• Perjanjian konsesi projek insinerator Kepong perlu didedahkan kepada umum

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 10 Februari 2017

    Perjanjian konsesi projek insinerator Kepong perlu didedahkan kepada umum

    Menurut laporan Edge Weekly (edisi 30 Januari – 5 Februari 2017), 3 syarikat telah disenarai pendek bagi projek kontroversi insinerator sisa pepejal kapasiti 1000 tan sehari di Taman Beringin, Kepong. Ketiga-tiga syarikat ini adalah Malaysia Resources Corp Bhd (MRCB) dengan kerjasama Hyundai Rotem Co dari Korea Selatan, Cenviro Sdn Bhd (terdahulu dikenali sebagai UEM Environment Sdn Bhd) dengan kerjasama Mitsubishi Heavy Industries Ltd dari Jepun dan DRB-Hicom dengan kerjasama Malakoff Corp Bhd serta Sumitomo Corp dari Jepun. Dilaporkan juga bahawa perjanjian konsesi untuk membina dan mengendalikan insinerator ini akan dianugerahkan pada Mac 2017.

    Perjanjian konsesi di Malaysia seringkali memberi kelebihan kepada pemegang konsesi dengan mengorbankan kepentingan konsumer / pengguna, contohnya kontrak berat sebelah ERL yang membenarkan peningkatan harga secara tidak munasabah. Hakikat sebenar kontrak berat sebelah sebegini hanya ditemui setelah ianya ditandatangani, kebiasaannya apabila kerajaan terpaksa menerangkan mengapa mereka membenarkan peningkatan harga tol atau tiket tren yang tinggi dan tidak munasabah.

    Insinerator ini akan merupakan yang terbesar di Malaysia. Namun, kita harus ingat bahawa insinerator berskala kecil di Pulau Pangkor, Pulau Langkawi dan Cameron Highlands telah menemui kegagalan dan menyebabkan kos besar ditanggung oleh kerajaan pusat. Cara kontrak ini diberikan kepada XCN Techonolgy telah pun dipersoalkan oleh Ketua Audit Negara. Jika projek Insinerator Kepong ini menemui kegagalan, sudah pasti kos yang perlu ditanggung oleh pembayar cukai adalah jauh lebih tinggi daripada projek berskala kecil yang dinyatakan di atas. Ini juga merupakan kali kedua tender projek insinerator Kepong ini dikeluarkan, kerana hanya terdapat sebuah sahaja syarikat yang mengemukakan penyerahan terakhir untuk tender kali pertama.

    Bagi mengelakkan kesilapan lampau berulang kembali, saya menyeru Menteri yang bertanggungjawab bagi Unit Perancang Ekonomi, Datuk Abdul Rahman Dahlan untuk mendedahkan butiran perjanjian konsesi ini termasuk anggaran kos projek, bayaran ‘tipping fee’ yang dikenakan terhadap DBKL, keadaan jaminan sisa yang diberi kepada syarikat, berapa panjangnya tempoh konsesi, petunjuk prestasi dan terma yang membolehkan kerajaan mengambil alih jika projek tersebut gagal untuk dilaksanakan.

    Tambahan lagi, Menteri perlu meyakinkan rakyat berhubung keperluan membina insinerator memandangkan KL telah mula melakukan pengasingan sisa, dan ini sepatutnya telah mengurangkan jumlah sisa yang perlu dilupuskan.

    Kegagalan berbuat demikian hanya akan mengundang bantahan daripada penduduk dan kemungkinan besar bahawa pembayar cukai di KL akan menanggung kos bagi satu lagi perjanjian yang berat sebelah.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang