• Adakah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, memberi kelulusan untuk permohonan bagi mengadakan Malaysia Marathon yang telah dibatalkan pada baru-baru ini?

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 9 September 2017

    Adakah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, memberi kelulusan untuk permohonan bagi mengadakan Malaysia Marathon yang telah dibatalkan pada baru-baru ini?

    Malaysia Marathon yang dijadualkan berlangsung pada 1 Oktober telah dibatalkan secara tiba-tiba kurang daripada sebulan sebelum tarikh perlangsungannya.  Pembatalan ini diumumkan di laman web dan laman Facebook Malaysia Marathon pada 5 September 2017.  Pada 7 September, Menteri Pelancongan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz telah mengumumkan bahawa sebab pembatalan acara ini adalah kerana pihak penganjur tidak dapat memenuhi janji awalnya untuk membawa masuk 5,000 peserta China untuk menyertai program ini.[1]

    Tidak mengejutkan, pelari-pelari Malaysia telah menunjukkan kekecewaan mereka di Facebook termasuk laman Facebook Malaysia Marathon. Ketika artikel ini ditulis, posting Facebook berkenaan pembatalan pertandingan telah menerima 371 komen yang rata-rata adalah komen negatif.[2] Pembatalan acara larian pada saat-saat akhir bukanlah sesuatu yang baru di Malaysia. Telah banyak kali perkara ini berlaku di Malaysia, dan inilah sebab mengapa saya menyerahkan hasil kajian saya terhadap pelari-pelari di Malaysia kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin melalui Timbalan beliau, Datuk M. Saravanan di Parlimen pada 1 Ogos 2017.[3] Difahami, Menteri agak sibuk menghadapi Sukan SEA ke-29 dan Sukan Paralimpik yang akan bermula pada 17 September 2017. Pembatalan pada saat-saat akhir ini perlu dijawab oleh Menteri Perlancongan serta Menteri Belia dan Sukan, yang tersenarai sebagai penganjur bersama untuk acara ini (termasuklah DBKL dan Wisdom Sports (M) Sdn Bhd).

    Pertamanya, adakah Menteri Perlancongan mempunyai pelan kontingensi jika penganjur, Wisdom Sports, tidak mampu membawa masuk bilangan peserta China yang dijanjikan? Menteri sepatutnya tahu bahawa untuk acara maraton yang telah bertapak seperti Standard Chartered Kuala Lumpur Marathon (SCKLM) dan Penang Bridge International Marathon (PBIM) yang biasanya disertai oleh lebih daripada 40,000 pelari, jumlah peserta asing biasanya adalah jauh kurang dari 5,000 orang. Apatah lagi untuk pertandingan yang hanya melibatkan anggaran 20,000 peserta.[4] Adakah Kementerian tidak terfikir berkenaan kebajikan peserta Malaysia yang telah mendaftar diri untuk pertandingan ini, termasuk peserta-peserta dari luar KL ada yang telah membeli tiket perjalanan untuk menyertai acara ini? Adakah Kementerian tidak mampu untuk menarik lebih banyak penaja korporat bagi menampung perbelanjaan penganjuran walaupun bilangan peserta China tidak mencukupi? Penjelasan yang diberi oleh Menteri berhubung pembatalan program ini adalah tidak mencukupi dan ini menunjukkan Menteri tidak mengambil berat terhadap kebajikan pelari-pelari Malaysia dan pelancong-pelancong.

    Kedua, Menteri Belia dan Sukan perlu memaklumkan kepada orang awam jika beliau yang sendiri telah meluluskan acara ini. Seksyen 33 Akta Pembangunan Sukan 1997 menyatakan bahawa “tiada seorang pun boleh membuat tawaran menjadi tuan rumah bagi apa-apa pertandingan atau acara sukan antarabangsa di Malaysia tanpa kelulusan bertulis Menteri terlebih dahulu dan keputusan Menteri tentangnya adalah muktamad”.

    Memandangkan Kementerian Belia dan Sukan disenaraikan sebagai salah satu penganjur bagi acara ini, malahan ia merupakan acara peringkat antarabangsa yang melibatkan begitu ramai peserta China yang sememangnya memerlukan persetujuan Menteri, maka Khairy Jamaluddin perlu menyatakan jika beliau sendiri telah memberi kelulusan untuk pertandingan ini. Jika beliau memang telah memberi kebenaran bertulis untuk menganjurkan pertandingan ini, maka beliau harus menerangkan kepada orang ramai apakah jaminan yang diberi kepadanya bahawa acara ini tidak akan dibatalkan jika bilangan peserta dari China tidak mencapai sasaran. Saya tidak fikir ini akan menjadi alasan yang sah bagi maraton antarabangsa lain seperti SCLKM dan PBIM untuk dibatalkan. Mengapa pula ia harus diterima sebagai alasan yang sah untuk pembatalan Malaysia Marathon?

    Tambahan, terdapat pelbagai maklumat berkenaan Malaysia Marathon yang menunjukkan penganjuran program ini tidak mengikut piawaian sukan antarabangsa (yang diperlukan oleh Seksyen 34 Akta Pembangunan Sukan 1997) termasuklah kegagalan untuk mempamerkan maklumat laluan bagi kategori 42km, 21km dan 10km, kegagalan untuk mempamerkan jumlah hadiah wang tunai dan hadiah lain bagi kategori 42km, 21km dan 10km dan kecuaian awal dalam ‘salah melabel’ pertandingan ini sebagai kononnya diperakui oleh International Association of Athletics Federation (IAAF).[5] Adakah Menteri sedar akan kelemahan-kelemahan yang mungkin ini sebelum beliau meluluskan penganjuran Malaysia Marathon?

    Pembatalan acara maraton peringkat antarabangsa pada saat-saat akhir yang melibatkan dua buah kementerian sebagai penganjur bersama meninggalkan tanda hitam dalam dunia larian di negara ini. Jika kerajaan Malaysia tidak dapat melindungi kebajikan para pelari Malaysia dalam acara larian yang digelar Malaysia Marathon, maka bolehkah kita menaruh kepercayaan kepada kerajaan untuk menjaga kebajikan para pelari Malaysia dalam acara lain yang dianjurkan di negara ini?

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] http://www.thesundaily.my/node/479618?

    [2] https://www.facebook.com/notes/malaysia-marathon/cancellation-of-malaysia-marathon-2017/276215422875144/

    [3] http://ongkianming.com/2017/08/01/media-statement-the-ministry-of-youth-and-sports-needs-to-do-more-to-improve-the-quality-of-running-events-in-malaysia/

    [4] http://www.thestar.com.my/news/nation/2017/03/01/marathon-targeting-20000-entries-one-belt-one-road-run-at-dataran-merdeka-expected-to-generate-rm40m/

    [5] Dakwaan tentang pensijilan IAAF kemudian telah dikeluarkan apabila ia disoal oleh anggota komuniti larian.