• Jawapan balas terhadap kritikan Bajet Alternatif Pakatan Harapan 2018 (Bahagian 2) – Pemansuhan Tol Lebuh Raya

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 10 November 2017

    Jawapan balas terhadap kritikan Bajet Alternatif Pakatan Harapan 2018 (Bahagian 2) – Pemansuhan Tol Lebuh Raya

    Minggu lepas, saya telah memberi jawapan terhadap kritikan cadangan Pakatan Harapan untuk memansuhkan GST.[1] Hari ni, saya ingin memberi penerangan kepada mereka yang meragui cadangan kami untuk memansuhkan tol lebuh raya.

    Jawapan 1: Kerajaan telah membelanjakan berbilion ringgit untuk pampasan kepada syarikat-syarikat konsesi tol dan akan terus membayar pampasan untuk menangguhkan peningkatan kadar tol

    Golongan pewaham yang mempersoalkan cadangan kami untuk membeli konsesi tol, yakni dari segi kebolehlaksanaan kewangan, seharusnya mengkaji semula polisi kerajaan BN yang (i) memberi pampasan kepada syarikat tol untuk menangguhkan peningkatan kadar tol (ii) memanjangkan jangka masa konsesi sebagai ganti pampasan (iii) membenarkan kenaikan kadar tol yang tidak munasabah.

    Formula pengiraan pampasan untuk menangguhkan kenaikan kadar tol adalah berdasarkan jumlah trafik semasa dan jumlah kenaikan kadar tol yang terdapat dalam perjanjian konsesi. Pampasan yang dibayar oleh kerajaan persekutuan adalah jauh lebih menguntungkan bagi pihak konsesi tol berbanding dengan alternatif untuk membeli balik tol memandangkan ia adalah berdasarkan kos pembinaan lebuh raya (maklumat lanjut di bawah).

    Sebagai contoh, jika kadar tol sepatutnya dinaikkan daripada RM2 kepada RM4 pada tahun 2018, dan jika kerajaan tidak membenarkan peningkatan kadar tol tersebut, kerajaan perlu membayar pampasan kepada syarikat konsesi iaitu RM2 didarab dengan jumlah kenderaan yang akan menggunakan tol pada tahun 2018. Semakin tinggi peningkatan tol dalam perjanjian konsesi, semakin tinggi pampasan yang perlu dibayar oleh kerajaan. (Lihat contoh Jumlah Pampasan di Lampiran 1)

    Kos pampasan yang dibayar oleh kerajaan (jika kadar tol tidak ditingkatkan) adalah JAUH MELEBIHI kos untuk pembelian balik lebuh raya bertol daripada pihak konsesi! Sememangnya, seperti yang dinyatakan dalam jawapan balas Parlimen, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM4 bilion daripada tahun 1990 hingga 2015 untuk membayar pampasan kepada syarikat tol, termasuklah RM1.05 bilion untuk LDP dan RM443 juta untuk SPRINT, iaitu dua daripada perjanjian konsesi tol yang terawal dan paling berat sebelah! (Lihat Lampiran 2)

    Jawapan 2: Kerajaan telah dan terus memberi subsidi kepada pembinaan lebuh raya bertol melalui perjanjian yang berat sebelah kepada syarikat konsesi tol

    Pampasan yang dinyatakan di atas tidak termasuk jutaan malahan bilion ringgit yang telah diberi dan dipinjam kepada syarikat konsesi tol bagi pembinaan dan / atau penaiktarafan tol.

    Sebagai contoh, pada tahun 2012, rakan sejawat saya Tony Pua telah mendedahkan bahawa kerajaan telah memberi geran bernilai hampir RM1 bilion kepada pemegang konsesi Lebuhraya MEX, iaitu 74% daripada kos keseluruhan pembinaan projek ini.[2] Di kawasan Parlimen saya sendiri iaitu Serdang, persimpangan baru telah dibina di Lebuhraya MEX bagi jalan masuk keluar Seri Kembangan dengan kos RM90 juta di mana RM20 juta daripada jumlah itu disediakan oleh kerajaan sebagai kos pengambilan tanah. Namun, hasil dan keuntungan daripada kutipan tol RM2.20 bagi setiap kereta untuk jalan masuk keluar ini hanya menguntungkan syarikat konsesi tol.

    Daripada terus memberi subsidi kepada syarikat-syarikat konsesi tol ini, adalah lebih masuk akal jika kerajaan membeli balik tol-tol ini dan membiayai pembinaan lebuh raya baru atau menaik taraf lebuh raya dengan menggunakan perbelanjaan pembangunannya.

    Jawapan 3: Kos untuk mengambil alih syarikat-syarikat konsesi tol adalah lebih murah daripada kos bayaran pampasan dan kos ke atas pemandu-pemandu

    Dalam setiap perjanjian konsesi lebuh raya, pasti akan ada satu klausa yang membolehkan kerajaan membeli balik konsesi tol melalui struktur harga tertentu berdasarkan ‘kepentingan nasional’.

    Terma dan syarat pembelian balik biasanya merupakan penggabungan daripada butiran berikut:

    (i) Kos pembinaan, dengan menolak liabiliti dan kewajiban pemegang konsesi dan geran kerajaan, jika ada.

    (ii) Kerajaan selanjutnya diwajibkan untuk membayar pampasan kepada syarikat konsesi iaitu Kadar Pulangan Dalaman (IRR) antara 8% hingga 12% ke atas saham modal hanya untuk tahun-tahun ianya beroperasi. Jika pengendali telah pun menikmati pulangan yang jauh melebihi kadar pulangan yang ditetapkan di atas, kerajaan tidak perlu membayar pampasan Kadar Pulangan Dalaman ini.

    (iii) Terma dan syarat pembelian balik TIDAK memberi pampasan kepada syarikat konsesi berdasarkan keuntungan masa hadapan.[3]

    Dalam tulisan beliau pada tahun 2009, rakan sejawat saya Tony Pua telah menganggarkan bahawa kerajaan perlu membelanjakan RM1.4 bilion untuk membeli balik konsesi Lebuhraya LDP.[4] Pada penghujung 2008, kerajaan telah pun membayar RM628 juta kepada LITRAK, iaitu pemilik konsesi LDP.[5] Jumlah ini berganda menjadi RM1.05 bilion pada penghujung 2015. Jika kerajaan tidak mahu terus membayar pampasan ini, kerajaan perlu membenarkan peningkatan kadar tol kepada RM3.10 (bagi kereta), di mana jumlah ini adalah tidak masuk akal untuk membolehkan pengguna terkandas dalam kesesakan trafik LDP yang teruk sekali pada waktu puncak!

    Daripada mempersoalkan cadangan PH supaya kerajaan membeli balik konsesi tol, golongan pewaham sepatutnya bertanya mengapa kerajaan TIDAK membuat pembelian balik ini dengan segera, memandangkan terdapat faedah jangka masa panjang yang akan dinikmati oleh kerajaan dan juga pengguna jalan raya.

    Jawapan 4: Kerajaan tiada kemahuan politik untuk menguatkuasakan perjanjian tol dengan syarikat-syarikat konsesi, yang menjelaskan mengapa kerajaan keberatan untuk membeli balik konsesi tol

    Kekecewaan yang biasa disuarakan oleh pengguna lebuh raya adalah bahawa mereka seringkali tersangkut dalam kesesakan trafik sebelum dan selepas tol. Dalam erti kata lain, mereka membayar tol untuk terkandas dalam kesesakan trafik! Sebagai contoh, di kawasan Parlimen saya iaitu Serdang, kesesakan trafik pada waktu puncak bermula di The Mines sehinggalah ke tol BESRAYA Sungai Besi dengan jarak sepanjang 3 km.

    Ramai pemandu yang tidak tahu bahawa terdapat klausa dalam perjanjian konsesi BESRAYA di mana syarikat konsesi perlu mengambil tindakan mitigasi bagi menyelesaikan masalah kesesakan trafik atau mereka akan berhadapan dengan tindakan. Sebagai contoh, jika syarikat konsesi gagal mengekalkan Tahap Perkhidmatan (LOS) pada gred “C” dari segi aliran trafik di lebuh raya, syarikat perlu memperkenalkan kadar tol luar waktu puncak yang lebih rendah daripada kadar tol waktu puncak (sekurang-kurangnya 10% lebih rendah), sebagai alternatif untuk mengalihkan trafik ke luar waktu puncak. (LOS BESARAYA pada waktu puncak petang kini adalah di tahap “F”.) Jika alternatif ini masih tidak berjaya, syarikat konsesi perlu menaiktaraf plaza tol dan lebuh raya untuk mencapai tahap “C” LOS. Semasa kerja naik taraf dijalankan, syarikat konsesi perlu membayar kerajaan sejumlah wang iaitu 10% daripada anggaran kos naik taraf setiap bulan sebagai pampasan untuk kesulitan yang dialami daripada kerja tersebut, sehinggalah kerja selesai. Walaupun syarat-syarat ini terdapat dalam perjanjian konsesi BESRAYA, namun ia tidak pernah dikuatkuasakan meskipun keadaan trafik di Lebuhraya BESRAYA selepas Tol Sungai Besi menjadi semakin teruk sejak tahun 2014 (tahun perjanjian tambahan yang terbaru).

    Contoh ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan tiada kemahuan politik untuk menguatkuasakan syarat-syarat yang jelas terdapat dalam perjanjian-perjanjian konsesi tol tersebut. Syarikat-syarikat konsesi tol mempunyai kuasa melobi yang kuat dan mereka pasti telah menggunakannya bagi ‘memaksa’ kerajaan untuk tidak membeli balik tol supaya pampasan berlebihan terus diberi oleh kerajaan, dan untuk tidak menguatkuasakan syarat-syarat yang dinyatakan dalam perjanjian.

    Namun, boleh dilihat bahawa kerajaan tidak mempunyai masalah untuk ‘meyakinkan’ syarikat-syarikat konsesi tol yang mengalami kerugian bagi membenarkan kerajaan membuat pembelian balik. Contohnya, Lebuhraya Penyuraian Trafik Johor Timur (EDL) telah menghadapi masalah kewangan sejak awal lagi dan hampir membuat pengisytiharan muflis.[6] Ini merupakan salah satu lebuh raya bertol yang akan dimansuhkan kutipannya seperti yang diumumkan dalam Bajet 2018. Pemansuhan kutipan ini dilakukan menerusi pembelian balik EDL oleh kerajaan. Jumlah kos masih belum diumumkan. Contoh ini jelas menunjukkan bahawa jika kerajaan mempunyai kemahuan politik, maka pembelian balik tol boleh dilaksanakan dengan mampan dari segi kewangan.

    Jawapan 5: PH akan membayar pampasan sewajarnya seperti yang dinyatakan dalam perjanjian konsesi bagi proses pengambilalihan tol, namun PH memerlukan akses penuh kepada SEMUA perjanjian konsesi tol

    Sesetengah pihak risau bahawa cadangan PH untuk membeli balik konsesi tol akan menyebabkan ketidaktentuan pasaran memandangkan kebanyakan konsesi ini dimiliki oleh entiti tersenarai dalam bursa saham atau oleh Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLIC) seperti KWSP, Khazanah dan PNB. PH akan mematuhi terma dan syarat dalam perjanjian konsesi bagi pembelian balik tol. Pemegang konsesi tol akan memperoleh pulangan yang wajar untuk pelaburan mereka untuk lebuh raya terlibat (namun bukannya keuntungan luar jangka).

    Untuk membolehkan PH menilai jumlah kos pengambilalihan kesemua lebuh raya bertol, kami perlu mendapat akses kepada SEMUA perjanjian konsesi tol. Walaupun sesetengah daripada mereka telah pun didedahkan, namun perjanjian tol seperti MEX dan PLUS masih di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA). Pembelian balik tol hanya akan berlaku setelah kajian teliti dijalankan terhadap segala terma dan syarat dalam perjanjian dan dengan cara yang bertanggungjawab dan adil kepada kerajaan, kepada pembayar cukai, kepada pengguna lebuh raya dan juga kepada syarikat konsesi.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    Lampiran 1: Contoh Jumlah Pampasan Konsesi Tol

    CA = Σ[AT x (2 x TV)] – TA; di mana:-

    CA: Jumlah bayaran pampasan mengikut tahun operasi yang berkaitan

    Σ: Jumlah bagi semua kelas kenderaan

    AT: Tol yang dipersetujui yang sepatutnya dilaksanakan bagi tahun operasi berkaitan bagi kelas kenderaan berkaitan

    TV: Jumlah sebenar trafik bagi kelas kenderaan tertentu dalam tempoh enam (6) bulan yang lepas

    TA: Jumlah kutipan tol oleh syarikat konsesi bagi tahun operasi berkaitan

     Lampiran 2: Jumlah pampasan yang dibayar kepada syarikat konsesi tol pada 1990 hingga 2015

    [1] http://ongkianming.com/2017/11/02/media-statement-pakatan-harapans-alternative-budget-responding-to-the-critiques-part-1/

    [2] https://dapmalaysia.org/english/2012/mar12/bul/bul4907.htm

    [3] Pengecualian Lebuhraya PLUS kerana perjanjian baru dilakukan selepas penswastaan PLUS pada 2011. Syarat dan terma perjanjian konsesi baru masih bekum didedahkan semasa penulisan ini.

    [4] http://www.thenutgraph.com/buy-back-of-privatised-highway-concessions-more-cost-effective/

    [5] http://tonypua.blogspot.my/2009/01/lets-take-our-highways-back.html

    [6] https://www.nst.com.my/news/nation/2017/06/249424/two-highway-companies-risk-bankruptcy

Leave a reply.