Ekonomi

52 posts

Pakatan Harapan (PH) memberi tawaran yang lebih adil dan lebih mampan kepada KTMB dan pekerjanya

Kenyataan Media oleh Pakatan Harapan pada 9 Ogos, 2017

Pakatan Harapan (PH) memberi tawaran yang lebih adil dan lebih mampan kepada KTMB dan pekerjanya

Perjanjian Akses Rangkaian Kereta Api (RNAA) adalah perjanjian antara KTMB dan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) di mana semua aset tanah dan ‘rolling stock’ KTMB akan dipindahkan ke RAC. Proses perjanjian ini sepatutnya diselesaikan pada tahun 2018.[1]

Pakatan Harapan menentang RNAA atas sebab-sebab berikut:

(i) Ini merupakan pintu belakang bagi kerajaan untuk memberi akses kepada syarikat kroni yang akan menggunakan rangkaian rel untuk mengambil alih perkhidmatan KTMB termasuk dalam perkhidmatan ‘freight and haulage’ yang terdiri daripada 42% jumlah hasil KTMB (RM216 daripada RM516 juta dalam Tahun Kewangan 2015).

(ii) Ini akan meningkatkan kos operasi untuk KTMB kerana RAC akan mengenakan caj kepada KTMB untuk penggunaan ‘rolling stock’.

(iii) RAC, dengan hanya 38 pekerja, tidak berkeupayaan untuk mengurus asetnya dengan baik termasuk penyelenggaraan stok dan trek. Kemungkinan besar tanggungjawab ini akan dikontrakkan kepada syarikat kroni lain.

KTMB telah mengalami kerugian terkumpul sebanyak RM855 juta dari tahun 2009 hingga 2015 kerana harga tiket yang rendah dan kontrak perolehan yang mahal. Sebagai contoh, KTMB membazirkan RM85 juta untuk kontrak sistem ‘Automatik Fare Collection’ (AFC) yang tidak dapat dilaksanakan. Pada awal tahun ini, Presiden KTM ketika itu, Datuk Sarbini Tijan, diminta ambil cuti sambil menunggu siasatan dalaman mengenai tawaran perolehan yang bernilai berjuta-juta ringgit.[2]

RAC juga gagal memperolehi keuntungan. Ia telah mengalami kerugian terkumpul sebanyak RM372 juta dari tahun 2009 hingga 2015. RAC tidak mempunyai kakitangan yang mencukupi untuk mengurus asetnya yang bernilai RM36 bilion (termasuk tanah) dengan baik. Kesilapan pengurusan pembayaran kontrak penyelenggaraan keretapi dilaporkan dalam laporan Ketua Audit Negara pada tahun 2013.[3]

Pakatan Harapan menawarkan perjanjian yang lebih adil kepada KTMB dan 6000 pekerjanya termasuk:

1) Membatalkan RNAA antara RAC dan KTMB

2) Memindahkan aset di RAC ke KTMB sebagai cara untuk memaksimumkan nilai aset tersebut. Saiz kecil RAC menghalangnya daripada menambahkan pendapatannya daripada sumber seperti ‘Transit-Oriented Development (TOD)’, pengiklanan serta penjualan barangan (‘retail’). Aset-aset ini perlu dipindahkan ke KTMB dan KTMB mesti dibenarkan untuk menambahkan kepakarannya dalam bidang-bidang ini. Ini akan membolehkan KTMB untuk mencapai keuntungan dan juga untuk mengurangkan keperluan untuk meningkatkan harga tiket.[4]

3) Mengkaji semula kos dan kesesuaian projek East Coast Rail Link (ECRL). Aset-aset di bawah ECRL iaitu ‘rolling stock’, trek, tanah dan stesen, tidak akan dimiliki oleh RAC ataupun KTM. Sebaliknya, ia akan dimiliki oleh sebuah syarikat yang baru diwujudkan, Malaysia Rail Line (MRL) Sdn Bhd, yang 100% dimiliki oleh Kementerian Kewangan. Ia telah dilaporkan bahawa perkhidmatan ECRL akan dijalankan oleh operator lain yang belum dinamakan lagi. Kos ECRL bukan sahaja sangat tinggi malahan kemungkinan besar operasinya akan diberikan melalui rundingan terus (‘direct negotiation’).

4) Melaksanakan tender terbuka untuk semua pembelian aset dan perkhidmatan oleh KTMB; dan

5) Tidak menswastakan KTMB

Dengan tawaran dasar-dasar baru tersebut, maka kita dapat mensasarkan KTMB menjadi sebuah syarikat yang kedudukan kewangannya kukuh dan berkeuntungan, memastikan para penngguna perkkhidmatan KTMB tidak dibebani peningkatan harga tambang keretapi dan juga menjamin kebajikan dan keselamatan ribuan pekerja KTMB pada masa akan datang.

Tan Sri Muhyidddin Yassin, Presiden BERSATU
Liew Chin Tong, Ahli Parlimen Kluang
Dato’ Abdullah Sani bin Abdul Hamid, Ahli Parlimen Kuala Langat
Dr. Hatta Ramli, Ahli Parlimen Kuala Krai

Gambar pemimpin Pakatan Harapan bersama dengan wakil Railwaymen Union Malaysia (RUM) termasuk Presiden RUM, Encik Abdul Razak

[1] http://www.theedgemarkets.com/article/transport-ministry-says-agreement-will-not-cost-4000-job-losses-ktmb

[2] http://tonypua.blogspot.my/2011/01/ktmb-rm85m-contract-to-company-without.html dan http://ongkianming.com/2015/08/22/press-statement-prime-minister-najib-should-look-at-the-failure-of-the-automatic-fare-collection-afc-system-rather-than-asking-for-new-ktm-ticket-counters-to-be-added/

[3] http://www.thestar.com.my/business/business-news/2017/01/11/rail-controversy/

[4] http://english.astroawani.com/business-news/highlights-auditor-generals-report-2013-series-2-37880

Data terbuka dan penggubalan dasar di Malaysia

(Artikel ini boleh dibaca di Kolumn Penang Institute in KL dalam Malaysian Insight, 26 Jun 2017)

Semasa di pelancaran Malaysia Economic Monitor edisi Jun[1] awal bulan ini, Pengarah Negara Bank Dunia bagi Asia Tenggara, Ulrich Zachau, telah menggesa agar lebih data didedahkan supaya ianya boleh digunakan bagi menggubal dasar yang lebih baik.[2] Beliau telah menyebut contoh di mana GRAB, sebuah penyedia perkhidmatan e-hailing, berkongsi datanya dengan kerajaan demi mencari jalan untuk menguruskan keadaan lalu lintas dengan lebih cekap.

Dengan kemunculan ‘big data’ ditambah dengan bidang ekonomi perilaku (‘behavioural economics’), ‘nudge unit’ (unit pendorong) telah ditubuhkan oleh kerajaan-kerajaan di seluruh dunia khususnya untuk menggunakan insentif dasar bagi mengubah tingkah laku dan menggunakan pendekatan berasaskan data bagi menganalisis keberkesanan dasar-dasar ini[3]. Cass Sunstein, pengarang bersama buku “Nudge” yang amat laris jualannya, telah direkrut oleh Presiden Obama untuk menjalankan sebuah ‘nudge unit’ di bawah pentadbirannya, dan mungkin adalah penyokong pendekatan dasar ini yang paling dikenali ramai.

Walaupun istilah ‘big data’ seringkali digunakan sebagai istilah popular oleh penggubal dasar dan ahli politik, namun ramai tidak mengetahui apa sebenarnya ‘big data’ dan bagaimana ia boleh digunakan. Hakikatnya, ramai penggubal dasar sendiri tidak sedar bahawa ekosistem data di Malaysia, terutamanya berkenaan analisa data, sungguh kurang maju.

Walaupun terdapat pelbagai agensi kerajaan yang mengumpul banyak data dan maklumat, namun tidak semua data tersebut diterbitkan. Satu kajian oleh Bank Dunia telah mendapati bahawa prestasi tahap keterbukaan data Malaysia berhubung dengan KDNKnya adalah kurang memuaskan.[4] Kajian yang sama juga menunjukkan hubungkait antara skor keterbukaan data sesebuah negara dengan nisbah penerbitan dan pemetikannya. Semakin tinggi skor keterbukaan data sesebuah negara, maka semakin tinggi bilangan penerbitan akademiknya (lihat Rajah 4 di bawah).

Ini bertepatan dengan pengalaman ahli akademik di Malaysia dalam mengakses data terutamanya pada peringkat data yang lebih terperinci. Sebagai contoh, walaupun Jabatan Perangkaan mempunyai data tahap individu dalam Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah, namun data tersebut tidak diterbitkan kepada awam yang akan membolehkan ahli-ahli akademik mengkaji angka-angka tersebut dengan lebih teliti lalu menerbitkan penemuan mereka. Kebimbangan tentang privasi data yang dikeluarkan dapat diatasi dengan mudah dengan menyembunyikan identiti individu data ini.

Dalam kes di mana sesetengah data boleh didedahkan kepada awam, data ini biasanya dijual dengan harga yang mahal. Sebaliknya, data tahap individu daripada banci sepuluh tahunan Amerika Syarikat dikeluarkan kepada orang awam dan merupakan alat yang sangat berguna bagi saintis sosial yang boleh digunakan dalam penulisan dan analisa akademik mereka.

Kebelakangan ini, terdapat beberapa usaha yang dilakukan bagi mempertingkatkan ekosistem data di Malaysia. Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) berada di barisan hadapan dalam memperjuangkan penggunaan ‘big data’ terutamanya di sektor swasta. Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) sedang mempelopori inisiatif bagi mengumpulkan penerbitan data kerajaan secara berpusat di www.data.gov.my. Di acara Bank Dunia baru-baru ini, Rahman Dahlan, Menteri yang bertanggungjawab terhadap Unit Perancang Ekonomi. telah menyeru supaya data dikumpulkan di tahap yang lebih terperinci dan bersifat setempat termasuk mengikut kawasan Parlimen.

Kerajaan Pulau Pinang sedang menyumbang usahanya dengan mengeluarkan maklumat terperinci mengikut peringkat negeri di data.gov.my termasuk menyenaraikan kesemua 201 kedai nasi kandar di negeri tersebut![5] Penang GIS Cemter (PEGIS) juga ditubuhkan bagi memudahkan akses GIS dan pemetaan untuk pengguna-pengguna, termasuklah perniagaan yang mahu ‘tag’ lokasi mereka pada peta PEGIS serta penggemar sukan berbasikal yang mahu ‘tag’ laluan basikal kegemaran mereka[6].

Selain daripada isu pengaksesan data, Malaysia juga ketinggalan dari segi tenaga kerja iaitu jumlah pakar berpengetahuan yang dapat memahami dan menganalisis ‘big data’ dengan secukupnya. Analisa oleh Bank Dunia menunjukkan bahawa di Malaysia hanya 13.4% daripada tenaga kerja dalam bidang statistik berada di peringkat ‘pengurusan’ berbanding dengan 67.5% di negara-negara maju (lihat rajah di bawah).

Bagi membina ekosistem data yang lebih kondusif, kita bukan sahaja memerlukan data yang lebih. Kita juga memerlukan tenaga kerja yang mampu menggunakan data ini dengan sepenuhnya dan menggubal dasar-dasar yang lebih baik. Sebagai contoh, sepasukan saintis data, ahli akademik dan pekerja sosial boleh bekerjasama untuk menilai keberkesanan pembayaran BR1M sepanjang tempoh 5 tahun lepas dan bagaimana ia dapat ditambah baik. Pihak Berkuasa Tempatan boleh menggunakan data daripada WAZE untuk membaiki lubang jalan dalam tempoh yang lebih singkat[7].  Dengan itu, apabila ahli politik atau penggubal dasar bercakap mengena ‘big data’, tanyalah kepada beliau bagaimana data ini boleh dianalisa dan digunakan untuk menambah baik dasar-dasar awam.

Dr. Ong Kian Ming merupakan Pengurus Besar Penang Institute di KL. Beliau boleh dihubungi melalui im.ok.man@gmail.com

[1] http://documents.worldbank.org/curated/en/993771497248234713/Malaysia-economic-monitor-data-for-development

[2] http://www.theedgemarkets.com/article/agencies-be-compelled-share-data-after-statistics-law-review

[3] http://www.economist.com/news/international/21722163-experimental-iterative-data-driven-approach-gaining-ground-policymakers-around

[4] http://documents.worldbank.org/curated/en/886041494335634817/Open-data-differences-and-implications-across-countries

[5] http://www.data.gov.my/data/ms_MY/organization/penang-state-government

[6] http://pegis.penang.gov.my/story_map/sm_bicycletrails/

[7] https://selangorkini.my/en/2016/10/smart-road-maintenance-report-using-waze/

10 Soalan Mengenai Skim Insurans Pekerjaan (SIP)

Kenyataan Media oleh Pakatan Harapan pada April 28, 2017 mengenai Skim Insurans Pekerjaan (SIP)

10 Soalan Mengenai Skim Insurans Pekerjaan (SIP)

Menjelang Hari Pekerja yang berlangsung pada 1 Mei, kami mengiktiraf sumbangan golongan pekerja di Malaysia terhadap negara. Skim Insurans Pekerjaan (SIP) yang dicadangkan oleh Perdana Menteri, yang dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada sidang Julai / Ogos 2017, mempunyai potensi untuk membantu golongan pekerja Malaysia melalui proses peralihan apabila mereka hilang pekerjaan. Namun memandangkan butiran skim ini belum didedahkan dan tiada jawatankuasa parlimen yang ditubuhkan untuk meneliti isu pekerjaan, tenaga kerja dan ekonomi, masih tinggal banyak soalan yang perlu ditanya mengenai SIP.

Di sini, kami membangkitkan 10 soalan untuk dijawab agar kami boleh lebih yakin bahawa SIP akan menjadi satu program yang berkesan dalam membantu pekerja di negara kita.

1)                  Pampasan pemberhentian telah pun dinyatakan dalam Akta Kerja 1955 dan Peraturan Kerja (Faedah-faedah Penamatan dan Rentikerja Sentara) 1980. Adakah pampasan pemberhentian masih terus dibayar oleh majikan selepas SIP diperkenalkan? Adakah kebajikan pekerja-pekerja akan lebih merosot dalam jangka masa panjang jika faedah pemberhentian dipotong / dihapuskan sebagai sebahagian daripada pakej untuk memperkenalkan SIP?

2)                  Anggaran jumlah yang dikumpul adalah antara RM700 juta hingga RM800 juta setahun (berdasarkan sumbangan 0.25% daripada majikan dan pekerja, 6.5 juta pekerja, gaji RM2000). Berapa banyak kos pentadbiran? Adakah ianya akan setinggi 25% daripada jumlah yang dikumpul, seperti yang diagak oleh beberapa laporan?

3)                  Memandangakan SIP adalah skim insurans seperti PERKESO, adakah ini bermakna bahawa pekerja-pekerja tidak akan mendapatkan kembali dana ini jika mereka tidak diberhentikan dalam seumur hidup mereka? Berapa banyak pendapatan boleh guna yang akan diambil skim SIP daripada seseorang pekerja dalam sepanjang hayat mereka?

4)                  Bagaimanakah dana SIP akan diuruskan? Adakah ia akan diuruskan dengan cara yang sama seperti dana PERKESO yang telah menghasilkan pulangan yang, secara purata, lebih rendah daripada pulangan KWSP?

5)                  Salah satu tujuan SIP adalah untuk membantu memberi latihan semula dan latihan kemahiran kepada pekerja yang hilang pekerjaan. Bagaimanakah program-program latihan semula dan kemahiran ini akan berbeza daripada program-program kerajaan yang sedia seperti Skim Latihan 1 Malaysia (SKIM) dan lain-lain? Kerajaan perlu menyediakan hujah yang meyakinkan bahawa peruntukan skim latihan semula di bawah SIP akan lebih berkesan daripada program-program semasa.

6)                  Terdapat skim latihan sedia ada yang disediakan dan dibayar oleh jumlah dana yang dipungut daripada majikan dan diuruskan oleh Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia (HRDF). Terdapat banyak laporan bahawa lebih daripada RM100 juta dana ini masih belum digunakan oleh majikan bagi tujuan latihan semula. Bolehkah skim HRDF yang sedia ada digunakan dengan lebih baik untuk tujuan latihan semula? Apakah jaminan bahawa skim SIP yang dicadangkan ini tidak akan menjadi seperti skim HRDF di mana adanya banyak dana yang tidak digunakan yang tidak dimasukkan ke dalam skim latihan semula?

7)                  Laporan awal menunjukkan bahawa hanya pekerja-pekerja yang sedang dilindungi oleh PERKESO iaitu mereka yang berpendapatan kurang daripada RM4000 sebulan akan layak untuk skim SIP ini. Namun kini ramai pekerja berpendapatan sederhana juga diberhentikan kerja termasuk di industri kewangan dan industri minyak dan gas. Apakah jenis rancangan dan program yang dipakai oleh kerajaan untuk membantu pekerja-pekerja ini yang berada dalam kategori M40?

8)                  Anggaran oleh kesatuan sekerja-kesatuan sekerja Malaysia menunjukkan bahawa pekerja-pekerja hilang antara RM50 juta hingga RM100 juta setahun disebabkan oleh pampasan hilang apabila syarikat bankrap. Namun RM700 juta hingga RM800 juta akan dikutip daripada skim SIP, di mana separuhnya datang daripada pekerja-pekerja. Adakah pendekatan ini berkesan dalam menyelesaikan isu pampasan hilang ini?

9)                  Salah satu sebab utama mengapa pekerja di peringkat bawahan spektrum ekonomi hilang pekerjaan mereka adalah kerana majikan memberi keutamaan kepada pekerja asing. Jika kerajaan tidak mempunyai pelan yang komprehensif untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja-pekerja asing, sejauh mana keberkesanan skim SIP? Semudah mana pekerja-pekerja yang telah hilang pekerjaan mereka untuk mencari pekerjaan baru, terutamanya apabila mereka perlu bersaing dengan pekerja-pekerja asing yang dibayar lebih rendah?

10)              Beberapa negara di Asia yang mempunyai skim insurans pekerjaan juga menggunakan sumbangan kerajaan untuk skim ini (Thailand – 0.25%, Taiwan – 0.1%, Vietnam – 1%). Adakah kerajaan telah mempertimbangkan untuk turut memberi sumbangan sendiri kepada skim ini untuk mengurangkan beban kewangan ke atas para majikan serta pekerja?

Dr. Ong Kian Ming, DAP

Sim Tze Sin, PKR

Dr Dzulkifli Ahmad, AMANAH

Dr Rais Hussin, BERSATU