Persempadanan semula di Selangor masih tidak adil dan tidak mengikut perlembagaan

Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang merangkap Timbalan Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan pada 16 Januari 2018

Persempadanan semula di Selangor masih tidak adil dan tidak mengikut perlembagaan

Semalam, pada 15 Januari 2018, SPR telah mengeluarkan Syor 2 persempadanan semula bagi negeri Selangor.[1] Persempadanan semula bagi kesemua negeri lain di Semenanjung Malaysia telah pun selesai kecuali bagi Selangor. Dengan penerbitan Syor 2 dan penyelesaian pendengaran awam kedua, SPR bolehlah menyerahkan hasil kajian persempadanan semula bagi Semenanjung Malaysia kepada Perdana Menteri. Dijangka bahawa Perdana Menteri akan membentangkan hasil kajian ini serta hasil kajian persempadanan semula bagi Sabah pada persidangan Parlimen dari Mac hingga April 2018.  

Sekali imbas, Syor 2 seakan-akan kembali kepada persempadanan yang digunakan pada PRU 2013, kecuali untuk 5 kerusi parlimen serta pertukaran nama untuk 1 kerusi Parlimen dan 4 kerusi DUN. Namun dengan kembali kepada keadaan asal semasa PRU 2013, SPR membuktikan bahawa mereka gagal mencapai salah satu objektif utama persempadanan semula, iaitu untuk mengurangkan jurang ketaksamaan antara bilangan pengundi di kerusi Parlimen dan DUN.

Sebagai contoh, dalam Syor 2, Parlimen Kapar (146,317 pengundi) masih mempunyai bilangan pengundi 4 kali ganda daripada Parlimen Sabak Bernam (37,126 pengundi). (Lihat Rajah 1 di bawah)

Rajah 1: Bilangan pengundi mengikut kawasan Parlimen di Selangor (Syor 2)

Adalah sukar bagi SPR (jikalau ia merupakan sebuah badan yang bebas dan berkecuali) untuk berhujah mempertahankan tindakan ‘berat sebelah bagi kawasan luar bandar’ (rural-weightage) dengan nisbah 4:1 bagi sebuah negeri maju seperti Selangor, memandangkan kawasan Sabak Bernam dan Tanjong Karang telah dihubungkan dengan baik oleh jalan raya.

Pada masa yang sama, SPR gagal untuk mengurangkan jurang ketaksamaan antara bilangan pengundi di kerusi-kerusi DUN, walaupun untuk DUN dalam kawasan Parlimen yang sama. Sebagai contoh, bilangan pengundi di Seri Serdang dan Kinrara masing-masing berjumlah 74,563 dan 34,910, walaupun kedua-dua kerusi DUN ini berada dalam Parlimen P103 Puchong di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) (lihat Rajah 2 di bawah). Hakikat bahawa Seri Serdang mempunyai dua kali ganda jumlah pengundi daripada pengundi Kinrara, walaupun kedua-duanya adalah kerusi bandar, jelas membuktikan perlanggaran Seksyen 2(C) Jadual 13 Perlembagaan Persekutuan.

Rajah 2: Bilangan pengundi bagi dua kerusi DUN dalam P103 Puchong (Syor 2)

Contoh lain adalah di kawasan Parlimen P106 PJ Utara. Bilangan pengundi di dua kerusi DUN dalam PJ Utara adalah 53,440 (Damansara Utama) dan 31,016 (Kampung Tunku) walaupun kedua-duanya merupakan kerusi bandar di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya. (Lihat Rajah 3 di bawah)

Rajah 3: Bilangan pengundi bagi dua kerusi DUN dalam P106 PJ Utara (Syor 3)

Percanggahan yang serupa juga boleh ditemui di kerusi-kerusi DUN di P113 Sepang. Jumlah pengundi bagi kerusi DUN Dengkil (39,380) hampir dua kali ganda jumlah pengundi di Sungai Pelek (23,989) dan Tanjong Sepat (22,026) walaupun kesemua kerusi DUN ini terletak dalam kawasan Majlis Perbandaran Sepang. (Lihat Rajah 4 di bawah)

Rajah 4: Bilangan pengundi bagi tiga kerusi DUN dalam P113 Sepang (Syor 2)

Bagi sebuah negeri yang mengalami perkembangan pesat dalam pertambahan pengundi seperti Selangor, apa yang sepatutnya SPR lakukan adalah menambah bilangan kerusi Parlimen dan DUN bagi mengurangkan jurang ketaksamaan dalam bilangan pengundi mengikut Seksyen 2(C) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa bilangan pengundi di dalam setiap kawasan pilihan raya di dalam sebuah negeri haruslah lebih kurang sama banyak (dengan sedikit pemberat bagi kawasan bandar dan luar bandar).

Bukanlah tanggungjawab SPR untuk memastikan bahawa Selangor meminda perlembagaan negeri bagi menampung pertambahan bilangan kerusi, mahupun memastikan terdapat sokongan yang mencukupi bagi meminda perlembagaan di parlimen bagi meningkatkan jumlah kerusi parlimen. Tanggungjawab ini semua terletak pada Perdana Menteri. Perdana Menteri perlu meyakinkan 2/3 anggota parlimen untuk menyokong persempadanan semula agar pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan dapat dilakukan bagi menambah bilangan kerusi parlimen. Pada masa yang sama, Perdana Menteri perlu bekerjasama dengan dan memperoleh persetujuan negeri Selangor bagi meningkatkan bilangan kerusi DUN.

Oleh itu, walaupun Syor 2 tidak membabitkan gerrymandering (mengubah sempadan pilihan raya untuk memberi kelebihan kepada parti tertentu) yang seteruk Syor 1, SPR terbukti gagal untuk mematuhi Perlembagaan Persekutuan dalam menjalankan persempadanan semula di Selangor.

[1] http://www.spr.gov.my/ms/pusat-media/berita/persempadanan-pameran-syor-kedua-urusan-kajian-semula-persempadanan-bagi-negeri

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: