• SPAD perlu memastikan pentas sama rata bagi pemandu teksi dan pemandu perkhidmatan e-hailing dan juga menyediakan langkah perlindungan yang sewajarnya untuk mereka

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang dan Liew Chin Tong, Ahli Parlimen Kluang pada 6hb Julai 2017

    SPAD perlu memastikan pentas sama rata bagi pemandu teksi dan pemandu perkhidmatan e-hailing dan juga menyediakan langkah perlindungan yang sewajarnya untuk mereka

    Dengan anggaran seramai 37,000 pemandu teksi dan 60,000 pemandu Uber dan Grab di Lembah Klang, jenis pengangkutan awam ini bukan sahaja menawarkan perkhidmatan yang penting kepada pengguna, malahan ia juga merupakan sumber pendapatan yang penting bagi pemandu-pemandu. Memandangkan semakin ramai rakyat Malaysia yang kini menjadi pemandu perkhidmatan e-hailing (GRAB dan UBER), sama ada secara separuh masa mahupun sepenuh masa, adalah perlu untuk SPAD memastikan pentas sama rata dinikmati oleh pemandu-pemandu teksi serta perkhidmatan e-hailing. SPAD juga harus memastikan bahawa pemandu-pemandu teksi serta perkhidmatan e-hailing diberi perlindungan yang sewajarnya.

    Melalui sebuah kajian dalam BM dan BC melalui laman web yang dikendalikan oleh pasukan penyelidik DAP di mana hampir 300 jawapan diterima, kami mendapati bahawa 40% daripada pemandu UBER dan GRAB memandu sepenuh masa menggunakan kenderaan sendiri dan 53% yang lain memandu separuh masa bukannya sebagai hobi tetapi pekerjaan. Dengan erti kata lain, kebanyakan pemandu UBER dan GRAB yang menjawab kaji selidik itu bergantung besar kepada pendapatan mereka sebagai pemandu. Sebahagian besar pemandu yang dikaji mempunyai sekurang-kurangnya diploma, yang menunjukkan bahawa ramai yang berpendidikan tinggi melihat perkhidmatan e-hailing sebagai peluang pekerjaan yang berdaya maju. Tambahan pula, kajian ini mendapati bahawa 34%, iaitu satu pertiga daripada keseluruhan pemandu e-hailing, berada di luar Lembah Klang. Jumlah ini akan meningkat lagi apabila UBER dan GRAB dilanjutkan ke bandar dan pekan di luar KL dan Selangor.

    Pendapatan purata bagi para pemandu sepenuh masa dianggarkan hampir RM3200. Walaupun jumlah ini nampak berpatutan, namun ia belum mengambil kira kos penyelenggaraan kenderaan yang boleh mencecah hampir RM1000 sebulan. Walaupun syarikat e-hailing menyediakan insuran kemalangan peribadi kepada pemandu-pemandu dan penumpang-penumpang, namun kos insuran kenderaan dan pembaikan adalah ditanggung sepenuhnya oleh pemandu sendiri. 

    75% daripada pemandu yang dikaji menganggap kadar komisyen 20-25% yang dikenakan oleh UBER/ GRAB adalah tidak adil, dan lebih daripada 60% daripada pemandu mahukan kerajaan untuk mengawal jumlah komisyen yang boleh diambil oleh syarikat e-hailing. Tambahan lagi, sebilangan pemandu merasakan mereka tiada saluran untuk membuat aduan jika mereka digantung atau diharamkan oleh UBER/GRAB disebabkan oleh aduan penumpang yang tidak berasas. Isu kes penggantungan secara tidak adil ini akan bertambah serius dengan bertambahnya bilangan pemandu sepenuh masa UBER / GRAB, termasuklah mereka yang telah membeli kenderaan baru bagi tujuan menjadi pemandu e-hailing sepenuh masa.

    Walaupun pindaan yang dicadangkan terhadap Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat 2010 dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 adalah langkah yang baik, banyak lagi yang perlu dilakukan termasuk:

    1. Meningkatkan kesedaran pemandu e-hailing berkenaan maklumat pindaan akta-akta tersebut
    2. Memastikan pasaran e-hailing tidak dijadikan monopoli/ oligopoli hingga menjejaskan pemandu dan penumpang
    3. Mengawal kadar komisyen yang boleh dicaj oleh syarikat e-hailing terhadap pemandu
    4. Menubuhkan tribunal untuk mendengar rayuan pemandu e-hailing yang merasakan mereka telah dihalang / digantung oleh syarikat e-hailing secara tidak adil
    5. Memastikan pentas yang adil bagi pemandu teksi dan pemandu e-hailing dari segi tambang dan gaji

    Matlamat akhir seharusnya adalah pasaran di mana pemandu teksi dan juga pemandu e-hailing menerima pampasan sewajarnya dan syarikat teksi serta e-hailing tidak boleh menyalahgunakan kedudukan oligopolistik dan monopoli mereka untuk menganiaya pemandu dan memberi pengalaman perkhidmatan yang buruk kepada penumpang.

    Muat turun: Self-Employed E-Hailing Services Drivers (SEEDs) Survey Findings (5 July 2017)

Leave a reply.