• Pengerusi SPR yang baru dilantik patut membenarkan rakyat Sarawak yang tinggal dan bekerja di luar negeri untuk mengundi melalui undi pos untuk pilihan raya negeri Sarawak

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 23 Januari 2016

    Pengerusi SPR yang baru dilantik patut membenarkan rakyat Sarawak yang tinggal dan bekerja di luar negeri untuk mengundi melalui undi pos untuk pilihan raya negeri Sarawak

    Lantikan Dato’ Seri Mohd Hashim bin Abdullah yang menggantikan Tan Sri Abdul Azizi Mohd Yusof sebagai Pengerusi SPR akan berkuatkuasa mulai hari ini, iaitu 24hb Januari 2016. Dalam majlis penyerahan tugas pada 2 hari lepas, dilaporkan bahawa SPR telah meminta bajet sebanyak RM180 juta bagi menghadapi Pilihan Raya negeri Sarawak dan ini merupakan dua setengah kali ganda jumlah yang dibelanjakan pada tahun 2011, iaitu RM78 juta.[1] Bekas pengerusi SPR telah menyatakan bahawa antara sebab peningkatan bajet ini adalah kenaikan kos sewa kenderaan dan makanan.

    Pengerusi SPR yang baru patut sedar bahawa kos untuk balik mengundi bagi rakyat Sarawak yang tinggal dan bekerja di luar negeri juga telah pun meningkat. Kos pengangkutan, sama ada tiket penerbangan, bas mahupun bot telah meningkat akibat daripada GST. Kadar penginapan di motel atau hotel serta harga makanan juga telah meningkat. Ini lebih dirasai oleh pengundi yang terpaksa bertolak dari KL, Johor Bahru, Singapura dan Kota Kinabalu bagi mengundi di kawasan pedalaman seperti Kapit, Hulu Rejang dan Bakelalan.

    Demi mengurangkan bebanan kewangan para pengundi, SPR seharusnya membenarkan rakyat Sarawak yang berada di Sabah, Semenanjung Malaysia dan Singapura untuk mengundi melalui undi pos dan bukannya menyuruh mereka balik ke Sarawak untuk mengundi. Pada PRU ke-13, rakyat Sarawak dan semua warga Malaysia yang tinggal di luar Malaysia dan Singapura dibenarkan mendaftar sebagai pengundi pos. Pilihan yang sama harus diberi kepada rakyat Sarawak supaya mereka dapat membuang undi di pejabat SPR atau mana-mana lokasi yang bersesuaian di setiap negeri di Semenanjung Malaysia, Sabah mahupun Kedutaan Malaysia di Singapura beberapa hari sebelum hari mengundi sebenar. Dan seperti yang berlaku dalam PRU ke-13, undi-undi tersebut dikira sebagai undi pos yang akan dikembalikan ke kawasan masing-masing untuk dikira pada hari mengundi.

    Cadangan ini bukanlah cadangan baru. Laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya yang ditubuhkan pada 2011 telah menyebut perkara ini sebagai salah satu cadangan mereka dalam laporan akhir yang dibentangkan pada 2012. (Lihat rajah di bawah)


    Sumber: Laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya, muka surat 39.

    Perkara ini harus dijadikan keutamaan bagi pengerusi baru SPR dalam usaha mengurangkan beban kewangan rakyat Sarawak. Jika perkara ini tidak dibuat, maka mereka terpaksa membelanjakan sejumlah wang untuk balik mengundi dalam Pilihan Raya negeri Sarawak tidak lama lagi.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] http://www.thesundaily.my/news/1674119

Leave a reply.