• Hasil daripada mesyuarat bersama Pengerusi Yayasan NAAM, Datuk M. Saravanan

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 31 Mac 2016

    Hasil daripada mesyuarat bersama Pengerusi Yayasan NAAM, Datuk M. Saravanan

    Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Pengerusi NAAM, Datuk M. Saravanan, kerana menjemput saya ke pejabat NAAM pada pagi ini serta memberi penjelasan menyeluruh berkenaan aktiviti dan program yang dilaksanakan oleh NAAM. Berdasarkan mesyuarat tersebut, saya mengambil maklum terhadap penjelasan-penjelasan berikut:

    1) Dana RM19 juta yang diberikan kepada NAAM adalah melalui Unit Perancang Ekonomi (EPU) di bawah perbelanjaan pembangunan daripada belanjawan JPM. RM15 juta telah dibelanjakan pada tahun 2014 dan RM4 juta dibelanjakan pada tahun 2015. Tiada peruntukan tambahan diberikan kepada NAAM pada tahun 2015 walaupun terdapat pengumuman awal bahawa RM37 juta akan diberikan kepada NAAM.

    2) Tiada seseorang ahli lembaga NAAM pun, mahupun pelaksana NAAM di peringkat negeri, yang menerima sebarang pampasan mahupn gaji daripada NAAM. Malahan, sewaan pejabat NAAM dan gaji staf perkeranian bukan dibayar menggunakan peruntukan NAAM yang diberikan oleh JPM.

    3) NAAM merupakan pembekal latihan perkhidmatan yang tidak memberi sebarang pinjaman kepada peserta-peserta yang dilatih olehnya. NAAM telah membelanjakan anggaran RM9.6 juta daripada jumlah RM19 juta untuk program latihan yang dikendalikan oleh 3 buah syarikat (termasuk kos bahan) kepada 1330 individu bagi memulakan ladang cili masing-masing.

    4) EPU telah memberikan garis panduan kepada NAAM berkenaan jenis program dan aktiviti yang boleh dijalankan dan juga anggaran belanjawan bagi setiap jenis program dan aktiviti.

    5) KBS telah menjalankan audit dalaman terhadap NAAM.

    Walaupun pengerusi NAAM telah memberikan penjelasan terhadap butiran program dan aktiviti mereka, namun masih terdapat beberapa perkara yang menjadi kebimbangan, termasuklah:

    1) Kadar keberjayaan para pelatih untuk memulakan penanaman ladang cili masih sangat rendah

    Sebagai contoh, seramai 1330 peserta telah dilatih untuk memulakan ladang cili mereka, namun hanya seramai 129 peserta  telah memulakan ladang cili (anggaran 10%) disebabkan pelbagai faktor, termasuk kekurangan modal dan akses yang mencukupi kepada tanah untuk memulakan penanaman. Apabila dibandingkan dengan jumlah dana yang dibelanjakan untuk latihan (sejumlah RM7300 bagi setiap peserta atau RM9.6 juta secara keseluruhan), kadar yang rendah ini menimbulkan isu terhadap keberkesanan program utama NAAM, iaitu penanaman cili.

    Ketidakmampuan peserta untuk memperoleh sumber kewangan bagi memulakan ladang cili mereka juga amat membimbangkan.

    Daripada sejumlah 1330 peserta, hanya 11 orang sahaja yang berjaya memperoleh pinjaman daripada TEKUN untuk memulakan ladang cili sendiri dan jumlah pinjaman yang dibenarkan hanyalah RM19,000 berbanding anggaran kos bagi memulakan ladang cili yang diberi oleh pengerusi, iaitu RM40,000. Maksudnya, bagi kebanyakan pelatih NAAM yang terdiri daripada pemuda India dari golongan terpinggir dengan modal yang sedikit, adalah hampir mustahil untuk mendapatkan dana bagi memulakan ladang cili sendiri.

    2) Lebih maklumat harus didedahkan, misalnya tentang syarikat pengendali latihan

    Walaupun Pengerusi NAAM telah menunjukkan pecahan perbelanjaan NAAM bagi tahun 2014 dan 2015 kepada saya, namun saya tidak diberikan salinan maklumat ini. Saya berminat untuk mengetahui identiti syarikat yang diberi kontrak bagi latihan pertanian perladangan cili dan untuk menyemak latar belakang mereka. Saya telah meminta Pengerusi untuk menyiarkan maklumat ini di laman web. Saya akan menunggu dan melihat sama ada ia dibuat atau tidak. Identiti syarikat-syarikat ini adalah penting untuk mengetahui sama ada kontrak ini diberikan kepada syarikat yang berkait dengan MIC atau dengan pengerusi sendiri.

    3) Kemungkinan berlakunya konflik kepentingan melalui NAAM Trading House Sdn Bhd

    NAAM telah menubuhkan sebuah syarikat swasta bernama NAAM Trading House Sdn Bhd yang berfungsi sebagai orang tengah antara peladang cili dan pasaran cili. NAAM memegang 49% daripada saham NAAM Trading House Sdn Bhd. Konflik kepentingan mungkin akan timbul kerana NAAM Trading House Sdn Bhd mungkin akan menerima faedah daripada mengenakan caj transaksi atau komisyen kepada peladang cili dengan membeli cili daripada mereka dan menjualnya kepada pasaran.

    Pengerusi telah menjelaskan bahawa NAAM Trading House Sdn Bhd sudah tidak aktif kerana kini peladang menjual produk mereka secara langsung kepada pasaran dan FAMA. Kami tidak pasti berapa jumlah keuntungan yang telah diraih oleh NAAM Trading House memandangkan akaun 2014 tidak menyediakan maklumat berhubung pendapatan dan keuntungan.

    4) Isu kesesuaian dana kerajaan diperuntukkan kepada NGO yang diketuai oleh Timbalan Menteri masih menjadi persoalan

    Akhir sekali, walaupun sejauh mana pengerusi NAAM bersedia untuk mendedahkan maklumat aktiviti NAAM, saya masih tetap dengan pendirian saya bahawa adalah tidak sesuai bagi sesebuah NGO di mana separuh daripada lembaga pengarahnya terdiri daripada ahli-ahli parti politik, iaitu MIC dalam kes ini, untuk menerima dana kerajaan bagi menjalankan aktiviti dan program.

    Saya akan melakukan semakan susulan dengan Pengerusi berikutan janji beliau untuk membekalkan senarai penuh maklumat 129 peserta yang telah memulakan ladang cili masing-masing kepada saya. Selepas mendapat senarai ini, saya akan bekerjasama dengan rakan sejawat saya dan juga pihak berkepentingan lain untuk menjalankan audit bagi menilai kejayaan ladang cili tersebut.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

Leave a reply.