• Adakah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan sengaja mengurangkan aktiviti kitar semula untuk memastikan bekalan sisa pepejal yang berterusan untuk loji Sisa kepada Tenaga (WTE) di Taman Beringin, Kepong?

    Kenyataan Media Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, pada 13 April 2014

    Adakah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan sengaja mengurangkan aktiviti kitar semula untuk memastikan bekalan sisa pepejal yang berterusan untuk loji Sisa kepada Tenaga (WTE) di Taman Beringin, Kepong?

    Dalam jawapan kepada soalan Parlimen saya tentang anggaran jumlah sisa di Kuala Lumpur yang dijangka akan dihasilkan pada tahun 2020, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), yang berada di bawah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, telah menganggarkan bahawa unjuran jumlah sampah pada tahun 2020 adalah 3200 tan sehari yang mewakili peningkatan tahunan antara 3% hingga 3.5%.

    Jawapan ini amat berbeza dengan Pelan Bandar KL 2020[1] yang telah diwartakan sebelum ini dan draf Pelan Bandar KL 2020 yang akan diwartakan. Draf terakhir Pelan Bandar KL 2020 membayangkan bahawa menjelang tahun 2020, 40% daripada jumlah sisa pepejal akan dikitar semula dan penjanaan sisa bagi setiap orang akan dikurangkan kepada 0.6kg/hari setiap tan (Lampiran 1). Mengikut unjuran ini,  kira-kira 1320 tan sisa pepejal akan dihasilkan setiap hari bagi 2.2 juta penduduk yang dianggarkan menetap di Kuala Lumpur mengikut draf Pelan Bandar KL 2020, iaitu 40% daripada 3200 tan yang dianggarkan oleh JPSPN dalam jawapan Parlimen.

    Adakah ini bermakna bahawa JPSPN sedang merancang untuk gagal mencapai sasaran kitar semula yang dinyatakan dalam Pelan Bandar KL 2020? Adakah terdapat niat yang tersembunyi supaya usaha-usaha kitar semula ini gagal agar bekalan sisa pepejal yang berterusan dan stabil akan dapat disalurkan ke loji Sisa kepada Tenaga (WtE) yang bakal dibina di Taman Beringin, Kepong nanti?

    Adakah ini sebab mengapa Kementerian sedang mengutamakan pembinaan loji WtE di Taman Beringin berbanding dengan kedua-dua tapak yang dikenal pasti sebagai pusat kitar semula di Taman Lindungan Melati dan Chan Show Lin dalam Pelan Bandar KL 2020? (Lampiran 2)

    Soal Selidik Pra-Kelayakan (Pre-Qualification Questionnaire atau PPQ) yang dikeluarkan kepada pembida yang berpotensi bagi projek loji WtE di Taman Beringin, Kepong telah menyatakan bahawa Kerajaan Malaysia akan menjamin bekalan sisa pepejal yang berjumlah sekurang-kurangnya 1000 tan sehari untuk pemegang konsesi yang menang bidaan tersebut. Salah satu soalan yang dikemukakan oleh pembida yang berpotensi adalah apa yang akan berlaku jika sisa pepejal yang dipungut DBKL berkurangan semasa tempoh konsesi tersebut. Jawapan yang diterima ialah bahawa “Kerajaan Malaysia buat masa ini hanya berniat untuk merancang penyampaian jumlah bahan buangan yang telah dinyatakan” – iaitu 1000 tan sehari – “dan satu mekanisma akan diusahakan bagi menangani sebarang kekurangan” (Lampiran 3). Ini mungkin bermakna bahawa kontrak yang akan ditandatangani akan merangkumi suatu mekanisma pampasan jika jumlah sisa pepejal yang diserahkan kepada pemegang konsesi adalah kurang daripada 1000 tan sehari. Sifat ‘penjelasan’ dalam kenyataan kerajaan hanya menguatkan lagi persepsi bahawa kerajaan tidak serius dalam mengurangkan sisa pepejal melalui promosi 3R – iaitu Kurangkan (Reduce), Guna Semula (Reuse) dan Kitar Semula (Recycle).

    Pengesahan lanjut bahawa Kementerian tidak serius dalam mengurangkan sisa melalui 3R juga boleh dilihat dalam pengakuan kepada pembida yang berpotensi bahawa “proses pengasingan tidak akan dijalankan semasa pemungutan” (Lampiran 4). Maksudnya, Kementerian LANGSUNG TIDAK BERNIAT untuk mengasingkan sisa pepejal pada sumbernya dalam masa 3 tahun ini iaitu apabila loji WtE dijangka siap, walaupun bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Chor Chee Heung, telah berkata seawal tahun 2011 bahawa pengasingan sisa pepejal perbandaran pada sumbernya akan dijalankan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.[2]Malah, Seksyen 74 (1) Akta ini memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara untuk menguatkuasakan pengasingan sisa pepejal termasuk di peringkat sumbernya.[3]

    Jawapan Parlimen dan juga maklumat daripada Soal Selidik Pra-Kelayakan dan penjelasan berikutnya hanya membuktikan bahawa Kementerian memang tiada niat untuk melaksanakan 3R secara serius, bersepadu dan menyeluruh bagi mengurangkan jumlah sisa pepejal di Kuala Lumpur tetapi sebaliknya berniat membiarkan jumlah sisa pepejal bertambah untuk memastikan pembekalan sisa pepejal yang berterusan kepada loji Sisa kepada Tenaga (WtE) di Taman Beringin, Kepong dan kemungkinan besar di tempat-tempat lain di mana pembinaan insinerator sedang dirancang termasuk Sungai Udang di Melaka dan Bukit Payong di Johor.

    Saya menyeru Menteri untuk menjelaskan perkara-perkara berikut:

    (i) Apakah sasaran untuk kadar kitar semula dan penjanaan sisa pepejal per kapita untuk Kuala Lumpur menjelang tahun 2020 dan apakah tindakan konkrit yang sedang diambil demi mencapai matlamat ini?

    (ii) Adakah Kementerian telah menggugurkan rancangan untuk mengasingkan sisa pepejal pada sumbernya?

    (iii) Bilakah Kementerian akan mengumumkan rancangan untuk kedua-dua tapak kitar semula di Taman Lindungan Melati dan Jalan Chan Show Lin, seperti yang dikenal pasti dalam Pelan Bandar KL 2020?

    Saya menyeru Menteri untuk meneruskan kempen 3R secara agresif dan menggunakan Akta Pengurusan dan Pembersihan Awam 2007 sepenuhnya untuk mencapai sasaran kitar semula yang telah pun ditetapkan dalam Pelan Bandar Raya KL 2020 sebelum mempertimbangkan pembinaan loji Sisa kepada Tenaga (WTE) di Taman Beringin, Kepong.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    Lampiran 1: Pelan KL City 2020 menunjukkan sasaran kitar semula dan pengeluaran sisa pepejal pada tahun 2020

    Lampiran 2: Pelan KL City 2020 menunjukkan rancangan untuk tapak insinerator Taman Beringin serta kemudahan pusat kitar semula di Taman Lindungan Melati dan Chan Show Lin

    Lampiran 3: Penjelasan tentang dokumen PPQ mengenai jumlah minimum sisa pepejal yang dijamin

    Lampiran 4: Pengesahan bahawa pemisahan sampah tidak akan dijalankan semasa pemungutan

     


    [1]  http://klcityplan2020.dbkl.gov.my/eis/?page_id=491

    [2] http://www.thestar.com.my/story.aspx/?file=%2f2011%2f3%2f1%2fnation%2f20110301150815&sec=nation

    [3] Ketua Pengarah boleh memberi arahan bertulis sebagaimana yang difikirkannya patut kepada mana-mana orang berkenaan dengan pengasingan, pengendalian dan penstoran apa-apa sisa pepejal terkawal dalam milikan orang itu bagi maksud memastikan pematuhan Akta ini.

  • Suruhanjaya Keterangkuman Sosial boleh memainkan peranan dalam memantau dasar-dasar anti-kemiskinan serupa dengan peranan SUHAKAM yang memantau tindakan kerajaan dalam pelbagai bidang hak asasi manusia

    Kenyataan Media oleh Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, pada 10 April 2014

    Suruhanjaya Keterangkuman Sosial boleh memainkan peranan dalam memantau dasar-dasar anti-kemiskinan serupa dengan peranan SUHAKAM yang memantau tindakan kerajaan dalam pelbagai bidang hak asasi manusia

    Pada 27 Mac, dalam jawapan Parlimen beliau, Menteri yang bertanggungjawab bagi Unit Perancang Ekonomi (EPU), Senator Abdul Wahid Omar, membalas cadangan saya tentang Akta Keteraangkuman Sosial / Social Inclusion Act (SIA) dengan berkata bahawa “Akta tersebut tidak diperlukan dan tidak akan dipertimbangkan.”[1] Ini sungguh mengecewakan memandangkan negara kita sedang menghadapi masalah kemiskinan yang serius.

    Walaupun tahap kemiskinan tegar di negara ini telah menurun dengan ketara semenjak 50 tahun yang lalu, hakikat bahawa 80% daripada 5.2 juta isi rumah layak untuk pusingan pertama pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) menunjukkan bahawa kemiskinan relatif di negara ini masih perlu ditangani. Baru-baru ini, Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan, telah menyatakan bahawa 7.9 juta individu dan keluarga akan menerima BR1M 3.0 dan kerajaan akan menanggung perbelanjaan sebanyak RM4.5 bilion berbanding dengan RM3 bilion bagi BR1M 2.0 dan RM2.6 bilion bagi BR1M 1.0.[2]

    Akta Keterangkuman Sosial 2014 yang merupakan bil ahli swasta yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Jeyakumar dan disokong oleh saya, mencadangkan penubuhan satu Suruhanjaya Keterangkuman Sosial untuk memantau dasar-dasar anti-kemiskinan yang dilaksanakan oleh agensi-agensi kerajaan yang berbeza dan untuk memberi cadangan di mana diperlukan. Beberapa peranan Suruhanjaya ini hampir sama dengan peranan SUHAKAM dalam memantau rekod hak asasi manusia agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab untuk aspek yang berbeza. Sebagai contoh, kedua-dua Suruhanjaya mempunyai kuasa untuk menjalankan siasatan aduan di mana ada diperlukan[3] dan kedua-dua Suruhanjaya juga mempunyai kuasa untuk menjalankan tinjauan dan penyelidikan untuk mengenalpasti masalah-masalah utama yang perlu ditangani.[4]

    Sebelum ini, SUHAKAM memantau pelbagai bidang hak asasi manusia termasuk mengkaji aduan tentang keganasan dan kezaliman polis, hak tanah orang asal, hak kanak-kanak, hak wanita dan meningkatkan kesedaran tentang hak asasi manusia di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi. Baru-baru ini, laporan tahunan SUHAKAM 2012 telah mengenalpasti kelemahan dalam pindaan kepada Akta Pencegahan Jenayah dan Kanun Keseksaan yang telah diluluskan pada tahun 2013. Usaha SUHAKAM telah menekan kerajaan untuk menjadi lebih bertanggungjawab atas tindakannya termasuk menerbitkan respons kepada Laporan Tahunan SUHAKAM 2012.

    Suruhanjaya Keterangkuman Sosial boleh memainkan peranan yang serupa dengan SUHAKAM dalam mengetengahkan kelemahan yang sedia ada dalam langkah-langkah anti-kemiskinan yang dijalankan oleh kerajaan. Atas sebab ini, Akta Rangkuman Sosial 2014 seharusnya dibentangkan dan dibenarkan untuk dibahas oleh Ahli-Ahli Parlimen.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang


    [1] http://www.rakyattimes.com/index.php/news/333-government-rejects-the-social-inclusion-act

    [2] http://english.astroawani.com/news/show/br1m-3-0-over-70-of-new-eligible-recipients-did-not-register-ahmad-maslan-27815

    [3] Seksyen 20(1)(a) Akta Keterangkuman Sosial dan Seksyen 4(1)(d) Akta SUHAKAM

    [4] Seksyen 20(1)(b) Akta Keterangkuman Sosial dan Seksyen 4(2)a) Akta SUHAKAM

  • Adalah Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, James Dawos Mamit, tidak bercakap benar apabila beliau berkata bahawa pelepasan dioksin dari insinerator sisa berbahaya Bukit Nanas dipantau sekali setiap bulan?

    Kenyataan Media oleh Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, pada 5 April 2014

    Adalah Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, James Dawos Mamit, tidak bercakap benar apabila beliau berkata bahawa pelepasan dioksin dari insinerator sisa berbahaya Bukit Nanas dipantau sekali setiap bulan?

    Dalam jawapan beliau mengenai isu-isu yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen penyokong kerajaan semasa perbahasan titah ucapan Yang DiPertuan Agung baru-baru ini, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, James Dawos Mamit telah berkata bahawa pengukuran tahap lepasan dioksin dari insinerator sisa berbahaya di Bukit Nanas, Negeri Sembilan dilakukan sekali setiap bulan. Inilah jawapan beliau apabila saya bertanya kepadanya beberapa kerap tahap lepasan dioksin dari insinerator itu diukur. Sebelum itu, Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seong, juga membangkitkan soalan sama ada insinerator sisa berbahaya di Bukit Nanas akan dipindahkan apabila kontrak pengendalian fasiliti tersebut yang telah diberi kepada Kualiti Alam tamat pada 28 Februari 2015.

    Saya terus memaklumkan Menteri bahawa menurut laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan garis panduan Jabatan Alam Sekitar (JAS), tahap dioksin di insinerator hanya diambil setahun sekali dan bukan sebulan sekali. Kemudian, Timbalan Menteri berkata bahawa jawapan beliau diberi berdasarkan sejarah pengendalian insinerator sisa berbahaya di Kuching.

    Saya terkejut apabila saya membaca Laporan Tahunan Kelestarian UEM-Enviro bagi tahun 2012 dan 2011 iaitu syarikat induk Kualiti Alam Sdn Bhd yang mengendalikan insinerator sisa berbahaya di Bukit Nanas, Negeri Sembilan. Muka surat 75 dalam laporan tahun 2012 melaporkan bahawa stesen pemantauan cerebong-cerebong – yang memantau komposisi lepasan dari insinerator – “mencatatkan beberapa bahan gas berbahaya termasuk dioksin dan furan. Gas-gas ini mungkin telah dihasilkan melalui pembakaran sisa berjadual.”[1]

    Namun, apabila saya meneliti keputusan pemantauan yang diterbitkan pada muka surat 82 laporan itu, TIADA SEBARANG PENGUKURAN dibekalkan untuk tahap dioksin dan furan. (Lampiran 1 di bawah) Saya mendapati masalah yang sama wujud dalam laporan 2011. Muka surat 50 laporan 2011 melaporkan bahawa lepasan dioksin dan furan diperhatikan tetapi tahap dioksin dan furan itu TIDAK DITERBITKAN.[2] (Lampiran 2 di bawah)

    Dalam erti kata lain, tahap dioksin dan furan yang dilepaskan insinerator sisa berbahaya terbesar di Semenanjung Malaysia bukan sahaja TIDAK diukur setiap bulan, malah tahap dioksin dan furan tidak pun diterbitkan SEKALI PUN dalam Laporan Kemampanan Alam Sekitar 2011 dan 2012 syarikat yang mengendalikan insinerator tersebut.

    Adakah ini bermakna bahawa Jabatan Alam Sekitar (JAS), yang berada di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, gagal sepenuhnya untuk menjalankan tugas penguatkuasaan yang merupakan tanggungjawabnya? Jika ya, dapatkah kita mempercayai bahawa JAS akan menguatkuasakan standard kualiti udara bagi loji ‘Sisa kepada Tenaga’ (WtE) yang bakal dibina di Taman Beringin, Kepong?

    Saya menyeru Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Sumber Asli untuk membekalkan maklumat yang berkaitan dengan pengukuran tahap lepasan dioksin dan furan dari insinerator sisa berbahaya di Bukit Nanas, Negeri Sembilan dari 2011 ke 2013 serta kekerapan pengukuran ini.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    Lampiran 1: Keputusan Pemantauan Lepasan Cerobong dari Laporan Kemampanan Alam Sekitar 2012 UEM Enviro – Tiada sebarang pengukuran dioksin dan furan yang diterbitkan

    Lampiran 2: Keputusan Pemantauan Lepasan Cerobong dari Laporan Kemampanan Alam Sekitar 2011 UEM Enviro – Tiada sebarang pengukuran dioksin dan furan yang diterbitkan


    [1] http://www.kualitialam.com/wp-content/files_flutter/1372134827UEMEnvironmentSustainabilityReport2012_forwebsite1.pdf (Sisa berjadual merupakan istilah yang juga bermaksud sisa berbahaya)

    [2] http://www.kualitialam.com/wp-content/files_flutter/1343385728UEMEEnvironmentSustainabilityReport2011.pdf

  • Menteri Besar Khalid Ibrahim tidak harus melepaskan tanggungjawab beliau untuk mencari penyelesaian adil dan saksama kepada isu rampasan 300 Alkitab Melayu dan Iban daripada Persatuan Alkitab Malaysia (BSM) oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

    Kenyataan Media oleh Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, pada 2 April 2014, di Kuala Lumpur

    Menteri Besar Khalid Ibrahim tidak harus melepaskan tanggungjawab beliau untuk mencari penyelesaian adil dan saksama kepada isu rampasan 300 Alkitab Melayu dan Iban daripada Persatuan Alkitab Malaysia (BSM) oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

    Kami amat khuatir membaca kenyataan Menteri Besar Khalid Ibrahim semalam bahawa Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil keputusan untuk meminta Persatuan Alkitab Malaysia (BSM atau Bible Society of Malaysia) menulis terus kepada Peguam Negara agar mengembalikan Alkitab yang dirampas. Kami amat resah terhadap kenyataan MB bahawa BSM “perlu membuktikan kesungguhan dan keinginan mereka” untuk mendapatkan semula Alkitab Melayu dan Iban dari Jabatan Agama Islam Selangor.[1]

    Kami ingin mengingatkan MB bahawa pada 8 Januari 2014, seminggu selepas Alkitab dirampas oleh JAIS, MB sendiri telah mengarahkan JAIS untuk mendapatkan penjelasan daripada Kementerian Dalam Negeri[2] sama ada Alkitab Melayu dan Iban memenuhi Penyelesaian 10 Perkara yang diumumkan oleh kerajaan BN pada tahun 2011 sebelum pilihan raya kecil negeri Sarawak.[3]

    Kami berharap agar MB masih ingat terhadap beberapa perkara penting yang terkandung dalam Penyelesaian 10 Perkara termasuk yang berikut (yang jelas menunjukkan bahawa pencetakan dan pengedaran Alkitab Melayu kepada orang Kristian di Semenanjung Malaysia adalah selaras dengan 10 perkara):

    1.      Alkitab dalam semua bahasa boleh diimport ke negara ini, termasuk Bahasa Malaysia/Indonesia.

    2.      Alkitab-alkitab ini boleh dicetak secara tempatan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Ini adalah perkembangan baru yang wajar diterima oleh kumpulan-kumpulan Kristian.

    5. Dengan mengambil kira kepentingan masyarakat Islam yang berbilangan lebih besar, di Semenanjung Malaysia, Alkitab dalam Bahasa Malaysia/Indonesia, samada diimport atau dicetak, perlu ada perkataan-perkataan “Penerbitan Kristian” dan lambang salib dicetak pada kulit muka depannya.

    Kami juga ingin mengingatkan MB bahawa kami masih belum mendengar hasil siasatan JAIS ke atas Alkitab BM dan Iban di mana, menurut kata-kata MB pada 25 Januari 2014, ia perlu diselesaikan sebelum Kerajaan Negeri Selangor memutuskan tindakan yang seterusnya.[4]

    Kami menggesa MB untuk meminta JAIS membekalkan maklumat terkini mengenai perkembangan penyiasatan ini dan sama ada perlu atau tidak SEMUA 300 salinan Alkitab BM dan Iban disimpan sementara siasatan sedang dijalankan.

    Gesaan MB kepada BSM supaya menulis terus kepada Peguam Negara amat mengejutkan memandangkan beliau dipetik berkata pada Isnin, 31 Januari 2014 bahawa satu resolusi untuk perkara ini sedang dalam peringkat akhir persiapan.[5]

    Permintaan MB merupakan pelepasan tanggungjawab kerajaan negeri untuk mencari resolusi yang adil dan saksama bagi isu ini yang berkait rapat dengan hak kebebasan beragama yang dilindungi perlembagaan, yang termasuk hak mengurus hal ehwal agama sendiri seperti yang termaktub dalam Perkara 11 (3) Perlembagaan Persekutuan.

    Kami ingin mengingatkan MB bahawa Pakatan Rakyat di Selangor telah diberi mandat yang kuat pada Pilihan Raya Umum ke-13 berasaskan janji Pakatan untuk mentadbir secara inklusif, adil dan saksama. Meminta BSM untuk menulis terus kepada Peguam Negara dan menunjukkan “kesungguhan dan keinginan” mereka untuk mendapatkan balik Alkitab akan dilihat sebagai tidak mengendahkan janji pilihan raya tersebut. Kami menggesa MB untuk mencari secara proaktif jalan penyelesaian kepada isu ini melalui perundingan dengan pihak berkepentingan yang utama termasuk JAIS, BSM, Peguam Negara dan Kementerian Dalam Negeri dan bukan sekadar menolak tanggungjawab ini kepada BSM.

    Sesungguhnya, kesungguhan dan keinginan untuk mencari penyelesaian yang adil dan saksama kepada masalah ini akan menjadi mercu tanda seseorang pembawa pembaharuan tulen.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang


    [1] http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/selangor-tells-bsm-to-seek-bibles-return-on-its-own

    [2] http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2014/01/08/sgor-mb-say-confiscated-bibles-must-be-returned/

    [3] http://www.thestar.com.my/Story/?file=%2F2011%2F4%2F3%2Fnation%2F8407376

    [4] http://www.fz.com/content/sgor-wait-jais-complete-probe-seized-bibles-khalid

    [5] http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/bible-society-told-to-write-to-attorney-general-for-return-of-al-kitab

  • Sistem ‘Satu Orang, Satu Undi, Berdasarkan Kaum’ yang dicadangkan oleh Menteri yang bertanggungjawab terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya, Shahidan Kassim, akan memburukkan dan dan bukannya memperbaiki masalah etnik di Malaysia

    Kenyataan Media oleh Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, pada 1 April, 2014

    Sistem ‘Satu Orang, Satu Undi, Berdasarkan Kaum’ yang dicadangkan oleh Menteri yang bertanggungjawab terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya, Shahidan Kassim, akan memburukkan dan  dan bukannya memperbaiki masalah etnik di Malaysia

    Semalam, Menteri yang bertanggungjawab terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya, Shahidan Kassim, telah mencadangkan sistem pilihan raya berprinsip ‘satu orang, satu undi, berdasarkan bangsa’ di mana pengundi-pengundi akan mengundi wakil dari bangsa yang sama misalnya orang Melayu mengundi wakil Melayu, orang Cina mengundi wakil Cina dan orang India mengundi wakil India. Menteri mendakwa bahawa cadangan ini akan mengurangkan masalah perkauman di negara ini.

    Cadangan Menteri adalah lucu bukan hanya kerana ia adalah tidak demokratik, tidak mengikut perlembagaan dan menyokong ‘pilihan raya apartheid, tetapi kerana ia juga akan memburukkan dan bukannya memperbaiki hubungan kaum di negara ini. Jika wakil Melayu hanya diundi oleh pengundi Melayu, mereka tentunya akan hanya mewakili pandangan pengundi Melayu mereka. Begitu juga bagi wakil Cina yang diundi oleh pengundi Cina, wakil India yang diundi oleh pengundi India, wakil Iban yang diundi oleh pengundi Iban, wakil Kadazan yang diundi oleh pengundi Kadazan dan sebagainya. Ini bermakna bahawa tiada insentif pilihan raya untuk wakil-wakil mempertimbangkan pandangan pengundi yang bukan dari bangsa mereka sendiri. Ini tentu akan memburukkan polarisasi kaum dan bukannya mengurangkan masalah perkauman.

    Bandingkan keadaan tersebut dengan situasi sekarang di mana wakil-wakil rakyat dari kawasan etnik bercampur atau heterogen seperti kawasan Parlimen saya sendiri iaitu Serdang (49% Cina, 40% Melayu, 10% India, 1% Lain-lain) di mana saya perlu mendengar pandangan dan pendapat daripada pengundi-pengundi dari semua kaum. Malah, ramai wakil Pakatan Rakyat, terutamanya di kawasan bandar, yang lebih etnik heterogen atau bercampur, telah diundi oleh pengundi-pengundi dari semua kaum dan dengan itu perlu mengambil kira pelbagai pandangan politik terhadap pelbagai isu. Jika sistem pilihan raya berasaskan bangsa dan perwakilan dilaksanakan, wakil rakyat tidak perlu menghadiri perayaan agama dan budaya kaum-kaum lain kerana ini mereka bukan ‘pengundi sendiri’! Perlukah seseorang wakil Melayu melawat sebuah kuil Cina, kuil India atau gereja jika semua pengundi mereka adalah Melayu? Perlukah seseorang wakil Cina berbuka puasa dengan orang Melayu di surau dan masjid jika semua pengundi mereka adalah Cina?

    Saya menyeru Menteri, yang mendakwa mempunyai PhD, untuk mendedahkan kepada rakyat Malaysia apa jenis kajian yang telah beliau jalankan demi membuktikan bahawa sistem ‘apartheid pilihan raya’ ini akan mengurangkan masalah kaum di Malaysia. Saya juga menyeru Menteri untuk memaklumkan kepada semua rakyat Malaysia negara mana yang telah berjaya melaksanakan sistem ‘apartheid pilihan raya’ ini dan berjaya mengurangkan masalah perkauman.

    Jika Menteri gagal menampilkan bukti yang mencukupi untuk menunjukkan kebolehkerjaan cadangan beliau, ia akan mengesahkan bahawa beliau tidak layak menjadi Menteri yang bertanggungjawab bagi Suruhanjaya Pilihan Raya. Saya mengulangi gesaan saya agar beliau meletakkan jawatan dengan segera dan jika beliau tidak berbuat demikian, untuk Perdana Menteri sendiri meminta beliau meletakkan jawatan.

    Cadangan Menteri juga disokong oleh Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Muktar, semasa perbahasan parlimen pagi ini. Memandangkan cadangan ini disokong secara terus-terang oleh dua Ahli Parlimen UMNO, saya menyeru Perdana Menteri untuk menjelaskan sama ada cadangan ini turut disokong sepenuhnya oleh UMNO. Saya menyeru pemimpin-pemimpin parti bukan UMNO yang lain di dalam BN untuk juga menjelaskan sama ada mereka menyokong cadangan Menteri.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

Page 30 of 40« First...1020...2829303132...40...Last »