• Adakah Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sedang cuba untuk menambahkan pengundi melalui ‘pintu belakang’ untuk membantu BN memenangi PRU yang akan datang?

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, pada 31 Mei, 2017

    Adakah Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sedang cuba untuk menambahkan pengundi melalui ‘pintu belakang’ untuk membantu BN memenangi PRU yang akan datang?

    Semalam, saya terkejut apabila menerima satu foto pameran pemilih (pengundi) baru untuk Suku 1, 2017 di pejabat SPR Selangor di Shah Alam. Dalam foto itu, amat jelas bahawa senarai pemilih yang dipaparkan adalah “Pameran Senarai Tuntutan” untuk Suku Pertama, Tahun 2017 (rujuk Rajah 1 di bawah).

    Rajah 1: Pameran Senarai Tuntutan Suku Pertama Tahun 2017 di pejabat SPR Selangor di Shah Alam

    Setahu saya, ini adalah kali pertama di mana “Pameran Senarai Tuntutan” di pejabat SPR diadakan. Tidak sama seperti prosedur untuk pameran Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT), SPR tidak membuat sebarang kenyataan media untuk memaklumkan orang ramai bahawa nama-nama tambahan yang akan dimasukkan ke dalam daftar pemilih sedang dipamerkan, malahan SPR tidak mempamerkan Pameran Senarai Tuntutan ini di setiap kawasan parlimen di Selangor.

    SPR sedang menggunakan satu peraturan pilihanraya yang kurang dikenali dan jarang digunakan iaitu Sekysen 14, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 yang menyatakan:

    Seksyen 14 Peraturan-Peraturan Pendaftaran sepatutnya digunakan untuk menangani masalah kesilapan oleh pihak SPR, umpamanya dalam kes di mana seorang kakitangan SPR lupa memasukkan nama seorang pemilih ke dalam RDPT terkini atau kerana sebab-sebab tertentu, maklumat pemilih yang mendaftar di pejabat pos gagal untuk dimasukkan ke dalam RDPT terkini.

    Akan tetapi, menurut angka yang dikutip oleh PEMUDA AMANAH, dalam Pameran Senarai Tuntutan ini seramai 28,416 pemilih telah ditambah menggunakan Seksyen 14 termasuk 1,170 pemilih di Selangor (rujuk Rajah 2 di bawah). Adakah pihak SPR menganggap bahawa rakyat akan percaya bahawa ia ‘terlupa’ untuk memasukkan nama 28,416 pemilih ini ke dalam RDPT Suku 1, 2017? Tambahan pula, mengapa pihak SPR perlu menambahkan pemilih-pemilih ini secara tergesa-gesa dan tidak menunggu sehingga pameran awam RDPT Suku 2 2017? Adakah pihak SPR berniat untuk memasukkan pemilih-pemilih ini ke dalam Daftar Pemilih Induk (DPI) untuk membolehkan mereka mengundi jikalau pilihanraya diadakan pada bulan September tahun ini?

    Rajah 2: Jumlah pemilih yang ditambah menggunakan Seksyen 14, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002

    Sumber: PEMUDA AMANAH

    Analisis pemilih yang ditambah di Selangor menunjukkan bahawa semua pemilih yang ditambah berada di lokaliti kem-kem tentera dan / atau mereka adalah pengundi tentera dan pasangan mereka (Lihat contoh dalam Rajah 3 di bawah). Di sini saya ingin menegaskan bahawa saya bukan membantah penambahan pemilih-pemilih tentera ke dalam daftar pemilih. Apa yang saya sedang persoalkan adalah prosedur yang digunakan untuk menambahkan pemilih-pemilih ini.

    Saya telah menulis surat rasmi kepada Pengarah SPR Selangor untuk mendapatkan penjelasan tentang penambahan pemilih-pemilih ini dan mengapa mereka tidak dimasukkan ke dalam RDPT Suku 1 2017. Kegagalan pihak SPR untuk memberi penjelasan yang memuaskan akan menjejaskan kepercayaan awam terhadap integriti daftar pemilih.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    Rajah 3: Sampel Pemilih Tentera yang ditambahkan melalui Seksyen 14, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002