• 10 Soalan Mengenai Skim Insurans Pekerjaan (SIP)

    Kenyataan Media oleh Pakatan Harapan pada April 28, 2017 mengenai Skim Insurans Pekerjaan (SIP)

    10 Soalan Mengenai Skim Insurans Pekerjaan (SIP)

    Menjelang Hari Pekerja yang berlangsung pada 1 Mei, kami mengiktiraf sumbangan golongan pekerja di Malaysia terhadap negara. Skim Insurans Pekerjaan (SIP) yang dicadangkan oleh Perdana Menteri, yang dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada sidang Julai / Ogos 2017, mempunyai potensi untuk membantu golongan pekerja Malaysia melalui proses peralihan apabila mereka hilang pekerjaan. Namun memandangkan butiran skim ini belum didedahkan dan tiada jawatankuasa parlimen yang ditubuhkan untuk meneliti isu pekerjaan, tenaga kerja dan ekonomi, masih tinggal banyak soalan yang perlu ditanya mengenai SIP.

    Di sini, kami membangkitkan 10 soalan untuk dijawab agar kami boleh lebih yakin bahawa SIP akan menjadi satu program yang berkesan dalam membantu pekerja di negara kita.

    1)                  Pampasan pemberhentian telah pun dinyatakan dalam Akta Kerja 1955 dan Peraturan Kerja (Faedah-faedah Penamatan dan Rentikerja Sentara) 1980. Adakah pampasan pemberhentian masih terus dibayar oleh majikan selepas SIP diperkenalkan? Adakah kebajikan pekerja-pekerja akan lebih merosot dalam jangka masa panjang jika faedah pemberhentian dipotong / dihapuskan sebagai sebahagian daripada pakej untuk memperkenalkan SIP?

    2)                  Anggaran jumlah yang dikumpul adalah antara RM700 juta hingga RM800 juta setahun (berdasarkan sumbangan 0.25% daripada majikan dan pekerja, 6.5 juta pekerja, gaji RM2000). Berapa banyak kos pentadbiran? Adakah ianya akan setinggi 25% daripada jumlah yang dikumpul, seperti yang diagak oleh beberapa laporan?

    3)                  Memandangakan SIP adalah skim insurans seperti PERKESO, adakah ini bermakna bahawa pekerja-pekerja tidak akan mendapatkan kembali dana ini jika mereka tidak diberhentikan dalam seumur hidup mereka? Berapa banyak pendapatan boleh guna yang akan diambil skim SIP daripada seseorang pekerja dalam sepanjang hayat mereka?

    4)                  Bagaimanakah dana SIP akan diuruskan? Adakah ia akan diuruskan dengan cara yang sama seperti dana PERKESO yang telah menghasilkan pulangan yang, secara purata, lebih rendah daripada pulangan KWSP?

    5)                  Salah satu tujuan SIP adalah untuk membantu memberi latihan semula dan latihan kemahiran kepada pekerja yang hilang pekerjaan. Bagaimanakah program-program latihan semula dan kemahiran ini akan berbeza daripada program-program kerajaan yang sedia seperti Skim Latihan 1 Malaysia (SKIM) dan lain-lain? Kerajaan perlu menyediakan hujah yang meyakinkan bahawa peruntukan skim latihan semula di bawah SIP akan lebih berkesan daripada program-program semasa.

    6)                  Terdapat skim latihan sedia ada yang disediakan dan dibayar oleh jumlah dana yang dipungut daripada majikan dan diuruskan oleh Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia (HRDF). Terdapat banyak laporan bahawa lebih daripada RM100 juta dana ini masih belum digunakan oleh majikan bagi tujuan latihan semula. Bolehkah skim HRDF yang sedia ada digunakan dengan lebih baik untuk tujuan latihan semula? Apakah jaminan bahawa skim SIP yang dicadangkan ini tidak akan menjadi seperti skim HRDF di mana adanya banyak dana yang tidak digunakan yang tidak dimasukkan ke dalam skim latihan semula?

    7)                  Laporan awal menunjukkan bahawa hanya pekerja-pekerja yang sedang dilindungi oleh PERKESO iaitu mereka yang berpendapatan kurang daripada RM4000 sebulan akan layak untuk skim SIP ini. Namun kini ramai pekerja berpendapatan sederhana juga diberhentikan kerja termasuk di industri kewangan dan industri minyak dan gas. Apakah jenis rancangan dan program yang dipakai oleh kerajaan untuk membantu pekerja-pekerja ini yang berada dalam kategori M40?

    8)                  Anggaran oleh kesatuan sekerja-kesatuan sekerja Malaysia menunjukkan bahawa pekerja-pekerja hilang antara RM50 juta hingga RM100 juta setahun disebabkan oleh pampasan hilang apabila syarikat bankrap. Namun RM700 juta hingga RM800 juta akan dikutip daripada skim SIP, di mana separuhnya datang daripada pekerja-pekerja. Adakah pendekatan ini berkesan dalam menyelesaikan isu pampasan hilang ini?

    9)                  Salah satu sebab utama mengapa pekerja di peringkat bawahan spektrum ekonomi hilang pekerjaan mereka adalah kerana majikan memberi keutamaan kepada pekerja asing. Jika kerajaan tidak mempunyai pelan yang komprehensif untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja-pekerja asing, sejauh mana keberkesanan skim SIP? Semudah mana pekerja-pekerja yang telah hilang pekerjaan mereka untuk mencari pekerjaan baru, terutamanya apabila mereka perlu bersaing dengan pekerja-pekerja asing yang dibayar lebih rendah?

    10)              Beberapa negara di Asia yang mempunyai skim insurans pekerjaan juga menggunakan sumbangan kerajaan untuk skim ini (Thailand – 0.25%, Taiwan – 0.1%, Vietnam – 1%). Adakah kerajaan telah mempertimbangkan untuk turut memberi sumbangan sendiri kepada skim ini untuk mengurangkan beban kewangan ke atas para majikan serta pekerja?

    Dr. Ong Kian Ming, DAP

    Sim Tze Sin, PKR

    Dr Dzulkifli Ahmad, AMANAH

    Dr Rais Hussin, BERSATU