• Ketidaksepadanan antara permintaan dan penawaran jawatan perkhidmatan awam menunjukkan rakyat Malaysia masih dalam belenggu pendapatan sederhana

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 24 Ogos 2016

    Ketidaksepadanan antara permintaan dan penawaran jawatan perkhidmatan awam menunjukkan rakyat Malaysia masih dalam belenggu pendapatan sederhana

    Apabila Program Transformasi Ekonomi dilancarkan pada 2010, salah satu petunjuk prestasi utamanya adalah mewujudkan tambahan 3.3 juta peluang pekerjaan menjelang 2020, di mana lebih 60% adalah dalam lingkungan pendapatan sederhana atau tinggi. Pada minggu lepas, Datuk Seri Idris Jala, CEO PEMANDU, dilaporkan berkata bahawa rakyat Malaysia telah keluar dari belenggu pendapatan sederhana.[1] Namun, analisis dan pemahaman mendalam terhadap angka pekerjaan pula mengatakan sebaliknya.

    Jika ETP berjaya dalam membina ekonomi yang cergas dan membangun yang dipandu oleh sektor swasta, ia sepatutnya menghasilkan peluang pekerjaan yang diinginkan dan berbayar tinggi dalam sektor swasta. Namun mengikut perangkaan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, permintaan terhadap sektor perkhidmatan awam berada pada tahap yang terlalu tinggi dan jauh melebihi penawaran kerja tersebut.

    Dari 2011 hingga 2015, SPA menerima lebih daripada 1 juta permohonan pekerjaan dalam perkhidmatan awam. Angka ini mencecah 2.1 juta pada 2013 sebelum menurun ke 1.59 juta pada 2014 dan meningkat semula ke 1.63 juta pada 2015 (Lihat Jadual 1 di bawah). Angka ini teramat tinggi terutamanya jika dibandingkan dengan jumlah penjawat awam yang hanya 1.5 juta orang pada 2015. Walaupun pekerjaan dalam perkhidmatan awam akan terus menjadi keinginan rakyat disebabkan oleh jaminan pekerjaan dan faedah lain (seperti rawatan perubatan, elaun pelbagai dan pencen), permintaan tinggi ini merupakan indikator bahawa sektor swasta tidak menawarkan pekerjaan yang dibayar tinggi yang cukup bagi membendung permintaan terhadap sektor perkhidmatan awam.

    Perkara lain yang perlu dirisaukan juga adalah penurunan dalam jumlah tawaran kerja perkhidmatan awam iaitu daripada 46,503 pada 2011 kepada 30,964 pada 2015. Ini bermakna hanya sebilangan kecil permohonan yang berjaya memasuki ke sektor perkhidmatan awam dan peratusan ini berkurangan dari 4.1% pada 2011 kepada 1.9% pada 2015. Ini menimbulkan persoalan apakah kerja yang akhirnya dilakukan oleh pemohon yang tidak berjaya.

    Antara pemohon yang berjaya, majoriti daripada mereka (atau pluraliti, dalam beberapa tahun) hanya mempunyai kelulusan tertinggi setakat kelayakan sijil sahaja. Sebagai contoh, pada 2015, 54% pemohon yang berjaya telah ditawarkan kerja yang hanya memerlukan kelulusan PMR, SPM atau kelayakan peringkat sijil (Lihat Jadual 2 di bawah).

    Ini merupakan petunjuk jelas bahawa mereka yang memerlukan kerja dalam sektor perkhidmatan awam juga merupakan mereka yang mempunyai kelayakan terendah. Ini tidak menghairankan memandangkan banyak pekerjaan di bahagian bawah tangga ekonomi telah diambil alih oleh pekerja asing. Perkhidmatan awam merupakan satu-satunya sektor di mana pekerja asing tidak boleh menjawat sebarang jawatan, maka sehubungan dengan itu, bilangan permohonan dan pelantikan yang tinggi berlaku pada peringkat ini.

    Ini dapat dilihat menerusi statistik permohonan kerja bagi kerja spesifik yang diambil dari laman web Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.[2] Carta 1 menunjukkan permohonan dan pelantikan ke jawatan Pembantu Am Gred 11 dengan bayaran gaji bulanan anggaran RM1,200 dan hanya memerlukan sijil PMR sebagai kelayakan akademik minimum. Terdapat 87,281 pemohon bagi 16 jawatan (0.02%).

    Carta 2 menunjukkan bilangan pemohon dan lantikan bagi jawatan pembantu penyediaan makanan Gred 17 dengan bayaran gaji bulanan RM1,400 dan memerlukan kelayakan mininum sijil SPM. Terdapat 65,041 pemohon bagi 24 jawatan (0.04%).

    Carta 3 pula menunjukkan permohonan dan lantikan bagi jawatan Pegawai IT pada Gred 41 dengan bayaran gaji bulanan RM2,300 dan memerlukan ijazah sebagai kelayakan minimun akademik. Terdapat 17,895 pemohon bagi 61 jawatan (0.34%).

    Carta 1 hingga 3 membuktikan bahawa tahap permintaan jauh melebihi ketersediaan pekerjaan sektor awam, malahan ketidaksepadanan antara permintaan dan penawaran pekerjaan yang memerlukan kelayakan akademik terendah berada pada tahap meruncing.

    Dari segi KDNK per kapita, Malaysia mungkin telah keluar dari belenggu pendapatan sederhana. Namun golongan yang telah menerima manfaat daripada kenaikan ini adalah golongan 20% dan 30% teratas dengan gaji tinggi serta perniagaan yang mengaut untung tinggi namun tidak berkongsi keuntungan mereka dengan pekerja, terutamanya mereka yang berada di tangga bawah.

    Bagi golongan 40% bawahan, perjuangan untuk keluar dari belenggu pendapatan sederhana akan berterusan dan kebanyakan daripada mereka masih berharap untuk memperoleh jaminan kerja dalam sektor awam yang kini semakin berkurangan dan sukar didapati.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    Carta 1: Permohonan bagi Pembantu Am Gred 11

    Carta 2: Permohonan bagi Pembantu Penyedia Makanan Gred N17

    Carta 3: Permohonan Pegawai IT Gred F41

    [1] http://www.thestar.com.my/business/business-news/2016/08/17/idris-jala-malaysia-no-longer-in-middle-income-trap/

    [2] http://online.spa.gov.my/online/index.php. Ada kemungkinan bahawa segelintir pemohon telah memohon pelbagai pekerjaan sekali gus justeru menaikkan statistik permohonan, contohnya mereka yang memohon untuk pekerjaan N41, N17 dan N11. Jika ini memang berlaku, ia sememangnya menyerlahkan kekurangan peluang dalam pasaran kerja jika mereka berkelayakan untuk memohon jawatan kemasukan peringkat siswazah juga ingin memohon jawatan yang hanya memerlukan kelayakan SPM atau PMR.

Leave a reply.