• Mengapakah PEMANDU Corporation telah mengambil alih BFR Institute dan mengapa akaun kewangannya ‘kosong’?

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 22 Mei 2016

    Mengapakah PEMANDU Corporation telah mengambil alih BFR Institute dan mengapa akaun kewangannya ‘kosong’?

    Saya merujuk kepada kenyataan balas PEMANDU pada 19 Mei 2016 berhubung sidang media saya di Parlimen pada hari yang sama.[1] Kenyataan saya yang merujuk kepada pemilikan 51% oleh Dato’ Idris Jala dalam BFR Institute Sdn Bhd adalah berdasarkan profil carian syarikat yang dilakukan pada 25 Februari 2016 (rujuk bawah). Perpindahan 51% kepentingan Idris Jala kepada PEMANDU Corporation tidak ditunjukkan dalam akaun Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) setakat 25 Februari 2016.

    Mengikut carian syarikat yang dilakukan pada hari ini iaitu 22 Mei 2016, Idris Jala kini mempunyai kepentingan sebanyak hanya 51 daripada 400,000 saham BFR Institute Sdn Bhd, dan yang selebihnya dimiliki oleh PEMANDU Corporation.

    Menurut kenyataan PEMANDU, kepentingan yang dipegang oleh Idris Jala adalah dalam bentuk amanah memandangkan PEMANDU Corporation tidak dibenarkan mempunyai pegangan kepentingan melebihi 49% dalam syarikat lain.

    Saya memohon maaf kepada Idris Jala sekiranya saya telah menyebabkan orang lain berfikir bahawa Idris Jala menerima faedah kewangan secara langsung daripada kepentingan 51% BFR Institute yang kini telah ditukar kepada 51 unit saham sebagaimana dalam rekod terkini SSM.

    Pada masa yang sama, saya ingin meminta PEMANDU atau Idris Jala untuk menjelaskan sama ada pegangan 51 peratus yang dimiliki beliau masih dalam bentuk amanah ataupun rekod SSM terkini masih belum dikemaskini dan beliau sudah tidak memegang sebarang saham dalam BFR Institute. Ini adalah berhubung kenyataan PEMANDU yang menyatakan PEMANDU Corporation kini memiliki 100% kepentingan BFR-I secara langsung. Selagi Idris Jala memegang walau seunit saham dalam BFR Institute, sama ada secara langsung atau tidak, adalah tidak tepat untuk mengatakan PEMANDU Corporation memiliki 100% BFR Institute secara langsung.  

    Walau bagaimanapun, pengambil alihan BFR Institute oleh PEMANDU Corporation menimbulkan persoalan baru. Pertama, mengapa PEMANDU harus terlibat dalam memberikan perkhidmatan perundingan kerajaan kepada agensi kerajaan yang lain serta entiti di luar negara, sebagaimana yang sedang dibuatnya sekarang?

    Kedua, mengapa pembayar cukai perlu menanggung kos RM3.9 juta untuk penganjuran Global Transformation Forum selama 3 hari pada tahun 2015, memandangkan pemotongan bajet sedang dilaksanakan di agensi-agensi kerajaan yang lain, termasuklah institut pengajian awam?

    Ketiga, kenyataan PEMANDU bahawa lebihan RM10 juta yang diperuntukkan kepada Global Transformation Forum 2015 berada dalam akaun PEMANDU dan bukannya akaun BFR Institut tidak harus dilihat sebagai satu jaminan.

    Semenjak PEMANDU Corporation diperbadankan pada 26 Oktober 2009, ia telah mengemukakan 4 laporan tahunan kepada SSM, iaitu bagi Tahun Kewangan 2010, 2011, 2012 dan 2014. Dalam setiap laporan ini, perolehan dan keuntungan / kerugian yang dicatatkan adalah sifar (lihat bawah). Adakah ini bermakna PEMANDU tidak menerima sebarang geran daripada kerajaan Persekutuan untuk kos operasinya? Adakah PEMANDU Corporation langsung tidak menggunakan walau satu sen perbelanjaan operasi, terutamanya untuk aktiviti ‘lab’ (makmal), pembayaran kepada perunding dan sewa untuk hari terbuka yang kerap dijalankan? Adakah terdapat entiti lain di mana PEMANDU meletakkan perbelanjaan dan geran mereka? Saya berharap agar PEMANDU dapat menjawab persoalan tersebut secepat mungkin sebagaimana mereka telah menjelaskan fakta berhubung pemilikan saham BFR Institute.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] https://www.pemandu.gov.my/assets/publications/annual-reports/Idris_Jala_Holds_No_Shares_In_BFR-I.pdf