• Kenyataan Abdul Rahman Dahlan baru-baru ini menunjukkan mengapa kita tidak boleh mengharapkan BN untuk melaksanakan sistem pembiayaan politik yang adil

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 24 Oktober 2016

    Kenyataan Abdul Rahman Dahlan baru-baru ini menunjukkan mengapa kita tidak boleh mengharapkan BN untuk melaksanakan sistem pembiayaan politik yang adil 

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Rahman Dahlan sudah tidak asing dalam mengeluarkan kenyataan berunsur kontroversi bagi melonjakkan kedudukan beliau dalam kepimpinan UMNO. Namun begitu, saya tetap terperanjat dengan Tweet terbaru beliau apabila beliau mencadangkan untuk menyenaraihitamkan syarikat yang mempunyai kontrak dengan kerajaan yang menyokong Bersih kerana beliau menuduh Bersih mempunyai agenda haram untuk menggulingkan kerajaan. 

    Pertama, adalah memeranjatkan apabila seseorang Menteri menuduh Bersih mempunyai agenda untuk menggulingkan kerajaan secara haram. Daripada 8 tuntutan Bersih yang termasuk menggesa reformasi institusi dan pilihan raya, tiada satu pun yang menyeru agar kerajaan ditumbangkan dengan cara yang tidak sah. 8 tuntutan ini dipermudahkan kepada 5 perkara utama bagi perhimpunan Bersih 5 – pilihanraya bersih, kerajaan bersih, hak membantah, kukuhkan demokrasi berparlimen, menyelamatkan ekonomi – dan tiada satu daripada ini yang menuntut penggulingan kerajaan dengan cara yang tidak sah.

    Malahan, saya telah tweet kepada Abdul Rahman Dahlan (@mpkotabelud) mencabar beliau untuk menunjukkan bukti sebarang kenyataan daripada pemimpin Bersih yang menyeru penggulingan kerajaan semasa perhimpunan Bersih 5 akan datang pada 19 November 2016, dan beliau langsung tidak memberi sebarang jawapan. 

    Kedua, saya ingin menyoalkan apa hak Menteri untuk menyenaraihitamkan syarikat yang menyokong Bersih dan mengharamkan mereka daripada mendapat kontrak kerajaan. Tindakan ini berasaskan apa undang-undang sebenarnya? Adakah selepas ini Menteri juga akan mensasarkan syarikat-syarikat yang menyokong parti pembangkang?

    Ketiga, tindakan Menteri jelas menunjukkan BN tiada kredibiliti apabila tiba ke perlaksanaan sesebuah akta pembiayaan politik secara adil dan tidak berat sebelah. Jika Menteri mahu mensasarkan syarikat yang menyokong Bersih berdasarkan alasan palsu dan tidak berasas, apakah yang boleh menghalang BN daripada mendiskriminasi terhadap syarikat dan individu yang menyokong parti pembangkang jika maklumat ini perlu didedahkan di bawah Akta Pembiayaan Politik? 

    Pembulian dan taktik menakut-nakutkan yang dilakukan oleh Abdul Rahman Dahlan haruslah ditolak oleh semua rakyat Malaysia.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang