• ‘Bailout’ PKFZ akan berterusan sekurang-kurangnya hingga ke tahun 2036

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 23hb November 2014

    ‘Bailout’ PKFZ akan berterusan sekurang-kurangnya hingga ke tahun 2036

    Dalam Laporan Tahunan 2013 Lembaga Pelabuhan Kelang (Port Klang Authority atau PKA) yang diberi kepada Ahli Parlimen pada awal minggu ini, pejabat Ketua Audit menyatakan perkara berikut:

    “Sepertimana yang terdapat dalam Nota 15 untuk Penyata Kewangan, liabiliti jangka panjang Lembaga Pelabuhan Kelang setakat 31 Disember 2013 berjumlah RM4.24b. Berdasarkan kedudukan kewangan semasa Lembaga Pelabuhan Kelang, keupayaan untuk menyelesaikan liabiliti jangka panjang adalah tertakluk kepada sokongan kewangan berterusan daripada kerajaan.”

    LPK telah mengalami kerugian akibat daripada komitmen kewangan yang besar hasil daripada pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ). Dalam tempoh empat tahun sejak 2010, LPK telah mengalami jumlah kerugian bersih sebanyak RM674 juta. Pada tahun 2013, jumlah kos kewangan yang dibayar oleh LPK berjumlah RM203.8 juta, hanya kurang sedikit daripada jumlah pendapatan LPK iaitu RM217.4 juta.

    Pinjaman jangka panjang LPK telah meningkat dari RM3.5b pada tahun 2010 kepada RM4.24b pada tahun 2013. Manakala jumlah pinjaman bagi LPK, termasuk pinjaman jangka pendek, telah meningkat daripada RM4.06b pada tahun 2010 kepada RM4.41b pada tahun 2013. RM3.81b daripada RM4.24b pinjaman tempoh panjang adalah daripada Kerajaan Malaysia.

    Laporan Tahunan 2013 LPK telah menyatakan bahawa “pada 19 Disember 2013, Kementerian Kewangan telah bersetuju untuk menyusun semula baki dalam Pinjaman Kerajaan LPK (Lembaga Pelabuhan Klang). Kadar faedah dikenakan ialah 4% setahun bersama-sama dengan penalti sebanyak 2% setahun ke atas baki tertunggak. Tempoh penangguhan adalah 4 tahun bermula dari tahun 2014 sehingga 2017. Tempoh pembayaran adalah 19 tahun bermula dari tahun 2018 sehingga 2036.

    Walaupun adanya tempoh penangguhan ini dan kadar faedah sebanyak 4%, LPK perlu membuat pembayaran faedah bernilai kira-kira RM285 juta untuk setahun selama 19 tahun bermula dari tahun 2018 sehingga 2036. Pendapatan semasa LPK bernilai RM217.4 juta. LPK juga perlu membayar perbelanjaan lain seperti kos kakitangan dan kos susut nilai.

    Selain itu, keupayaan PKFZ menjana pendapatan yang mencukupi untuk menampung pembayaran faedah ini jelas boleh dipersoalkan. Pendapatan PKFZ bagi Tahun Kewangan 2013 adalah RM10.1j dan keuntungan sekadar RM209,615. Bekas Pengerusi LPK, Lee Hwa Beng, dalam satu temu bual dengan akhbar The Edge Weekly minggu ini menyatakan keraguan beliau tentang sama ada PKFZ boleh menjana keuntungan disebabkan kos pelaburan yang besar. Dalam The Edge Weekly minggu ini, Ketua Pegawai Eksekutif Chia Kon Leong berkata bahawa pelan pemulihan PKFZ bergantung kepada peluang mendapatkan kesepakatan dengan syarikat China, SM International Wholesale (China) Center Sdn Bhd untuk menjadikan PKFZ sebagai hab borong antarabangsa (international wholesale hub). Namun, pada masa ini, kita masih tidak tahu sama ada pelaburan ini akan terjamin atau tidak, dan sama ada pelaburan ini dapat membantu LPK menjana keuntungan atau tidak.

    Walaupun kita tidak mahu melihat PKFZ gagal, yang akan menyebabkan lebih banyak duit pembayar cukai digunakan untuk menyelamatkan LPK, kerajaan seolah-olah akan menyusun semula pinjaman kewangan kepada LPK. Dalam erti kata lain, pembayar cukai akan terus menderita akibat skandal LPK sekurang-kurangnya sehingga tahun 2036.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

  • Adakah Pembinaan PFI cuba untuk menyembunyikan hutang yang semakin banyak dengan lewat memfailkan akaun syarikat 2013?

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 19hb November 2014

    Adakah Pembinaan PFI cuba untuk menyembunyikan hutang yang semakin banyak dengan lewat memfailkan akaun syarikat 2013?

    Pembinaan PFI Sdn Bhd adalah syarikat milik Kementerian Kewangan yang mempunyai liabiliti sebanyak RM27.9b, yang menjadikannya syarikat milik kerajaan dengan liabiliti ketiga tertinggi selepas Petronas dan Khazanah menurut Laporan Ketua Audit Negara 2013.

    Liabiliti PFI ini juga seolah-olah telah meningkat dengan kadar yang membimbangkan. Sebagai contoh, pada akhir Tahun Kewangan 2011, liabiliti PFI adalah sebanyak RM19.9b (Lampiran 1). Pada akhir Tahun Kewangan 2012, liabiliti PFI ini telah meningkat kepada RM27.9b, iaitu peningkatan sebanyak RM8b dalam hanya setahun (Lampiran 2).

    PFI telah membentangkan akaun syarikat untuk Tahun Kewangan 2011 pada 29hb Jun 2012 dan bagi Tahun Kewangan 2012 pada 28hb Jun 2013. Apabila saya membuat semakan pada 11hb November 2014, PFI belum memfailkan akaun syarikat bagi Tahun Kewangan 2013, yang bermakna bahawa mereka telah lewat memfailkan akaun untuk hampir 5 bulan.

    Adakah PFI cuba menyembunyikan satu lagi peningkatan liabilitinya pada Tahun Kewangan 2013? Adakah ia sedang mengikut jejak langkah syarikat-syarikat lain milik Kementerian Kewangan seperti SRC Antarabangsa dan 1MDB dan anak-anak syarikatnya dalam tidak memfailkan akaun syarikat mereka tepat pada masa?

    Saya menyeru Kementerian Kewangan untuk mengeluarkan kenyataan untuk menjelaskan mengapa akaun syarikat Pembinaan PFI Sdn Bhd bagi Tahun Kewangan 2013 masih belum difailkan dan juga mengapa perbelanjaan pembangunan kerajaan sedang disalurkan melalui entiti ini yang kurang dikenali.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    Lampiran 1: Ringkasan Maklumat Kewangan Pembinaan PFI Sdn Bhd bagi Tahun Kewangan 2011

    Lampiran 2: Ringkasan Maklumat Kewangan Pembinaan PFI Sdn Bhd bagi Tahun Kewangan 2012

  • Mengapakah kerajaan bayar sewa RM29.2 bilion untuk tanah sendiri?

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 18hb Oktober 2014

    Mengapakah kerajaan bayar sewa RM29.2 bilion untuk tanah sendiri?

    Laporan Ketua Audit Negara yang terbaru pada tahun 2013 melaporkan fakta yang jarang diketahui berkenaan syarikat milik Kementerian Kewangan, iaitu Pembinaan PFI Sdn Bhd yang telah mengumpul hutang sebanyak RM27.9 juta dan berada di tempat ketiga syarikat milik kerajaan yang mempunyai hutang terbanyak selepas Petronas dan Khazanah.

    Pinjaman pembiayaan Pembinaan PFI adalah daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Untuk membayar balik pinjaman bernilai RM20 juta yang pertama, kerajaan telah merangka struktur perjanjian yang sangat rumit dan meragukan. Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (FLC) telah menandatangani perjanjian di mana ia akan memberi kepada PFI pajakan sebanyak 186 plot tanah di seluruh Malaysia. FLC kemudian akan membuat sub-pajakan daripada PFI dengan membayar sewa untuk tanah yang asalnya dimiliki oleh FLC. (Lihat Lampiran 1 untuk dua muka surat pertama perjanjian sewa).

    Dengan kata lain, kerajaan membuat sub-pajakan tanah ke atas tanah sendiri. Ia adalah umpama saya menyewa sebuah apartmen yang dimiliki oleh saya kepada isteri saya dan kemudiannya menyewa balik apartmen tersebut dengan membuat bayaran kepada isteri saya!

    Pembayaran sewa daripada FLC kepada PFI dipecahkan kepada pembayaran berperingkat sebanyak 30 kali selama 15 tahun bermula daripada 15 Febuari 2013 hingga 13 Ogos 2027. Jumlah bayaran sewa adalah sebanyak RM29.2 juta. (Lihat Lampiran 2)

    Saya menggesa Kementerian Kewangan untuk menjelaskan mengapa perjanjian ini dibuat di mana kerajaan perlu membayar sewa untuk tanah sendiri. Apakah tujuan perjanjian ini sebenarnya untuk menyembunyikan perbelanjaan kerajaan dari defisit belanjawan supaya ia kelihatan berkurang?

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    Lampiran 1: Perjanjian sub-pajakan antara Pembinaan PFI Sdn Bhd dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan

    Lampiran 2: Jadual pembayaran sewa oleh Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (FLC) kepada Pembinaan PFI Sdn Bhd.

  • Kerajaan cuba menyembunyikan perbelanjaan RM30b oleh Pembinaan PFI Sdn Bhd yang mempunyai liabiliti terbesar ke-3 antara semua syarikat-syarikat milik kerajaan pada tahun 2012

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 13hb November 2014

    Kerajaan cuba menyembunyikan perbelanjaan RM30b oleh Pembinaan PFI Sdn Bhd yang mempunyai liabiliti terbesar ke-3 antara semua syarikat-syarikat milik kerajaan pada tahun 2012

    Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2014, Siri Ke-3, sebuah syarikat milik Kementerian Kewangan yang kurang dikenali – iaitu Pembinaan PFI Sdn Bhd – telah mengumpul liabiliti sebanyak RM27.8b pada tahun 2012. Ini menjadikannya syarikat dengan liabiliti ke-3 terbesar antara semua syarikat-syarikat milik kerajaan selepas Petronas dan Khazanah (Lihat Rajah 1 di bawah)[1].

    Rajah 1: 3 syarikat milik kerajaan dengan liabiliti terbesar pada tahun 2012

    Namun, tidak seperti Petronas atau Khazanah yang merupakan syarikat milik kerajaan yang paling mengaut untung pada tahun 2012 (Lihat Rajah 2 di bawah), Pembinaan PFI Sdn Bhd tidak mempunyai aliran pendapatan sendiri dan dengan itu, tidak berupaya mengaut keuntungan.

    Rajah 2: Petronas dan Khazanah merupakan dua syarikat milik kerajaan yang paling mengaut keuntungan pada tahun 2012

    Menurut dokumen syarikat, jenis perniagaan Pembinaan PFI adalah untuk “mendapatkan pembiayaan bagi projek-projek kerajaan”. Menurut laporan yang meluas dalam The Edge, PFI telah ditubuhkan untuk mengagihkan peruntukan bernilai RM20b di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 pada tempoh 2006-2010.[2] Di samping itu, keutamaan bagi kontrak di bawah PFI akan diberikan kepada kontraktor bumiputera kecil.

    Sehingga hari ini, hampir tiada ketelusan tentang bagaimana sebenarnya RM20b ini telah dibelanjakan dan juga terma-terma perjanjian konsesi antara kontraktor dan kerajaan untuk sewa atau pajakan bangunan yang dibina di bawah PFI. Tiada sebuah laman web pun yang didirikan untuk Pembinaan PFI! Ini sangat berbeza dengan Pembinaan BLT Sdn Bhd, yang ditubuhkan pada tahun 2005 sebagai sebuah syarikat bertujuan khas untuk membina pejabat polis dan kuarters kakitangan yang kemudian disewakan semula kepada kerajaan, dan bukan sahaja mempunyai laman web tetapi turut menyenaraikan semua bangunan yang telah disiapkan sejak tahun 2008.[3]

    Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini juga menyebut bahawa pusingan kedua pembiayaan bernilai RM10b telah diperuntukkan kepada PFI di mana RM7.57 bilion telah diperuntukkan untuk 16 Kementerian / Agensi bagi melaksanakan 313 projek. Sehingga 31hb Disember 2013, sebanyak RM4.9b telah dibelanjakan daripada pembiayaan kedua ini. Menurut fail syarikat Pembinaan PFI Sdn Bhd, semua pinjamannya adalah daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

    Apa yang lebih merisaukan adalah hakikat bahawa kerajaan cuba menyembunyikan perbelanjaan tersebut daripada Bajet. Kerajaan telah mewujudkan satu perjanjian yang berbelit di mana 186 bidang tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) telah dipajak kepada PFI dan selepas itu PTP telah diminta untuk membuat sub-pajakan tanah ini kembali daripada PFI dengan separuh pembayaran tahunan dari tahun 2012 hingga tahun 2027 berjumlah RM29.2b (Lampiran 1). Kemudiannya, PFI akan menggunakan bayaran daripada PTP ini untuk membayar faedah yang dikenakan oleh KWSP. Perjanjian pajakan tanah (dilampirkan dalam e-mel) adalah penting kerana tanah yang ‘dimiliki’ oleh PFI disenaraikan sebagai sebahagian daripada asetnya. Ini adalah sebab mengapa laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini juga menunjukkan bahawa PFI mempunyai 3 pegangan aset terbesar di kalangan semua syarikat milik kerajaan, selepas Petronas dan Khazanah (Rajah 3 di bawah). Pada hakikatnya, ‘aset’ ini adalah pegangan tanah yang bukan dimiliki PFI sendiri tetapi telah dipajak daripada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.

    Rajah 3: Senarai tempat ketiga teratas syarikat milik kerajaan yang mempunyai aset terbesar pada tahun 2012

    Saya menggesa Kementerian Kewangan untuk mendedahkan senarai penuh projek-projek dan kos setiap projek yang telah dianugerahkan oleh Pembinaan PFI demi menjamin ketelusan penuh projek yang akan datang. Saya juga menggesa Ketua Audit Negara untuk menjalankan siasatan terperinci ke atas Pembinaan PFI termasuk sama ada Prosedur Operasi Standard (SOP) oleh kerajaan dipatuhi atau tidak semasa penganugerahan kontrak.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    Lampiran A: Artikel PFI Forum Article dalam The Edge, 2006

    Lampiran B: Perjanjian Pembinaan PFI Sdn Bhd dengan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan

    Lampiran C: Profil Syarikat Pmbinaan PFI Sdn Bhd, 11 Nov 2014

    Lampiran 1: Jadual pembayaran daripada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan kepada Pembinaan PFI Sdn Bhd

    [1] Jika pelaksanaan yang sama telah dilakukan untuk 2013 akaun, 1MDB mungkin akan menduduki tempat ketiga.

    [2] http://www.mbam.org.my/mbam/images/MBJ3Q06(pdf)/@PFIforum.pdf

    [3] [3] http://www.pblt.com.my/ver4/project.html

  • Mengapa Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan memberi kontrak 3 tahun berjumlah RM 3.56 juta kepada syarikat yang sama, XCN Teknologi untuk meneruskan kesilapan mereka dalam mengurus insinerator di Pangkor?

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 12hb November 2014

    Mengapa Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan memberi kontrak 3 tahun berjumlah RM 3.56 juta kepada syarikat yang sama, XCN Teknologi untuk meneruskan kesilapan mereka dalam mengurus insinerator di Pangkor?

    Laporan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) baru-baru ini tentang pembinaan dan pengurusan 4 buah insinerator berskala kecil di Pangkor, Langkawi, Cameron Highlands dan Pulau Tioman menunjukkan satu kesilapan besar dilakukan oleh pihak meluluskan kontrak untuk pembinaan insinerator.

    PAC mendapati bahawa Kementerian telah gagal melaksanakan tanggungjawab mereka untuk melakukan usaha wajar yang betul dalam memilih teknologi yang dicadangkan oleh XCNT memandangkan prototaip sebelum ini yang digunakan oleh syarikat yang sama di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MPKT) telah gagal dan prototaip di UiTM Shah Alam hanya digunakan membakar sisa kertas sahaja. PAC juga mendapati bahawa pakar daripada UTM dan Kumpulan IndustriKerajaan untuk Teknologi Tinggi Malaysia (MiGHT) telah gagal melaksanakan tanggungjawab mereka dalam menilai teknologi XCNT ini.

    PAC juga telah mencadangkan agar tindakan sesuai diambil terhadap kesilapan yang dilakukan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, XCNT dalam kapasitinya sebagai kontraktor utama, Prof Dr Rozainee Taib dari UTM dan Dr Sivapalan Katsiravale, Penganalisis Utama dari MiGHT yang terlibat dalam memilih, merancang dan melaksanakan projek-projek incinerator tersebut.

    Laporan Ketua Audit Negara 2012 juga telah mendedahkan kelemahan ketara dalam operasi insinerator Pulau Pangkor. Pada 15hb September 2014, ahli-ahli Kuala Lumpur Tak Nak Insinerator (KTI), sebuah NGO yang berkempen menentang projek insinerator yang dicadangkan di Taman Beringin, Kepong, telah melawat insinerator Pulau Pangkor dan mendapati bahawa masalah yang dikenal pasti dalam laporan Ketua Audit Negara masih lagi berterusan, misalnya kegagalan untuk mengasingkan sisa sebelum pembakaran dan pelupusan abu terbang (fly ash) yang tidak diuruskan dengan baik. (Lihat gambar dalam Rajah 2 di bawah)

    Walaupun kegagalan XCNT untuk menguruskan insinerator Pulau Pangkor telahpun dikesan, namun Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah memberikan kontrak tiga tahun bermula dari tahun 2014 yang berjumlah RM3.56m bagi meneruskan operasi insinerator ini. (Lihat Rajah 1 di bawah)

    Rajah 1: Kontrak 3 tahun bernilai RM3.56 juta diberi kepada XCNT bermula dari tahun 2014

    Pemberian kontrak untuk mengendalikan dan menyelenggara insinerator Pulau Pangkor membuktikan bahawa Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersikap acuh tak acuh terhadap XCNT yang secara terang-terangan melanggar piawaian alam sekitar, malah Kementerian tidak mengambil kira aspek kesihatan dan kesejahteraan penduduk Pulau Pangkor. Biarpun adanya laporan Ketua Audit Negara dan mesyuarat PAC, Kementerian seolah-oleh tidak mempelajari apa-apa dan terus beroperasi seperti sebelum ini.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    Rajah 2: Gambar yang diambil di insinerator Pulau Pangkor semasa lawatan pada 15hb September 2014


    Sampah bertimbun di tapak insinerator


    Sisa tidak diasingkan mengikut kategori dalam kawasan insinerator


    Pengumpulan abu dasar (bottom ash) di insinerator Pulau Pangkor

Page 20 of 39« First...10...1819202122...30...Last »