• Data terbuka dan penggubalan dasar di Malaysia

    (Artikel ini boleh dibaca di Kolumn Penang Institute in KL dalam Malaysian Insight, 26 Jun 2017)

    Semasa di pelancaran Malaysia Economic Monitor edisi Jun[1] awal bulan ini, Pengarah Negara Bank Dunia bagi Asia Tenggara, Ulrich Zachau, telah menggesa agar lebih data didedahkan supaya ianya boleh digunakan bagi menggubal dasar yang lebih baik.[2] Beliau telah menyebut contoh di mana GRAB, sebuah penyedia perkhidmatan e-hailing, berkongsi datanya dengan kerajaan demi mencari jalan untuk menguruskan keadaan lalu lintas dengan lebih cekap.

    Dengan kemunculan ‘big data’ ditambah dengan bidang ekonomi perilaku (‘behavioural economics’), ‘nudge unit’ (unit pendorong) telah ditubuhkan oleh kerajaan-kerajaan di seluruh dunia khususnya untuk menggunakan insentif dasar bagi mengubah tingkah laku dan menggunakan pendekatan berasaskan data bagi menganalisis keberkesanan dasar-dasar ini[3]. Cass Sunstein, pengarang bersama buku “Nudge” yang amat laris jualannya, telah direkrut oleh Presiden Obama untuk menjalankan sebuah ‘nudge unit’ di bawah pentadbirannya, dan mungkin adalah penyokong pendekatan dasar ini yang paling dikenali ramai.

    Walaupun istilah ‘big data’ seringkali digunakan sebagai istilah popular oleh penggubal dasar dan ahli politik, namun ramai tidak mengetahui apa sebenarnya ‘big data’ dan bagaimana ia boleh digunakan. Hakikatnya, ramai penggubal dasar sendiri tidak sedar bahawa ekosistem data di Malaysia, terutamanya berkenaan analisa data, sungguh kurang maju.

    Walaupun terdapat pelbagai agensi kerajaan yang mengumpul banyak data dan maklumat, namun tidak semua data tersebut diterbitkan. Satu kajian oleh Bank Dunia telah mendapati bahawa prestasi tahap keterbukaan data Malaysia berhubung dengan KDNKnya adalah kurang memuaskan.[4] Kajian yang sama juga menunjukkan hubungkait antara skor keterbukaan data sesebuah negara dengan nisbah penerbitan dan pemetikannya. Semakin tinggi skor keterbukaan data sesebuah negara, maka semakin tinggi bilangan penerbitan akademiknya (lihat Rajah 4 di bawah).

    Ini bertepatan dengan pengalaman ahli akademik di Malaysia dalam mengakses data terutamanya pada peringkat data yang lebih terperinci. Sebagai contoh, walaupun Jabatan Perangkaan mempunyai data tahap individu dalam Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah, namun data tersebut tidak diterbitkan kepada awam yang akan membolehkan ahli-ahli akademik mengkaji angka-angka tersebut dengan lebih teliti lalu menerbitkan penemuan mereka. Kebimbangan tentang privasi data yang dikeluarkan dapat diatasi dengan mudah dengan menyembunyikan identiti individu data ini.

    Dalam kes di mana sesetengah data boleh didedahkan kepada awam, data ini biasanya dijual dengan harga yang mahal. Sebaliknya, data tahap individu daripada banci sepuluh tahunan Amerika Syarikat dikeluarkan kepada orang awam dan merupakan alat yang sangat berguna bagi saintis sosial yang boleh digunakan dalam penulisan dan analisa akademik mereka.

    Kebelakangan ini, terdapat beberapa usaha yang dilakukan bagi mempertingkatkan ekosistem data di Malaysia. Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) berada di barisan hadapan dalam memperjuangkan penggunaan ‘big data’ terutamanya di sektor swasta. Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) sedang mempelopori inisiatif bagi mengumpulkan penerbitan data kerajaan secara berpusat di www.data.gov.my. Di acara Bank Dunia baru-baru ini, Rahman Dahlan, Menteri yang bertanggungjawab terhadap Unit Perancang Ekonomi. telah menyeru supaya data dikumpulkan di tahap yang lebih terperinci dan bersifat setempat termasuk mengikut kawasan Parlimen.

    Kerajaan Pulau Pinang sedang menyumbang usahanya dengan mengeluarkan maklumat terperinci mengikut peringkat negeri di data.gov.my termasuk menyenaraikan kesemua 201 kedai nasi kandar di negeri tersebut![5] Penang GIS Cemter (PEGIS) juga ditubuhkan bagi memudahkan akses GIS dan pemetaan untuk pengguna-pengguna, termasuklah perniagaan yang mahu ‘tag’ lokasi mereka pada peta PEGIS serta penggemar sukan berbasikal yang mahu ‘tag’ laluan basikal kegemaran mereka[6].

    Selain daripada isu pengaksesan data, Malaysia juga ketinggalan dari segi tenaga kerja iaitu jumlah pakar berpengetahuan yang dapat memahami dan menganalisis ‘big data’ dengan secukupnya. Analisa oleh Bank Dunia menunjukkan bahawa di Malaysia hanya 13.4% daripada tenaga kerja dalam bidang statistik berada di peringkat ‘pengurusan’ berbanding dengan 67.5% di negara-negara maju (lihat rajah di bawah).

    Bagi membina ekosistem data yang lebih kondusif, kita bukan sahaja memerlukan data yang lebih. Kita juga memerlukan tenaga kerja yang mampu menggunakan data ini dengan sepenuhnya dan menggubal dasar-dasar yang lebih baik. Sebagai contoh, sepasukan saintis data, ahli akademik dan pekerja sosial boleh bekerjasama untuk menilai keberkesanan pembayaran BR1M sepanjang tempoh 5 tahun lepas dan bagaimana ia dapat ditambah baik. Pihak Berkuasa Tempatan boleh menggunakan data daripada WAZE untuk membaiki lubang jalan dalam tempoh yang lebih singkat[7].  Dengan itu, apabila ahli politik atau penggubal dasar bercakap mengena ‘big data’, tanyalah kepada beliau bagaimana data ini boleh dianalisa dan digunakan untuk menambah baik dasar-dasar awam.

    Dr. Ong Kian Ming merupakan Pengurus Besar Penang Institute di KL. Beliau boleh dihubungi melalui im.ok.man@gmail.com

    [1] http://documents.worldbank.org/curated/en/993771497248234713/Malaysia-economic-monitor-data-for-development

    [2] http://www.theedgemarkets.com/article/agencies-be-compelled-share-data-after-statistics-law-review

    [3] http://www.economist.com/news/international/21722163-experimental-iterative-data-driven-approach-gaining-ground-policymakers-around

    [4] http://documents.worldbank.org/curated/en/886041494335634817/Open-data-differences-and-implications-across-countries

    [5] http://www.data.gov.my/data/ms_MY/organization/penang-state-government

    [6] http://pegis.penang.gov.my/story_map/sm_bicycletrails/

    [7] https://selangorkini.my/en/2016/10/smart-road-maintenance-report-using-waze/

Leave a reply.