• Mesej kepada Datuk Seri Panglima Said Salleh Keruak: 2017 bukan 1990

    Kenyataan Media Ahli Parlimen Serdang, Dr. Ong Kian Ming, pada 28hb Ogos, 2017

    Mesej kepada Datuk Seri Panglima Said Salleh Keruak: 2017 bukan 1990

    Saya sedikit terkejut apabila membaca respons dari Menteri Komunikasi, Datuk Seri Panglima Said Salleh Keruak, kepada kenyataan media saya mengenai kemungkinannya berlaku peralihan undi Melayu sebanyak 15% dari BN ke pembangkang pada PRU 14 nanti. Biasanya, Menteri Barisan Nasional (BN) tidak begitu suka memberi balasan kepada kenyataan media saya yang mengandungi angka dan fakta. Saya ucapkan tahniah kepada Menteri Komunikasi atas kepekaan beliau terhadap peralihan undi Melayu di PRU 14.

    Saya setuju dengan beberapa perkara yang dibangkitkan oleh Said Salleh.[1]

    Pertama, saya setuju bahawa Pakatan Harapan tidak boleh menganggap bahawa pengundi muda akan lebih cenderung kepada pihak pembangkang walaupun di PRU 2008 dan 2013, berdasarkan kajian undi mengikut saluran, kadar sokongan untuk pembangkang di saluran pengundi muda lebih tinggi berbanding dengan saluran pengundi tua. Tidak boleh dinafikan bahawa senjata utama BN untuk menarik pengundi muda, iaitu Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, mendapat sambutan yang baik di kalangan orang muda, terutamanya melalui media sosial. Pada pendapat saya, strategi media sosial beliau jauh lebih berkesan berbanding dengan Perdana Menteri kita. Populariti Khairy melonjak lagi kerana beliau bukan sahaja turun padang untuk memberi galakkan kepada para atlit sukan SEA kita tetapi juga turun padang untuk mewakili negara dalam sukan polo.

    Kedua, saya setuju bahawa negara kita tidak mengalami kegawatan ekonomi buat masa sekarang, bukan seperti situasi menjelang PRU 1999.

    Namun, saya rasa Said Salleh patut sedar bahawa 2017 bukan 1990.

    Menjelang PRU 1990, parti pembangkang hanya memegang 27 daripada 177 kerusi parlimen ataupun 15% daripada jumlah kerusi parlimen. Menjelang PRU 14, parti pembangkang (termasuk ahli parlimen bebas) memegang 89 daripada 222 kerusi parlimen ataupun 40%.

    Menjelang PRU 1990, parti pembangkang tidak menguasai mana-mana kerajaan negeri. Menjelang PRU 14, pihak pembangkang telah membentuk kerajaan di tiga negeri.

    Menjelang PRU 1990, semua media dikawal oleh kerajaan. Menjelang PRU 14, media atas talian (online) memberi persaingan yang hebat kepada media arus perdana dari segi jumlah pengguna. Media sosial memberi satu lagi arus kepada pihak pembangkang untuk menyampaikan maklumat kepada pengundi.

    Menjelang PRU 1990, pihak pembangkang diketuai oleh seorang bekas Menteri Kewangan yang keluar dari parti UMNO. Menjelang PRU 14, pihak pembangkang dipimpin oleh seorang bekas Perdana Menteri Malaysia, dua bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, ketua pembangkang, seorang bekas Menteri Besar (Kedah), seorang Menteri Besar (Selangor) dan seorang Ketua Menteri (Pulau Pinang).

    Menjelang PRU 1990, pemimpin muda parti pembangkang tidak beberapa diketahui orang ramai. Menjelang PRU 14, pemimpin muda Pakatan Harapan yang berusia 40 tahun ke bawah termasuk Nurul Izzah, Syed Saddiq, Nik Nazmi, Wong Kah Woh, Hannah Yeoh, Zairil Khir Johari, Steven Sim, Yeo Bee Yin, Kasturi Patto dan ramai lagi. Selain daripada Khairy Jamaluddin, pemimpin muda Barisan Nasional yang dikenali orang ramai adalah Jamal Yunos yang berminat untuk bertanding jawatan ketua Pemuda UMNO.

    Menjelang PRU 1990, GST tak wujud dan subsidi minyak, gula, minyak masak dan sebagainya masih wujud. Menjelang PRU 14, pelaksanaan GST dan penarikan balik subsidi-subsidi mengurangkan pendapatan orang ramai dan meningkatkan kos kehidupan dari bandar hingga ke kampung.

    Menjelang PRU 1990, Perdana Menteri masa itu tidak terlibat dalam skandal mega yang memburukkan nama negara di seluruh dunia. Menjelang PRU 14, Malaysia lebih dikenali sebagai negara ‘kleptokrat’ akibat daripada skandal 1MDB di mana duit berbilion-bilion disyaki dicuri daripada rakyat Malaysia dan digunakan untuk membeli permata, rumah mewah, karya lukisan dan poster, kapal layar dan sebagainya.

    Semua faktor ini tidak bermakna peralihan undi Melayu sebanyak 15% daripada BN kepada pembangkang semestinya akan berlaku. Tetapi, adakah blogpost Said Salleh menunjukkan bahawa UMNO sendiri takut peralihan undi orang Melayu kepada pembangkang akan menjadi suatu realiti di PRU 14?

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] https://sskeruak.blogspot.my/2017/08/analisis-ong-kian-ming-menarik-tetapi.html?m=1

Leave a reply.