• Dedahkan tender Laluan 3 MRT kepada awam

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 15 November 2017

    Dedahkan tender Laluan 3 MRT kepada awam

    Saya terkejut membaca tajuk utama Edge Financial daily semalam (14 November 2017) yang bertajuk “Jangan politikkan garis masa tender – MRT Corp” memetik kata CEO MRT Corp, Datuk Seri Shahril Mokhtar. Sepanjang saya berurusan dengan pihak MRT Corp berkenaan Laluan 2 MRT yang melalui kawasan Serdang, saya mendapati Shahril dan staf beliau di MRT Corp bersikap profesional dan responsif terhadap maklum balas awam. Oleh itu, beliau sepatutnya menjangkakan perhatian daripada orang awam terhadap projek Laluan 3 MRT – yang akan menelan belanja antara RM35 hingga RM40 bilion – apabila model Rakan Projek Pelaksana (PDP) diubah kepada model kontraktor tunggal (turnkey).

    MRT Corp dan SPAD telah pun banyak memuji model PDP seawal 2011.[1] Mantan CEO SPAD, Mohd Nur Kamal telah menulis bahawa “Dalam kes PDP, risiko kelewatan dan kos berlebihan akan ditanggung oleh PDP. PDP menjadi titik akauntabiliti tunggal untuk menyempurnakan keseluruhan projek mengikut jangka masa dan target kos yang dipersetujui, atau perlu menghadapi penalti kewangan, yang tidak mampu ditanggung sama ada dari segi keupayaan kewangan mahupun keupayaan pengurusan oleh sebuah perunding kejuruteraan.”

    Dalam sidang media semalam, Shahril juga menjelaskan bahawa memandangkan MRT Corp bertindak sebagai PDP bagi bahagian bawah tanah Laluan 2, mereka juga boleh menguruskan kontraktor tunggal bagi Laluan 3 dengan cara yang sama. Kata beliau, “Memandangkan kami mempunyai pengalaman untuk menguruskan bahagian bawah tanah, saya fikir bahawa soalan berhubung tidak meneruskan model PDP sepatutnya tidak wujud, kerana kami berkemampuan untuk menguruskan kontraktor tunggal seperti yang kami lakukan sebelum ini”. Namun memandangkan kontraktor tunggal ini akan bertanggungjawab terhadap 90% pembiayaan projek Laluan 3 MRT, adakah insentif dan denda yang telah digunakan bagi model PDP untuk Laluan 1 dan 2 MRT akan turut digunapakai?

    Shahril turut menyatakan bahawa jajaran laluan MRT 3 masih belum ditentukan dan hanya akan ditetapkan pada penghujung 2018. Jika jajaran laluan masih belum ditetapkan, bagaimana pembida boleh menentukan secara tepat kos keseluruhan bagi pembinaan Laluan 3 tersebut? Sebagai perbandingan, jajaran MRT 2 menjalani paparan awam pada Mei 2015[2] dan tender pertama bagi kerja-kerja awalan projek hanya mula diterima pada November 2015. Pakej bagi bahagian bawah tanah dan pakej jejambat pertama hanya dianugerahkan pada Mac 2016, iaitu hampir setahun selepas paparan awam jajaran laluan tersebut.[3] Kini, syarikat pembida bukan sahaja perlu menyediakan kertas kerja dengan pantas, tetapi spesifikasi penuh projek termasuk jajaran laluan hanya akan diketahui selepas tender ditutup.

    Dokumen tender bagi projek sebesar dan serumit MRT kebiasaanya akan dijual kepada pemida berpotensi dan tidak dibuka untuk penelitian awam. Namun disebabkan kos projek ini, perubahan terma pembinaan dan pembiayaan, serta tahap kepentingan awam yang tinggi, saya menggesa supaya spesifikasi tender Laluan 3 MRT ini didedahkan kepada awam untuk menjawab pelbagai persoalan yang diutarakan oleh wartawan, penganalisis kewangan dan Ahli Parlimen.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] http://www.mymrt.com.my/cms/upload_files/mediarelease/mediarelease_download_000005.pdf

    [2] https://www.thestar.com.my/business/business-news/2015/05/14/details-of-mrt2-project-on-public-display-tomorrow/

    [3] http://www.mymrt.com.my/en/awarded-contracts-ssp

Leave a reply.