• Betapa seriuskah penipuan akademik di universiti kita?

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 25 Julai 2016

    Betapa seriuskah penipuan akademik di universiti kita?

    Lebih daripada sebulan yang lepas, pada 11 Jun 2016, Fakulti Perubatan Universiti Malaya telah dimaklumkan tentang dakwaan penipuan akademik yang dilakukan oleh beberapa ahli fakulti yang merupakan penulis / penulis bersama beberapa kertas penerbitan saintifik. Pihak universiti kemudian mengadakan siasatan berhubung kes tersebut dan mendapati bahawa ‘terdapat duplikasi dan / atau manipulasi terhadap hampir kesemua jadual dan rajah dalam kertas asal dalam Scientific Reports dan di dalam 3 buah penerbitan lain yang dikarang oleh kumpulan penyelidik tersebut’ justeru telah  memanggil mereka untuk menarik balik kesemua 4 artikel itu.[1] Artikel-artikel itu kemudian telah ditarik balik daripada jurnal yang terlibat.[2]

    Tindakan pantas pihak Universiti telah menyampaikan mesej kuat iaitu bahawa universiti penyelidikan nasional tidak akan bertoleransi terhadap penipuan akademik dan ini harus dipuji. Namun persoalan yang lebih besar berkenaan intergriti dan penipuan akademik masih belum terjawab.

    Sebagai contoh, pembongkaran kes ini berlaku disebabkan oleh penelitian ahli akademik dan penyelidik luar negara, dan bukannya kerana siasatan dalaman pihak universiti. Dakwaan tersebut muncul menerusi Twitter dan kemudiannya dipetik oleh blog seperti Microbiome Digest, For Better Science dan Science. Elisabeth Bik, seorang penyelidik dari Stanford yang pada baru-baru ini telah mengarang bersama kertas penyelidikan bertajuk “The Prevalence of Inapprioprite Image Duplication in Biomedical Research Publications”, berpendapat di Microbiome Digest bahawa bukan sahaja pertindihan berlaku dalam imej setiap kertas penyelidikan, malahan angka-angka juga kelihatan sama dalam hampir kesemua kertas (walaupun kertas itu adalah berkenaan dengan sel kanser dan kompaun yang berlainan!). Tanpa penelitian sebegini, adakah penipuan akademik ini akan ditemui?

    Tambahan lagi, adakah pengarang empat buah kertas tersebut (selain Nina Samie yang merupakan ketua pengarang dalam kesemua kertas tersebut) sedar bahawa kajian mereka ditiru tiga kali dan dihantar ke 4 jurnal yang berlainan? Adakah penipuan akademik berlaku bukan hanya dari segi isi kandungan, tetapi juga dari segi cara pengarang bersama mungkin ditipu, atau lebih teruk lagi, mungkin bersubahat dalam hal ini?

    Apa yang membimbangkan adalah kes ini mungkin merupakan sebahagian kecil daripada permasalahan kelemahan integriti akademik dan kejujuran dalam sistem pendidikan tinggi kita. Walaupun saya percaya majoriti besar daripada 3,823 kertas penyelidikan yang ditulis oleh staf dan pelajar UM dalam jurnal berindeks dilakukan dengan jujur dan berintegriti[3], hanya sebilangan kecil kes bermasalah mampu mencemarkan reputasi kesemua orang.

    Saya pernah mendengar khabar tentang ahli fakulti junior dan penyelidik yang dipaksa untuk memasukkan nama penyelia mereka ke dalam kertas akademik walaupun mereka (penyelia) tidak menyumbangkan input intelektual atau kerja yang mendalam untuk menghasilkan kertas tersebut. Terdapat juga penyelia yang mendesak untuk dinamakan sebagai pengarang pertama yang memberi gambaran bahawa mereka mengambil peranan utama dan melakukan kerja-kerja utama untuk penerbitan tersebut. Bahkan terdapat kes yang lebih teruk iaitu terdapat ahli akademik senior yang menuntut semua hak intelektual untuk diri sendiri dengan tidak membenarkan ahli akademik junior meletakkan nama mereka dalam penerbitan. 

    Adalah tidak mencukupi untuk UM hanya menerbitkan kenyataan akhbar berhubung penipuan akademik ini. Sebagai insitusi yang tertua dan palingberprestij di Malaysia, UM sepatutnya mengambil peranan utama dalam menegakkan piawaian dan integriti akademik dan kejujuran intelektual. Sehubungan dengan itu, saya menyeru pihak UM untuk menerbitkan prosiding penuh siasatan dalaman terhadap perkara ini dan mengesyorkan perubahan kepada garis panduan sedia ada bagi mengelakkan perkara sebegini daripada berulang. Selain itu, UM seharusnya mendedahkan apa sebenarnya hukuman yang dikenakan terhadap penyelidik-penyelidik yang terlibat demi menghantar mesej yang tegas kepada ahli fakulti yang lain tentang kesan serius penipuan akademik.

    Selain itu, saya menggesa Menteri Pengajian Tinggi, Idris Jusoh untuk menjalankan kajian semula yang menyeluruh terhadap usahasama Penyelidikan Berimpak Tinggi (HIR) antara Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Universiti Malaya (UM) yang bertujuan untuk memberi dana kepada projek penyelidikan bagi menghasilkan penerbitan dalam jurnal ISI Tier 1/ jurnal Web of Science[4]. Pengarang 3 kertas yang terlibat dalam kes penipuan akademik telah menerima 2 geran penyelidikan daripada usahasama ini. Menurut laporan tahunan UM 2014, KPT telah menyuntik dana RM590 juta ke dalam program ini, dengan tambahan dana dari UM, untuk mendanai projek penyelidikan sehingga 2016. Memandangkan sejumlah besar dana dikhususkan untuk inisiatif ini dan hakikat bahawa dua daripada projek dikenalpasti terlibat dalam penipuan akademik, adalah menjadi isu kepentingan awam untuk menerbitkan secara awam maklumat dana projek ini dan mengkajinya semula. Jika Idris Jusoh serius ingin memastikan sistem pendidikan kita sejajar dengan laungan ‘Soaring Upwards’, beliau perlu mengambil serius perkara ini dan tidak cuba menutup hal sebenar.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] http://www.um.edu.my/about-um/media-centre/news/2016/06/16/allegations-of-scientific-misconduct-at-university-of-malaya

    [2] Samie N., Haerian B.S., Muniandy S., Marlina A., Kanthimathi M.S., Abdullah N.B., Ahmadian G. and Aziddin R.E.R. (2016) Mechanism of Action of the Novel Nickel(II) Complex in Simultaneous Reactivation of the Apoptotic Signaling Networks Against Human Colon Cancer Cells. Frontiers in Pharmacology, 6:313. doi: 10.3389/fphar.2015.00313
    (Received: 19/11/15 | Accepted: 18/12/15 | Published: 28/1/16 | Retracted: 29/6/16 )

    Samie N., Muniandy S., Kanthimathi M., Haerian B.S. (2016) Mechanism of action of novel piperazine containing a toxicant against human liver cancer cells. PeerJ, 4:e1588. doi: 10.7717/peerj.1588
    (Received: 17/11/15 | Accepted: 21/12/15 | Published: 17/3/16 Retracted: 26/6/16)

    Samie N., Muniandy S., Kanthimathi M.S., Haerian, B.S., Azudin, R.E.R. (2016) Novel piperazine core compound induces death in human liver cancer cells: possible pharmacological properties. Scientific Reports, 6:24172. doi: 10.1038/srep24172
    (Received: 1/10/15 | Accepted 23/3/16 | Published: 13/4/16 | Retracted: 22/6/16)

    Samie N., Kanthimathi M.S., Muniandy S., Marlina, A., Mohamed Z., Abdullah, N. Revamp of the apoptotic signalling pathways and cell cycle arrest in colon cancer cells induced by novel copper based compound and its molecular mechanisms. Recent Patents on Anti-Cancer Drug Discovery. (Withdrawn before publishing – can no longer be found online)

    [3] https://www.um.edu.my/docs/default-source/about-um_document/media-centre/annual-report/annual-report-2014.pdf,  p. 28

    [4] http://hir.um.edu.my

Leave a reply.