• Hantar ‘tweet’ kepada @PetrajayaMP dengan hashtag #JalanBesar untuk meminta Menteri Kerja Raya, Fadillah Yusof untuk menaik taraf infrastruktur di sepanjang Jalan Besar, Seri Kembangan

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 3 September 2016

    Hantar ‘tweet’ kepada @PetrajayaMP dengan hashtag #JalanBesar untuk meminta Menteri Kerja Raya, Fadillah Yusof untuk menaik taraf infrastruktur di sepanjang Jalan Besar, Seri Kembangan

    Ramai pemandu yang memandu melalui Seri Kembangan dan Mines Shopping Center tahu betapa teruknya keadaan trafik terutamanya di persimpangan antara Jalan Besar dan Lebuhraya BESRAYA.

    Keadaan trafik yang teruk ini disebabkan oleh kelemahan perancangan dan penyelarasan oleh pelbagai agensi tempatan, negeri dan persekutuan sebelum 2008. Rakan sejawat saya Ean Yong Hian Wah yang merupakan ADUN Seri Kembangan dan merangkap EXCO Kerajaan Negeri Selangor telah cuba menangani keadaan ini dengan sebaik mungkin melalui usaha projek jalan sehala di Jalan Besar yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri. Namun kesesakan ‘bottleneck’ masih kekal seperti yang ditunjukkan melalui paparan skrin Waze di bawah.

    Gambar 1: Paparan skrin Waze pada 15 Mac 2016 jam 6.18 petang yang menunjukkan kesesakan trafik sepanjang Jalan Besar, Jalan Serdang Perdana dan Lebuhraya BESRAYA

    Dengan bantuan pelajar Sekolah Komunikasi dan Media di Portman College, saya telah membuat video pendek selama 4 minit untuk menerangkan masalah trafik sedia ada di sepanjang Jalan Besar yang boleh ditonton di Youtube – https://www.youtube.com/watch?v=AAFBKCk58eE.

    Seperti yang diterangkan melalui video, satu siri penaiktarafan infrastruktur diperlukan termasuk penaiktarafan persimpangan Jalan Besar – BESRAYA berhampiran Mines Shopping Mall, pelebaran dua jejantas (satu di atas laluan ERL dan KTM berhampiran South City Plaza dan sebuah lagi di atas Lebuhraya PLUS Utara Selatan) dan kemungkinan membina jejambat (flyover) dari Serdang Perdana ke BESRAYA.

    Projek menaik taraf infrastuktur berskala besar ini hanya akan tercapai dengan dana daripada Kerajaan Persekutuan, khasnya Kementerian Kerja Raya. Projek sebegini juga memerlukan kelulusan daripada beberapa kementerian (seperti Kementerian Pengangkutan) dan agensi-agensi (seperti Lembaga Lebuhraya Malaysia). Oleh itu, saya menyeru pengguna-pengguna Jalan Besar dan juga pengundi-pengundi kawasan Serdang untuk menghantar ‘tweet’ kepada Menteri Kerja Raya, Fadillah Yusof di @PetrajayaMP dengan hashtag #JalanBesar untuk memberitahu beliau betapa mereka mahu projek ini diluluskan.

    Akhir kata, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Ernie Chan, Presiden Portman College dan juga para pelajar atas kerjasama dan kegigihan mereka dalam melaksanakan projek ini.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

Leave a reply.