• Analisis Pilihan Raya Kecil: Bagaimana pembangkang Malaysia dapat mewujudkan satu lagi Ijok?

    Bagaimana untuk mewujudkan satu lagi Ijok?

    Artikel oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, 27 Jun 2016

    Seminggu telah berlalu sejak Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang telah diadakan pada 18 Jun 2016. Pelbagai komen dan analisis telah dikupas mengenai keputusan PRK tersebut. Memandangkan saya telah membaca hampir kesemuanya, saya ingin membincangkan keputusan ini dalam konteks yang lebih besar iaitu PRK-PRK yang telah berlangsung sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 1999. Dengan itu, saya berharap kita dapat mengenal pasti faktor penting untuk diambil kira oleh Pakatan Harapan dalam menuju ke hadapan di samping isu-isu lain yang mungkin tidak begitu penting.

    Terdapat 42 kali PRK sejak PRU 1999, iaitu 8 kali antara 1999 hingga 2004, 6 kali antara 2004 hingga 2008, 16 kali antara 2008 hingga 2013 dan 12 kali sejak PRU 2013. (Lihat Jadual 1 di bawah.) Parti penyandang telah memenangi 34 daripda 42 PRK tersebut (81%). Daripada 34 PRK, 22 telah berlaku untuk kerusi yang disandang oleh BN dan 12 untuk kerusi pembangkang. Dalam erti kata lain, melainkan jika adanya keadaan yang unik, penyandang yang kebanyakannya adalah BN akan memenangi PRK tersebut.

    Baki 8 PRK telah melihat kekalahan parti penyandang, iaitu di mana BN memenangi 5 kerusi (Kerusi Parlimen Pendang pada 2002 selepas Presiden PAS, Fadzil Noor meninggal dunia, kerusi DUN Pengkalan Pasir di Kelantan pada 2005, kerusi Parlimen Hulu Selangor pada 2010, kerusi Dun Galas di Kelantan pada 2010 dan yang terbaru, kerusi Parlimen Teluk Intan pada 2014).

    Pembangkang hanya berjaya mengubah arus sebanyak 3 kali, iaitu di kerusi DUN Lunas Kedah pada 2000, kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada 2009 dan kerusi Parlimen Sibu pada 2010.

    Dalam erti kata lain, apabila merujuk kembali sejarah PRK sejak 1999, adalah amat tidak mungkin untuk pembangkang membuat kejutan sama ada di Sungai Besar mahupun Kuala Kangsar.

    Namun, sudah tentu bahawa persaingan tiga penjuru untuk kedua-dua kerusi tersebut telah menyukarkan pembangkang untuk memenangi undi penyokong pembangkang yang terpecah antara PAS dan AMANAH.

    Pertandingan 3 penjuru di kedua-dua kerusi tersebut yang telah meningkatkan peratus undi majoriti BN sebenarnya menyembunyikan hakitat bahawa undi majoriti BN hanya bertambah sebanyak 3.5% di Sungai Besar dan 3.6% di Kuala Kangsar. Melihat kepada pertambahan undi untuk BN, ini bukanlah sesuatu yang asing dalam PRK kerana janji-jani BN kepada pengundi dalam kawasan tertentu, sama ada dalam bentuk Pusat Komuniti baru (di Jerlun, Kuala Kangsar) ataupun janji kepada nelayan di Sungai Besar bahawa kelak mereka boleh mengambil lebih ramai pekerja asing. Malahan, dalam 22 PRK yang dimenangi oleh penyandang BN, undi BN telah meningkat sebanyak 5.5% secara purata. Undi BN telah meningkat dalam 18 buah PRK (berbanding dengan PRU) dan hanya berkurangan dalam 3 buah PRK (dengan salah sebuah kerusi tidak dipertandingi di dalam PRU sebelum itu).

    Ini tidak bermaksud pembangkang langsung tidak berpeluang untuk memenangi kerusi-kerusi ini dalam PRU akan datang atau memenangi kerusi lain yang kini disandang oleh BN. Kita boleh merujuk kepada contoh PRK Ijok pada 28 April 2007. Dalam PRK ini, calon MIC memenangi kerusi ini dengan peningkatan undian daripada 55.8% kepada 57.6% (iaitu sebanyak 2.8%). Namun kurang daripada setahun selepas itu, dalam PRU 2008, keputusan ini dinafikan oleh calon PRK, Khalid Ibrahim (Mantan Menteri Besar) yang memenangi kerusi ini dengan 56.8% undian. Persoalan dan cabaran untuk Pakatan Harapan adalah: Bagaimana kita dapat mewujudkan keadaan bagi mengulangi pengalaman Ijok di seluruh Malaysia pada PRU akan datang?

    Saya akui bahawa cabaran yang dihadapi oleh Pakatan Harapan dalam menghadapi PRU14 adalah lebih serius berbanding ketika pembangkang memberi BM kejutan besar dalam PRU12. Objektif PRU14 adalah untuk menawan Putrajaya berbanding PRU12 ketika pembangkan hanya berharap untuk menafikan hak dua pertiga BN dalam Parlimen. Pembangkang kini terpecah secara luaran (PH dan PAS) serta dalaman. Namun saya percaya bahawa jika kita berjaya menangani 3 cabaran utama, ini akan memungkinkan penawanan Putrajaya jika dibandingkan dengan situasi semasa di mana ramai menganggap bahawa ia agak mustahil berlaku.

    Pertama, Pakatan Harapan perlu diperkukuhkan sebagai sebuah pakatan pembangkang. Ini bermakna bahawa pertandingan 3 penjuru tidak boleh berlaku antara parti komponen PH seperti yang berlaku di PRN Sarawak. Kebanyakan penyokong mengkritik keputusan PKR dan DAP yang meletakkan calon dalam 5 kerusi DUN yang sama di Sarawak. Ramai pengundi tidak berminat dengan dinamik dalaman yang membawa kepada keputusan tersebut mahupun hakikat bahawa pertembungan banyak penjuru telah dielakkan dalam 77 buah kerusi DUN yang lain. Apa yang mereka mahukan adalah untuk melihat PH bersatu menentang BN. Walaupun pengundi pro-PH lebih menerima pertandingan 3 penjuru di Sungai Besar dan Kuala Kangsar (keranaa ianya melibatkan PAS yang bukan merupakan parti komponen PH), masih terdapat kritik berkata bahawa PH tidak memberi gambaran yang semua parti komponen PH melakukan kempen bersama. Tanggapan ini perlu dinyahkan dan semangat baru PH perlu dibentuk bagi menghadapi PRU14 jika kita ingin mempunyai sebarang peluang untuk menewaskan BN.

    Kedua, PH perlu mewujudkan naratif alternatif untuk pengundi yang mahukan perubahan. Beberapa pengulas berpendapat kempen di Sungai Besar dan Kuala Kangsar terlalu memberi fokus kepada isu nasional seperti 1MDB dan GST hinggakan kurang perhatian diberikan terhadap isu tempatan. Tambahan lagi, terdapat pengulas yang juga berpendapat PH perlu memberi dasar alternatif kepada BN dan bukannya hanya mengkritik BN atas isu rasuah dan salah guna kuasa. Selepas berada di Sungai Besar untuk berkempen selama seminggu, saya akui bahawa isu tempatan seperti subsidi dan pengeluaran padi serta isu nelayan telah dibangkitkan oleh calon AMANAH dan juga pemimpin-peminpin Pakatan Harapan yang lain melalui ceramah, sidang media dan juga mesej telefon. Sebagai ahli pasukan penggubal dasar Pakatan Rakyat dulu dan kini Pakatan Harapan, saya akui kebanyakan pengundi berasa bosan apabila isu dasar dibangkitkan dalam ceramah mahupun sidang media. Apa yang dikehendaki oleh pengundi adalah keyakinan bahawa Pakatan Harapan mampu untuk mentadbir dengan baik sebagai sebuah pakatan. Sementara itu, isu dasar perlu dibincangkan dan diumumkan berterusan dalam suatu tempoh bagi membentuk keyakinan bahawa PH merupakan sebuah pakatan yang mampu mengatasi perbezaan dalaman untuk memerintah bersama-sama. Dasar ini kemudian akan membantu membentuk naratif alternatif kepada BN. Saya menggunakan istilah naratif kerana kita perlu ada mesej dan pendirian yang disasarkan khusus kepada masyarakat luar bandar dan bandar, kepada pengundi di Semenanjung Malaysia mahupun di Sabah Sarawak.

    Ini membawa saya ke perkara yang ketiga dan juga terakhir – iaitu PH perlu melihat Pulau Pinang dan Selangor sebagai contoh bagaimana PH boleh bekerjasama dan mentadbir urus dengan baik. Tanggapan bahawa kerajaan Pulau Pinang merupakan kerajaan DAP dan Selangor merupakan kerajaan PKR perlu ditangani. Dasar-dasar yang mencerminkan aspirasi rakyat di peringkat nasional perlu dihasilkan dan dilonjakkan sebagai contoh kukuh bahawa kerajaan PH mampu mentadbir dengan lebih baik di peringkat persekutuan berbanding BN.

    3 cabaran ini perlu diatasi namun ini tidak mencukupi bagi PH untuk mencapai sasarannya untuk menawan Putrajaya. Kita masih perlu berhadapan dengan cabaran yang amat besar iaitu menyelesaikan isu PAS. Namun perkara ini memerlukan perbincangan berasingan dan mungkin PH tidak mempunyai kawalan sepenuhnya ke atas perkara tersebut. Walaubagaimanapun, fokus utama masa ini perlu diberikan kepada rumah sendiri dahulu. Hanyalah dengan itu dapat kita berharap untuk mewujudkan sebuah lagi Ijok pada PRU14.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

Leave a reply.