• Kemungkinan perlantikan Tan Sri Dr. Irwan Serigar sebagai Gabenor Bank Negara yang baru adalah amat merisaukan

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 14 Mac 2016

    Kemungkinan perlantikan Tan Sri Dr. Irwan Serigar sebagai Gabenor Bank Negara yang baru adalah amat merisaukan

    Saya telah membaca laporan berita Wall Street Journal pada Sabtu bahawa Tan Sri Dr. Irwan Serigar bin Abdullah, yang kini merupakan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, akan diumumkan sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) selepas Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.[1]

    Saya ingin membangkitkan beberapa kerisauan berhubung peranan Dr. Irwan dalam kes hutang berbillion ringgit melibatkan Pembinaan PFI Sdn. Bhd yang merupakan syarikat 99% milik Kementerian Kewangan. Pembinaan PFI mula dikenali pada 2013 apabila Laporan Ketua Audit Negara menunjukkan bahawa liabiliti terkumpul syarikat ini hampir mencecah RM28 bilion pada Tahun Kewangan 2012, yang menjadikannya entiti milik kerajaan yang mengumpul liabiliti ketiga tertinggi selepas Petronas dan Khazanah. (Lihat Rajah 1 di bawah.)

    Rajah 1: Tiga entiti milik kerajaan yang mengumpul liabiliti tertinggi untuk Tahun Kewangan 2012


    Sumber: Laporan Ketua Audit Negara 2013

    Dr. Irwan telah dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Pembinaan PFI pada tahun 2012 ketika beliau memegang jawatan Timbalan Setiausaha yang menguruskan polisi di Kementerian Kewangan. Beliau dikekalkan sebagai ahli lembaga pengarah Pembinaan PFI setelah dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan.

    Laporan Ketua Audit Negara telah mencetuskan siasatan oleh Jawatankuasa Kira-kira Parlimen  (PAC) ke atas Pembinaan PFI. Laporan siasatan tersebut dikeluarkan pada Mac 2015 dan boleh dimuat turun dari laman web Parlimen.[2] Testimoni saksi, termasuk Dr. Irwan, jelas menunjukkan bahawa perbelanjaan Pembinaan PFI tidak lain daripada cara kreatif untuk menyembunyikan perbelanjaan pembangunan daripada belanjawan rasmi, dan dengan berbuat demikian, ia mampu mengekalkan nisbah hutang kepada KDNK Malaysia di bawah 55%. Pembinaan PFI sebenarnya tidak dibiayai oleh Program Inisiatif Pembiayaan Swasta (Private Finance Initiative atau PFI) memandangkan tiada wang swasta yang terlibat dalam projek-projek ini.[3]

    Malahan semasa mesyuarat PAC, Dr. Irwan memberi pengakuan berikut kepada Pengerusi PAC:

    “Ini Tuan Pengerusi, your understanding is very clear. That you know this is off-budget. It doesn’t come in to the government so that why you know our debt level and rating and everything we can maintain.”

    Peranan Dr. Irwan dalam menggunakan perbelanjaan luar bajet (‘off-budget expenditure items’) untuk mengekalkan paras hutang dan penarafan menimbulkan kebimbangan terhadap tanggungjawab beliau jika dilantik sebagai Gabenor Bank Negara yang seterusnya. Adakah beliau juga akan menggunakan perakaunan kreatif sebegini bagi data ekonomi sensitif yang lain, seperti rizab rasmi BNM? Adakah beliau akan melakar gambaran positif yang tidak realistik bagi ekonomi Malaysia melalui laporan BNM dan gagal membangkitkan kebimbangan seperti kemungkinan defisit fiskal yang makin berkembang?

    Ketika ditemubual oleh The Edge TV berhubung isu spesifik Pembinaan PFI, Dr. Irwan telah memberi jawapan yang mengelirukan.[4] Beliau telah mengibaratkan projek di bawah Pembinaan PFI dengan projek MRT, dengan menyatakan tempoh pulangan balik adalah dalam jangka masa yang panjang. Namun hakikatnya adalah kebanyakan projek Pembinaan PFI tidak mampu untuk menjana pendapatan. Kekeliruan seperti ini amat merisaukan terutamanya ketika keadaan ekonomi yang kini agak mencabar dan ketika penerangan yang jelas teramat diperlukan bagi menenangkan pasaran.

    Kini, pasaran mahukan seseorang yang berwibawa bagi menggantikan Dr. Zeti sebagai Gabenor BNM yang baru. Pelantikan salah seorang daripada tiga Timbalan Gabenor BNM yang sedia ada pastinya memberi isyarat jelas kepada pasaran bahawa kebebasan BNM akan dikekalkan. Perlantikan Dr. Irwan, jika benar-benar berlaku, tidak akan menenangkan pasaran malah akan menimbulkan lebih banyak persoalan berhubung kebebasan BNM pada masa hadapan.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] http://www.wsj.com/articles/malaysia-finance-ministry-official-to-be-new-central-bank-chief-1457721640

    [2] http://portal.parlimen.gov.my/ipms/modules/risalat/res/risalat/2015/Laporan%20Jawatankuasa%20Kira-Kira%20Wang%20Negara%20Parlimen%20Ketiga%20Belas%20-%20Prosedur%20Kawalan%20Pengurusan%20Syarikat%20Pembinaan%20PFI%20Sdn%20Bhd%20(Kementerian%20Kewangan).pdf

    [3] Sebagai contoh, pembinaan sekolah biasanya dibiayai melalui perbelanjaan pembangunan dari belanjawan kerajaan. Projek-projek yang dibiayai melalui Pembinaan PFI (termasuk pembinaan sekolah) kesemuanya merupakan perkara ‘off-budget expenditure’ (perbelanjaan di luar belanjawan) yang bermaksud bahawa kerajaan tidak perlu meminjam wang secara rasmi untuk membiayai projek-projek tersebut. Pembinaan PFI, sebagai syarikat 99% milikan Kementerian Kewangan, telah meminjam wang dari KWSP dan KWAP. Kerajaan Malaysia perlu membantu Pembinaan PFI membiayai hutangnya kepada KWSP dan KWAP melalui perbelanjaan operasi atau OPEX.

    [4] https://www.youtube.com/watch?v=6HlN7ygkN-c

Leave a reply.