• Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak seharusnya terlalu obses dengan ranking (penarafan) universiti dunia, sebaliknya ia harus fokus terhadap penunjuk yang dibangunkan dalam negara bagi memperbaiki universiti kita

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ketua Penang Institute Kuala Lumpur pada 8 September 2017

    Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak seharusnya terlalu obses dengan ranking (penarafan) universiti dunia, sebaliknya ia harus fokus terhadap penunjuk yang dibangunkan dalam negara bagi memperbaiki universiti kita

    Times Higher Education World University Rankings 2018 telah diterbitkan pada awal minggu ini. Tajuk utama yang menonjol di akhbar adalah tentang dua buah universiti di United Kingdom yang telah berjaya mengungguli carta di tempat pertama dan kedua, iaitu University of Oxford dan University of Cambridge masing-masing.

    Bagaimanapun, pencapaian universiti di Malaysia adalah tidak begitu baik. Universiti Malaya berada di tangga tertinggi dalam kelompok universiti di Malaysia, iaitu antara kedudukan 351 hingga 400. Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) pula di tangga kedua iaitu antara kedudukan 501 hingga 600. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) semuanya berada di kedudukan 601-800, diikuti oleh Universiti Tenaga Nasional (UniTen) di kedudukan 801-1000 serta Universiti Utara Malaysia (UUM) di kedudukan 1001+ (Lihat Jadual 1 di bawah).

    Jadual 1: Kedudukan Universiti Malaysia di Times Higher Education (THE) World University Rankings 2018

    Kedudukan Nama Universiti
    351–400 University of Malaya
    501–600 Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR)
    601–800 Universiti Kebangsaan Malaysia
    601–800 Universiti Putra Malaysia
    601–800 Universiti Sains Malaysia
    601–800 Universiti Teknologi Malaysia
    601–800 Universiti Teknologi Petronas
    801–1000 Universiti Tenaga Nasional (UNITEN)
    1001+ Universiti Utara Malaysia

    Kedudukan universiti Malaysia dalam ranking THE adalah amat berkontras dengan 2018 QS World University Rankings di mana 5 buah universiti di Malaysia tersenarai dalam kedudukan 300 teratas yang diungguli oleh UM di kedudukan ke-114 (dengan UPM di 229, UKM di 230, UTM di 253 dan USM di 264).

    Jika kita mengkaji dua lagi carta kedudukan universiti dunia yang terkenal, iaitu Shanghai Jiao Tong Academic Ranking of World Universities (ARWU) dan US News and World Report’s Best Global University Rankings, kita akan mendapati bahawa universiti-universiti di Malaysia berada di luar senarai 300 teratas. Sebagai contoh, bagi carta ARWU 2017, UM dan USM berada di tangga 401-500 manakala UKM dan UPM di tangga 501-600 dan UTM pula berada antara 701-800.

    Dalam kedudukan US News 2017, UM berada di tangga tertinggi bagi universiti tempatan, iaitu 356, dan diikuti oleh USM (576), UTM (639), UPM (670) dan UKM (783).

    Rajah 1 di bawah menunjukkan perbezaan dalam kedudukan universiti-universiti di Malaysia bagi carta QS World University Rankings berbanding dengan tiga carta lain – THE, ARWU dan US News.

    Rajah 1: Carta Ranking Universiti Dunia Terbaru untuk 5 Universiti Penyelidikan Utama di Malaysia bagi Tahun 2017/ 2018

    Apakah yang dapat menjelaskan perbezaan prestasi universiti Malaysia dalam ranking QS berbanding ranking universiti dunia yang lain? Salah satu sebab yang mungkin adalah kerana ranking QS memperuntukkan peratusan terendah daripada markah keseluruhan kepada kaedah berasaskan penyelidikan dan petikan (citation). Jadual 2 di bawah meringkaskan komponen dalam keempat-empat carta ranking universiti dunia ini dan mengira pemberat keseluruhan yang diberi kepada kaedah berasaskan penyelidikan dan petikan (iaitu hasil penerbitan universiti). Ranking QS hanya memperuntukkan 20% daripada skor keseluruhan kepada kaedah penyelidikan dan petikan. Ini berbeza dengan peratusan carta lain, iaitu 60% bagi THE, 70% bagi Shanghai AWRU dan 75% bagi US News yang diperuntukkkan kepada kaedah berasaskan penyelidikan dan petikan.

    Di dalam ranking QS, reputasi akademik dan majikan mempengaruhi 50% daripada jumlah markah keseluruhan. Pengiraan ini adalah subjektif dan boleh kuat dipengaruhi oleh sampel responden yang ditinjau. Sebagai contoh, dalam ranking QS 2018 terbaru, ahli akademik Malaysia mempunyai perwakilan yang tinggi iaitu 3.7%, walaupun populasi Malaysia hanya 0.41% daripada populasi seluruh dunia. Peratusan responden Malaysia dalam kaji selidik akademik ini adalah jauh lebih tinggi berbanding China (1.7%), Jerman (2.9%) dan Jepun (3.2%).

    Peratusan ahli akademik dan pelajar antarabangsa adalah 10% daripada skor keseluruhan QS dan jika sesebuah universiti itu bijak, ianya hanya perlu meningkatkan angka ini bagi mempertingkatkan ranking QSnya tanpa menambah baik kualiti pendidikan, kualiti kajian akademik atau kualiti pelajar. Malahan, kita tidak patut lupa bahawa pada tahun 2004, ranking QS[1] meletakkan UM di tangga ke-89 dalam dunia kerana pelajar-pelajar dan pengajar-pengajar kaum Cina dan India telah disalah klasifikasi sebagai warga asing, dan ini telah secara palsu menaikkan skor UM bagi komponen Fakulti dan Pelajar Antarabangsa.[2]

    Jadual 2: Kompenen dan Pemberat bagi Carta Ranking QS, THE, Shanghai ARWU dan US News

    Ranking Komponen Pemberat Pemberat Berasaskan Penyelidikan & Petikan (Citation)
    QS Reputasi akademik 40% 20%
    Reputasi majikan 10%
    Nisbah pelajar fakulti 20%
    Citations (Petikan) per fakulti 20%
    Fakulti antarabangsa 5%
    Pelajar antarabangsa 5%
    THE Pengajaran: persekitaran pembelajaran 30% 60%
    Penyelidikan: jumlah, pendapatan dan reputasi 30%
    Citations: pengaruh penyelidikan 30%
    Pendapatan industri: inovasi 2.5%
    Pandangan antarabangsa: staf, pelajar dan penyelidikan 7.5%
    Shanghai ARWU Alumni dari institusi yang memenangi Hadiah Nobel dan Pingat Fields 10% 70%
    Kakitangan dari institusi yang memenangi Hadiah Nobel dan Pingat Fields 20%
    Penyelidik-penyelidik yang banyak dipetik dalam 21 kategori subjek yang luas 20%
    Kertas-kertas kajian yang diterbitkan dalam Nature and Science* 20%
    Kertas-kertas kajian yang diindeks dalam Science Citation Index-expanded dan Social Science Citation Index 20%
    Prestasi akademik per kapita sebuah institusi 10%
    US News Reputasi penyelidikan antarabangsa 12.5% 75.0%
    Reputasi penyelidikan serantau 12.5%
    Penerbitan 10.0%
    Buku 2.5%
    Persidangan 2.5%
    Impak citations ternormal 10.0%
    Jumlah citations 7.5%
    Jumlah penerbitan yang antara 10% paling dipetik 12.5%
    Peratusan jumlah penerbitan yang antara 10% paling dipetik 10.0%
    Kerjasama antarabangsa 10.0%
    Bilangan kertas-kertas kajian yang kerap dipetik yang antara 1% paling dipetik dalam bidang masing-masing 5.0%
    Peratusan jumlah penerbitan yang antara 1% kertas-kertas kajian yang paling dipetik 5.0%

    Keputusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menanda aras universiti Malaysia berdasarkan QS World University Rankings boleh dilihat sebagai berpandangan pendek dan silap memandangkan ranking QS tidak banyak menitikberatkan penyelidikan. KPT akan memperbodohkan diri dan masyarakat awam jika ia berterusan menggunakan ranking QS sebagai penunjuk bahawa qualiti universiti-universiti kita sedang bertambah baik, terutamanya dari segi aktiviti penyelidikan.

    Ini tidak bermakna bahawa kita perlu bergantung kepada ranking universiti dunia yang memberi lebih pemberat kepada bidang penyelidikan. Carta lain juga mempunyai kelemahan masing-masing. Sebagai contoh, ranking ARWU Shanghai memberi pemberat yang terlalu tinggi kepada subjek-subjek sains dan penerbitan dan juga kepada universiti yang pernah memenangi Hadiah Nobel dan Fields Medal. Universiti Malaysia boleh meningkatkan kedudukan ARWUnya dengan memberi tempat kepada pemenang Nobel dan Fields Medals untuk jangka masa pendek namun ini mungkin tidak cukup untuk meningkatkan hasil penyelidikan universiti secara keseluruhan.

    Daripada obses dengan permainan ranking, KPT seharusnya berusaha menambah baik penunjuk dan kaedah akademik yang dibangunkan oleh Kementerian dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi mengukur kualiti universiti awam dan swasta tempatan, seperti Instrumen Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA), Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (SETARA) dan Sistem Penarafan Berasaskan Disiplin Pengajian (D-SETARA). Pada masa ini, tahap ketelusan dan pendedahan tentang bagaimana data ini dikumpul adalah amat kurang dan terlalu sedikit perbincangan untuk memperbaiki langkah-langkah ini supaya ia boleh digunakan oleh orang awam untuk menilai kualiti institusi dan juga institusi-institusi untuk menanda aras prestasi mereka. Sebagai contoh, MySetara kurang bernilai jika majoriti universiti awam dan swasta diberi penarafan lima bintang (daripada enam bintang kesemuanya). Bagaimana untuk kita membezakan antara universiti-universiti ini dari segi kualiti hasil penyelidikan atau kualiti pengajaran, sebagai contoh?

    Penang Institute di Kuala Lumpur telah menerbitkan satu laporan bertajuk “Obesesi kurang sihat terhadap Ranking Universiti Dunia?”[3] sebagai salah satu usaha meningkatkan kesedaran terhadap kekuatan dan kelemahan setiap sistem ranking universiti dunia dan sebagai hujah bahawa KPT tidak patut terlalu obses dengan prestasi Malaysia dalam carta-carta tersebut tetapi seharusnya fokus terhadap menambah baik kaedah pengukuran yang dibangunkan oleh KPT dan MQA. Jika kita fokus kepada menambah baik universiti mengikut penunjuk yang lebih sesuai dan dibangunkan di peringkat tempatan, maka hasil universiti dari segi kualiti penyelidikan, kualiti pengajaran dan kualiti graduan juga akan meningkat. Dan jika penambahbaikan ini secara tidak langsung membantu meningkatkan kedudukan kita dalam sistem ranking universiti dunia, maka ia adalah satu bonus bagi kita.

    [1] Ini adalah ketika ranking diterbitkan bersama oleh QS dan THE. Bermula 2010, ranking ini diterbitkan secara berasingan.

    [2] http://rankingwatch.blogspot.my/2012/08/universiti-malaya-again-in-many.html#links

    [3] Ditulis oleh Lee Zi-Sheng, pelatih di Penang Institute di KL dan Dr. Ong Kian Ming, Ketua Penang Institute di KL. Salinan laporan ini boleh didapati di laman web: http://penanginstitute.org/v3/research/penang-institute-in-kuala-lumpur

Leave a reply.