• Mengapa pengguna BESRAYA membayar tol untuk tersekat dalam kesesakan lalu lintas?

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 21 November 2017

    Mengapa pengguna BESRAYA membayar tol untuk tersekat dalam kesesakan lalu lintas?

    Setiap petang hari minggu, tanpa gagal, kesesakan trafik bermula dari tol BESRAYA Sungai Besi sehingga sampai ke Mines Shopping Mall. Keadaan yang tidak berkesudahan sepanjang 2.4 km ini terlalu mengecewakan pengguna-pengguna lebuh raya itu kerana mereka membayar tol hanya untuk tersekat dalam kesesakan trafik. Kesesakan ini tidak berkurangan walaupun laluan kontra telah dilaksanakan dengan membuka laluan tambahan selepas tol BESRAYA menghala ke Universiti Putra Malaysia (UPM).

    Apa yang tidak disedari oleh pengguna-pengguna lebuh raya ini adalah bahawa kerajaan melalui Kementerian Kerja Raya boleh mengambil tindakan terhadap syarikat konsesi tol jika kesesakan trafik ini berterusan. Bagi BESRAYA, syarikat konsesi perlu memastikan Tahap Perkhidmatan (Level of Service atau LOS) “C” di plaza tol dan / atau di persimpangan berikutnya. Tahap Perkhidmatan “C” bermaksud keadaan trafik stabil atau hampir lancar. Ketika waktu puncak, LOS selepas tol BESRAYA Sungai Besi berada pada tahap “F”, iaitu trafik ‘bumper-to-bumper’ atau kenderaan bergerak dengan sangat perlahan.

    Merujuk kepada perjanjian konsesi, jika aliran trafik berada di bawah tahap LOS “C”, syarikat konsesi perlu melantik perunding trafik untuk melakukan kajian trafik. Jika perunding trafik mengesahkan bahawa LOS di bawah tahap perkhidmatan “C”, maka syarikat konsesi perlu memohon tol fleksibel. Ini bermaksud semasa di luar waktu puncak, kadar bayaran tol harus dikurangkan sekurang-kurangnya sebanyak 10% (lihat Jadual 1). Tujuannya adalah untuk menggalakkan lebih ramai pemandu menggunakan lebuh raya bertol itu di luar waktu puncak berbanding waktu puncak.

    Jadual 1: Kadar tol pada waktu puncak dan di luar waktu puncak apabila LOS jatuh ke bawah Tahap Perkhidmatan “C” semasa waktu puncak 

    Waktu Puncak

    (a) 6:30 pagi – 9:30 pagi

    (b) 4:30 petang – 7 petang

     

    Kadar Tol

    Seperti dalam perjanjian ini

    Seperti dalam perjanjian ini

     

    Luar Waktu Puncak

    (a) 9:31 pagi – 4:29 petang

    (b) 7:01 petang – 6:29 pagi

    Kadar Tol

    Minimum 10% lebih rendah dari kadar tol yang dipersetujui dalam perjanjian ini

     

    Jika pengurangan kadar tol juga tidak mampu untuk meningkatkan LOS ke Tahap Perkhidmatan “C”, maka syarikat konsesi wajib menaiktaraf plaza tol atau persimpangan berkenaan dengan menggunakan peruntukan sendiri. Pada ketika itu, syarikat konsesi setiap bulan perlu membayar kerajaan 10% dari jumlah keseluruhan anggaran kos yang digunakan bagi kerja penaiktarafan, sebagai pampasan untuk kesulitan yang disebabkan oleh kerja tersebut sehingga kerja itu siap dijalankan. Sebagai contoh, jika kerja penaiktarafan menelan belanja RM 10 juta, syarikat konsesi perlu membayar RM 1 juta kepada kerajaan setiap bulan sehingga kerja itu selesai.

    Kegagalan Kementerian Kerja Raya untuk mengambil sebarang tindakan terhadap BESRAYA jelas menunjukkan bahawa kerajaan langsung tiada keazaman politik untuk menekan syarikat-syarikat konsesi tol. Malahan, kerajaan BN tiada halangan untuk membayar jutaan ringgit kepada syarikat-syarikat konsesi tol atas nama bayaran pampasan kerana tidak menaikkan kadar tol. Jumlah keseluruhan pampasan yang telah dibayar kepada BESRAYA sejak mulanya tempoh perjanjian konsesi hingga 2015 adalah RM 77.6 juta. Daripada membayar jutaan ringgit kepada BESRAYA, kerajaan seharusnya menggesa BESRAYA untuk menyelesaikan masalah kesesakan trafik di tol Sungai Besi dan mendendanya sebagaimana yang tertakluk dalam terma dan syarat perjanjian selagi masalah kesesakan trafik ini belum diselesaikan.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

Leave a reply.