• Andaian 15% pengundi Melayu beralih menentang BN pada PRU 14, adakah ia realistik?

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 26 Ogos 2017

    Andaian 15% pengundi Melayu beralih menentang BN pada PRU 14, adakah ia realistik?

    Rakan sejawat saya merangkap Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong, telah membangkitkan kemungkinan tsunami Melayu pada PRU 14, yang bakal membolehkan Pakatan Harapan untuk mengambil alih kuasa di peringkat persekutuan.

    Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, juga telah menulis tentang formula 10 dan 5, di mana peralihan sokongan 10% pengundi Melayu dan 5% pengundi bukan Melayu kepada pembangkang akan membolehkan PH memenangi 113 daripada 165 kerusi Parlimen (atau 68% kerusi Parlimen) di Semenanjung lalu mara ke Putrajaya.

     Sebesar mana peralihan undi daripada pengundi Melayu yang diperlukan untuk memastikan PH menawan Putrajaya? Adakah andaian tsunami Melayu dalam bentuk 15% peralihan undi Melayu menentang BN suatu andaian yang realistik?

    Bagi menjawab persoalan sama ada peralihan sokongan 15% undi Melayu menentang BN merupakan satu andaian yang realistik untuk PRU 14, kita perlu meneliti pola perubahan undi dalam PRU di Malaysia sebelum ini.

    Jadual 1 di bawah menunjukkan anggaran sokongan untuk BN berdasarkan kaum, dan perubahan sokongan kaum untuk BN daripada tahun 1995 hingga 2013.

    Jadual 1: Anggaran sokongan untuk BN mengikut pecahan kaum di Semenanjung Malaysia, 1995 hingga 2013.

    1995 1999 2004 2008 2013
    Melayu 81% 54% (-27%) 65% (+11%) 59% (-6%) 64% (+5%)
    Cina 55% 65% (+10%) 75% (+10%) 35% (-40%) 14% (-21%)
    India >90% >90% (NA) >90% (NA) 48% (-42%) 38% (-10%)

    (Angka dalam kurungan merupakan perubahan pada setiap kali PRU) (NA = tiada)

    Sumber: Anggaran oleh Dr. Ong Kian Ming

    Dari Jadual 1, terdapat satu masa di mana lebih daripada 15% sokongan pengundi Melayu beralih menentang BN iaitu pada PRU 1999 ketika zaman Reformasi. Pada ketika itu, sokongan pengundi Melayu untuk BN merosot sebanyak 27%, iaitu daripada 81% (1995) jatuh kepada 54% (1999). PAS telah muncul sebagai parti pembangkang terbesar di Parlimen selepas berlakunya PRU 1999. Kehilangan sokongan terhadap BN dirasai terutamanya di Kedah, Terengganu dan Kelantan di mana PAS memenangi majoriti kerusi Parlimennya. Apa yang menjadi faktor ‘penyelamat’ BN pada PRU 1999 adakah sokongan tinggi daripada pengundi bukan Melayu. Dianggarkan bahawa sokongan Cina untuk BN meningkat 10%, iaitu daripada 55% (1995) kepada 65% (1999). Sokongan India untuk BN kekal tinggi, iaitu melebihi 90%.

    Pada PRU 2004, sokongan Melayu terhadap BN kembali meningkat sebanyak 11% iaitu daripada 54% kepada 65%. Sokongan pengundi Cina untuk BN turut meningkat sebanyak 10% hingga ke tahap 75% yang merupakan antara tahap tertinggi dalam sejarah Malaysia. Ini adalah kesan tsunami Pak Lah hingga membolehkan BN memegang 91% kerusi Parlimen.

    Pada PRU 2008, sokongan pengundi bukan Melayu untuk BN telah turun dengan mendadak. Sokongan dari pengundi Cina menjunam sebanyak 40% iaitu daripada 75% kepada 35%. Manakala sokongan pengundi India pula menurun sekurang-kurangnya 42% (daripada 90% kepada 48%) disebabkan oleh gerakan Hindraf pada ketika itu. Sokongan BN di kalangan pengundi Melayu hanya jatuh 6% sahaja, iaitu daripada 65% kepada 59%.

    Pada PRU 2013, sokongan BN di kalangan Melayu meningkat sedikit sebanyak 5%, daripada 59% kepada 64%, manakala bagi pengundi Cina dan India, ianya masing-masing jatuh sebanyak 21% dan 10%, sehingga mencapai tahap 14% dan 38% masing-masing.

    Berbalik kepada persoalan asal, berapakah peratusan peralihan undi Melayu yang boleh dianggarkan dalam PRU14? Peralihan 10% undi Melayu adalah mungkin jika mengambil kira impak Tun Dr. Mahathir dan pembentukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) disusuli oleh pembentukan Pakatan Harapan yang termasuk PPBM.  Dengan adanya PM yang kurang popular, skandal 1MDB serta impak GST dan peningkatan kos sara hidup, undi Melayu mungkin akan beralih menentang BN pada PRU14. Peralihan 15% undi Melayu akan menyebabkan sokongan undi Melayu kepada BN tinggal 50% sahaja, yang akan menggoyahkan kedudukan BN. Sungguh pun perubahan 15% atau lebih dalam mana-mana blok undi jarang terjadi, namun kita sedang mengalami keadaan luar biasa. Ia pernah berlaku pada 1999 di kalangan pengundi Melayu dan 2008 di kalangan pengundi bukan Melayu. Jika pada 2013 saya diberitahu bahawa Dr. Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin akan membentuk parti baru bagi menentang UMNO pada PRU14, sudah tentu saya menggangap anda mengarut. Namun, apa yang tidak dijangkakan pada ketika itu, kini telah menjadi realiti. Walau pun peralihan 15% ini kedengaran seperti sesuatu yang tidak mungkin, ia bukannya sesuatu yang mustahil berlaku.

    Sudah tentu jika terdapat 15% peralihan undi Melayu menentang BN, persoalan seterusnya adalah berapa daripada peratusan ini yang akan beralih ke PH dan berapa akan beralih ke PAS? Jawapan kepada persoalan memerlukan kenyataan media yang lain…

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang