Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu melakukan semula persempadanan semula bagi menambah kerusi Parlimen di Selangor untuk mengurangkan jurang perbezaan jumlah pengundi di setiap kawasan

Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang merangkap Timbalan Pengarah Pendidikan Politik DAP, pada 20 Disember 2017

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu melakukan semula persempadanan semula bagi menambah kerusi Parlimen di Selangor untuk mengurangkan jurang perbezaan jumlah pengundi di setiap kawasan

Dengan penolakan Mahkamah Rayuan berhubung kes permohonan kerajaan Negeri Selangor terhadap SPR bagi menggantung persempadanan semula, ini bermaksud pusingan pertama sesi pendengaran awam di Selangor telah boleh dilaksanakan. Namun, daripada memulakan sesi pendengaran awam tersebut, SPR sepatutnya melakukan semula seluruh kajian persempadanan semula dan menambah bilangan kerusi parlimen di Selangor.

Merujuk kepada senarai daftar pemilih sehingga suku tahun kedua 2017, bilangan pengundi di Selangor berjumlah 2.33 juta dan merupakan yang tertinggi di negara ini (lihat Rajah 1 di bawah). 

Rajah 1: Jumlah pengundi mengikut negeri di Semenanjung Malaysia (Suku Tahun Kedua 2017)

Pada masa yang sama, purata jumlah pengundi di setiap kawasan pilihanraya di Selangor telah meningkat kepada 105,937 sebagimana dicatatkan pada Suku Tahun Kedua 2017, dan merupakan yang tertinggi di negara ini (Rajah 2).

Rajah 2: Jumlah pengundi di setiap kerusi mengikut negeri di Semenanjung Malaysia (Suku Tahun Kedua 2017)

Di Selangor, terdapat 12 buah kerusi di mana jumlah pengundi melebihi 100,000 orang (Lihat Rajah 3 di bawah)

Rajah 3: Jumlah pengundi mengikut kerusi Parlimen di Selangor (Suku Tahun Kedua 2017)

Jumlah pengundi di kerusi terbesar – iaitu P109 Kapar yang mempunyai 164,177 pengundi – adalah 4 kali ganda lebih daripada jumlah pengundi di kerusi terkecil – iaitu P92 Sabak Bernam yang mempunyai 40,164 pengundi.

Cadangan persempadanan semula oleh SPR tidak membantu bagi mengurangkan jurang perbezaan ini di Selangor. Malahan, kawasan Parlimen saya sendiri, iaitu Serdang yang bakal ditukar nama kepada Bangi, mungkin akan mempunyai lebih daripada 165,000 pengundi mengikut sempadan kawasan yang baru.

Ini merupakan perlanggaran jelas terhadap prinsip ‘satu orang satu undi’ di negeri Selangor sendiri, dan ini merupakan antara sebab utama mengapa kerajaan negeri Selangor membawa kes ini ke mahkamah demi menentang persempadanan semula yang tidak adil ini.

Mana-mana orang yang berfikiran waras dapat melihat betapa tidak adil persempadanan semula ini. Daripada meneruskan pendengaran awam, SPR seharusnya melakukan semula kajian persempadanan semula dengan juga menambah kerusi parlimen di negeri Selangor.

(Saya akan meneliti isu kerusi negeri dalam kenyataan media yang berasingan.)

%d bloggers like this: