• Suruhanjaya Pilihan Raya tiada kuasa untuk menjalankan persempadanan semula yang haram tanpa melalui prosedur perlembagaan yang betul

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 20 Julai 2016

    Suruhanjaya Pilihan Raya tiada kuasa untuk menjalankan persempadanan semula yang haram tanpa melalui prosedur perlembagaan yang betul

    Menurut Artikel 113 (2) Perlembagaan Persekutuan, jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ingin melukis semula sempadan kawasan pilihan raya bagi sebarang kerusi melalui persempadanan semula, tidak kira sama ada kerusi Negeri atau kerusi Parlimen, ia perlu mematuhi prosedur dan peruntukan yang terkandung dalam Jadual 13 Perlembagaan Persekutuan. Ini termasuklah memaklumkan Speaker Dewan dan Perdana Menteri, serta menerbitkan notis tentang permulaan persempadanan semula dalam Warta dan juga dalam akhbar nasional.

    Kami mempunyai sebab yang bagus untuk mempercayai bahawa notis yang disiarkan dalam Warta bertarikh 29 April 2016 yang menyenaraikan daerah mengundi dan pusat mengundi bagi kawasan pilihan raya negeri dan persekutuan di Semenanjung Malaysia sebenarnya merupakan ‘persempadanan tersembunyi’ secara haram yang dilakukan oleh SPR.

    SPR mempunyai kuasa untuk mewujudkan daerah mengundi yang baru serta memindahkan pengundi antara daerah mengundi di dalam kawasan pilihan raya yang sama sebagaimana yang tertakluk dalam Seksyen 7 Akta Pilihan Raya 1958. Namun, SPR tiada hak dan kuasa untuk memindahkan pengundi dari sebuah kawasan pilihan raya sedia ada ke kawasan pilihan raya yang baru, tidak kira sama ada ia kawasan kerusi negeri mahupun parlimen, melainkan dalam konteks persempadanan semula.

    Satu contoh terang-terangan persempadanan semula secara haram ini adalah di kerusi negeri N6 Kuala Kubu Baru dalam kawasan Parlimen P94 Hulu Selangor. Sebanyak 14 lokaliti dengan jumlah 5590 pengundi dipindahkan dari N7 Batang Kali (dimenangi oleh UMNO pada PRU 2013 dengan undi majoriti 5398) ke N6 Kuala Kubu Baru (dimenangi oleh DAP dengan majoriti 1702 undi) sebagai kesan daripada persempadanan semula yang haram ini. Sejumlah 2 lokaliti dengan 56 pengundi dipindahkan dari N6 Kuala Kubu Baru ke N7 Batang Kali.[1] Kesannya, jumlah pengundi meningkat sebanyak 26.1% iaitu dari 21,186 pengundi pada PRU 2013 kepada 26,720 pengundi. Pada masa yang sama, N7 Batang Kali menyaksikan pengurangan sebanyak 12.7% pengundi, iaitu dari 43,578 pengundi pada PRU 2013 kepada 38,044 pengundi. (Rujuk Jadual 1 di bawah)

    Jadual 1: Perubahan bilangan pengundi di N6 Kuala Kubu Baru dan N7 Batang Kali selepas persempadanan semula secara haram

    Kita mengesyaki bahawa inilah strategi Barisan Nasional untuk memenangi kembali Negeri Selangor secara ‘dengan cara tersembunyi’ melalui persempadanan semula secara haram.

    Kami menggesa SPR untuk menarik balik kesan persempadanan semula yang haram ini dan untuk mengembalikan sempadan pilihan raya di Semenanjung Malaysia kepada sempadan yang digunakan semasa Pilihan Raya Umum 2013.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    Federal Government Gazette: NOTICE OF POLLING DISTRICTS AND POLLING CENTRES FOR THE FEDERAL AND STATE CONSTITUENCIES OF THE STATES OF MALAYA

    “Illegal Delimitation: Effect on N6 KKB and N7 Batang Kali” (Powerpoint, 20 July 2016)

    [1] Angka-angka ini telah dikemaskini sehingga daftar pemilih Suku Ke-4 (Q4) 2015.

Leave a reply.