• Sebagai Menteri bertanggungjawab untuk Unit Perancang Ekonomi, Abdul Rahman Dahlan perlu mempelajari statistik daripada Jabatan Perangkaan dan bukannya meminta Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) untuk menerangkan laporan terbaru mereka kepada Kerajaan Negeri Perak

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 5hb September 2016

    Sebagai Menteri bertanggungjawab untuk Unit Perancang Ekonomi, Abdul Rahman Dahlan perlu mempelajari statistik daripada Jabatan Perangkaan dan bukannya meminta Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) untuk menerangkan laporan terbaru mereka kepada Kerajaan Negeri Perak

    Menurut laporan semalam, Abdul Rahman Dahlan iaitu Menteri yang bertanggungjawab kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU), telah berkata bahawa Laporan Keadaan Isi Rumah II oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) adalahtidak munasabah’ dan ‘tidak logik’ kerana melaporkan bahawa Negeri Perak adalah negeri yang kedua termiskin di Malaysia.[1] Lanjutan daripada itu, Menteri juga telah menyatakan bahawa laporan dan statistik yang tepat perlu diberi kepada KRI supaya laporannya dapat diperbetulkan.[2] Abdul Rahman juga telah mengarahkan Ketua Pengarah EPU untuk memanggil mesyuarat antara KRI dan Kerajaan Negeri Perak untuk menerangkan statistik di dalam laporan itu.

    Saya benar-benar terkejut dengan kejahilan menteri yang bertanggungjawab terhadap EPU seperti yang ditunjukkan dalam hal laporan KRI ini.[3] Data yang menunjukkan bahawa Perak adalah negeri kedua tertinggi dari segi peratus isi rumah berpendapatan kurang dari RM6,000.00 sebulan adalah daripada Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2014, yang telah dijalankan oleh Jabatan Perangkaan (lihat carta dan sumber di bawah).

    Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas juga menunjukkan bahawa Perak adalah negeri kedua tertinggi dari segi pendapatan isi rumah kurang dari RM2,000.00 sebulan, iaitu 21.3% (selepas Kelantan iaitu 31.4%) (lihat angka di bawah).


    Sumber: Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2014, Jabatan Perangkaan

    Mungkin betul apa yang diperkatakan oleh Abdul Rahman Dahlan bahawa Perak mungkin bukan negeri kedua termiskin di Malaysia, memandangkan terdapat cara lain untuk mengukur pendapatan isi rumah atau per kapita, seperti min dan purata pendapatan isi rumah (di mana Perak adalah negeri ketiga terbawah pada 2014), gaji median (negeri ketujuh terbawah pada 2015) dan gaji purata (negeri kelima terbawah pada 2015).

    Namun untuk mempersoalkan laporan KRI yang berasaskan sumber daripada Jabatan Perangkaan (yang turut di bawah penyeliaan Menteri yang bertanggungjawab terhadap bidang kuasa EPU, pada kali terakhir saya periksa) menunjukkan tahap kejahilan dan ketidakcekapan yang agak memeranjatkan, itupun untuk tahap Abdul Rahman Dahlan.

    Daripada meminta Ketua Pengarah EPU untuk memanggil mesyuarat antara KRI dan Kerajaan Negeri Perak, lebih baik Menteri bertanya kepada Jabatan Perangkaan untuk memberi penerangan kepada beliau berkenaan Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2014 dan bagaimana untuk memahami statistik kaji selidik ini. Malahan, saya yakin bahawa salah seorang pelatih Felo Perdana di bawah Menteri dapat menerangkan kepada beliau berkenaan asas statistik dan bagaimana untuk memahami laporan tersebut.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] http://english.astroawani.com/business-news/khazanah-report-perak-unreasonable-rahman-dahlan-115860 and http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/ge/newsgeneral.php?id=1279527

    [2] http://www.utusan.com.my/berita/politik/rahman-sangkal-laporan-perak-negeri-miskin-1.378193#sthash.Bx2Z3e9D.dpuf

    [3] http://www.krinstitute.org/assets/upload/KRI_State_of_Households_II_280816.pdf

Leave a reply.