• Suruhanjaya Pilihan Raya tiada kuasa untuk menjalankan persempadanan semula yang haram tanpa melalui prosedur perlembagaan yang betul

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 20 Julai 2016

    Suruhanjaya Pilihan Raya tiada kuasa untuk menjalankan persempadanan semula yang haram tanpa melalui prosedur perlembagaan yang betul

    Menurut Artikel 113 (2) Perlembagaan Persekutuan, jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ingin melukis semula sempadan kawasan pilihan raya bagi sebarang kerusi melalui persempadanan semula, tidak kira sama ada kerusi Negeri atau kerusi Parlimen, ia perlu mematuhi prosedur dan peruntukan yang terkandung dalam Jadual 13 Perlembagaan Persekutuan. Ini termasuklah memaklumkan Speaker Dewan dan Perdana Menteri, serta menerbitkan notis tentang permulaan persempadanan semula dalam Warta dan juga dalam akhbar nasional.

    Kami mempunyai sebab yang bagus untuk mempercayai bahawa notis yang disiarkan dalam Warta bertarikh 29 April 2016 yang menyenaraikan daerah mengundi dan pusat mengundi bagi kawasan pilihan raya negeri dan persekutuan di Semenanjung Malaysia sebenarnya merupakan ‘persempadanan tersembunyi’ secara haram yang dilakukan oleh SPR.

    SPR mempunyai kuasa untuk mewujudkan daerah mengundi yang baru serta memindahkan pengundi antara daerah mengundi di dalam kawasan pilihan raya yang sama sebagaimana yang tertakluk dalam Seksyen 7 Akta Pilihan Raya 1958. Namun, SPR tiada hak dan kuasa untuk memindahkan pengundi dari sebuah kawasan pilihan raya sedia ada ke kawasan pilihan raya yang baru, tidak kira sama ada ia kawasan kerusi negeri mahupun parlimen, melainkan dalam konteks persempadanan semula.

    Satu contoh terang-terangan persempadanan semula secara haram ini adalah di kerusi negeri N6 Kuala Kubu Baru dalam kawasan Parlimen P94 Hulu Selangor. Sebanyak 14 lokaliti dengan jumlah 5590 pengundi dipindahkan dari N7 Batang Kali (dimenangi oleh UMNO pada PRU 2013 dengan undi majoriti 5398) ke N6 Kuala Kubu Baru (dimenangi oleh DAP dengan majoriti 1702 undi) sebagai kesan daripada persempadanan semula yang haram ini. Sejumlah 2 lokaliti dengan 56 pengundi dipindahkan dari N6 Kuala Kubu Baru ke N7 Batang Kali.[1] Kesannya, jumlah pengundi meningkat sebanyak 26.1% iaitu dari 21,186 pengundi pada PRU 2013 kepada 26,720 pengundi. Pada masa yang sama, N7 Batang Kali menyaksikan pengurangan sebanyak 12.7% pengundi, iaitu dari 43,578 pengundi pada PRU 2013 kepada 38,044 pengundi. (Rujuk Jadual 1 di bawah)

    Jadual 1: Perubahan bilangan pengundi di N6 Kuala Kubu Baru dan N7 Batang Kali selepas persempadanan semula secara haram

    Kita mengesyaki bahawa inilah strategi Barisan Nasional untuk memenangi kembali Negeri Selangor secara ‘dengan cara tersembunyi’ melalui persempadanan semula secara haram.

    Kami menggesa SPR untuk menarik balik kesan persempadanan semula yang haram ini dan untuk mengembalikan sempadan pilihan raya di Semenanjung Malaysia kepada sempadan yang digunakan semasa Pilihan Raya Umum 2013.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    Federal Government Gazette: NOTICE OF POLLING DISTRICTS AND POLLING CENTRES FOR THE FEDERAL AND STATE CONSTITUENCIES OF THE STATES OF MALAYA

    “Illegal Delimitation: Effect on N6 KKB and N7 Batang Kali” (Powerpoint, 20 July 2016)

    [1] Angka-angka ini telah dikemaskini sehingga daftar pemilih Suku Ke-4 (Q4) 2015.

  • Pengangkutan awam di Lembah Klang mestilah berpatutan, bersepadu, mudah digunakan dan boleh dipercayai

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 14 Julai 2016

    Pengangkutan awam di Lembah Klang mestilah berpatutan, bersepadu, mudah digunakan dan boleh dipercayai

    Pada 30 Jun 2016, Perdana Menteri telah merasmikan laluan sambungan LRT bagi laluan Kelana Jaya dan Ampang ke stesen pertukaran Putra Heights.[1] Lebih kurang setahun yang lepas, Najib juga telah merasmikan perkhidmatan Bus Rapid Transit (BRT) daripada Sunway-Setia Jaya ke USJ 7.[2] Walaupun pengembangan liputan pengangkutan awam di Lembah Klang amat dialu-alukan, namun penyediaan pengangkutan awam adalah lebih daripada sekadar membina stesen LRT dam MRT yang baru. Khususnya, pengangkutan awam mestilah berpatutan, bersepadu, mudah digunakan serta boleh dipercayai.

    Saya sendiri telah cuba menggunakan sambungan LRT baru dan juga beberapa jenis pengangkutan awam lain pada Selasa lepas, 5 Julai 2016 iaitu sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri. Saya telah memandu kereta ke stesen Awam Besar (stesen baru berhampiran Taman OUG) dan menaiki LRT ke stesen pertukaran Putra Heights. Saya menukar tren dan turun di stesen USJ 7, kemudian menaiki BRT menghala ke Sunway-Setia Jaya. Dari sana, saya menaiki KTM ke KL Sentral. Selepas itu, saya mengambil laluan Kelana Jaya ke Masjid Jamek dan balik semula ke stesen Awan Besar dengan menukar tren ke laluan Ampang. Bagaimanakah kadar pengalaman saya berdasarkan empat kriteria yang telah dinyatakan tadi?

    Pertama, tambang LRT kita bukanlah begitu berpatutan. Tambang perjalanan saya dari Awan Besar ke USJ 7 adalah RM5.20 menggunakan kad RapidKL (jika menggunakan bayaran tunai, tambang akan berjumlah RM6.10 bagi perjalanan yang sama). Tambang perjalanan BRT dari USJ 7 ke Sunway Setia pula berjumlah RM5.40, yang bermakna perjalanan sehala menggunakan LRT dan BRT menelan kos RM10.60! Mungkin akan ada orang yang berkata bahawa tidak ramai pengguna yang akan memilih laluan ini untuk Sunway-Setia Jaya, namun jika saya turun di stesen Sunway University / Sunway Monash (katakan jika saya pelajar di salah sebuah institusi tersebut), kos perjalanan BRT tersebut akan berjumlah RM2.70, iaitu RM7.90 bagi perjalanan sehala dari LRT Awan Besar ke stesen BRT SunU-Monash.

    Atas dasar perbincangan, katakan jika saya ingin menaiki tren dari Awan Besar untuk ke stesen akhir di laluan Kelana Jaya, iaitu Gombak. Kos perjalanan sehala tanpa tunai adalah RM5.70 dan RM6.70 bagi perjalanan menggunakan bayaran tunai. Walaupun harga ini masih dikira murah berbanding dengan kos memandu dan parkir, namun ia masih menjadi beban untuk pekerja gaji minima yang perlu menghabiskan RM11.40 sehari iaitu RM250 sebulan semata-mata untuk pengangkutan awam.[3]

    Sebagai perbandingan, kita boleh melihat Singapura, di mana penggunaan MRT adalah percuma tanpa sebarang caj untuk perjalanan sebelum 7.45pagi bagi mengurangkan kesesakan pada waktu puncak antara 8 pagi hingga 9 pagi.[4] Tambang perjalanan daripada stesen MRT pertama dari arah Timur – Pasir Ris (E1) hingga ke stesen MRT terakhir di Barat – Joo Koon (E29) hanya berjumlah SGD 2.03 bagi jarak sejauh 42.6km.

    Catatan: KDNK Singapura adalah 5 kali lebih tinggi berbanding Malaysia.

    Untuk kriteria pertama, iaitu sama ada tambangnya berpatutan atau tidak, pengangkutan awam Malaysia adalah agak ketinggalan.

    Kedua, sejauh manakah sistem pengangkutan awam kita bersepadu? Saya melihat sudah banyak penambahbaikan yang dilakukan di Lembah Klang. Integrasi antara KTM, KRT, ERL dan sebahagian laluan bas telah menjadikan KL Sentral sebagai sebuah hab pengangkutan awam yang digunakan oleh beribu-ribu pengguna setiap hari. Sistem BRT Sunway menghubungkan KTM kepada LRT (walaupun dengan kos yang agak tinggi untuk pengguna). Jajaran 1 MRT Sungai Buloh-Kajang akan meningkatkan perhubungan dan integrasi pengangkutan awam apabila ia mula beroperasi pada tahun hadapan. Satu jurang besar yang perlu diatasi adalah kekurangan laluan bas pengantara dari pelbagai kejiranan untuk pergi ke stesen LRT dan MRT.

    Namun integrasi pengangkutan awam bukanlah sekadar integrasi fizikal. Ia juga perlukan integrasi tambang. Maksudnya, tidak kira sama ada pengguna menggunakan bas Rapid KL, LRT atau KTM, sebuah perjalanan dari mula hingga akhir perlulah mempunyai kos yang sama tanpa mengira berapa kali mereka menukar jenis pengangkutan awam. Buat masa ini, jika kita menggunakan bas dari stesen LRT dan disusuli oleh tren LRT dan bas BRT, kita akan dikenakan 3 jenis caj bagi sebuah perjalanan sehala. Sebaliknya, sistem pengangkutan awam bersepadu hanya akan mengenakan caj sekali sahaja bagi sebuah perjalanan sehala. Ini akan meningkatkan kadar kemampuan rakyat untuk menggunakan pengangkutan awam.

    Sebagai contoh, pada Mac tahun ini, saya menaiki bas daripada Nanyang Technological University (NTU) di Singapura untuk ke stesen MRT Book Lay (di Barat) dan kemudian menghala ke Lapangan Terbang Changi menggunakan MRT (di Selatan). Tambang perjalanan hanya berjumlah SGD 2.03 (0.88 sen untuk bas dan 1.15 bagi MRT). Ia dikira sebagai sebuah perjalanan walaupun saya menaiki bas dan MRT. Integrasi tambang bagi pengangkutan awam di Singapura ini menjadikan ia lebih berpatutan. Di Malaysia, konsep integrasi tambang masih agak janggal bagi hampir kesemua pengguna pengangkutan awam.

    Salah satu sebab mengapa integrasi tambang masih menjadi sebuah cabaran di Malaysia adalah ketidakupayaan KTM untuk menyelaraskan sistem tiket mereka dengan LRT dan Monorail. Walaupun pengguna boleh menggunakan kad Touch n Go untuk membayar tambang KTM, namun kad RapidKL tidak boleh digunakan untuk membayar tambang KTM. Tambahan lagi, sistem tiket automatik KTM masih belum berfungsi. Sebagai contoh, di stesen KTM Setia Jaya, salah sebuah mesin tiket automatik tidak berfungsi, sebuah lagi mesin masih dalam peringkat ujian, dan tiada staf yang bertugas di kaunter tiket manual! (Lihat bawah)

    Walaupun pada bulan November yang lepas, pihak KTM telah berjanji akan memperkenalkan sistem tiket bersepadu antara KTM, LRT dan Monorail pada bulan Jun tahun ini, nampaknya kita masih jauh lagi daripada matlamat tersebut.[5]

    Ketiga, adakah sistem pengangkutan kita mudah digunakan?

    Ketika saya menggunakan tren pada Selasa lepas, terdapat petunjuk stesen yang tidak berfungsi untuk  stesen sambungan baru di laluan Kelana Jaya dan Ampang. Ini bermakna pengguna tren tidak dapat mengenal pasti dengan baik stesen yang berikutnya. Pada masa yang sama, tiada sebarang pengumuman stesen berikutnya yang dibuat melalui sistem pembesar suara tren.

    Tambahan lagi, semasa saya menggunakan LRT dari Masjid Jamek ke Awan Besar, tiada sebarang pengumuman yang dilakukan untuk memberitahu penumpang supaya menukar tren di Sri Petaling jika hendak ke Awam Besar. Dalam peta laluan LRT, laluan Sri Petaling ke Awan Besar kelihatan lancar dan pengguna seolah-olah tidak perlu menukar tren. Saya hanya menyedari perkara ini apabila tren tersebut berhenti di Sri Petaling dan kemudiannya balik ke stesen Bukit Jalil tanpa pergi ke Awan Besar.

    Banyak penambahbaikan yang perlu dilakukan lagi untuk papan tanda dan pengumuman di stesen LRT. (Saya akan menghuraikan masalah kekurangan peta laluan bas Rapid KL pada masa lain).

    Keempat dan terakhir, adakah sistem pengangkutan kita boleh dipercayai? Sekali lagi, saya akan mengetepikan persoalan berkenaan bas pengantara memandangkan saya tidak menggunakan perkhidmatan ini pada Selasa lepas. Walaupun ketibaan tren LRT boleh dikatakan agak kerap (dengan selang masa kurang dari 10 minit bagi setiap stesen yang saya lawati), namun perkara berbeza bagi KTM. Hanya kerana saya terlepas tren di KTM Setia Jaya, saya perlu menunggu 45 minit untuk tren seterusnya. Salah satu sebab kekerapan tren KTM rendah terutamanya ketika waktu puncak adalah disebabkan oleh isu kerja di landasan berkembar. Namun saya juga difahamkan bahawa walaupun semasa waktu puncak, tren di sepanjang laluan Tanjung Malim dan Sentul hanya tiba sekali setiap 45 minit.

    Sistem pengangkutan awam yang tidak boleh dipercayai dalam erti kata kekerapan dan ketepatan masa akan kurang menggalakkan ramai pengguna daripada bertukar dari pengangkutan awam kepada pengangkutan sendiri. Ia juga akan menyebabkan ketidakselesaan dan meningkatkan masa perjalanan bagi mereka yang tidak mempunyai pilihan lain selain menggunakan pengangkutan awam.

    Saya menggalakkan ahli politik kita, terutamanya Menteri-Menteri, untuk mencuba sendiri dan merasai pengalaman menggunakan sistem pengangkutan awam kita tanpa diiringi rombongan, termasuklah membeli sendiri tiket dan merancang perjalanan supaya mereka boleh melihat masalah yang dihadapi oleh penumpang pada setiap hari. Melalui cara itu, mereka akan mengetahui sama ada sistem pengangkutan awam di Lembah Kelang ini berpatutan, bersepadu, mudah digunakan dan boleh dipercayai ataupun tidak.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/lrt-extension-project-helps-reduce-cost-of-living-say-commuters

    [2] http://www.thestar.com.my/news/nation/2015/06/01/najib-brt-sunway-electric-bus-service/

    [3] Berdasarkan anggaran ada 22 hari bekerja dalam sebulan.

    [4] https://www.mytransport.sg/content/mytransport/home/commuting/trainservices.html

    [5] http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/new-fare-system-to-integrate-ktm-lrt-mrt-monorail

  • Malaysia perlu berhati-hati ketika menyambut keputusan Mahkamah Tetap Timbang Tara ke atas kes timbang tara Laut China Selatan antara Filipina dan Malaysia

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 13 Julai 2016

    Malaysia perlu berhati-hati ketika menyambut keputusan Mahkamah Tetap Timbang Tara ke atas kes timbang tara Laut China Selatan antara Filipina dan Malaysia

    Keputusan oleh Mahkamah Tetap Timbang Tara (selepas ini dirujuk sebagai ‘Mahkamah’) pada 12 Julai 2016 telah menetapkan beberapa penemuan penting berkenaan kawasan di Laut China Selatan yang dituntut oleh Malaysia dan Filipina.[1]

    Pertama, Mahkamah mendapati bahawa “tiada asas undang-undang bagi China untuk menuntut hak sejarah ke atas sumber dalam kawasan lautan yang diliputi oleh ‘sembilan garis putus-putus’.”

    Kedua, Mahkamah mendapati “tiada sebarang kawasan seperti yang dituntut oleh China mampu menjana Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ)” dalam lingkungan 200 batu nautika. Antara kawasan yang dipertikaikan ini sebenarnya berada dalam EEZ Filipina.

    Ketiga, Mahkamah mendapati China telah melanggar kedaulatan Filipina dengan menghalang aktiviti penangkapan ikan oleh nelayan Filipina, membina pulau buatan dan gagal menghalang nelayan China daripada menangkap ikan dalam kawasan EEZ Filipina.

    Keempat, Mahkamah mendapati China telah mengakibatkan “kerosakan teruk” kepada persekitaran marin akibat daripada penambakan berskala besar di Kepulauan Spratly.

    Kelima, Mahkamah mendapati China telah “melanggar kewajipannya untuk mengelakkan daripada membesarkan pertikaian negara-negara terlibat sementara menunggu penyelesaian pertikaian” disebabkan oleh penambakan laut secara besar-besaran.

    Penemuan Mahkamah, jika diguna pakai kepada kes lain di Laut Cina Selatan, mampu memperkukukan tuntutan Malaysia ke atas James Shoal atau Beting Serupai yang berada 80km ke barat laut Bintulu, Sarawak dan berada dalam pelantar benua Malaysia serta 200 batu nautika EEZ. Ia juga mampu memperkukuhkan tuntutan Malaysia ke atas North Luconia Shoals (atau Gugusan Beting Raja Jarun) dan South Luconia Shoals (atau Gugusan Beting Patinggi Ali) yang terletak agaknya 100km daripada Sarawak.

    Kedaulatan Malaysia ke atas beberapa kawasan ini telah dicabar oleh China sejak baru-baru ini, terutamanya oleh peronda marin China di James Shoal pada 2013 dan 2014[2], dan yang terbaru pada Mac 2016 oleh kapal Pengawal Pantai China di South Luconia Shoals.[3]

    Walaupun kesemua pihak yang menandatangani UNCLOS terikat dengan keputusan Mahkamah, China telah menyatakan bahawa ianya tidak akan mengiktiraf dan menerima keputusan ini.[4] Memandangkan kepetingan China sebagai rakan perdagangan dan ekonomi Malaysia, Malaysia harus mengurangkan risiko perselisihan dengan meneruskan rundingan dua hala terhadap pertikaian ini serta rundingan untuk penubuhan Kod Tata Laku kukuh di Laut China Selatan antara ASEAN dan China.

    Pilihan untuk menggunakan timbang tara antarabangsa sebagai jalan untuk mencapai keputusan dalam pertikaian antara Malaysia dan China di Laut China Selatan harus digunakan secara strategik dan hanya apabila tiada pilihan lain.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] http://www.andrewerickson.com/wp-content/uploads/2016/07/PH-CN-20160712-Press-Release-No-11-English.pdf

    [2] http://amti.csis.org/malaysia-recalibrating-its-south-china-sea-policy/

    [3] http://www.reuters.com/article/us-southchinasea-malaysia-idUSKCN0YM2SV

    [4] http://www.fmprc.gov.cn/mfa_eng/zxxx_662805/t1217147.shtml

  • Mengapakah PEMANDU Corporation telah mengambil alih BFR Institute dan mengapa akaun kewangannya ‘kosong’?

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 22 Mei 2016

    Mengapakah PEMANDU Corporation telah mengambil alih BFR Institute dan mengapa akaun kewangannya ‘kosong’?

    Saya merujuk kepada kenyataan balas PEMANDU pada 19 Mei 2016 berhubung sidang media saya di Parlimen pada hari yang sama.[1] Kenyataan saya yang merujuk kepada pemilikan 51% oleh Dato’ Idris Jala dalam BFR Institute Sdn Bhd adalah berdasarkan profil carian syarikat yang dilakukan pada 25 Februari 2016 (rujuk bawah). Perpindahan 51% kepentingan Idris Jala kepada PEMANDU Corporation tidak ditunjukkan dalam akaun Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) setakat 25 Februari 2016.

    Mengikut carian syarikat yang dilakukan pada hari ini iaitu 22 Mei 2016, Idris Jala kini mempunyai kepentingan sebanyak hanya 51 daripada 400,000 saham BFR Institute Sdn Bhd, dan yang selebihnya dimiliki oleh PEMANDU Corporation.

    Menurut kenyataan PEMANDU, kepentingan yang dipegang oleh Idris Jala adalah dalam bentuk amanah memandangkan PEMANDU Corporation tidak dibenarkan mempunyai pegangan kepentingan melebihi 49% dalam syarikat lain.

    Saya memohon maaf kepada Idris Jala sekiranya saya telah menyebabkan orang lain berfikir bahawa Idris Jala menerima faedah kewangan secara langsung daripada kepentingan 51% BFR Institute yang kini telah ditukar kepada 51 unit saham sebagaimana dalam rekod terkini SSM.

    Pada masa yang sama, saya ingin meminta PEMANDU atau Idris Jala untuk menjelaskan sama ada pegangan 51 peratus yang dimiliki beliau masih dalam bentuk amanah ataupun rekod SSM terkini masih belum dikemaskini dan beliau sudah tidak memegang sebarang saham dalam BFR Institute. Ini adalah berhubung kenyataan PEMANDU yang menyatakan PEMANDU Corporation kini memiliki 100% kepentingan BFR-I secara langsung. Selagi Idris Jala memegang walau seunit saham dalam BFR Institute, sama ada secara langsung atau tidak, adalah tidak tepat untuk mengatakan PEMANDU Corporation memiliki 100% BFR Institute secara langsung.  

    Walau bagaimanapun, pengambil alihan BFR Institute oleh PEMANDU Corporation menimbulkan persoalan baru. Pertama, mengapa PEMANDU harus terlibat dalam memberikan perkhidmatan perundingan kerajaan kepada agensi kerajaan yang lain serta entiti di luar negara, sebagaimana yang sedang dibuatnya sekarang?

    Kedua, mengapa pembayar cukai perlu menanggung kos RM3.9 juta untuk penganjuran Global Transformation Forum selama 3 hari pada tahun 2015, memandangkan pemotongan bajet sedang dilaksanakan di agensi-agensi kerajaan yang lain, termasuklah institut pengajian awam?

    Ketiga, kenyataan PEMANDU bahawa lebihan RM10 juta yang diperuntukkan kepada Global Transformation Forum 2015 berada dalam akaun PEMANDU dan bukannya akaun BFR Institut tidak harus dilihat sebagai satu jaminan.

    Semenjak PEMANDU Corporation diperbadankan pada 26 Oktober 2009, ia telah mengemukakan 4 laporan tahunan kepada SSM, iaitu bagi Tahun Kewangan 2010, 2011, 2012 dan 2014. Dalam setiap laporan ini, perolehan dan keuntungan / kerugian yang dicatatkan adalah sifar (lihat bawah). Adakah ini bermakna PEMANDU tidak menerima sebarang geran daripada kerajaan Persekutuan untuk kos operasinya? Adakah PEMANDU Corporation langsung tidak menggunakan walau satu sen perbelanjaan operasi, terutamanya untuk aktiviti ‘lab’ (makmal), pembayaran kepada perunding dan sewa untuk hari terbuka yang kerap dijalankan? Adakah terdapat entiti lain di mana PEMANDU meletakkan perbelanjaan dan geran mereka? Saya berharap agar PEMANDU dapat menjawab persoalan tersebut secepat mungkin sebagaimana mereka telah menjelaskan fakta berhubung pemilikan saham BFR Institute.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] https://www.pemandu.gov.my/assets/publications/annual-reports/Idris_Jala_Holds_No_Shares_In_BFR-I.pdf

  • Hasil daripada mesyuarat bersama Pengerusi Yayasan NAAM, Datuk M. Saravanan

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 31 Mac 2016

    Hasil daripada mesyuarat bersama Pengerusi Yayasan NAAM, Datuk M. Saravanan

    Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Pengerusi NAAM, Datuk M. Saravanan, kerana menjemput saya ke pejabat NAAM pada pagi ini serta memberi penjelasan menyeluruh berkenaan aktiviti dan program yang dilaksanakan oleh NAAM. Berdasarkan mesyuarat tersebut, saya mengambil maklum terhadap penjelasan-penjelasan berikut:

    1) Dana RM19 juta yang diberikan kepada NAAM adalah melalui Unit Perancang Ekonomi (EPU) di bawah perbelanjaan pembangunan daripada belanjawan JPM. RM15 juta telah dibelanjakan pada tahun 2014 dan RM4 juta dibelanjakan pada tahun 2015. Tiada peruntukan tambahan diberikan kepada NAAM pada tahun 2015 walaupun terdapat pengumuman awal bahawa RM37 juta akan diberikan kepada NAAM.

    2) Tiada seseorang ahli lembaga NAAM pun, mahupun pelaksana NAAM di peringkat negeri, yang menerima sebarang pampasan mahupn gaji daripada NAAM. Malahan, sewaan pejabat NAAM dan gaji staf perkeranian bukan dibayar menggunakan peruntukan NAAM yang diberikan oleh JPM.

    3) NAAM merupakan pembekal latihan perkhidmatan yang tidak memberi sebarang pinjaman kepada peserta-peserta yang dilatih olehnya. NAAM telah membelanjakan anggaran RM9.6 juta daripada jumlah RM19 juta untuk program latihan yang dikendalikan oleh 3 buah syarikat (termasuk kos bahan) kepada 1330 individu bagi memulakan ladang cili masing-masing.

    4) EPU telah memberikan garis panduan kepada NAAM berkenaan jenis program dan aktiviti yang boleh dijalankan dan juga anggaran belanjawan bagi setiap jenis program dan aktiviti.

    5) KBS telah menjalankan audit dalaman terhadap NAAM.

    Walaupun pengerusi NAAM telah memberikan penjelasan terhadap butiran program dan aktiviti mereka, namun masih terdapat beberapa perkara yang menjadi kebimbangan, termasuklah:

    1) Kadar keberjayaan para pelatih untuk memulakan penanaman ladang cili masih sangat rendah

    Sebagai contoh, seramai 1330 peserta telah dilatih untuk memulakan ladang cili mereka, namun hanya seramai 129 peserta  telah memulakan ladang cili (anggaran 10%) disebabkan pelbagai faktor, termasuk kekurangan modal dan akses yang mencukupi kepada tanah untuk memulakan penanaman. Apabila dibandingkan dengan jumlah dana yang dibelanjakan untuk latihan (sejumlah RM7300 bagi setiap peserta atau RM9.6 juta secara keseluruhan), kadar yang rendah ini menimbulkan isu terhadap keberkesanan program utama NAAM, iaitu penanaman cili.

    Ketidakmampuan peserta untuk memperoleh sumber kewangan bagi memulakan ladang cili mereka juga amat membimbangkan.

    Daripada sejumlah 1330 peserta, hanya 11 orang sahaja yang berjaya memperoleh pinjaman daripada TEKUN untuk memulakan ladang cili sendiri dan jumlah pinjaman yang dibenarkan hanyalah RM19,000 berbanding anggaran kos bagi memulakan ladang cili yang diberi oleh pengerusi, iaitu RM40,000. Maksudnya, bagi kebanyakan pelatih NAAM yang terdiri daripada pemuda India dari golongan terpinggir dengan modal yang sedikit, adalah hampir mustahil untuk mendapatkan dana bagi memulakan ladang cili sendiri.

    2) Lebih maklumat harus didedahkan, misalnya tentang syarikat pengendali latihan

    Walaupun Pengerusi NAAM telah menunjukkan pecahan perbelanjaan NAAM bagi tahun 2014 dan 2015 kepada saya, namun saya tidak diberikan salinan maklumat ini. Saya berminat untuk mengetahui identiti syarikat yang diberi kontrak bagi latihan pertanian perladangan cili dan untuk menyemak latar belakang mereka. Saya telah meminta Pengerusi untuk menyiarkan maklumat ini di laman web. Saya akan menunggu dan melihat sama ada ia dibuat atau tidak. Identiti syarikat-syarikat ini adalah penting untuk mengetahui sama ada kontrak ini diberikan kepada syarikat yang berkait dengan MIC atau dengan pengerusi sendiri.

    3) Kemungkinan berlakunya konflik kepentingan melalui NAAM Trading House Sdn Bhd

    NAAM telah menubuhkan sebuah syarikat swasta bernama NAAM Trading House Sdn Bhd yang berfungsi sebagai orang tengah antara peladang cili dan pasaran cili. NAAM memegang 49% daripada saham NAAM Trading House Sdn Bhd. Konflik kepentingan mungkin akan timbul kerana NAAM Trading House Sdn Bhd mungkin akan menerima faedah daripada mengenakan caj transaksi atau komisyen kepada peladang cili dengan membeli cili daripada mereka dan menjualnya kepada pasaran.

    Pengerusi telah menjelaskan bahawa NAAM Trading House Sdn Bhd sudah tidak aktif kerana kini peladang menjual produk mereka secara langsung kepada pasaran dan FAMA. Kami tidak pasti berapa jumlah keuntungan yang telah diraih oleh NAAM Trading House memandangkan akaun 2014 tidak menyediakan maklumat berhubung pendapatan dan keuntungan.

    4) Isu kesesuaian dana kerajaan diperuntukkan kepada NGO yang diketuai oleh Timbalan Menteri masih menjadi persoalan

    Akhir sekali, walaupun sejauh mana pengerusi NAAM bersedia untuk mendedahkan maklumat aktiviti NAAM, saya masih tetap dengan pendirian saya bahawa adalah tidak sesuai bagi sesebuah NGO di mana separuh daripada lembaga pengarahnya terdiri daripada ahli-ahli parti politik, iaitu MIC dalam kes ini, untuk menerima dana kerajaan bagi menjalankan aktiviti dan program.

    Saya akan melakukan semakan susulan dengan Pengerusi berikutan janji beliau untuk membekalkan senarai penuh maklumat 129 peserta yang telah memulakan ladang cili masing-masing kepada saya. Selepas mendapat senarai ini, saya akan bekerjasama dengan rakan sejawat saya dan juga pihak berkepentingan lain untuk menjalankan audit bagi menilai kejayaan ladang cili tersebut.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

Page 4 of 40« First...23456...102030...Last »