• Soalan kepada Khairy Jamaluddin berhubung siasatan SPRM terhadap isu rasuah besar yang melibatkan pegawai Kementerian Belia dan Sukan

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 21 Mac 2016

    Soalan kepada Khairy Jamaluddin berhubung siasatan SPRM terhadap isu rasuah besar yang  melibatkan pegawai Kementerian Belia dan Sukan

    Saya berasa amat terganggu ekoran membaca laporan berhubung pendedahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang melibatkan skandal penyelewengan RM100 juta oleh seorang pegawai di Kementerian Belia dan Sukan (KBS).[1] Saya difahamkan Menteri KBS, Khairy Jamaluddin, akan mengadakan sebuah sidang media di Kementerian beliau pada jam 10 pagi ini berkenaan skandal ini. Melihat kepada betapa seriusnya kes penyiasatan ini, yang merangkumi penyitaan aset bernilai RM20 juta dan pembekuan wang berjumlah RM8.3 juta di dalam 69 akaun bank yang dimiliki oleh penjawat awam ini, saya meminta Menteri untuk menjawab soalan-soalan berikut bagi memberi pencerahan sewajarnya terhadap kes ini:

    1) Adakah anda telah diberi taklimat oleh SPRM atau menerima sebarang maklumat daripada SPRM berhubung kes penyiasatan ini?

    2) Adakah mana-mana individu yang ditahan oleh SPRM masih bekerja dengan KBS atau sebarang agensi yang berkaitan?

    3) Adakah anda berpendapat bahawa masih terdapat pegawai di KBS mahupun agensi berkaitan yang akan ditahan oleh SPRM susulan daripada siasatan ini?

    4) Adakah anda berpendapat bahawa terdapat pegawai di Kementerian lain yang akan ditahan oleh SPRM susulan daripda siasatan ini?

    5) Adakah mana-mana syarikat yang disenaraikan oleh SPRM telah dibayar oleh KBS, sama ada secara langsung mahupun tidak, bagi kontrak dan / atau pembekalan perkhidmatan selepas anda menjawat jawatan Menteri di KBS?

    6) Adakah mana-mana syarikat yang disenaraikan oleh SPRM telah dibayar oleh Majlis Sukan Negara (MSN), sama ada secara langsung mahupun tidak, bagi kontrak dan / atau pembekalan perkhidmatan selepas anda menjawat jawatan Menteri di KBS?

    7) Adakah mana-mana syarikat yang disenaraikan oleh SPRM telah dibayar oleh Majlis Belia Malaysia (MBM), sama ada secara langsung mahupun tidak, bagi kontrak dan / atau pembekalan perkhidmatan selepas anda menjawat jawatan Menteri di KBS?

    8) Anda telah menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) bagi pihak KBS sebagai inisiatif Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) Memerangi Rasuah di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP) pada Mei 2014.[2] Bolehkah anda menjelaskan perubahan spesifik dalam proses pembelian dan pemberian kontrak dalam KBS sebagai sebahagian daripada CIP?

    9) Ada pihak yang meneka bahawa individu utama KBS yang ditahan bagi membantu siasatan adalah Setiausaha Bahagian Kewangan, Otman bin Arshad. Bolehkah anda menerangkan secara terperinci proses di mana Otman meluluskan bayaran oleh KBS dan agensi berkaitan kepada syarikat yang mempunyai kontrak, sama ada dianugerahkan secara langsung atau tidak langsung oleh KBS mahupun agensi berkaitan?

    10) Ada pihak yang meneka bahawa dalang di sebalik skandal ini adalah bekas Ketua Setiausaha KBS, Dato’ Mohid bin Mohamed, yang kini merupakan Timbalan Ketua Setiausaha (Polisi) di Kementerian Multimedia dan Komunikasi. Beliau merupakan salah seorang individu yang bertanggungjawab terhadap perbelanjaan KBS untuk program-program yang penuh kemusykilan, termasuklah konsert K-Pop pada Hari Belia Negara tahun 2012.[3] Beliau kerap menjadi sasaran di blog-blog yang membayangkan peranan beliau dalam rasuah dan penyelewengan di KBS.[4] Adakah anda sedar akan tuduhan-tuduhan ini dan adakah anda telah menukar sebarang Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi menangani tuduhan dan kelemahan tersebut?

    11) Salah sebuah syarikat yang dinamakan oleh Jawatankausa Kira-kira Parlimen berhubung konsert K-Pop dan perbelanjaan berkaitan Hari Belia Negara adalah Stadium First Sdn. Bhd. Syarikat ini juga disenaraikan dalam salah sebuah blog yang menuduh Dato’ Midin bin Mohamed dan Otman bin Arshad (dan beberapa individu lain dalam KBS) sebagai terlibat dalam aktiviti penyelewengan. Adakah Stadium First Sdn. Bhd. masih menerima kontrak dari KBS atau sebarang agensi berkaitan selepas anda menjawat jawatan Menteri KBS?

    Saya pasti orang awam akan berminat untuk mengetahui jawapan Khairy terhadap soalan-soalan ini beserta dengan butiran yang terperinci.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] http://www.themalaymailonline.com/projekmmo/berita/article/pegawai-kbs-songlap-rm100j-beli-kereta-audi-beg-hermes-cincin-cartier

    [2] http://www.pemandu.gov.my/gtp/upload/NAAM_KBS_CIP_Press_Statement_PEMANDU.pdf

    [3] http://www.parlimen.gov.my/images/webuser/pac/laporan%20pac/PAC21112013-DR1.pdf, http://accountable.sinarproject.org/people/mohid-mohamed

    [4] http://rizalhashim.blogspot.my/2013/06/yb-kj-youve-been-forewarned.html?m=1, https://dupahang.wordpress.com/2012/06/03/ramai-bengang-rm10-juta-untuk-himpunan-belia/, http://anotherbrickinwall.blogspot.my/2015/01/shaberys-new-mcmc-appointee-under.html?m=1, http://www.tranungkite.net/v12/modules.php?name=AvantGo&op=ReadStory&sid=2931

Leave a reply.