• Bajet Alternatif Pakatan Harapan: Jawapan balas kepada kritikan (Bahagian 1)

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 2 November 2017

    Bajet Alternatif Pakatan Harapan: Jawapan balas kepada kritikan (Bahagian 1)

    Saya telah meneliti pelbagai komen dan ulasan terhadap Bajet 2018 yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada Jumaat lepas, serta Bajet Alternatif Pakatan Harapan 2018. Saya ingin mengambil peluang ini untuk membalas beberapa kritikan yang ditujukan kepada Bajet Alternatif Pakatan Harapan bermula dengan cadangan kami untuk menghapuskan GST.

    Salah satu kritikan utama terhadap Bajet Alternatif Pakatan Harapan adalah ia tidak realistik atau bertanggungjawab kerana mencadangkan penghapusan GST. Berikut merupakan maklum balas saya terhadap beberapa kritikan tersebut:

    1) Kritikan: Syarikat-syarikat telah membelanjakan jutaan ringgit bagi melaksanakan sistem GST. Bukankah duit tersebut dibazirkan jika GST dimansuhkan begitu sahaja?

    Jawapan: Kita tidak akan memansuhkan sistem GST. Kesemua barangan yang tidak dikenakan cukai semasa perlaksanaan SST akan dijadikan barangan ‘sifar GST’. Kesemua barangan yang dikenakan cukai pada titik pengeluaran semasa perlaksanaan SST akan dikenakan kadar cukai yang sama pada titik pengeluaran. Kita akan menggunakan sistem GST yang sedia ada untuk mengutip cukai SST ini.

    2) Kritikan: Mengapa anda menyatakan akan menghapuskan GST, sedangkan sebenarnya GST hanya ditukar ke kadar sifar?

    Jawapan: Majoriti rakyat Malaysia tidak mengetahui makna ‘mengsifarkan’ GST atau perbezaan antara barangan ‘sifar GST’ dan barangan yang dikecualikan. Namun, kesan cadangan kita adalah pengguna tidak perlu membayar GST yang bermakna kita memang telah menghapuskannya.

    3) Kritikan: Adakah harga barangan dan perkhidmatan akan turun akibat daripada penghapusan GST? Bukankah semasa perlaksanaan GST pada 2015 dan 2016, cukai GST telah diserap masuk ke dalam harga barangan dan perkhidmatan? Bukankah harga barangan dan perkhidmatan sebenarnya ‘kaku’ (lambat bergerak) untuk menurun?

    Jawapan: Apabila kita memansuhkan GST, pengguna akan menjangkakan penurunan harga. Walau pun peruncit-peruncit tidak menurunkan harga sebanyak 6%, persaingan tetap akan timbul antara peruncit-peruncit untuk memberi diskaun bagi menarik pembeli. Penghapusan GST akan memberi tekanan untuk mengurangkan harga secara keseluruhannya.

    Selain itu, dengan mengutip cukai yang sedikit (dengan berbalik ke sistem SST), kita secara langsung mahupun tidak langsung memulangkan semula duit tersebut kepada para pengguna dan peniaga, dan ini akan memberi kesan pengganda (multiplier) yang sihat terhadap ekonomi.

    4) Kritikan: GST bukanlah begitu regresif memandangkan ada banyak barangan yang dikecualikan cukai dan / atau berkadar sifar!

    Jawapan: Pertama, tanggapan bahawa banyak barangan asas dan perkhidmatan tidak dikenakan GST adalah tidak berapa tepat. Sebagai contoh, kerajaan mengatakan bahawa perkhidmatan perbankan dikecualikan dari GST. Namun pada hakikatnya, apabila anda melakukan transaksi atas talian semasa menghantar duit kepada kawan atau pekerja, anda perlu membayar 6% GST ke atas kos transaksi itu. Jika anda dicaj untuk mengeluarkan duit melalui mesin MEPS ATM, anda juga perlu menanggung 6% GST atas caj tersebut. Sebenarnya, ada banyak barangan dan perkhidmatan yang dikenakan GST sedangkan ramai yang beranggapan bahawa tiada GST terhadap barangan dan perkhidmatan tersebut.

    Kedua, walau pun sesuatu barangan dikecualikan GST, ia tidak bermakna bahawa harganya tidak akan meningkat selepas GST diperkenalkan. Sebagai contoh, walaupun harta kediaman dikecualikan GST, ini hanya bermakna bahawa pemaju tidak boleh mengenakan cukai 6% ke atas harga jualan akhir harta itu. Bahan binaan dan kos pakar yang digunakan untuk pembinaan masih tertakluk kepada GST. Ini bermakna kos GST sebenarnya telah dimasukkan ke dalam harga jualan akhir harta tersebut.

    Dalam kes di mana kos GST tidak boleh dikenakan terhadap pengguna seperti mengikut pekeliling harga, maka pihak lain yang akan terpaksa menanggung kos tersebut. Sebagai contoh, pengangkutan awam seperti tambang teksi tidak dikenakan GST. Namun kos penyelenggaraan teksi dan polisi insuran adalah tertakluk kepada GST. Ini bermakna pemandu teksi atau syarikat teksi (kurang mungkin) yang perlu menyerap kos tersebut.

    5) Kritikan: Penghapusan GST memudahkan individu dan syarikat untuk mengelak cukai

    Jawapan: Kita masih akan menggunakan sistem GST untuk mengutip cukai berdasarkan sistem SST. Maka, sistem laporan sama yang sepatutnya meningkatkan ketelusan cukai masih akan diguna pakai.

    Pada masa yang sama, GST bukanlah satu jaminan bahawa aliran wang haram ke luar negara  (salah satu cara mengelak cukai) akan berkurangan. Malaysia disenaraikan di tangga lima teratas dunia dari segi aliran wang haram oleh badan penyelidik Global Financial Integrity (GFI).[1] Tiga daripada negara lain adalah Russia, Mexico dan China yang juga mempunyai sistem GST atau cukai tambah nilai ketika kajian dijalankan. Apa yang diperlukan untuk mengurangkan aliran wang haram ini adalah sebuah kerajaan yang komited terhadap ketelusan dan tidak dipengaruhi oleh agenda dan kepentingan sendiri terutamanya jika melibatkan berbilion Ringgit haram yang masuk keluar dari akaun peribadi.

    Salah seorang pengulas telah mendakwa bahawa GST akan mengurangkan kemungkinan syarikat untuk mengelak pembayaran cukai dengan memindahkan keuntungan mereka ke negara yang rendah kadar cukai.[2] Walau pun Ireland mempunyai kadar cukai tambah nilai 23%, namun kadar cukai korporatnya yang rendah pada tahap 12.5% tetap menarik syarikat-syarikat multinasional untuk menindahkan keuntungan ke negara tersebut. Kesatuan Eropah (EU) telah cuba untuk mengurangkan amalan sebegini di mana syarikat-syarikat mendapatkan pengurangan cukai daripada negara-negara di mana cukai korporat rendah[3], namun ini hanya dapat dilakukan kerana terdapat rangka institusi di EU yang mempunyai kuasa undang-undang, dan bukan disebabkan oleh GST. Tiada rangka sebegini di ASEAN, maka jika kerajaan hendak mengejar syarikat yang menyimpan keuntungan mereka di Singapura kerana kadar cukai korporatnya yang rendah, iaitu 17%, saya sudah pasti teruja untuk mengetahui hal ini.

    6) Kritikan: GST memperluaskan asas pencukaian. Jika GST dihapuskan, asas pencukaian akan dikecilkan

    Jawapan: Adalah benar bahawa GST memperluaskan asas pencukaian negara dengan mengenakan cukai terhadap lebih ramai individu berbanding dengan cukai pendapatan peribadi. Hanya 15% hingga 20% golongan pekerja yang membayar cukai pendapatan peribadi sedangkan GST dikenakan kepada semua orang melalui semua barangan dan perkhidmatan yang digunakan. Namun, ini adalah sebab mengapa GST dikatakan sebagai cukai regresif kerana ia mengalihkan beban bayaran cukai daripada golongan yang mampu kepada semua lapisan masyarakat, di mana majoriti daripada mereka tidak meraih pendapatan yang mencukupi untuk dikenakan cukai pendapatan. 

    Walaupun begitu, hujah bahawa perlaksanaan GST memperluaskan asas cukai tidak semestinya tepat dalam konteks Malaysia. Secara teori, perlaksanaan GST dan pengurangan cukai pendapatan peribadi sepatutnya mengurangkan peratusan keseluruhan hasil yang dikumpul melalui cukai pendapatan. Namun, apa yang berlaku adalah peratusan keuntungan yang dikumpul melalui cukai pendapatan telah meningkat daripada 11.1% pada 2014 (sebelum GST) kepada 13.4% keseluruhan hasil pada 2018. Ini berlaku walaupun adanya pengurangan 2% cukai pendapatan di kalangan golongan berpendapatan antara RM 20,000 dan RM 70,000. Jumlah keseluruhan cukai pendapatan yang dikumpul dijangka akan meningkat sebanyak 7%, iaitu daripada RM 30.1 bilion pada 2017 kepada RM 32.2 bilion pada 2018. Walaupun sebahagian daripada kenaikan ini mungkin disebabkan oleh peningkatan gaji dan bonus pada 2018, kita tidak boleh menolak kemungkinan bahawa LHDN mungkin akan menggunakan strategi yang lebih agresif untuk mendapatkan bayaran cukai tertangguk seperti yang dilaporkan oleh Edge Financial Daily pada 30 Oktober 2017 (Lihat Rajah 1).

    Rajah 1: “Pegawai cukai memburu lebih ramai pengelak cukai”, The Edge Financial Daily, 30 Oktober 2017

    Seorang pengkritik telah mendakwa bahawa GST akan membolehkan kita mengenakan cukai lebih terhadap mereka yang berbelanja mewah. Beliau memberi contoh bahawa dengan adanya GST, lebih daripada RM6 juta boleh diperoleh daripada hasil jualan cincin permata berharga lebih daripada RM100 juta. Mungkin beliau terlupa bahawa jika cincin tersebut (atau barangan mewah lain) dibeli di luar negara, Malaysia tidak boleh mengenakan GST terhadap cincin tersebut.

    7) Kritikan: GST merupakan cara paling berkesan untuk meningkatkan pendapatan kerajaan.

    Jawapan: Ini memanglah sebab mengapa Pakatan Harapan begitu komited untuk menghapuskan GST. Dalam keadaan kepayahan ekonomi atau jika kerajaan terpaksa meningkatkan pendapatan tambahan untuk ‘bailout’ dan belanjawan mega bagi projek infrastruktur, cara paling mudah adalah dengan meningkatkan GST berbanding memotong perbelanjaan lain. Meningkatkan GST sebagai pendapatan tambahan negara akan mengenakan kesan buruk terhadap golongan kurang berkemampuan memandangkan golongan inilah yang paling terjejas oleh peningkatan harga. Adakah akan ada sesiapa yang terkejut jika BN terpaksa meningkatkan kadar GST jika mereka memenangi PRU ke-14 dan memerlukan wang tambahan bagi membayar kos 1MDB atau ECRL?

    8) Kritikan: Bagaimana dengan lebih dari 100 negara lain yang telak melaksanakan GST?

    Jawapan: Negara-negara yang telah melaksanakan pencukaian GST boleh dikategorikan kepada dua. Kategori pertama adalah negara maju di mana majoriti golongan pekerja memperoleh pendapatan yang mencukupi untuk membayar cukai pendapatan. Pengalihan beban cukai daripada pembayar cukai pendapatan kepada pengguna tidak mempuyai kesan besar terhadap mereka, memandangkan majoriti daripada penduduk cukup kaya untuk menyerap cukai nilai tambah.

    Bagi kebanyakan negera membangun, sistem kutipan cukai masih lemah untuk mengutip jumlah keuntungan yang mencukupi daripada cukai pendapatan dan cukai korporat. Oleh itu, perlaksanaan GST merupakan satu cara untuk mempertingkatkan sistem kutipan cukai mereka dan juga merupakan cara untuk memperoleh pendapatan tambahan.

    Malaysia masih belum cukup kaya untuk dikategorikan dalam negara maju terutamanya dari segi peratusan penduduk yang cukup pendapatan bagi membayar cukai pendapatan. Namun kita bernasib baik kerana adanya sistem kutipan cukai yang cukup cekap melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam. Dengan ini, Malaysia mempunyai pilihan untuk menangguhkan perlaksanaan GST sehingga status negara maju dicapai. Kewangan kerajaan masih utuh sebelum GST, dan tiada sebab untuk berfikir kita tidak dapat bertahan tanpa GST di bawah kerajaan baru dengan adanya mandat untuk mengurangkan pembaziran serta amalan rasuah.

    9) Kritikan: Kebanyakan pakar ekonomi dan pencukaian bersetuju bahawa perlaksanaan GST merupakan sesuatu yang bagus. Adakah mereka silap?

    Jawapan: Kebanyakan pakar pencukaian bekerja dengan firma audit seperti PwC dan Ernst & Young. Mereka akan mendapat manfaat daripada perlaksanaan GST dari kerana akan dicari ramai untuk nasihat pencukaian dan perkhidmatan pengauditan mereka. Kurang kemungkinan untuk mereka bersuara menentang perlaksanaan sebuah dasar yang boleh menguntungkan mereka.

    Majoriti pakar ekonomi mengikut teori konvensional berhubung pencukaian yang telah disebut di atas. GST merupakan cukai asas-luas yang lebih efisien berbanding jenis cukai lain. Namun majoriti pakar ekonomi kurang bercakap tentang kesan rasuah terhadap kewangan kerajaan. Kurang teori ekonomi konvensional berhubung perkara ini  kecuali untuk menyatakan bahawa rasuah memberi kesan buruk kepada ekonomi dan kewangan kerajaan. Soalannya, berapa banyak? Adakah ahli ekonomi telah menganggarkan berapa banyak penjimatan yang dapat diperoleh melalui pengurangan rasuah dan pembaziran dalam kerajaan? Pada pengetahuan saya, data sebegini masih belum ada di Malaysia. 

    Perlu diingat bahawa kebanyakan pakar pencukaian dan ahli ekonomi berada di peratusan 20 teratas dari segi pendapatan dan golongan ini kurang merasai beban daripada perlaksanaan GST berbanding golongan pendapatan bawah 40 (B40).

    10) Kritikan: Kita tidak berdaya menyingkirkan GST kerana jurang kewangan yang terlalu besar untuk dirapatkan.

    Jawapan: Kami telah menunjukkan dalam Bajet PH bahawa pembaziran dan rasuah dapat dipotong sebanyak RM20 bilion yang hampir dapat menutup jurang kewangan RM25 bilion akibat daripada penghapusan GST dan penukaran semula ke cukai SST.

    Namun memandangkan ini merupakan topik penting, saya akan menerangkan maklumat ini dalam kenyataan media yang lebih lanjut.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] http://www.gfintegrity.org/issues/data-by-country/

    [2] https://www.malaysiakini.com/columns/400124

    [3] https://www.cnbc.com/2016/08/30/european-union-orders-ireland-to-recover-up-to-14-billion-in-back-taxes-from-apple.html

Leave a reply.