• Kisah pusat perlindungan gajah liar dan pengeluaran semikonduktor

    Apakah persamaan antara pusat perlindungan gajah liar dan pengeluaran semikonduktor? Kedua-duanya memerlukan sumber air bersih demi kelangsungan. Pada minggu lepas, saya berpeluang melawat Loji Rawatan Air Sungai Dua yang dikendalikan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang. Loji rawatan air ini menyalurkan lebih daripada 80% bekalan air yang digunakan oleh pengguna kediaman dan komersial di Negeri Pulau Pinang.

    Sumber air bagi loji rawatan air Sungai Dua adalah dari Hutan Simpan Ulu Muda, dan saya telah menghabiskan beberapa hari di sana. Rizab tersebut juga merupakan kawasan tadahan air bagi Empangan Muda, Pedu dan Ahning. (Lihat rajah di bawah)

    Sebahagian besar rakyat Malaysia tidak pernah mendengar nama Ulu Muda, apatah lagi melawat khazanah kebangsaan ini. Ianya merupakan habitat kepada 50 hingga 60 ekor gajah Asia liar (anggaran jumlah keseluruhan di Semenanjung Malaysia adalah antara 1200 hingga 1600 ekor).

    Saya bersyukur dapat melihat 2 kumpulan gajah pada petang pertama di Ulu Muda semasa kami menaiki bot yang perlahan-lahan menyusuri sungai. Selain daripada gajah Asia, Ulu Muda juga menjadi habitat kepada mamalia lain seperti tapir, rusa sambar, kijang, harimau bintang, beruang matahari, ungka dan juga lebih daripada 10 spesis burung enggang termasuklah Burung Enggang Tebang Mentua, Burung Enggang Papan dan Burung Enggang Badak (Kenyalang). Semasa menyusuri sungai pada waktu petang, kami menemui banyak kawanan burung enggang terbang dalam formasi yang gah.

    Selain daripada haiwan-haiwan ini, terdapat banyak spesis tumbuhan dan serangga dalam hutan termasuklah pokok tualang yang boleh dipenuhi ratusan sarang lebah, dan pokok kundur dengan banir yang besar sekali (lihat rajah di bawah).

    Yang sedih sekali, pembalakan hutan sekunder yang telah berlarutan selama bertahun-tahun kini semakin mendekati kawasan kritikal untuk habitat gajah, seperti jenut garam. Jenut garam adalah kawasan-kawasan di dalam hutan yang menghasilkan mineral yang sering dimakan gajah dan mamalia besar yang lain sebagai makanan tambahan mereka.


    (Jenut Garam Ayer Hangat, iaitu satu-satunya jenut garam yang juga merupakan mata air panas. Najis gajah terdapat di sekeliling tempat tersebut.)

    Kami juga telah menjumpai sesebuah jalan pembalakan lama di tebing empangan Muda. Ketika melawat ke kawasan di mana balak dikumpul sebelum dihantar keluar, kami menemui pelan jalan baru masuk jauh ke dalam hutan rizab Ulu Muda yang sangat hampir dengan eco-resort di mana kami tinggal.

    Kegiatan pembalakan tidak bertanggungjawab ini bukan sahaja memberi impak besar terhadap haiwan dan tumbuhan di Ulu Muda, malahan ia juga memberi kesan kepada kualiti sumber air penduduk di Kedah dan Pulau Pinang.

    Kini, aktiviti pembalakan di pinggir Ulu Muda yang berterusan untuk bertahun-tahun telah pun menyebabkan sungai bertukar warna kepada warna coklat dan dipenuhi dengan pasir serta mendapan. Jika lebih banyak aktiviti pembalakan dibenarkan, besar kemungkinan bahawa kualiti dan kuantiti air yang diambil masuk oleh loji rawatan air Sungai Dua akan terjejas.

    Sudah tentu kerajaan negeri Kedah akan berkata mereka memerlukan keuntungan daripada aktiviti pembalakan bagi mengisi tabung negeri. Salah satu cara kerajaan Kedah (atau mana-mana kerajaan negeri di Malaysia) boleh mendapat pampasan bagi pemeliharaan hutan adalah melalui dana antarabangsa melalui inisiatif Reduce Emissions from Deforestation and Forest Degradation (REDD+). Sebagai contoh, dana boleh didapati melalui Forest Carbon Partnership Facility dan di Asia Tenggara, negara jiran kita iaitu Indonesia, Thailand dan Vietnam merupakan sebahagian daripada inisiatif ini tetapi Malaysia tidak. Kerajaan persekutuan perlu bekerjasama dengan agensi-agensi terlibat dalam Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di bawah kerangka UNFCCC, supaya jalan yang jelas dan telus ke arah mendapatkan pembiayaan daripada REDD+ boleh diperolehi. Kepimpinan yang teguh daripada kerajaan persekutuan dalam hal ini adalah sangat diperlukan memandangkan pihak dan syarikat yang tidak bertanggungjawab sedang cuba untuk menipu kerajaan negeri tertentu untuk menyertai skim-skim yang kononnya REDD+.

    Loji semikonduktor, yang memerlukan sumber air yang bersih dan tetap, seakan-akan amat jauh daripada tempat perlindungan gajah di Ulu Muda. Namun sebenarnya, ia tetap merupakan sebahagian daripada ekosistem yang lebih besar. Pemeliharaan kawasan tadahan Ulu Muda yang merupakan sebahagian daripada habitat gajah adalah penting sekali dalam memastikan sumber air yang bersih dan berterusan bagi loji rawatan air di Pulau Pinang yang berada 200km di hiliran.