• Menteri SPAD perlu menjawab kepada pemandu teksi dan pemandu e-panggilan (e-hailing) jika Tribunal Pemandu tidak ditubuhkan di bawah Akta Pangangkutan Awam Darat (Pindaan) 2010

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 27 Julai 2017

    Menteri SPAD perlu menjawab kepada pemandu teksi dan pemandu e-panggilan (e-hailing) jika Tribunal Pemandu tidak ditubuhkan di bawah Akta Pangangkutan Awam Darat (Pindaan) 2010

    Pada awal bulan ini, semasa sesi dialog anjuran DAP bersama pemandu e-hailing, antara aduan utama yang dibangkitkan adalah tiada badan bebas atau pihak ketiga di mana pemandu boleh membuat rayuan jika mereka tidak bersetuju dengan keputusan yang dibuat oleh syarikat e-hailing mereka. Sebagai contoh, kami mendengar aduan daripada pemandu yang telah mendakwa mereka dihalang atau digantung oleh syarikat e-hailing tanpa sebab yang jelas. Ramai pemandu teksi juga membangkitkan rungutan terhadap syarikat e-hailing mereka. Mereka tiada badan bebas atau pihak ketiga yang boleh mendengar aduan mereka dan membuat keputusan.

    Akta Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2010 yang kini sedang diperdebatkan di Parlimen tidak menangani masalah ini sama sekali. Oleh itu, saya telah mencadangkan usul untuk memasukkan seksyen baru dalam akta ini bagi mewujudkan ‘Tribunal Pemandu Teksi dan E-hailing’ (Lampiran 2). Tribunal ini menyerupai Tribunal Pengguna yang diwujudkan dalam Seksyen 85 hingga Seksyen 122 Akta Perlindungan Pengguna 1999. Sayangnya, usul saya untuk memperkenalkan tribunal ini ditolak oleh speaker Dewan Rakyat (Lampiran 1). Dalam jawapan balas Parlimen beliau, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Sri Nancy Shukri menolak keperluan tribunal kerana menurut beliau SPAD kini mampu mengendalikan aduan pemandu teksi, dan pada masa hadapan pemandu e-hailing juga setelah e-hailing ‘dihalalkan’ beroperasi apabila rang undang-undang ini diwartakan dan lesen e-hailing diluluskan.

    Masalah dengan cadangan ini adalah SPAD mungkin tiada kuasa perundangan untuk memaksa syarikat e-hailing mematuhi keputusan dalam kes pertikaian antara pemandu dan syarikat. Sebagai contoh, SPAD mungkin mendapati syarikat e-hailing berhutang tambang ribuan ringgit kepada pemandu dan boleh melibatkan pertikaian. Adakah SPAD mampu memaksa syarikat untuk membayar tambang tersebut kepada pemandu? Atau adakah pemandu perlu ke mahkamah untuk mendapatkan bayaran tambang tersebut? Kelebihan tribunal ini adalah ia merupakan cara yang lebih kos efektif kepada pemandu untuk aduan mereka didengari tanpa perlu membayar kos guaman yang mahal. Persoalan lain adalah adakah SPAD mempunyai kapasiti untuk menyiasat dan mendengar kesemua kes berkenaan pemandu e-hailing selepas akta ini diluluskan dan diwartakan.

    Tribunal ini bukan sahaja untuk pemandu e-hailing. Ia juga boleh digunakan oleh pemandu teksi yang mempunyai rungutan terhadap syarikat masing-masing.

    Memandangkan tribunal ini tidak mungkin ditubuhkan di bawah akta ini, saya menyeru semua pemandu e-hailing dan pemandu teksi yang mempunyai sebarang aduan terhadap syarikat masing-masing untuk menghubungi talian SPAD (1800-88-7723), SMS SPAD di 15888 atau menghantar emel ke aduan@spad.gov.my untuk menyalurkan aduan mereka, jika ada, terhadap syarikat masing-masing, bagi menunjukkan kepada SPAD akan keperluan mendesak untuk menubuhkan Tribunal Pemandu bagi mendengar dan membuat keputusan terhadap aduan-aduan ini.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    Lampiran 1: Surat daripada pejabat Speaker yang menolak usul saya bagi memperkenalkan Tribunal Pemandu Teksi dan Pemandu E-Hailing dalam Akta Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2010

    Lampiran 2: Usul untuk memperkenalkan Tribunal Pemandu Teksi dan E-Hailing dalam Akta Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2010

Leave a reply.