• 10 Soalan untuk Yayasan NAAM

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 31 Mac 2016

    Berikut adalah 10 soalan yang akan saya tanya kepada Datuk M. Saravanan, Pengerusi YAYASAN NAAM merangkap Timbalan Menteri Kementerian Belia dan Sukan apabila saya mengunjungi pejabat NAAM nanti pada hari ini.

    10 Soalan untuk Yayasan NAAM                               

    1) Apakah struktur organisasi NAAM dan siapakah stafnya?[1]

    Laman web NAAM hanya memaparkan senarai pemegang amanah tanpa ada senarai staf pengurusan. Saya ingin mengetahui siapakah CEO / Pengarah Eksekutif, staf pengurusan dan Pengerusi/ Ketua NAAM pada semua peringkat pentadbiran. Sebagai contoh, dilaporkan bahawa Datuk VS Mogan merupakan Pengerusi NAAM Negeri Sembilan.[2] Pada masa yang sama, beliau merupakan Ketua Penerangan MIC serta Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MIC.

    Tujuan soalan ini adalah untuk menilai sejauh mana NAAM dianggotai oleh pemimpin MIC dan sama ada NAAM merupakan entiti MIC yang berpura-pura menjadi NGO.

    2) Apakah struktur pampasan bagi lembaga pengarah dan staf NAAM?

    Saya juga ingin mengetahui apakah bentuk pampasan (gaji/elaun) bagi lembaga pengarah NAAM, pengurusan dan juga Pengerusi Negeri.

    Maklumat ini adalah untuk mengetahui sejauh mana NAAM digunakan sebagai alat untuk memberi ganjaran kewangan kepada pemimpin MIC.

    3) Apakah maklumat di dalam akaun NAAM yang diaudit pada 2014 dan 2015?[3]

    Pada 30 Jun 2015, NAAM telah menghantar akaun bagi Tahun Kewangan 2014 yang berakhir pada 31 Disember 2014. Akauan tersebut menunjukkan bahawa NAAM tidak mempunyai sebarang pendapatan mahupun perbelanjaan. Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Adakah NAAM tidak beroperasi pada tahun 2014? Adakah NAAM tidak menerima sebarang dana atau menanggung sebarang perbelanjaan pada tahun 2014?

    Jika akaun yang diaudit bagi tahun 2015 masih belum tersedia, saya tetap akan berpuas hati dengan sesalinan akaun yang belum diaudit yang mengandungi kunci kira-kira permulaan, penyata untung rugi dan penyata aliran tunai. Ini adalah bagi memastikan dana yang diterima oleh NAAM pada tahun lepas memang telah disalurkan kepada akaun NAAM dan bukannya melalui entiti lain.

    4) Apakah kandungan mesyuarat lembaga pengarah NAAM?

    Jika terdapat mesyuarat lembaga pada 2014 atau 2015 yang mencatatkan aktiviti NAAM, saya juga ingin meneliti minit-minit mesyuarat tersebut. Bukan sesuatu yang luar biasa untuk yayasan / NGO seperti NAAM untuk mengadakan mesyuarat lembaga setiap suku tahun bagi melaporkan kemajuan aktiviti mereka.

    Akses kepada minit-minit ini akan membolehkan saya memeriksa sama ada NAAM kerap melaporkan kemajuannya kepada lembaga yang membolehkan lembaga menilai keberkesanan aktiviti NAAM.

    5) Bolehkah NAAM memberi saya senarai kesemua program dan aktiviti yang dijalankan pada tahun 2014 dan 2015, lengkap dengan butiran peserta-peserta aktiviti serta kos bagi setiap program?

    Pengerusi NAAM merangkap Timbalan Menteri KBS, Datuk M. Saravanan semalam ketika sidang media telah berjanji akan memberikan saya senarai penuh pecahan aktiviti yang dijalankan oleh NAAM.[4] Saya berharap bahawa beliau akan menunaikan janji tersebut.

    Senarai peserta akan membolehkan orang awam mengetahui siapakah penerima manfaat daripada program NAAM dan berapa kos yang digunakan bagi melatih mereka. Ini juga akan membolehkan media dan pihak lain menghubungi peserta bagi melihat sejauh mana manfaat yang diterima melalui program NAAM dan bagi mengenal pasti sama ada majoriti daripada mereka adalah ahli MIC.

    6) Dari perkara belanjawan mana telah NAAM memperolehi dananya?

    Saravanan telah dipetik berkata bahawa RM19 juta yang diterima NAAM pada 2015 adalah diberi oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) di bawah Jabatan Perdana Menteri. Semakan ke atas perbelanjaan mengurus EPU tahun 2015 menunjukkan bahawa NAAM diperuntukkan sejumlah RM48.8 juta di mana RM40 juta daripadanya digunakan untuk pembayaran gaji.  Adakah peruntukan NAAM pada tahun 2015 berasal dari perbelanjaan mengurus EPU? Atau adakah ia berasal dari perkara belanjawan lain di bawah JPM? Adakah peruntukan NAAM dikategorikan sebagai perbelanjaan mengurus atau perbelanjaan pembangunan?

    Apakah peruntukan bajet NAAM bagi tahun 2016?

    Maklumat ini adalah penting dari sudut ketelusan memandangkan Saravanan telah berkata bahawa duit tersebut tidak datang dari KBS.

    7) Adakah NAAM juga terlibat dalam aktiviti perniagaan lain bagi mendapatkan keuntungan untuk diri sendiri?

    NAAM memegang 49% saham dalam NAAM Trading House Sdn. Bhd yang menyenaraikan perniagaan terasnya sebagai eksport dan import produk buah-buahan dan sayur-sayuran. Pada 15 Januari 2015, NAAM Trading House Sdn Bhd telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan DRS Trading Sdn Bhd yang juga terlibat dalam pengagihan produk pertanian.[5] Apakah butiran MoU ini dan apa tujuan NAAM terlibat dalam perniagaan ini?

    Adakah NAAM melibatkan diri dalam perniagaan supaya pemegang saham NAAM Trading House Sdn Bhd juga boleh menerima keuntungan bagi diri mereka? Pemegang saham yang lain bagi NAAM Trading House Sdn Bhd adalah Kesavan A/L Kandasamy (Ketua Pemuda Nasional MIC, Biro Media Baru) dengan pegangan 30%, G. Padmanathan (mantan Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan) dengan pegangan 19% serta M. Mathuraiveran (Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MIC) dengan pegangan 2%.

    8) Apakah prosedur operasi standard (SOP) yang digunakan oleh NAAM bagi memproses tuntutan dan perbelanjaan dan adakah NAAM membuat tuntutan perbelanjaan tersebut daripada KBS di mana dana NAAM kononnya disimpan?

    Ini merupakan perkara penting memandangkan NAAM telah menandatangani MoU dengan KBS bagi menyokong Ikrar Intergriti Korporat. Saya juga ingin melihat contoh borang tuntutan dan prosedur NAAM dan bagaimana KBS menandatangani borang tersebut sebagai salah satu cara pemantauan. Ketelusan mekanisme pemantauan ini adalah penting berikutan siasatan oleh SPRM pada baru-baru ini berkenaan kes rasuah berskala besar yang berlaku di KBS.

    9) Sejauh mana kejayaan NAAM dalam membantu belia India mendapat akses kepada bantuan TEKUN bagi penanaman cili dan program keusahawanan lain? Bolehkah rekod ini didedahkan?

    Terdapat banyak laporan berita tentang bagaimana NAAM mahu membantu belia India bagi mendapatkan pinjaman daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Uasaha Niaga (TEKUN) yang merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Pertanian.[6] Pada masa yang sama, dilaporkan juga bahawa NAAM akan bertindak sebagai orang tengah untuk mengumpul bayaran pinjaman daripada usahawan-usahawan India ini untuk dibayar balik kepada TEKUN.[7] Saya ingin menyemak rekod untuk mendapat tahu berapa ramai individu yang telah dibantu oleh NAAM dalam mendapatkan pinjaman daripada TEKUN dan apakah rekod pembayaran balik pinjaman ini.

    Tambahan lagi, saya ingin mengetahui mengapa NAAM perlu membelanjakan sebahagian besar daripada perbelanjaan mereka bagi membantu petani cili sedangkan mereka boleh membuat pinjaman daripada TEKUN?

    10) Apakah keperluan penubuhan NAAM sedangkan adanya SEED, iaitu agensi yang ditubuhkan bagi membantu usahawan India?

    Sekretariat Untuk Memperkasakan Usahawan India (SEED) telah ditubuhkan pada 2012 di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan tujuan khas memberi bantuan kepada usahawan India terutamanya di peringkat individu dan Industri Kecil Sederhana (IKS).[8] Di bawah program SEED, dana RM180 juta telah dibahagikan kepada 5 program untuk membantu kumpulan usahawan India yang berbeza. Ini termasuklah RM30 juta bagi “Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI)” yang terletak di bawah TEKUN. SEED juga sedang bekerjasama dengan agensi seperti SME Corp dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bagi membolehkan usahawan India mendapatkan dana dan pinjaman. Memandangkan telah wujud organisasi kerajaan sedia ada di bawah JPM, mengapa NAAM diperlukan terutamanya jika kerjanya seolah-olah bertindih dengan kerja SEED?

    Saya berharap akan mendapat jawapan yang memuas hati kepada 10 soalan ini ketika lawatan saya ke pejabat NAAM nanti pada hari ini.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] Untuk kenyataan media ini, NAAM merujuk kepada Yayasan NAAM.

    [2] http://www.bernama.com/bernama/state_news/bm/news.php?cat=sl&id=1205456

    [3] Andaian di sini adalah bahawa aktiviti-aktiviti berkaitan dengan penanaman cili dan pembangunan belia dikaitkan dengan YAYASAN NAAM, iaitu syarikat yang didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan bukannya entiti yang didaftarkan dengan Pertubuhan Persatuan Malaysia (ROS). Saya akan terima perbetulan jika didapati bahawa NAAM telah mendaftarkan dirinya di bawah ROS serta CCM juga.

    [4] http://www.malaysiakini.com/news/335808

    [5] https://www.facebook.com/datuksaravanan/posts/768011720009801

    [6] http://ww1.utusan.com.my/utusan/Selatan/20140712/ws_05/500-belia-terima-faedah-projek-NAAM, http://www.nst.com.my/news/2016/01/121186/saravanan-wants-tekun-assist-indian-youths and http://www.therakyatpost.com/news/2014/07/21/naam-pilot-project-help-500-indian-youths/

    [7] http://superteks.rtm.gov.my/index.php/berita/tempatan/6364-yayasan-naam-tekun-jalin-kerjasama-bantu-usahawan-belia-india

    [8] http://www.seed.org.my/aboutus/index.php?id=8

Leave a reply.