• Menyambut Hari Raya AidilFitri yang Penuh Bermakna

    Menyambut Hari Raya AidilFitri yang Penuh Bermakna (Ogos 7, 2013)

    Sambutan Hari Raya pada tahun ini penuh bermakna pada diri saya. Selain daripada baru dipilh menjadi Ahli Parlimen di kawasan yang mempunyai lebih 50,000 pengundi berbangsa Melayu, ini merupakan Hari Raya pertama di mana saya telah berpuasa pada bulan suci Ramadan.[1] Saya bukan sahaja telah mendapat faedah fizikal dan rohani malah saya juga telah berpeluang untuk merasai sendiri cabaran dan perasaan perpaduan dengan sebuah komuniti yang besar. Saya berbesar hati menyambut peluang tersebut dan telah banyak yang saya pelajari. Malang begitu sekali peluang kemasan ini yang telah boleh dipraktikkan  pada peringkat nasional untuk menyemai kefahaman dan perpaduan hilang akibat kepentingan politik.

    Ramai yang telah bertanya kepada saya kenapa saya berpuasa? Adakah ianya merupakan satu sandiwara politik? Sebenarnya saya telah pun berpuasa  pada bulan-bulan Ramadan sebelum ini di mana saya telah mengehadkan hanya sekali makan dalam sehari dengan pengambilan air tidak dikecualikan.[2] Pada ketika itu saya berpuasa untuk melatih ketahanan diri dan juga untuk  mengalami apa yang seorang Muslim lalui ketika berpuasa. Sebagai seorang Kristian, saya berasa saya telah lupa akan tanggungjawab untuk sembahyang dan berpuasa.[3] Bila lagi peluang terbaik untuk berpuasa kalau bukan ketika bulan suci Ramadan bersama 60% populasi Malaysia?

    Pada kali ini, saya mengambil keputusan untuk berpuasa lengkap seperti seorang Muslim iaitu bangun sahur pada pukul 5 pagi dan tidak mengambil sebarang makanan atau minuman sehingga waktu berbuka pada 7.30 malam. Sebab saya berpuasa lengkap mudah – saya hanya dapat merasai pengalaman seorang Muslim sekiranya saya berpuasa seperti mereka. Justeru puasa tersebut.

    Saya pada mulanya menganggap susah untuk tidak minum air lebih dari 12 jam terutamanya dengan tanggungjawab saya sebagai seorang Ahli Parlimen untuk berucap di parlimen – parlimen berseisi selama seminggu ketika Ramadan – dan berinteraksi dengan penduduk kawasan, media dan pelbagai jenis individu lain dalam sehari. Akan tetapi badan saya sekian lama dapat menyesuaikan diri dan saya dapat bertahan tanpa meminum air pada siang hari.

    Saya mengaku saya memang berasa penat pada ketengahan hari dan tidak bermaya satu atau dua jam sebelum berbuka. Tetapi cabaran saya bukan setakat itu sahaja, saya juga harus jelaskan pada rakan-rakan saya yang bukan Muslim akan sebab saya berpuasa dan juga melihat mereka makan pada waktu yang sama. Kebanyakan mereka memahami niat saya tetapi ada juga di antara mereka yang was-was dengan saya walaupun setelah mendengar penjelasan saya.

    Saya mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada rakan-rakan Muslim saya di Twitter, Facebook dan juga di kawasan saya kerana kebanyakan mereka tidak pernah bertemu dengan orang bukan Muslim yang berpuasa dengan relanya ketika Ramadan. ADUN Bangi dari PAS, Ustaz Shafie Ngah terutamanya amat memberangsangkan apabila beliau berkata beliau akan berdoa untuk saya mendapat kekuatan untuk berpuasa di bulan Ramadan ini.

    Bila saya berbuka di masjid dan surau di kawasan parlimen saya, saya dapat merasa hubungan silatuhrahim yang terjalin antara ahli komuniti tersebut. Kesederhanaan berbuka puasa di surau dan masjid merupakan satu pengalaman yang membuka mata saya berbeza dengan berbuka di hotel-hotel mewah di mana pembaziran  dan keterlebihan merupakan suatu perkara biasa. Hubungan ini menjadi lebih kukuh apabila duit raya, beras dan milo diberikan kepada keluarga miskin dan ibu tunggal oleh qariah suaru dan masjid. Saya juga berkesempatan untuk berkunjung dan memberi bantuan kepada sebuah keluarga di mana salah seorang anak dalam keluarga tersebut lumpuh separuh badan akibat kecuaian penjaga. Ianya memang telah membuat saya berasa hiba letika itu.

    Suatu lagi pengalaman berharga yang saya peroleh adalah ketika tinggal dengan sebuah keluarga Melayu untuk program ‘Anak Angkat’ DAP di bulan puasa di mana saya dapat berkenal dengan seorang remaja bernama Muhaimin, seorang pelajar kulinari di UniKL dan juga pemain tegar DOTA.  Saya dapat mengenali Muhaimin dan keluarga dengan lebih mendalam apabila mereka menceritakan kepada saya pengalaman mereka membesar dan berpindah dalam Malaysia.  Saya juga berpeluang untuk makan malam bersama kawan-kawan sekolah Muhaimin, salah satunya merupakan Umar Mohd Azmi, aktivis pelajar yang didakwa menghalang anggota DBKL melakukan tanggungjawabnya ketika serbuan terhadap “Occupy Dataran” yang berlaku sebelum protes Bersih 3.0.[4]

    Saya tidak mungkin dapat melalui bulan puasa tanpa sokongan isteri tersayang saya yang bangun pada 5 pagi setiap hari untuk menyediakan sahur yang berkhasiat untuk kami berdua. Buah-buahan, roti bersama Nuttela, bubur dan oats merupakan rutin harian kami ketika bulan puasa tersebut.

    Walaupun begitu, saya masih terlepas 5 hari berpuasa. Hari pertama ketika saya berada di Kota Kinabalu untuk memberi testimoni sebagai saksi dalam ‘Royal Commision of Inquiry (RCI) on Immigration’.[5] Matahari terbit lebih awal berbanding dengan Semenanjung Malaysia menyebabkan saya terpaksa bangun pada pukul 3 pagi untuk sahur. Sahur disediakan kerana saya menetap di hotel Tabung Haji ketika itu. Kekurangan tidur, persediaan untuk testimoni dan sejam saya di ruang saksi telah mengeringkan  tekak saya dan saya terpaksa minum untuk mengelakkan diri daripada jatuh sakit.

    Malangnya saya masih jatuh sakit dan sakit tersebut berlanjutan untuk beberapa hari mendatang.  Saya juga terpaksa berada di Singapore untuk sebuah persidangan. Hotel yang saya menetap itu hanya menyediakan sarapan pada pukul 6.30 pagi. Jadi saya mengambil keputusan untuk menangguhkan puasa saya. Di twitter. saya diberitahu bahawa ianya diterima untuk tidak berpuasa sekiranya seorang itu dalam perjalanan dan saya dapat menggantikan puasa tersebut ketika Syawal sebaik selepas Hari Raya.

    Banyak perkara yang telah saya pelajari ketika berpuasa di bulan Ramadan. Saya berpeluang untuk meluangkan masa bersama dengan isteri saya ketika sahur. Saya juga dapat melapangkan masa untuk membaca kitab Injil dalam bahasa Inggeris dan Malaysia di samping membaca Surah Al-Baqarah dalam Al-Quran.[6] Saya berjaya melatih diri untuk mengawal nafsu makanan saya di samping mengurangkan 5kg berat badan saya. Saya juga lebih memahami Islam sekarang dan amalan dalam Islam melalui penduduk kawasan dan rakan-rakan saya. Sudah tentu saya juga memahami pengalaman yang dilalui oleh seorang Muslim dalam bulan puasa ini.

    Namun begitu, pengajaran dan nilai-nilai sedemikian tidak dapat diungkapkan dalam isu politik kebangsaan. Tindakan Alvin dan Vivian – lebih dikenali sebagai Alvivi – dan Maznah Mohd Yusof – lebih dikenali sebagai Chetz –  walaupun berlaku dengan niat dan motivasi yang berbeza, mungkin telah dapat digunakan untuk mengajar dan menjelaskan Islam kepada masyarakat lain. Disebabkan kepentingan politik dan pilihanraya parti yang semakin hampir, peluang tersebut hilang begitu sahaja.

    Usaha rakyat Malaysia termasuk yang bukan Muslim yang terlibat dalam inisiatif Fast4Malaysia memberi kita suatu petanda bahawa bagaimana Ramadan dapat digunakan untuk menyatukan rakyat Malaysia yang berlainan agama. Malang sekali saat-saat begitu amatlah jarang sekali.

    Setahu saya, hanya saya dan Tian Chua (Ahli Parlimen Batu) sahaja Ahli Parlimen bukan Muslim yang cuba unutuk berpuasa penuh dalam bulan Ramadan. Saya berharap pada masa akan datang, lagi ramai Ahli Parlimen bukan Muslim akan berpuasa dengan rakan-rakan Muslim kita untuk menyemai benih solidariti, kesatuan dan kesefahaman antara kita semua,

    Dr. Ong Kian Ming

    Ahli Parlimen Serdang


    [1] http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/ahli-parlimen-bukan-islam-dap-mahu-berpuasa-untuk-lebih-produktif/

    [2] http://www.thenutgraph.com/why-fast-during-ramadan-if-one-is-non-muslim/

    [3] Dalam Perjanjian Baru Bab 6 Buku Matthew, Nabi Isa telah berkata “bila” kamu puasa, bukan “jika” kamu puasa

    [5] http://roketkini.com/2013/07/23/dap-dedah-hampir-50000-pengundi-miliki-ic-bermasalah-pada-pru-13-lalu/

    [6] Terjemahan Yusuf Ali

  • 49,159 pemegang kad pengenalan ‘bermasalah’ didaftarkan dalam senarai pengundi Sabah yang digunakan ketika PRU ke-13

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, di Kota Kinabalu pada 23hb Julai 2013

    Antara tujuan RCI Sabah diadakan adalah untuk mengkaji kesan pekerja asing, pendatang tidak sah dan pelarian terhadap senarai pengundi.

    Pada 16hb Januari 2013, Encik Ruslan bin Alias, timbalan ketua di bahagian Kad Pengenalan Sabah dan Sarawak dalam Jabatan Pendaftaran Negara (“JPN”) telah mendedahkan satu senarai yang mengandungi 130,549 nombor kad pengenalan ‘bermasalah’ di mana rekod mereka dengan JPN tidak lengkap ataupun kad mereka telah dibatalkan. Semua nombor kad pengenalan lama tersebut dibahagikan antara senarai P1 (51,300 nombor kad pengenalan lama), P2 (62,550 nombor kad pengenalan lama) dan P3 (16,699 nombor kad pengenalan lama). Kad-kad pengenalan lama dalam senarai P1 dan P2 telah pun dikenalpasti sebagai kad pengenalan yang mempunyai butir-butir yang tidak lengkap dalam rekod JPN manakala kad pengenalan lama dalam senarai P3 telah dibatalkan pada tahun 1996.

    Mengikut Encik Ruslan bin Alias (yang mengetuai unit yang bertanggungjawab untuk menyiasat kes kad-kad pengenalan yang bermasalah dalam senarai P1 dan P2), hanya 8,553 (7.5%) daripada jumlah 113,850 kad pengenalan dalam senarai-senarai tersebut telah pun disiasat. Maksudnya, sejumlah 105,297 (92.5%) daripada 113,850 kad pengenalan masih belum disiasat lagi.

    Berdasarkan senarai P1 dan P2, saya telah berjaya mengenalpasti 49,159 pengundi yang tersenarai dalam senarai pengundi yang telah digunakan dalam PRU ke-13. 23,179 pengundi tersebut memegang kad pengenalan lama yang tersenarai dalam senarai P1 dan 25,980 pengundi lain memegang kad pengenalan lama yang tersenarai dalam senarai P2. (Lihat Jadual 1 di bawah)

    Jadual 1 di atas menunjukkan bahawa 4.9% daripada jumlah pengundi Sabah dalam senarai pengundi PRU ke-13 memegang nombor kad pengenalan lama P1 dan P2. Didapati juga bahawa 8 daripada 10 kerusi parlimen dengan jumah pengundi P1 dan P2 yang tertinggi terletak di pantai timur Sabah.

    Selain itu, rekod senarai pengundi juga menunjukkan bahawa majoriti pengundi – sebanyak 53.9% – telah didaftarkan antara tahun 1990 dan 2000, iaitu semasa kegiatan Projek IC atau Projek M. (Lihat Jadual 2 di bawah)

    Namun, adalah penting juga untuk kita mengingati bahawa lebih daripada 25% pengundi P1 dan P2 – iaitu 25.7% – telah didaftarkan selepas 2000, termasuk 12.9% yang didaftarkan selepas 2010. Maksudnya, pendaftaran pengundi yang memegang kad pengenalan yang ‘bermasalah’ masih berterusan sehingga kini.

    Akhir sekali, masalah ini boleh dikatakan akan ‘melimpahi’ negeri-negeri lain di Malaysia. Saya telah pun menemui 6030 pengundi P1 dan P2 yang telah didaftarkan di negeri-negeri lain (lihat Jadual 3 di bawah).

    Saya menggesa kerajaan Barisan Nasional untuk memandang serius pendedahan RCI Sabah yang jelas telah membuktikan bahawa senarai pengundi terkini mengandungi ramai pengundi yang memegang kad pengenalan ‘bermasalah’. Saya juga menggesa kerajaan Barisan Nasional untuk membersihkan senarai pengundi dengan memulakan penyiasatan yang menyeluruh terhadap ketulenan kad-kad pengenalan yang disebut tadi. Jika tiada langkah diambil selepas RCI Sabah ini ditamatkan, maka jelas bahawa RCI Sabah merupakan hanya salah satu daripada RCI yang berkali-kali dipanggil oleh BN tetapi langsung tidak bermakna. Malah, pengundi dan penduduk Sabah yang asli akan terus dipinggirkan tanpa henti.

    Terakhir sekali, saya ingin menegaskan bahawa proses persempadanan semula (yang sepatutnya bermula pada akhir tahun ini) tidak seharusnya dijalankan di Sabah dengan menggunakan senarai pengundi yang mengandungi begitu ramai pengundi yang memegang kad pengenalan yang bermasalah.

    Dr Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

  • Malaysia antara negara di dunia yang mempunyai kadar kegagalan pengagihan kawasan pilihan raya (‘malapportionment’) yang amat tinggi

    Kenyataan Media Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang di Kuala Lumpur pada 19 Julai 2013.

    Malaysia antara negara di dunia yang mempunyai kadar kegagalan pengagihan kawasan pilihan raya (‘malapportionment’) yang amat tinggi

    Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Razak dulu berkata bahawa beliau berhasrat untuk mewujudkan di Malaysia sistem demokrasi yang terbaik seiring dengan Program Transformasi Politik beliau. Namun seandainya beliau benar-benar pandang serius perkara ini, beliau seharusnya komited terhadap prinsip “satu-orang-satu-undi” (“one-man-one-vote”) dan memastikan bahawa Malaysia tidak terus kekal sebagai antara negara di dunia yang mempunyai kadar kegagalan pengagihan kawasan pilihan raya (‘malapportionment’) yang amat tinggi.

    Istilah ‘kegagalan pengagihan’, ‘ketidakseimbangan pembahagian’ dan lain-lain sebenarnya merujuk kepada istilah ‘malapportionment’ (dalam Bahasa Inggeris) yang mencerminkan situasi di mana bilangan pengundi dalam setiap kawasan pilihan raya sesebuah negara ditetapkan secara tidak sama rata.  Pakar-pakar sains politik telah pun merumuskan satu formula matematik untuk mengkaji sejauh mana pembahagian kawasan pilihan raya di sesebuah negara itu tidak seimbang.[1] Menurut formula yang dihasilkan, hasil kiraan jika bernilai sifar (‘0’) bermaksud bahawa pembahagian kawasan pilihan raya di sesebuah negara adalah penuh seimbang.

    Jadual 1 menunjukkan tahap kegagalan pengagihan kawasan pilihan raya di 25 buah negara yang menggunakan sistem pilihan raya “First Past the Post”. Kedudukan Malaysia adalah di tangga ke-21 daripada 25 buah negara, dengan kadar ketidakseimbangan yang bernilai 0.173.

    Jadual 1: Penilaian Kegagalan Pengagihan Kawasan Pilihan Raya di 25 Buah Negara Yang Menggunakan Sistem Pilihan Raya “First Past the Post”

    Didapati bahawa negara-negara demokrasi yang maju seperti Amerika Syarikat (0.014), Australia (0.03), United Kingdom (0.041) dan Kanada (0.083) mempunyai kadar kegagalan pengagihan yang amat rendah berbanding dengan Malaysia. Malah, Malaysia mempunyai kadar kegagalan pengagihan yang lebih tinggi daripada Bangladesh (0.083), Pakistan (0.085) dan India (0.129).

    Sebenarnya, sebab utama Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan Kanada mempunyai kadar ketidakseimbangan kawasan pilihan raya yang lebih rendah berbanding dengan Malaysia adalah disebabkan kewujudan undang-undang di negara-negara tersebut yang mengehadkan kadar penyimpangan yang dibenarkan untuk setiap kawasan parlimen.

    Di United Kingdom, Akta Sistem Pilihanraya Parlimen dan Kawasan Pilihanraya 2011 (‘Parliamentary Voting System and Constituencies Act 2011’) telah menetapkan kadar penyimpangan sebanyak 5% lebih atau kurang daripada kuota nasional.[2]

    Di Australia, Akta Pilihanraya Komanwel 1918 (‘Commonwealth Electoral Act 1918’) telah menetapkan kadar penyimpangan sebanyak 3.5% lebih atau kurang daripada kuota negeri.[3]

    Di Kanada pula, Akta Persempadanan Semula Seksyen 15(2) (‘Electoral Boundaries Readjustment Act, Section 15(2)’) telah menetapkan kadar penyimpangan sebanyak 25% lebih atau kurang daripada kuota wilayah.[4]

    Di Amerika Syarikat, beberapa keputusan Mahkamah Agung mewajibkan setiap daerah kongres mempunyai bilangan penduduk yang hampir sama demi mengekalkan prinsip satu-orang-satu-undi.[5]

    Andai kata Perdana Menteri Dato Seri Najib ikhlas berhasrat mewujudkan sistem demokrasi di Malaysia yang paling baik di dunia, beliau harus bermula dengan mengikuti contoh negara-negara demokrasi maju dan menghormati prinsip satu-orang-satu-undi. Beliau boleh merujuk kepada cadangan Suruhanjaya Reid yang menetapkan kadar penyimpangan setiap kuota negeri sebanyak 15% daripada kuota nasional.

    Malah, bagi membetulkan masalah kegagalan pengagihan kawasan pilihanraya di Malaysia, Perdana Menteri Dato Seri Najib, harus menubuhkan Jawatankuasa Parlimen khususnya untuk meneliti proses persempadanan semula yang akan bermula pada akhir tahun ini sepertimana yang telah dilaporkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya. Demi memastikan bahawa Jawatankuasa Parlimen ini akan mematuhi prinsip satu-orang-satu-undi, Perdana Menteri Dato Seri Najib juga harus melantik Ahli Parlimen daripada parti pembangkang sebagai Pengerusi Jawatankuasa tersebut.

    Seandainya beliau gagal memastikan proses persempadanan semula kawasan parlimen dijalankan dengan adil dan saksama, ia akan membuktikan bahawa janji beliau untuk mentransformasikan politik Malaysia dan menjadikan Malaysia demokrasi terbaik hanyalah kata-kata kosong tanpa sebarang tindakan kukuh. Hakikatnya, hampir semua cadangan Jawatankuasa Parlimen tentang Reformasi Pilihan Raya masih belum dilaksanakan lagi, dan ini menunjukkan kurangnya komitmen Perdana Menteri Dato Seri Najib untuk mereformasikan sistem pilihan raya di negara ini.

    Dr. Ong Kian Ming

    Ahli Parlimen Serdang

    Nota: Kuota nasional dikira dengan membahagikan jumlah bilangan pengundi berdaftar di peringkat nasional dengan jumlah kerusi – dalam kata lain, bilangan purata pengundi bagi setiap kerusi. Kuota negeri pula adalah bilangan purata pengundi bagi setiap kerusi dalam sebuah negeri.

    Nota: Kadar ketidakseimbangan pembahagian kawasan pilihan raya (‘Malapportionment Measure’) menunjukkan % daripada pengundi yang perlu dipindahkan bagi mencapai kadar ketidakseimbangan yang bernilai sifar. Sebagai contoh, kadar Malaysia iaitu sebanyak 0.173 bermaksud bahawa 17.3% daripada bilangan pengundi perlu dipindahkan untuk memastikan bahawa semua kerusi parlimen mempunyai jumlah pengundi yang sama.


    [1] http://www.polisci.umn.edu/~dsamuels/BJPS2001.pdf David Samuels and Richard Snyder, ‘The Value of a Vote: Malapportionment in Comparative Perspective’, British Journal of Political Science 31, 2011, pp.651-671, Cambridge University Press, United Kingdom

    [3] http://www.comlaw.gov.au/Details/C2013C00165/Html/Text#_Toc355768167

  • Ucapan Parlimen 19 Julai 2013 – Perbahasan Parlimen Penggal Pertama (24 Jun hingga 18 Julai 2013)

    Perbahasan Parlimen Penggal Pertama 4hb June ke 18hb Julai, 2013

    Ucapan Parlimen Dr. Ong Kian Ming (19 Julai 2013)

    Kerajaan Barisan Nasional sekarang menghadapi krisis keyakinan yang ketara dalam pelbagai aspek. Majoriti rakyat Malaysia sudahpun hilang keyakinan terhadap kerajaan ini. Pada hari ini, saya ingin mengambil peluang untuk menghuraikan dengan selanjutnya krisis keyakinan ini berkaitan dengan tiga isu iaitu senarai pengundi, kabinet dan sistem pendidikan di negara kita.

    Krisis yang pertama merupakan krisis keyakinan terhadap senarai pengundi.

    Sebagai pengarah ‘Projek Analisa Senarai Pengundi Malaysia’ ataupun MERAP (‘Malaysian Electoral Roll Analysis Project’), saya telah mendapati bahawa sebuah agensi kerajaan yang bernama JASA ataupun Jabatan Hal Ehwal Khas, yang merupakan sebahagian daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia, telah diberi tanggungjawab untuk mendaftar pengundi. Namun, selepas diselidik, saya mendapati bahawa JASA telah mendaftarkan ramai pengundi yang mencurigakan. Ini termasuk pengundi yang memegang kad pengenalan ‘kod-71’ tetapi tiada alamat rumah ataupun nama jalan walaupun mereka telah didaftarkan di kawasan bandar seperti Serdang, Gombak, Kelana dan Johor Bahru. Jika kerajaan benar-benar ikhlas mahu mengurangkan bilangan pengundi yang layak mengundi tetapi belum lagi berdaftar – yang kini berjumlah lebih daripada 3 juta – mengapa kerajaan tidak mewajibkan semua jabatan kerajaan mengambil bahagian dalam kempen pendaftaran pengundi di seluruh negara untuk seluruh tahun?

    Apakah sebab-sebab kerajaan hanya membenarkan agensi tertentu sahaja seperti JASA untuk terlibat dalam aktiviti ini? Untuk makluman dewan yang mulia ini, JASA diketuai oleh bekas ADUN UMNO yang bertindak lebih seperti seorang ketua propaganda UMNO daripada penjawat awam.

    Semasa RCI di Sabah yang masih berterusan sehingga kini, Encik Ruslan bin Alias, seorang timbalan ketua di bahagian IC Sabah dan Sarawak di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), telah mendedahkan pada 16 Januari 213 satu senarai yang menyenaraikan nombor kad pengenalan lama yang ‘bermasalah’ di mana rekod seseorang di JPN tidak lengkap ataupun kad tersebut telah dibatalkan. Nombor IC lama yang bermasalah ini telah disenaraikan dalam senarai P1, P2 dan P3 masing-masing. Akan tetapi, menurut Encik Ruslan bin Alias​​ (sebagai ketua unit yang bertanggungjawab menyiasat IC yang bermasalah ini), hanya 7.5% daripada nombor-nombor IC dalam senarai-senarai ini telah disiasat setakat ini.

    Selepas menyelidik senarai pengundi suku ke-4 tahun 2012, saya telah mendapati bahawa terdapat 46,893 pengundi berdaftar di Sabah yang memegang IC lama yang juga tersenarai dalam senarai P1 dan P2. Di samping itu, saya juga telah mendapati bahawa terdapat 6,817 pengundi dengan IC lama P1 dan P2 yang telah didaftarkan di Semenanjung Malaysia. Ini bermakna bahawa terdapat sejumlah 53,710 pengundi dengan IC yang mencurigakan yang masih tersenarai sebagai pengundi berdaftar pada PRU ke-13.

    Dapatkah kita yakin terhadap integriti senarai pengundi apabila terdapat begitu ramai pengundi berdaftar yang memegang IC yang telah dikenalpasti sebagai IC yang mencurigakan oleh saksi dalam RCI Sabah?

    Kedua, saya ingin berucap tentang krisis keyakinan terhadap kabinet.

    Saya tidak akan menyentuh isu individu-individu tertentu yang telah diumumkan sebagai Menteri sebelum mereka mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara. Sebaliknya, saya mahu menyerlahkan hakikat bahawa kabinet Malaysia mempunyai dua menteri yang masing-masing memegang bukan sahaja satu, tetapi dua ijazah seorang yang diperolehi daripada kilang ijazah. Jika dirujuk, didapati bahawa laman web Kementerian Luar Negeri menyatakan bahawa YB Serian telah “memperolehi ljazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan daripada Chartered Institute of Business Administration (Ireland), Teoranta pada tahun 1994 dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada Preston University, Amerika Syarikat.” Namun, didapati bahawa bukan sahaja Chartered Institute of Business Administration (Ireland), Teoranta tiada sebarang laman web yang rasmi, malah Preston Universiti memang terkenal sebagai kilang ijazah. Selepas saya telah mengadakan sidang akhbar untuk membongkarkan cerita sebenar tentang kelayakan dua Menteri ini, YB Serian telah mendakwa bahawa beliau sebenarnya telah memperolehi ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana beliau daripada University of Hertfortshire. Namun, mengapakah Kementerian Luar Negeri (di mana YB Serian telah bertugas sebagai Timbalan Menteri selama beberapa tahun) memberikan maklumat yang berbeza tentang latar belakang pendidikan beliau? Siapakah sebenarnya yang berbohong – Kementerian ataupun Menteri sendiri?

    Menteri kedua adalah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi iaitu YB Ranau. Menurut laman web MOSTI pada asalnya, beliau telah memperolehi Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) daripada Golden State University, Wyoming. Namun, selepas saya mendedahkan kelayakan beliau, maklumat ini tidak lagi tersenarai di laman web tersebut. Walaupun ia tidak dinyatakan di laman web MOSTI, saya telah dimaklumkan bahawa Menteri memperolehi MBA daripada Commonwealth Open University yang berpusat di Kepulauan Virgin British. Kedua-dua ‘institut’ ini telahpun disenaraikan sebagai sekolah yang tidak bertaraf dan ijazah yang tidak sah (‘unauthorized schools and invalid degrees’) oleh kerajaan-kerajaan negeri Oregon dan Maine di Amerika Syarikat.

    Dapatkah kita yakin terhadap integriti kabinet apabila dua orang Menteri kita yang masing-masing memegang dua ijazah yang diperolehi daripada kilang ijazah?

    Krisis yang ketiga merupakan krisis keyakinan terhadap sistem pendidikan.

    Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) 2013-2025 yang telah dilancarkan pada September 2012  bermatlamat untuk mentransformasikan sistem pendidikan kebangsaan negara kita.  Malang sekali, ahli-ahli Panel Penilai Bebas Malaysia yang dipengerusi oleh bekas Naib Canselor USM iaitu Profesor Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak, telah menyuarakan ketidakyakinan mereka terhadap PPP. Dalam memo kepada Menteri Pendidikan, Panel telah menyuarakan pandangan bahawa “PPP adalah sebuah dokumen yang cantik dan boleh dijadikan panduan dalaman bagi pegawai-pegawai di Kementerian Pendidikan” tetapi “jangkaan dan harapan tinggi orang ramai terhadap perubahan dan pembaharuan yang dijanjikan tidak nampak dengan jelas. Dokumen ini adalah ‘incremental change’ yang memang sudah biasa dan selalu dilakukan oleh KPM.” Dengan ini, jelas bahawa pelan ini bukan bersifat transformasi.

    Malah, ahli-ahli Panel Penilai Bebas juga berpendapat bahawa hanya 5 daripada 11 anjakan dalam PPP adalah perlu dan sesuai untuk diberi keutamaan sebagai paksi utama. Pada pandangan mereka, anjakan-anjakan yang selebihnya hanyalah sebahagian daripada ‘perbaikan’ proses yang sudah dihuraikan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010. Yang penting, mereka juga berpendapat bahawa ‘dokumen PPP itu kurang memberi impak dalam membawa satu perubahan atau anjakan besar yang diharap-harapkan’.

    Jika panel bebas ini – yang terdiri daripada individu-individu dan pakar-pakar yang terkenal – tidak yakin terhadap Pelan Pembangunan Pendidikan, memang tiada sebab untuk orang umum turut yakin  terhadap keupayaan Blueprint ini untuk mentransformasikan sistem pendidikan kita.

    Krisis keyakinan ini hanya boleh diperbetulkan apabila kerajaan Barisan Nasional digantikan oleh kerajaan Pakatan Rakyat dan ini akan berlaku, Insya-Allah, dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

  • Soalan Parlimen Sesi Pertama 2013 (24.6.2013 – 18.7.2013)

    Soalan Parlimen Sesi Pertama 2013 – Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang

    (for the First Parliamentary Session of 2013, 24 June 2013 – 18 July 2013)

    Soalan Jawab Lisan

    1)      Dr. Ong Kian Ming [Serdang] minta Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi menyatakan jumlah guru yang akan menyertai Program Diploma Antarabangsa Pendidikan pada tahun 2013 dan 2014, yang dikelolakan oleh United States Sports Academy dan jumlah kos untuk program ini.

    2)      Dr. Ong Kian Ming [Serdang] minta Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi menyatakan sebab pemprosesan visa pelajar asing di Malaysia diberikan kepada Education Malaysian Global Services (EMGS), syarikat swasta yang dihadkan dengan jaminan oleh Kementerian Pengajian Tinggi, dan mengapa kontrak insurans perubatan pelajar asing hanya diberikan kepada AXA Affin General Insurance.

    3)      Dr. Ong Kian Ming [Serdang] minta Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi menyatakan jumlah pelajar di setiap IPTA yang keciciran atau tidak menyambung pelajaran dari tahun 2000 sehingga 2012 dan langkah-langkah yang diambil untuk mengurangkan kadar keciciran di IPTA.

    4)      Dr. Ong Kian Ming [Serdang] minta Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air menyatakan jumlah kapasiti kuasa biogas, biomass, biomass (sold waste), solar (bukan individu >kW), bukan individu (=< 500kw) dan individu yang telah dipasang untuk tahun 2012 dan sama ada sasaran SEDA untuk tahun 2012 telah dicapai.

    5)      Dr. Ong Kian Ming [Serdang] minta Perdana Menteri menyatakan jumlah, dalam RM dan juga berapa kes, Bantuan Rakyat Satu Malaysia (BR1M) yang diberikan kepada rumahtangga mengikut setiap negeri untuk tahun 2012 dan juga kepada rumahtangga dan individu mengikut setiap negeri untuk tahun 2013.

    6)      Dr. Ong Kian Ming [Serdang] minta Perdana Menteri menyatakan sebab kenapa kedudukan Malaysia dalam ‘World Competitiveness Ranking 2013’ telah jatuh dari tempat 14 ke 15 dan sama ada ini menunjukkan kegagalan Program Transformasi Ekonomi untuk meningkatkan daya saing Negara kita.

    7)      Dr. Ong Kian Ming [Serdang] minta Perdana Menteri menyatakan jumlah pemohon dan jumlah pemohon yang berjaya diterima untuk ‘Returning Expert Program (REP)’, Program ‘Talent Acceleration in Public Service (TAPS)’, Program ‘Scholarship Talent Attraction and Retention (STAR)’ dan ‘Structured Internship Program (SIP)’ yang dikelolakan oleh Talentcorp.

    8)      Dr. Ong Kian Ming [Serdang] minta Perdana Menteri menyatakan jumlah bajet untuk 2012 dan 2013 yang diperuntukkan kepada PEMANDU (Performance Management and Delivery Unit) termasuk gaji tahunan CEO PEMANDU, Datuk Seri Idris Jala.

    9)      Dr. Ong Kian Ming [Serdang] minta Menteri Kerja Raya menyatakan rancangan untuk menyelesaikan masalah kesesakan jalan di Jalan Besar di Persimpangan Jalan Utama, Persimpangan Persiaran Serdang Perdana (di South City Mall), Persimpangan Lebuhraya Sungai Besi dan Persimpangan masuk ke Jalan PSK 8 di Serdang.

    10)   Dr. Ong Kian Ming [Serdang] minta Menteri Kerja Raya menyatakan status pembinaan ‘exit’ MEX di Seri Kembangan termasuk jumlah kos projek ini, kadar tol yang akan dikenakan dan tarikh projek ini dijangka disiapkan.

    Soalan Jawab Bertulis

    1)      Dr. Ong Kian Ming [Serdang] minta Perdana Menteri menyatakan senarai penuh syarikat –syarikat teksi yang diberikan lesen teksi baru dan yang berjaya membaharui lesen teksi yang sedia ada pada tahun 2012 di Malaysia.

    2)      Dr. Ong Kian Ming [Serdang] minta Perdana Menteri menyatakan senarai penuh syarikat -syarikat bas yang diberikan lesen bas baru dan yang berjaya membaharui lesen bas yang sedia ada pada tahun 2012 di Malaysia.

    3)      Dr. Ong Kian Ming [Serdang] minta Perdana Menteri menyatakan senarai penuh syarikat -syarikat bas yang diberikan lesen bas baru dan yang berjaya membaharui lesen bas yang sedia ada pada tahun 2012 di Malaysia.

    4)      Dr. Ong Kian Ming [Serdang] minta Perdana Menteri menyatakan jumlah pengundi yang diluluskan sebagai pengundi luar negara untuk setiap kerusi parlimen dan untuk setiap kedutaan Malaysia.

    5)      Dr. Ong Kian Ming [Serdang] minta Perdana Menteri menyatakan jumlah pelaburan yang telah direalisasikan (‘realized investment’) untuk setiap ‘Entry Point Project’ di bawah Program Transformasi Ekonomi dari tahun 2011 ke 2012.

Page 45 of 47« First...102030...4344454647