• Sekatan imigresen terhadap warga Muslim oleh Presiden Amerika Syarikat Trump perlu dikutuk sekeras-kerasnya oleh Perdana Menteri Najib

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 29 Januari 2017

    Sekatan imigresen terhadap warga Muslim oleh Presiden Amerika Syarikat Trump perlu dikutuk sekeras-kerasnya oleh Perdana Menteri Najib

    Arahan eksekutif Presiden Donald Trump yang ditandatangani semalam untuk menyekat pelarian Syria dan rakyat dari 7 negara Islam – Libya, Iran, Iraq, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman – daripada memasuki Amerika Syarikat perlu dikutuk dengan sekeras-kerasnya.

    Tindakan ini adalah tidak berperikemanusiaan terutamanya terhadap pelarian Syria yang telah pun diberikan kelulusan untuk memasuki dan mendapat perlindungan di Amerika Syarikat.

    Tindakan ini juga tidak wajar kerana memberi kesan kepada ribuan pelajar dan pekerja yang belajar dan bekerja secara sah di Amerika Syarikat.

    Tindakan ini adalah amat membimbangkan kerana menandakan kemungkinan bahawa Trump akan mengambil langkah-langkah seterusnya, termasuklah lagi menyukarkan perjalanan rakyat daripada negara majoriti Muslim seperti Malaysia untuk melawat, belajar dan bekerja di Amerika Syarikat.

    Ironinya, tindakan eksekutif Trump ini memberi kesan kepada rakyat 7 buah negara tersebut yang telah dijemput oleh kerajaan Amerika Syarikat untuk melawat, belajar mahupun melakukan kajian di AS menerusi program-program Jabatan Negara Amerika Syarikat seperti International Visitors Program (IVP) dan Fulbright Scholarship / Fellowship. Sebagai seorang bekas penerima biasiswa Fulbright di AS yang menamatkan pengajian PhD dalam bidang sains politik di Duke University, saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Trump kerana ia bercanggahan dengan prinsip tanpa diskriminasi dan keterbukaan yang diwakilkan oleh AS.

    Ramai pemimpin dunia lain telah pun mengkritik tindakan eksekutif Trump. [1] Perdana Menteri Najib pada 21 Januari 2017 telah menghantar ucapan tahniah kepada Trump atas majlis angkat sumpah beliau sebagai Presiden AS ke -45. Adakah Perdana Menteri Najib juga akan menghantar mesej kepada Trump untuk mengecam tindakan beliau yang memberi kesan kepada rakyat negara majoriti Muslim tersebut?

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] http://www.aljazeera.com/news/2017/01/world-leaders-condemn-donald-trump-muslim-ban-170128134635041.html