• Semakan kehakiman difailkan bagi pihak 3 orang pengundi di Batang Kali / Kuala Kubu Baru yang mencabar pemindahan pemilih dan penggarisan semula garis sempadan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya yang tidak sah

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 24 Oktober 2016

    Semakan kehakiman difailkan bagi pihak 3 orang pengundi di Batang Kali / Kuala Kubu Baru yang mencabar pemindahan pemilih dan penggarisan semula garis sempadan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya yang tidak sah

    Pada 21 Oktober 2016 (Jumaat), peguam-peguam yang mewakili 3 pengundi di DUN Selangor N6 Batang Kali dan N7 Kuala Kubu Baru telah memfailkan semakan kehakiman di Mahkahmah Tinggi Malaya, Kuala Lumpur untuk memohon membatalkan hasil proses ‘belah bahagi’ yang dilakukan oleh SPR pada 29 April 2016 dan disiarkan di Warta Kerajaan Persekutuan P.U.(B) 197.

    Proses ‘belah bahagi’ telah dilakukan oleh SPR menerusi Seksyen 7(2) Akta Pilihanraya 1958. Namun SPR tidak mempunyai hak untuk memindahkan pengundi dari sebuah kawasan pilihanraya ke kawasan lain, sama ada pada peringkat negeri atau persekutuan. SPR juga tidak mempunyai hak untuk melukis semula sempadan kawasan pilihan raya di peringkat negeri atau persekutuan, melainkan dalam konteks proses persempadanan semula.

    Dalam persempadanan semula yang diumumkan oleh SPR pada 15 September 2016, sempadan P94 Hulu Selangor yang termasuk DUN Batang Kali dan KKB adalah tidak terjejas. Ini bermakna bantahan pengundi yang dipindahkan dari Batang Kali ke KKB dan sebaliknya di bawah proses ‘belah bahagi’ tidak akan didengar ketika berlakunya semakan awam dan pendengaran awam terhadap persempadanan semula.

    Oleh itu, semakan kehakiman ini merupakan satu-satunya pilihan yang ada bagi pengundi di Batang Kali dan KKB membantah penggarisan semula sempadan dan pemindahan pemilih yang dilakukan oleh SPR secara haram pada 29 April.

    Apabila kita bandingkan garis sempadan DUN KKB bagi PRU ke-13 dan garis sempadan DUN yang sama selepas proses ‘belah bahagi’ pada 29 April 2016 adalah jelas bahawa perubahan sempadan telah berlaku (lihat Rajah 1 di bawah).

    Rajah 1: Perbandingan sempadan pilihan raya bagi DUN KKB pada PRU ke-13 (garisan biru) dan sempadan pilihan raya DUN KKB selepas proses ‘belah bahagi’ (garisan putih)

    Akibat daripada perubahan garis sempadan yang tidak sah ini, lebih daripada 5000 pengundi telah dipindahkan dari DUN Batang Kali ke DUN Kuala Kubu Baru. Semakan kehakiman yang difailkan adalah bertujuan untuk membatalkan keputusan SPR ini.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    Rujukan: Kenyataan Semakan Kehakiman – Batang Kali & Kuala Kubu Baru