• Paparan awam pusingan kedua persempadanan semula bagi Semenanjung Malaysia tanpa membabitkan Selangor adalah amat meragukan dan melanggar Perlembagaan

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming pada 9 Mac 2017

    Paparan awam pusingan kedua persempadanan semula bagi Semenanjung Malaysia tanpa membabitkan Selangor adalah amat meragukan dan melanggar Perlembagaan

    Semalam, iaitu pada 8 Mac 2017, Suruhanjaya Pilihan Raya telah menerbitkan notis yang mengumumkan secara rasmi permulaan pusingan kedua bagi paparan awam untuk persempadanan semula kawasan pilihan raya 2016. Pengumuman ini dipaparkan dalam akhbar arus perdana dan sebagai Warta Kerajaan Persekutuan. Tindakan SPR ini tidak pernah berlaku dalam sejarah persempadanan semula di Malaysia kerana kerusi Parlimen dan kerusi DUN Negeri Selangor terkeluar daripada paparan awam pusingan kedua. Langkah ini amat meragukan malahan ia mungkin juga melanggar Perlembagaan.

    Merujuk kepada Perkara 113 (6) Perlembagaan Persekutuan, kajian semula berasingan hendaklah dijalankan bagi ‘Negeri-negeri Tanah Melayu dan bagi setiap satu daripada Negeri Sabah dan Sarawak.’ Perlembagaan Persekutuan juga jelas menyatakan bahawa persempadanan semula bagi Negeri-negeri Malaya (atau ‘Tanah Melayu’) – dalam kata lain, Semenanjung Malaysia[1] – perlu dijalankan sebagai seunit kajian semula. Persempadanan semula bagi Negeri-negeri Tanah Melayu tidak boleh dibentangkan di Parlimen tanpa penglibatan negeri Selangor.

    Ini menimbulkan persoalan mengapa SPR mendesak untuk menjalankan paparan awam kali kedua tanpa Selangor. Persempadanan semula di Selangor kini sedang dicabar oleh Kerajaan Negeri Selangor di Makahmah Tinggi. Ini merupakan kali pertama persempadanan semula dicabar oleh sesebuah kerajaan negeri dan ianya telah menghalang SPR daripada memulakan langkah inkuiri tempatan dan pendengaran bantahan kepada persempadanan semula di Selangor. Tindakan undang-undang oleh Kerajaan Negeri Selangor ini merupakan langkah semak dan imbang yang amat penting terhadap keupayaan SPR untuk menggariskan semula kawasan pilihan raya dengan sewenang-wenangnya bukan sahaja di Selangor, tetapi di semua negeri Semenanjung Malaysia yang merupakan sebahagian daripada ‘unit kajian semula’ yang sama.

    Mengikut duluan kehakiman, SPR seharusnya menunggu keputusan dari Makahmah Tinggi berhubung kes Selangor sebelum mengambil langkah selanjutnya dalam proses persempadanan semula. Namun jika keputusan memihak kepada Kerajaan Negeri Selangor, ini bermakna SPR tidak boleh meneruskan inkuiri awam di Selangor. SPR seterusnya akan terpaksa membuat rayuan di Makahmah Rayuan dan mungkin ke Makahmah Persekutuan bagi mencari keputusan yang memihak kepadanya. Ini akan melambatkan SPR dari membentangkan keputusan persempadanan semula yang lengkap bagi Semenanjung Malaysia kepada Perdana Menteri untuk kelulusan Dewan Rakyat.

    Keputusan SPR untuk mengumumkan paparan awam kali kedua bagi semua negeri Semenanjung Malaysia kecuali Selangor menandakan kemungkinan bahawa ia mungkin akan mendesak untuk mengadakan persempadanan semula yang membiarkan persempadanan di Selangor seperti asal tetapi membuat perubahan di negeri-negeri lain yang lebih memihak kepada BN. Jika keputusan Makahmah Tinggi memihak kepada Kerajaan Negeri Selangor, SPR mungkin akan mencadangkan pelan persempadanan semula kepada Perdana Menteri untuk diluluskan dalam sidang Parlimen Julai / Ogos 2017 dengan tiada sebarang pindaan kepada negeri Selangor.

    Paparan awam kali kedua persempadanan semula kawasan pilihan raya bagi Semenanjung Malaysia perlu dicabar melalui tindakan undang-undang kerana ia melanggar Perlembagaan. Tindakan sebegini oleh SPR telah sekali lagi menunjukkan bahawa ia bukan sebuah badan bebas dan rakyat Malaysia perlu terus berjuang untuk mewujudkan sebuah SPR yang teguh dan berkecuali.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] Termasuk Wilayah Persekutuan Labuan