Pendidikan

37 posts

Menteri Sumber Manusia, Richard Riot, perlu menjelaskan perincian ijazah-ijazah beliau

Kenyataan Media oleh Ahli Parlimen Serdang Dr. Ong Kian Ming dan Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari di Parlimen pada 27 Jun 2013

Apabila didedahkan bahawa Datuk Richard Riot telah mendapat ijazah sarjana muda dan Ijazah Sarjana daripada kilang ijazah, Menteri menjawab dengan mengatakan bahawa beliau telah memperolehi Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dalam Pengurusan Sumber Manusia daripada University of Hertfordshire, London.[1]

Menteri juga dilaporkan telah berkata bahawa “beliau tidak tahu di mana Ong mendapat maklumat mengenai ‘ijazah palsu’ dan bahawa sumber maklumat itu tidak penting.”[2] Lampiran 1 di bawah menunjukkan bahawa ia adalah laman web Kementerian Luar Negeri yang menyenaraikan Richard Riot sebagai telah “memperolehi Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Chartered Institute of Business Administration (Ireland), Teoranta pada tahun 1994 dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Preston University, Amerika Syarikat.” [3] Pada 11:52, 26 Jun 2013, laman web Kementerian Luar Negeri masih menunjukkan biodata Richard Riot ini walaupun beliau tidak lagi Timbalan Menteri Luar Negeri.

Kami menyeru Menteri untuk menjelaskan mengapa Kementerian Luar Negeri, di mana beliau telah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri dalam penggal Parlimen sebelum ini, menyenaraikan kelayakan beliau sebagai sedemikian dan bukannya apa yang Menteri sebut bahawa beliau telah mendapat Ijazah Sarjana dan Ijazah Sarjana Muda dari University of Hertfordshire sepertimana yang dilaporkan dalam pelbagai laman online semalam (26 Jun 2013).

Jika Menteri memang memperolehi Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dalam bidang sumber manusia daripada University of Hertfordshire, maka kami menyeru kepada Menteri untuk menunjukkan kedua-dua Ijazah itu secara umum untuk menghapuskan apa-apa keraguan tentang kelayakan akademik beliau.

Kami juga ingin menyatakan bahawa laman web Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi tidak lagi menunjukkan butir-butir Menteri sekarang, Datuk ‘Dr’ Ewon Ebin pada 12.01, 27 Jun 2013.[4]

Kami melampirkan ‘Screenshot’ yang diambil daripada laman web MoSTI sebelum butir-butir ini dikeluarkan yang menunjukkan bahawa Menteri mendapat ijazah daripada Golden State University, Wyoming, Amerika Syarikat.

Kami menyeru Menteri, Datuk ‘Dr’ Ewon Ebin untuk menjelaskan sama ada beliau memperolehi Ijazah Sarjana dalam Pentadbiran Perniagaan (MBA) daripada Commonwealth Open University dan Doktor Falsafah dalam Pentadbiran Perniagaan (DBA) daripada Golden State University, Wyoming, Amerika Syarikat.

Akhir sekali, kami menyeru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, untuk meminta perletakan jawatan serta-merta salah seorang atau kedua-dua Menteri tersebut sekiranya mereka tidak ikhlas mengenai kelayakan pendidikan mereka, atau telah memperolehi ijazah ‘ragu’ daripada kilang ijazah.

Dr. Ong Kian Ming

Zairil Khir Johari

Lampiran 1: Screenshot latar belakang Richard Riot daripada laman web Kementerian Luar Negeri 

http://www.kln.gov.my/web/guest/deputy02 (Pada 11:43 malam, 26 Jun 2013)

Lampiran 2: Screenshot Latar Belakang Pendidikan Datuk ‘Dr’ Ewon Ebin, Menteri Sains, Teknologi dan Informasi (Sekarang Tidak Dijumpai)

Inikah transformasi apabila dua orang Menteri yang memegang ijazah palsu juga bertanggungjawab ke atas pembangunan sumber manusia di Malaysia?

Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang dan Zairil Khir Johari, Ahli Parlimen Bukit Bendera serta Julian Tan Kok Ping, Ahli Parlimen Stampin di Parlimen pada 26hb Jun 2013

 Ianya sungguh mengecewakan apabila pada hari pertama sesi untuk jawapan Menteri-Menteri dalam siding Parlimen pertama selepas berlangsungnya Pilihanraya Umum ke-13, didapati bahawa Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak telah melantik dua orang Menteri yang memegang ijazah yang disyaki palsu dan yang diperolehi daripada ‘kilang ijazah.’

Menteri pertama yang kami maksudkan ialah Richard Riot, bekas Timbalan Menteri Luar Negeri dan kini menjawat jawatan sebagai Menteri Sumber Manusia (MoHR). Menurut tulisan lepas di laman web Menteri Luar Negeri, beliau telah memperolehi Ijazah Saujana Muda dalam Pengurusan Perniagaan daripada Chartered Institute of Business Administration (Ireland), Teoranta pada 1994 serta Ijazah dalam Pengurusan Perniagaan daripada Preston University di Amerika Syarikat.

Namun kami gagal menemui sebarang laman web rasmi yang berkaitan dengan Chartered Institute of Business Administration (Ireland), Teoranta. Malah, mengikut laporan-laporan akhbar, Preston University merupakan universiti palsu yang sungguh ‘terkemuka’.[1]

Menteri kedua ialah “Dr” Ewon Ebin, Menteri untuk Sains, Teknologi dan Inovasi (MoSTI) yang baru. Mengikut laman web MoSTI, Ewon Ebin telah memperolehi Ijazah Doktor Falsafah dalam Pengurusan Perniagaan (DBA) daripada Golden State University, Wyoming.[2] Walaupun tidak disebut dalam laman web MoSTI, kami diberitahu bahawa Menteri telah memperolehi Ijazah dalam Pengurusan Perniagaan (MBA) daripada Commonwealth Open University di British Virgin Islands. Kedua-dua ‘institut’ ini telah disenaraikan sebagai ‘sekolah yang tidak diiktiraf dan juga ijazah yang tidak sah’ oleh kerajaan negeri Oregon dan Maine di Amerika Syarikat.[3]

Yang lebih ironinya, kedua-dua Menteri ini kini mengetuai kementerian masing-masing di mana pembangunan kapital manusia, akreditasi yang betul, persijilan dan pertarafan merupakan tanggungjawab utama. Sebagai contoh, Kementerian Pembangunan Sumber Manusia bertanggungjawab untuk “Mengkaji semula, mengemaskini dan membangunkan sukatan latihan kemahiran (NOSS), sistem pensijilan kemahiran (MOSQ) dan standard kemahiran bagi menyokong pelaksanaannya.”[4] Jabatan Pembangunan Kemahiran di bawah Kementerian Pembangunan Sumber Manusia bertanggungjawab mengurus jaminan kualiti dan akreditasi program Sijil Kemahiran Malaysia.[5]

Untuk MosTI, kementerian ini bukan sahaja bertanggungjawab memberi geran-geran bernilai berjuta-juta ringgit (ScienceFund, TechnoFund, InnoFund, NanoFund) malah ia bertanggungjawab melindungi dan mempertahankan hak harta intelek (IP). Salah satu agensinya, Jabatan Standard Malaysia, juga bertanggungjawab terhadap proses akreditasi untuk banyak makmal di seluruh Malaysia.[6]

Oleh itu, keputusan untuk mempertugaskan dua orang Menteri yang memegang ijazah palsu dengan tanggungjawab penting ke atas pembangunan kapital manusia dan pengurusan pensijilan dan pentarafan bukan sahaja perkara yang sungguh memalukan malah juga ironi bagi seorang Perdana Menteri yang melaungkan ‘transformasi’ dengan bangganya.

Pada bulan Februari tahun ini, Menteri Pendidikan Jerman Annette Schavan terpaksa meletak jawatan disebabkan pendedahan bahawa sebahagian daripada tesis ijazah doktor falsafahnya telah diplagiat. [7] Memandangkan bahawa pendedahan ini jauh lebih serius, kami menggesa Perdana Menteri Najib untuk segera meminta dua Menteri ini untuk meletak jawatan seandainya beliau benar-benar ingin mempertahankan integriti dan kredibiliti Kabinetnya.

Dr. Ong Kian Ming
Zairil Khir Johari
Julian Tan Kok Ping
26 Jun 2013

Saya menggesa kerajaan Barisan Nasional serta PDRM agar membebaskan aktivis mahasiswa Adam Adli dengan segera dan juga menghentikan segala jenis penindasan terhadap aktivis mahasiswa dan pemimpin belia

Kenyataan Media Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, di Kuala Lumpur pada 20hb Mei 2013

Pada 18hb Mei 2013, aktivis mahasiswa Adam Adli telah ditahan polis kononnya kerana beliau telah mengeluarkan kenyataan berniat menghasut. Kenyataan tersebut diucapkan beliau ketika di forum anjuran Suara Anak Muda Malaysia (SAMM) pada 13hb Mei 2013, di mana beliau telah menyeru orang ramai untuk ‘turun ke jalanraya’ demi membantah penipuan pilihanraya yang berlangsung semasa PRU13 yang lalu.[1]

Menurut SUARAM, Adam Ali kini direman selama 5 hari di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 124B Kanun Keseksaan.[2] Seksyen 4 Akta Hasutan melarang diskursi yang disifatkan berniat menghasut dan jika didapati bersalah, Adam mungkin dipenjarakan selama tempoh yang tidak melebihi 3 tahun, didenda jumlah wang tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali. Adam kini sedang ditahan di lokap Balai Polis Jinjang.

Saya tegas ingin mempersoalkan keputusan untuk menahan Adam Adli seseorang memandangkan ramai pemimpin rakyat lain yang aktif dalam kegiatan politik dan sosial telah juga menyuarakan ketidakpuashatian mereka terhadap keputusan PRU13 dan juga telah menyeru rakyat untuk turun menyertai perhimpunan protes, namun setakat ini mereka tidak disoalsiat, ditahan atau didakwa untuk kenyataan-kenyataan mereka. Malah beratus ribu warga Malaysia telah turut menyertai perhimpunan aman seperti “Himpunan Blackout” yang diadakan baru-baru ini namun mereka tidak disoalsiasat, ditahan atau didakwa oleh polis.

Pada pandangan saya, kerajaan BN seolah-olah bertindak menindas, mendakwa dan membuli para pemimpin belia dan aktivis mahasiswa, termasuk Adam Adli dan juga Nik Nazmi. Mungkinkah kerajaan BN bertindak sedemikian dengan tujuan menyampaikan mesej kepada belia Malaysia supaya tidak melibatkan diri dalam aktiviti aktivisme mahasiswa ataupun demokrasi akar umbi yang mencabar pemerintahan hegemonik mereka?

Di sini say ingin menegaskan bahawa penindasan yang bersifat prejudis ini membawa malu kepada rekod ‘Transformasi Politik’ dan impian ‘perdamaian kebangsaan’ yang dilaungkan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak. Semasa kempen PRU13, laman web 1Malaysia Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak dengan bangganya melaporkan bahawa beliau  sangat jelas dengan wawasan Malaysia sebagai sebuah negara “moden, progresif dan sentiasa memandang ke hadapan dalam mengamalkan demokrasi yang melindungi hak serta kebebasan rakyat.” Malah laman web 1Malaysia yang sama turut berkata dengan bangganya bahawa “[Sebelum pindaan yang dibuat kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti], mahasiswa tidak dibenarkan terlibat, meluahkan simpati, dan menyokong dalam apa jua persatuan, badan, persatuan pekerja, atau kumpulan termasuk parti politik ketika di luar kampus… [Selepas pindaan], mahasiswa boleh menjadi ahli parti politik atau menjadi ahli persatuan, badan atau parti politik ketika di luar kampus.”[3]

Saya ingin ikhlas bertanya, apakah gunanya membuat pindaan kepada AUKU yang jelas hanya bersifat kosmetik memandangkan bahawa aktivis mahasiswa masih ditindas hanya kerana mereka berani mempertahankan hak asasi dan menyuarakan pendapat mereka? Dapatkah Malaysia menjadi negara yang “moden, progresif dan sentiasa memandang ke hadapan dalam mengamalkan demokrasi yang melindungi hak serta kebebasan rakyat” jika suara anak-anak muda yang bakal menjadi pemimpin negara terus disekat?

Dengan ini saya menggesa Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak (Perdana Menteri Malaysia), Datuk Zahid Hamidi (Menteri Dalam Negeri Malaysia), dan Tan Sri Khalid Abu Bakar (Inspektor General Polis Diraja Malaysia) agar:

  1. SEGERA MEMBEBASKAN ADAM ADLI memandangkan bahawa kes tahanan beliau seolah-olah hanya bertujuan menyekat aktiviti aktivisme mahasiswa;
  2. MENGHENTIKAN SEGALA PENINDASAN terhadap Adam Adli dan semua aktivis mahasiswa dan belia di Malaysia;
  3. MENYOKONG DAN MENJAMIN HAK ASASI DAN HAK KEBEBASAN BERSUARA yang seharusnya dinikmati semua aktivis mahasiswa dan pemimpin belia.

Akhir sekali, saya menggesa kerajaan Barisan Nasional supaya bertindak cepat dan sewajarnya kerana rakyat Malaysia sedang memerhatikan kes ini dengan penuh teliti dan minat.