Malaysia boleh menilai dengan sendiri sama ada peningkatan tambang adalah wajar, atau sama ada kerajaan bersikap lalai dengan membenarkan pemegang konsesi menikmati keuntungan terlalu tinggi yang akhirnya memudaratkan rakyat marhean.

Dr. Ong Kian Ming
Ahli Parlimen Serdang

[1] Berasaskan anggapan bahawa tambang RM35 dikenakan bagi penumpang KLIA Express dan tambang purata RM17.50 dikenakan bagi penumpang KLIA Transit, di mana sebahagian daripada mereka menggunakan perkhidmatan ini untuk ke Putrajaya dan Cyberjaya.

Menteri Pengangkutan, Liow Tiong Lai, perlu menjelaskan mengapa beliau membenarkan ‘rompakan di siang hari’ dengan tidak menghalang KLIA Ekspres daripada meningkatkan kadar bayaran perkhidmatan sehala ke KLIA daripada RM35 kepada RM55

Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 2 Disember 2015

Menteri Pengangkutan, Liow Tiong Lai, perlu menjelaskan mengapa beliau membenarkan ‘rompakan di siang hari’ dengan tidak menghalang KLIA Ekspres daripada meningkatkan kadar bayaran perkhidmatan sehala ke KLIA daripada RM35 kepada RM55

Semalam, diumumkan bahawa kenaikan tambang KLIA Ekspres akan berkuatkuasa pada 1 Januari 2016. Harga tiket sehala daripada KL Sentral ke KLIA/KLIA2 akan meningkat menjadi RM55, iaitu sebanyak 57% atau RM20 daripada harga asal iaitu RM35. Peningkatan harga tiket ini bukan sahaja menjejaskan penumpang yang pergi ke KLIA dan KLIA2. Penumpang yang ingin pergi ke Putrajaya atau Cyberjaya dari KL Sentral juga akan mengalami peningkatan harga sebanyak RM4.50, iaitu lebih 47% dari harga asal RM9.50 kepada harga baru RM14.00. (Rujuk Lampiran 1 untuk perbandingan peningkatan tambang penuh).

Peningkatan harga yang mendadak ini perlu dijelaskan oleh Menteri Pengangkutan, Liow Tiong Lai, lebih-lebih lagi jika fakta-fakta berikut diambil kira.

Pertama, KLIA Ekspres telah menikmati peningkatan dalam jumlah pengguna iaitu anggaran 40% lebih pengguna sejak pembukaan sambungan KLIA2, hinggakan 6 unit tren baru ditempah pada penghujung tahun 2014.[1] Peningkatan jumlah penumpang sudah pasti menambahkan pendapatan KLIA Ekspres.[2] Selain itu, saya ingin mengingatkan rakyat Malaysia bahawa pembinaan sambungan KLIA2 yang berjumlah RM100juta ini ditanggung dan dibayar sepenuhnya oleh kerajaan.[3] Ini bermakna KLIA Ekspres dapat menikmati keuntungan kewangan, akibat daripada peningkatan jumlah penumpang tanpa perlu membelanjakan sebarang modal tambahan.

Kedua, KLIA Ekspres telah menandatangani perjanjian perlesenan jangka panjang dengan Perbadanan Aset Keretapi (PAK) untuk menggunakan laluan keretapi yang menghubungkan KL Sentral dengan KLIA dan KLIA2. Saya kurang percaya bahawa kadar perlesenan yang dibayar oleh KLIA Ekspress kepada PAK telah meningkat melebihi 50% untuk mewajarkan kenaikan tambang ini. Malahan, saya sangat tidak percaya bahawa kadar perlesenan dinaikkan pun. Oleh itu, Liow Tiong Lai harus mendedahkan terma perjanjian perlesenan antara PAK dan KLIA Ekspres demi kepentingan awam.

Ketiga, KLIA Ekspres menerima duit daripada sebahagian daripada cukai lapangan terbang yang dikumpul oleh Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB). Dalam jawapan Parlimen pada 2009, Menteri Pengangkutan pada ketika itu, iaitu Ong Tee Keat, telah mengesahkan bahawa RM5 daripada RM51 yang dikutip sebagai cukai lapangan terbang penerbangan antarabangsa dibayar kepada KLIA Ekspres. Cukai lapangan terbang kini adalah RM65 untuk penerbangan antarabangsa.[4] Adakah KLIA Ekspres masih menerima sebahagian daripada cukai tersebut? Adakah jumlah tersebut telah dinaikkan akibat daripada peningkatan cukai lapangan terbang? Jika ia, mengapa KLIA Ekspres perlu meningkatkan tambang dengan begitu tinggi? Liow Tiong Lai perlu menjelaskan.

Akhir sekali, saya berharap bahawa Menteri Pengangkutan tidak lupa bahawa landasan keretapi ekspres ke KLIA telah dibina dengan sokongan kerajaan yang besar termasuklah pinjaman RM940 juta daripada Bank Pembangunan dan Infrastruktur Malaysia Berhad. Saya juga berharap agar Menteri tidak lupa bahawa salah satu ahli daripada konsortium yang dianugerahkan kontrak pembinaan landasan ke KLIA berjumlah RM2.4bilion adalah Syarikat Pembinaan Yeoh Tiong Lay Sdn Bhd (SPYTL), sebuah anak syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh YTL Corporation Bhd. YTL Corporation juga merupakan pemilik majoriti bagi KLIA Ekspres. Ini bermakna YTL Corporation turut mengaut keuntungan daripada pembinaan landasan keretapi ke KLIA.

Peningkatan tambang yang terlalu tinggi oleh KLIA Ekspres ini merupakan satu lagi contoh sosialisasi kos dan ‘sikap lanun’ dalam mengaut keuntungan yang berlaku untuk kebanyakan projek di Malaysia.

Saya menggesa Liow Tiong Lai untuk menggantung kenaikan tambang KLIA Ekspres dan menjalankan siasatan terbuka bagi menentukan semakan kadar tambang yang munasabah. Bagi menjalankan perkara ini, Menteri perlu mendedahkan semua kandungan perjanjian konsesi 30 tahun dengan KLIA Ekspres, sebarang perjanjian konsesi tambahan yang ditandatangani hasil pembukaan sambungan KLIA2, segala kontrak penyelenggaraan yang dimiliki oleh KLIA Ekspres dengan syarikat lain seperti anak syarikatnya ERL Maintenance Support Sdn Bhd dan juga perlesenan jangka panjang antara KLIA Ekspres dan Perbadanan Aset Keretapi.

Dr. Ong Kian Ming
Ahli Parlimen Serdang

[1] http://www.railwaygazette.com/news/traction-rolling-stock/single-view/view/express-rail-link-orders-cnr-trains-for-50-capacity-increase.html

[2] The company which runs the ERL trains is Express Rail Link Sdn Bhd. When I use KLIA Express in this press statement, I am referring to the company, Express Rail Link Sdn Bhd.

[3] http://www.thestar.com.my/news/nation/2014/05/01/erl-construction-cost-to-be-borne-by-govt-says-hisham/

[4] http://english.astroawani.com/malaysia-news/klia2-mahb-and-govt-agreed-rm100-mil-erl-deal-analyst-34934