• Memastikan prestasi Sukan SEA kita kekal mampan

    (Artikel ini juga boleh dibaca di ruang Institut Pulau Pinang di KL dalam Malaysian Insight, 2hb Sept 2017)

    Ketika saya menulis artikel ini, Malaysia telah pun mendahului rekod pungutan pingat Sukan SEA ke-29 dengan meraih 140 emas, 91 perak dan 84 gangsa. Jumlah pingat emas kita adalah 2 kali ganda jumlah pingat emas Thailand, yang berada di tempat kedua. Kita turut berjaya memecahkan rekod Sukan SEA 2001 di mana kita telah meraih sebanyak 111 pingat emas.

    Ini merupakan pencapaian yang menakjubkan dan usaha gigih atlet-atlet kita harus disanjung tinggi. Namun adakah pencapaian ini sesuatu yang mampan? Adakah atlet kita mampu melangkah lebih jauh dan bersaing di peringkat Asian dan, untuk sesetengah mereka, di peringkat antarabangsa juga?

    Kini, sukan telah menjadi sebuah industri berbanding sebelum tahun 1990an di mana ianya kelihatan lebih bersifat amatur (kurang mahir atau profesional). Di samping mengenal pasti bakat, bidang sukan kini melibatkan pelbagai aspek lain seperti pembiayaan, latihan dan bimbingan, nutrisi dan pertandingan, dan banyak lagi.

    Masyarakat sememangnya menaruh harapan kepada kerajaan, khasnya Kementerian Belia dan Sukan, untuk memacu pembangunan sukan negara ke arah yang sepatutnya. Bagi negara kecil seperti Malaysia, pembiayaan kerajaan bagi sukan adalah perlu terutamanya apabila ia melibatkan sokongan untuk atlet yang berpotensi besar.

    Dengan berbekalkan objektif tersebut, program Kita Juara telah dilancarkan pada 2015. Atlet-atlet terpilih diberi sumber dan lebih banyak peluang untuk bertanding di peringkat antarabangsa. Ini merupakan sebahagian dari proses jangka masa panjang untuk melahirkan juara dunia lebih dari sekadar untuk Sukan SEA.

    Namun, dana kerajaan adalah terhad. Malahan UK Sport, iaitu organisasi kerajaan UK yang bertujuan memandu pembangunan sukan, terpaksa membuat potongan besar terhadap perbelanjaan bagi sukan seperti badminton, memanah, lawan pedang dan angkat berat kerana kekurangan potensi untuk memenangi pingat pada Olimpik Tokyo 2020, walaupun organisasi ini menerima sejumlah £347 juta daripada hasil National Lottery.

    Di sinilah peranan penting perlu dimainkan oleh persatuan-persatuan sukan di peringkat persekutuan mahupun peringkat negeri. Kebanyakan orang tidak sedar akan kuasa besar yang dipegang persatuan-persatuan ini. Dalam hal tertentu, mereka lebih berkuasa daripada menteri. Contohnya, mereka ada kuasa untuk memilih atlet yang akan mewakili negara, serta memberi dana kepada atlet terpilih untuk ke pertandingan luar negara dan dilatih oleh jurulatih kebangsaan.  

    Presiden persatuan sukan biasanya merupakan ahli politik dan / atau ahli perniagaan. Presiden yang juga merupakan ahli perniagaan biasanya diharapkan untuk membiayai sebahagian kos operasi pengendalian persatuan, manakala ahli politik pula diharapkan untuk mengumpul dana yang perlu melalui hubungan mereka. Selepas Sukan SEA, persatuan-persatuan sukan ini masih perlu mencari dana untuk membiayai aktiviti-aktiviti dan membangunkan atlet-atlet mereka.

    Setiap sukan menerima tahap sokongan yang berbeza dari masyarakat. Selain dari persatuan bola sepak dan badminton yang sudah pun menerima sambutan meluas dari masyarakat, persatuan sukan lain boleh lebih melakukan pelbagai usaha untuk mempromosikan sukan masing-masing.

    Tahap sokongan orang ramai terhadap sukan sebenarnya mempengaruhi keupayaan persatuan sukan ini untuk menambah baik kedudukan kewangan mereka. Sebagai contoh, walaupun larian untuk rekreasi kini menjadi makin popular di Malaysia yang boleh dilihat melalui pertumbuhan pesat acara larian di seluruh negara, persatuan yang bertanggungjawab untuk bidang olahraga iaitu Persekutuan Olahraga Malaysia (MAF) tidak mempunyai laman Facebook yang dikemaskini, apatah lagi laman web yang berfungsi.

    Pasukan balapan kita mempamerkan prestasi yang lebih bagus dari jangkaan dengan memenangi 8 emas, 8 perak dan 9 gangsa, termasuklah pingat gangsa bersejarah dalam acara Marathon Lelaki dan rekod Sukan SEA dalam lontar peluru. Namun tiada satu daripada pencapaian ini didokumentasikan dalam laman Facebook MAF, di mana kemaskini terbaru adalah dari tahun 2014. Laman web MAF yang sedia ada merupakan sebuah blog mengenai makanan dan pelancongan.

    Begitu juga dengan Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) yang tiada laman Facebook, malahan laman webnya tidak mempamerkan pencapaian perenang kita dalam Sukan SEA.

    Dalam satu soal selidik ringkas terhadap 37 persatuan sukan yang menghantar atlet ke Sukan SEA, hanya terdapat 21 laman Facebook yang wujud (sama ada berbentuk page atau group) dan tidak semua daripada laman ini berstatus aktif. Pujian perlu diberikan kepada Persatuan Luncur Ais Malaysia (ISAM) dan Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) kerana aktif di Facebook dan memaparkan pencapaian atlet mereka. Ironiknya, walaupun Persatuan Polo DiRaja Malaysia (RMPA) mempunyai seorang pemain yang aktif dalam media sosial, namun laman Facebook persatuan tersebut seperti kurang menyerlah.

    Walaupun laman Facebook yang aktif tidak menjanjikan kejayaan sukan, namun ia merupakan petunjuk sejauh mana hubungan antara persatuan sukan tersebut dengan peminat-peminat mereka serta masyarakat. Bagaimana sebuah badan korporat mahu menaja sukan tersebut jika dilihat amat sedikit peminat dan hubungan yang dibina dengan orang awam? Dalam hal ini, adalah lebih berbaloi jika penaja korporat ini menghubungi atlet individu yang sudah pun menjadi tokoh awam berbanding menaja persatuan sukan yang dianggotai atlet tersebut. 

    Kekurangan aktiviti media sosial bermakna bahawa persatuan-persatuan ini kurang berusaha untuk mengembangkan kelompok penyokong melalui cara menyebarkan maklumat mengenai pertandingan tempatan dan menyoroti profil atlet-atlet. Sekali lagi, berbalik kepada sukan olahraga yang lebih saya kenali, dilihat bahawa agak kurang publisiti dilakukan untuk Olahraga Terbuka Malaysia yang berlangsung sebelum Sukan SEA walaupun ia merupakan pertandingan utama bagi kategori balapan di negara ini.

    Nampaknya, lebih banyak maklumat yang dihebahkan di sosial media berkenaan acara larian yang disertai ramai, berbanding Malaysian Open bagi acara balapan. Walau pun acara balapan tidak sepopular sukan teras lain seperti badminton dan bola di Malaysia, hakikat bahawa persatuan yang bertanggungjawab dalam mempromosikan sukan itu nampaknya tidak melakukan tugasnya hanya akan menambah cabaran kepada atlet kita. Semakin kurang dana dan sokongan untuk persatuan, maka semakin kurang sumber untuk menggaji jurulatih-jurulatih yang bagus dan menghantar atlet-atlet yang berpotensi untuk berlatih dan menyertai pertandingan di luar negara.

    Selepas gembar gembur Sukan SEA, apabila sukan bukan teras tidak lagi menerima tumpuan ramai, dapatkah atlet-atlet kita mengambil langkah seterusnya untuk bertanding dalam Sukan Asia 2018 di Jakarta? Mampukah persatuan sukan menjadi lebih aktif dalam mempromosikan sukan dan mendapat lebih banyak perhatian dari masyarakat?

    Mari kita tunggu dan lihat. Pada masa yang sama, saya akan turut serta menjadi sebahagian rakyat yang bersorak di Stadium Nasional Bukit Jalil semasa majlis penutupan Sukan SEA demi meraikan pencapaian Malaysia!

    Dr Ong Kian Ming adalah Ahli Parlimen Serdang, Selangor dan juga Pengurus Besar Institut Pulau Pinang di Kuala Lumpur. Beliau memegang ijazah PhD dalam bidang Sains Politik dari Duke University, MPhil dalam Ekonomi dari University of Cambridge dan BSc dalam Ekonomi dari London School of Economics.

     

Leave a reply.