• Kecewa terhadap Mustapha Muhamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) atas kegagalan beliau untuk menyahut cabaran mewujudkan Jawatankuasa Khas Parlimen bagi memantau perlaksanaan TPPA

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 27 Januari 2016

    Kecewa terhadap Mustapha Muhamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) atas kegagalan beliau untuk menyahut cabaran mewujudkan Jawatankuasa Khas Parlimen bagi memantau perlaksanaan TPPA

    Dalam ucapan saya berkenaan TPPA pada pagi tadi, saya telah mencabar Menteri MITI untuk mewujudkan Jawatankuasa Khas Parlimen bagi memantau perlaksanaan TPPA dalam tempoh 2 tahun ini selepas ia ditandatangani pada 4 Februari 2016 dan sebelum pengukuhsahannya (ratification).

    Tidak seperti Perjanjian Perdagangan Bebas yang lain, TPPA akan melibatkan 27 pindaan terhadap 17 akta sebelum ia boleh diperakui oleh negara terlibat. Jawatankuasa khas yang saya cadangkan boleh memantau dan memberi input terbaik bagi pindaan-pindaan tersebut untuk memastikan ia selari dengan amalan terbaik antarabangsa. Ia juga boleh bertindak memantau peraturan dan prosedur bagi pelbagai kementerian yang tidak memerlukan kelulusan parlimen. Selain itu, jawatankuasa ini juga akan memastikan proses pengukuhsahan yang dilaksanakan di AS akan dijalankan secara adil dan tidak berat sebelah kepada kepentingan pihak tertentu yang akan mempengaruhi proses tersebut. Akhir sekali, jawatankuasa ini perlu diberi kuasa untuk memberi cadangan kepada Menteri bagi membolehkan Malaysia menarik diri daripada proses pengukuhsahan jika didapati bahawa ia bukan merupakan kepentingan Malaysia untuk menyertai TPPA.

    Malangnya, dalam ucapan pengulungan Menteri, beliau gagal untuk memberi maklum balas berkenaan cadangan ini. Ini bermakna bahawa proses pengukuhsahan TPPA akan dilakukan dalam keadaan kurang telus dan akauntabiliti, dan ia mengurangkan kredibiliti Menteri dan Kementerian yang telah dibina secara susah payah melalui proses penerangan awam berkenaan TPPA.

    Namun, masih belum terlewat untuk Menteri menerima cadangan ini. Saya menggesa Menteri untuk mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen ini sebelum menandatangani TPPA di Auckland, New Zealand pada 4 Februari 2016.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

Leave a reply.