Alam Sekitar

33 posts

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, G. Palanivel, perlu menjawab isu-isu serius yang dibangkitkan oleh Program Timur Al-Jazeera 101 “The Return of the Lizard King”

Kenyataan Media oleh Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 29 November, 2013 di Kuala Lumpur

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, G. Palanivel, perlu menjawab isu-isu serius yang dibangkitkan oleh Program Timur Al-Jazeera 101 “The Return of the Lizard King”

Program Timur Al-Jazeera 101 – “The Return of the Lizard King” – telah ditayangkan pada 21hb November 2013[1] dan ia telah menimbulkan banyak isu serius yang perlu dijawab oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, G. Palanivel, misalnya:

(1)    Selepas Anson Wong ditangkap pada Ogos 2010 kerana mengangkut hampir 100 ular ‘boa constrictor’, PERHILITAN telah menyerbu ‘santuari reptilia’ Wong di Teluk Bahang dan mengeluarkan 50 ekor haiwan liar dari tempat tersebut. Apakah sebab Anson Wong tidak didakwa memandangkan tempat itu telah disahkan sebagai ‘santuari reptilia’ beliau?

(2)    Apabila Anson ditahan pada Ogos 2010, komputer riba dan 3 telefon beliau telah dirampas. Kemungkinan besar bahawa peralatan tersebut mengandungi maklumat penting yang berkaitan dengan aktiviti penyeludupan haiwan liar beliau, termasuk maklumat tentang kenalan-kenalan yang mungkin bekerja dalam PERHILITAN. Apakah hasil penyiasatan ini?

(3)    Pada tahun 2010, seorang pelajar bernama Sarah Sahondrarisoa, yang telah ditonjolkan dalam program Al-Jazeera, telah berkata bahawa dia dibayar oleh Anson Wong untuk mengangkut beg yang mengandungi haiwan liar ke dalam Malaysia. Sarah telah ditangkap semasa lawatan kedua ke Malaysia dan dijatuhi hukuman penjara selama 8 bulan di mana dia melahirkan bayi di dalam penjara. Apakah sebab Anson Wong tidak disiasat dan didakwa berdasarkan bukti dan testimoni yang diberikan oleh Sarah termasuk telefon yang dirampas yang mengandungi nombor-nombor dan gambar-gambar?

(4)    Premis Rona Wildlife, di No.125X , Desa Tanjong, Jalan Tanjong Tokong, 10470 Georgetown, Pulau Pinang, telah dibangkitkan dalam program ini dan ular sawa albino dan ular kapak ditemui Steve Chao di premis tersebut. Walaupun pemilik berdaftar Rona Wildlife bukan Wong atau isterinya, namun pekerja Rona telah dirakamkan mengakui bahawa Anson Wong merupakan bosnya. Sesungguhnya, pengakuan ini adalah asas kukuh bagi PERHILITAN untuk melawat, jika tidak menyerbu premis tersebut seperti yang dibenarkan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010. Dalam jawapan yang dikeluarkan hari ini[2], PERHILITAN telah berkata bahawa “Berdasarkan pemeriksaan kami, pemilik berdaftar Rona Wildlife adalah Radamani Govindan. Anson Wong tidak disenaraikan sebagai pemilik, pemegang saham atau ahli lembaga syarikat itu.” PERHILITAN juga mendakwa bahawa “pemeriksaan fizikal dan pemeriksaan pematuhan telah dijalankan secara berkala di premis Rona Wildlife.” Namun, saya telah memeriksa laman web Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) malam semalam dan mendapati bahawa Radamani Govindan telah meletak jawatan sebagai pemilik pada 4 Julai 2013 dan telah digantikan dengan Muthukomar A/L Kuppan. Jika maklumat PERHILITAN sudah lapuk selama 4 bulan, dapatkah kita percaya bahawa PERHILITAN mengadakan pemeriksaan pematuhan berkala terutamanya apabila video program Al-Jazeera yang jelas menunjukkan ular albino telah difilemkan pada bulan November lalu?

(5)    Program ini juga telah menunjukkan 3 ‘kucing serval’ di ‘santuari reptilia’ Telok Bahang reptilia dan kucing ini disenaraikan di bawah Lampiran II Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam (CITES). Bukti ini sahaja seharusnya mencukupi untuk PERHILITAN untuk menyerbu kawasan itu.

(6)    Perhilitan mendakwa bahawa semua lesen perniagaan dan jualan hidupan liar yang dimiliki oleh Anson dan isterinya telah dibatalkan pada 2010. Namun, semua syarikat-syarikat mereka, iaitu Sungai Rusa Wildlife, CBS Wildlife, dan Bukit Jambul Reptile Sanctuary menyenaraikan aktiviti perdagangan hidupan liar sebagai perniagaan mereka.[3]

(7)    Jika PERHILITAN dan Menteri serius ingin menghentikan aktiviti penyeludupan hidupan liar haram Anson Wong dan isterinya, mengapakah ia tidak menggunakan kuasa di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 untuk menyerbu semua hartanah yang dimiliki Anson dan isterinya untuk menyiasat sama ada terdapat hidupan liar yang disembunyikan di sana?

(8)    Dalam program Al-Jazeera, Menteri Palanivel berkata bahawa beliau akan bertindak tegas terhadap gejala rasuah dalam Kementerian beliau. Oleh itu, beliau seharusnya memaklumkan orang ramai tentang hasil siasatan SPRM ke atas PERHILITAN selepas Anson Wong ditangkap pada tahun 2010.

Ketika ditemubual oleh Steve Chao, Menteri G. Palanivel mengakui bahawa beliau langsung tidak mengetahui siapa Anson Wong sebelum hari tersebut meskipun Wong telah digambarkan sebagai ‘Pablo Escobar penyeludupan hidupan liar’ dan ‘terkenal’ di seluruh dunia termasuk Jabatan Hidupan Liar Amerika Syarikat yang telah mengadakan satu ‘operasi menyengat’ khas untuk menangkap Anson Wong di Mexico pada tahun 1999. Saya menggesa Menteri G. Palanivel untuk mengadakan siasatan menyeluruh untuk mengetahui bagaimana Anson Wong telah dibenarkan meneruskan aktiviti beliau dalam memelihara dan memperdagangkan hidupan liar walaupun lesennya telah dibatalkan oleh PERHILITAN pada tahun 2010 serta menjawab soalan-soalan yang telah dikemukakan di atas.

Dr. Ong Kian Ming

Ahli Parlimen Serdang

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan perlu memberi jaminan bahawa pilihan insinerator bukan pilihan ‘lalai’ walaupun adanya tender terbuka antarabangsa

Kenyataan Media oleh Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, 25 November, 2013 di Kuala Lumpur

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan perlu memberi jaminan bahawa pilihan insinerator bukan pilihan ‘lalai’ walaupun adanya tender terbuka antarabangsa

Hari ini, sekumpulan rakyat prihatin dari kawasan Kepong, yang dipimpin oleh NGO Kuala Lumpur Tak Nak Insinerator (KTI), telah berarak dari Taman Sri Murni di Kepong sepanjang jalan ke Parlimen, dengan berjalan kaki lebih daripada 15 km. Mereka amat bimbang terhadap cadangan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk membina sebuah insinerator 1000 tan / hari di Taman Beringin, Kepong yang merupakan kawasan yang padat dengan penduduk. Kebimbangan ini termasuk: pembebasan dioksin beracun sebagai sebahagian daripada proses pembakaran, kos yang tinggi untuk membina dan meyelenggara insinerator dan kemungkinan besar harga hartanah akan jatuh akibat daripada pembinaan insinerator dalam kawasan ini.

Pada 12hb November, Menteri Dato’ Abdul Rahman Dahlan telah berkata di Parlimen bahawa selepas Sesi Penyelesaian Masalah Menteri yang telah diadakan dengan Perdana Menteri, telah diputuskan bahawa semua pilihan teknologi akan diterima untuk tender antarabangsa terbuka. Pada 18hb November, Dato’ Dr. Nadzri Yahaya, Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara di bawah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah mengesahkan dalam taklimat beliau kepada penduduk Kepong bahawa teknologi ini akan termasuk pilihan selain daripada incinerator seperti Penghadaman Anaerobik dan Kemudahan Pemulihan Bahan (MRF).

Saya menyeru Menteri untuk memberi jaminan kepada orang ramai, terutamanya penduduk Kepong yang akan paling terjejas oleh pembinaan kilang sisa-kepada-tenaga ini, tentang perkara berikut:

i)                 Bahawa terma-terma rujukan bagi tender antarabangsa terbuka untuk pilihan sisa-kepada-tenaga akan didedahkan secara umum dan tidak akan berat sebelah terhadap pilihan insinerator

ii)                Bahawa semua tawaran untuk pilihan ‘sisa-kepada-tenaga’ akan didedahkan secara umum supaya tawaran ini dapat diteliti secara awam

iii)               Bahawa jika Penilaian Kesan Alam Sekitar Terperinci (DEIA) menunjukkan bahawa mana-mana teknologi yang dipilih tidak sesuai, maka kaedah ‘sisa-kepada-tenaga’ daripada bida antarabangsa tidak akan dilaksanakan

Setakat ini, Menteri tidak telus sepenuhnya mengenai proses pembidaan, terma rujukan tawaran, kos anggaran dan maklumat lain yang relevan berkaitan dengan kaedah sisa-kepada-tenaga ini.

Jika Menteri gagal memberikan jaminan ini, ia hanya akan meningkatkan rasa ketidakpercayaan di kalangan penduduk Kepong dan juga Lembah Klang bahawa proses pembidaan antarabangsa terbuka dan DEIA yang berikutnya hanya merupakan ‘cap getah’ demi meluluskan pembinaan membina insinerator di Taman Beringin.

Dr. Ong Kian Ming

Ahli Parlimen Serdang

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Abdul Rahman Dahlan, mesti menjelaskan bahawa insinerator hanya salah satu daripada banyak pilihan pelupusan sampah di stesen pemindahan Taman Beringin di Kepong

Kenyataan Media oleh Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 19 November 2013

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Abdul Rahman Dahlan, mesti menjelaskan bahawa insinerator hanya salah satu daripada banyak pilihan pelupusan sampah di stesen pemindahan Taman Beringin di Kepong

Pada petang 18 November semalam, Dato’ Dr Nadzri Yahaya iaitu Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara di bawah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah mengejutkan penduduk Kepong apabila beliau berkata bahawa telah ‘mengelirukan’ Menteri dengan memberikannya tanggapan bahawa membina insinerator adalah satu-satunya pilihan yang ada di stesen pemindahan sisa Taman Beringin, Kepong. Menurut beliau, inilah sebab mengapa Menteri iaitu Dato’ Abdul Rahman Dahlan telah menegaskan bahawa tender terbuka telah pun diadakan pada bulan September untuk insinerator di Taman Beringin.

Sebaliknya, dalam taklimat beliau kepada penduduk Kepong di Pusat Komuniti Jinjang Utara, Dato’ Dr Nadzri Yahaya telah memberitahu para hadirin bahawa tender terbuka untuk kemudahan ‘sisa-kepada-tenaga’ meliputi tiga pilihan yang berikut:

i)                 Loji Rawatan Haba dalam bentuk loji insinerator, loji pengegasan atau loji pirolisis

ii)                Pencerna anaerobik untuk sisa organik

iii)               Bahan Api Janaan Sampah (RDF) atau Kemudahan Pemulihan Bahan (MRF)

Pada masa yang sama, Dato’ Dr Nadzri juga telah memberi jaminan bahawa semua bidaan untuk pilihan yang berbeza, dari pembida tempatan serta antarabangsa, akan diumumkan secara awam supaya orang ramai boleh menilai sendiri sama ada pilihan terbaik telah dipilih.

Dato’ Dr Nadzri juga telah berkata bahawa bidaan akan dinilai berdasarkan ‘teknik-teknik terbaik yang tidak merangkumi kos berlebihan’ (BATNEEC) dan teknologi tersebut mestilah terbukti mesra alam dan berkesan kos.

Beliau juga menyebut bahawa Penilaian Kesan Alam Sekitar Terperinci (DEIA) akan dijalankan untuk tempoh sembilan bulan selepas pilihan kemudahan ‘sisa-kepada-tenaga’ telah dibuat.

Memandangkan pengumuman ini telah pun dibuat oleh Dato’ Dr Nadzri, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Abdul Rahman Dahlan, hendaklah segera menjelaskan bahawa loji insinerator tidak semestinya akan dibina di Taman Beringin, Kepong malah ia hanya salah satu daripada pilihan yang tersedia. Beliau juga perlu mengesahkan bahawa tender terbuka untuk projek ini adalah terbuka kepada semua pilihan yang disebut oleh Dato’ Dr Nadzri, di mana loji insinerator hanya salah satu daripada pilihan yang ada. Pada masa yang sama, Menteri juga perlu memberi jaminan kepada orang ramai bahawa semua butiran tender untuk projek ini akan dibekalkan secara awam. Akhirnya, Menteri hendaklah memberi jaminan kepada penduduk Kepong bahawa jika DEIA mendapati bahawa pilihan kemudahan yang dibuat tidak sesuai untuk keadaan di sana, maka cadangan pembinaan loji ‘sisa-kepada-tenaga’ akan dimansuhkan.

Desakan Menteri bahawa insinerator akan dibina di Taman Beringin telah mewujudkan banyak kesangsian dan rasa tidak puas hati di kalangan penduduk Kepong. Jika Menteri ingin membina semula kepercayaan yang telah hilang ini, adalah penting untuk beliau memberi penjelasan yang sewajarnya terhadap kata-kata Dato’ Dr Nadzri yang telah disampaikan kepada penduduk Kepong dalam taklimat semalam.

Dr. Ong Kian Ming

Ahli Parlimen Serdang