• 7828 individu yang tidak akan meraikan Tahun Baru Cina sebagai warganegara Malaysia

    Rencana oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 5 Februari 2016

    7828 individu yang tidak akan meraikan Tahun Baru Cina sebagai warganegara Malaysia

    Ramai warga kota telah mula berpusu-pusu balik ke kampung halaman bagi menyambut perayaan Tahun Baru Cina, namun saya pula akan tinggal di Selangor sambil menikmati kelengangan trafik. Akan tetapi, Tahun Baru Cina pada kali ini akan disambut dengan hati yang berat. Telah menjadi kebiasaan saya untuk memeriksa senarai daftar pemilih bagi setiap suku tahun setiap 3 bulan, yang termasuklah bilangan pendaftaran pemilih baru, pendaftaran tukar alamat dan pemilih yang terkeluar senarai. Baru-baru ini, saya telah diberitahu oleh rakan sejawat tentang sebilangan warganegara yang terkeluar dari senarai SPR kerana dilucutan kewarganegaraan. Rasa ingin tahu saya muncul. Adakah individu-individu tersebut merupakan pengganas dalam senarai pemerhatian yang memerlukan taraf kewarganegaraan mereka dilucutkan? Adakah mereka telah melakukan jenayah besar, seperti khianat? Saya terdorong untuk melakukan siasatan lanjut.

    Namun, dapatan saya amatlah mengejutkan lagi menyedihkan. Pertama, saya mendapati bahawa seramai 7,828 individu telah hilang kelayakan mengundi dan dikeluarkan dari senarai pemilih pada tahun 2014 dan 2015 kerana dilucutkan kewarganegaraan. Melalui Program Kepulangan Pakar (REP) di bawah Talent Corporation Malaysia, seramai 3,600 warganegara Malaysia telah balik berkhidmat di negara ini dalam tempoh 4 tahun yang lalu. Angka ini adalah sungguh kecil jika dibandingkan dengan bilangan warganegara yang telah melepaskan kerakyatan mereka dalam tempoh 2 tahun kebelakangan ini. Ini tidak termasuk mereka yang telah melepaskan kerakyatan mereka tetapi tidak pernah mendaftar sebagai pengundi. Malah, ini sudah tentu tidak termasuk mereka yang melepaskan kerakyatan dengan mengambil kerakyatan negara lain seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, Kanada dan negara lain yang menjadi kebiasaan bagi rakyat Malaysia untuk berhijrah. Sebenarnya, mereka yang tersenarai dalam senarai nama ini hampir pasti merupakan rakyat Malaysia yang melepaskan kerakyatan negara ini untuk kerakyatan Singapura, disebabkan oleh syarat bahawa rakyat Malaysia yang mengambil kerakyatan Singapura perlu secara rasmi melepaskan kerakyatan mereka dalam tempoh yang ditetapkan.

    Memandangkan destinasi mereka, tidak memeranjatkan apabila didapati bahawa majoriti daripada 7,828 individu tersebut berbangsa Cina (96.7%), manakala selebihnya berbangsa India (2.7%), Melayu (0.4%) dan lain-lain (0.2%). Bilangan terbesar bekas rakyat Malaysia adalah berasal dari Johor (36.6%), diikuti oleh Perak (19.5%), Selangor (9.4%), Kuala Lumpur (6.7%), Melaka (5.6%), Pulau Pinang (5.4%) dan Negeri Sembilan (5.3%). (Rujuk Jadual 1 di bawah)

    Jadual 1: Bilangan pemilih yang melepaskan kerakyatan Malaysia untuk kerakyatan Singapura (mengikut negeri asal dan kaum)


    Sumber: Maklumat daftar pemilih suku tahun pertama 2014 hingga suku tahun keempat 2015 yang dibekalkan oleh SPR

    Apa yang menyedihkan adalah mereka ini merupakan bekas rakyat Malaysia yang dulunya menunjukkan keprihatinan terhadap negara ini dengan mendaftar diri sebagai pemilih, namun disebabkan pelbagai faktor, mereka telah memilih untuk melepaskan kerakyatan demi masa depan yang lebih cerah di seberang laut. Majoriti daripada mereka berada dalam lingkungan umur 30 hingga 50 (80.5%), iaitu berada pada tahap produktiviti kerja yang paling tinggi. (Lihat Jadual 2).

    Jadual 2: Pemilih yang melepaskan kerakyatan Malaysia untuk kerakyatan Singapura (mengikut pecahan umur)


    Sumber: Maklumat daftar pemilih suku tahun pertama 2014 hingga suku tahun keempat 2015 yang dibekalkan oleh SPR

    56% daripada mereka merupakan wanita manakala 44% adalah lelaki. Tanpa sebarang maklumat tambahan, adalah sukar untuk mengenal pasti punca perbezaan peratusan jantina ini, contohnya seperti kelayakan dan pekerjaan, sama ada pelepasan kerakyatan mereka disebabkan oleh perkahwinan, dan sebagainya.

    Selain daripada statistik ini, amat menyedihkan apabila saya terserempak sebuah nama dalam senarai tersebut yang tidak asing bagi saya. Saya agak pasti bahawa beliau merupakan penerima ASEAN Scholarship pada tahun yang sama dengan saya. Beliau berasal dari Klang dan kini merupakan seorang pakar perubatan dalam penyakit berjangkit yang kini bekerja di hospital kerajaan di Singapura. Ini merupakan hanya sebahagian kecil daripada kes bekas warganegara yang berbakat tetapi telah meninggalkan negara ini dan berjaya di negara lain. Realiti ini telah menjadi lebih ‘benar’ dan mendukacitakan apabila saya terserempak nama tersebut.

    Jika adanya bekas warganegara Malaysia yang membaca artikel ini, saya berharap anda masih belum berputus asa sepenuhnya terhadap negara ini. Diharap pada masa hadapan, jika berlaku pertukaran tampuk pentadbiran di Malaysia, anda akan terdorong untuk kembali dan menyumbang kepada negara ini. Dan jika anda merancang untuk kembali ke Malaysia bagi menyambut perayaan Tahun Baru Cina, selamat perjalanan dan selamat makan!

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] http://english.astroawani.com/malaysia-news/about-3-600-malaysians-overseas-have-returned-talentcorp-71312

    [1] http://www.kln.gov.my/web/sgp_singapore/other_information/-/asset_publisher/2TQe/content/renunciation-of-malaysian-citizenship?redirect=%2Fweb%2Fsgp_singapore%2Fother_information

Leave a reply.