• Lagi kerisauan terhadap TPPA

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, terhadap TPPA (Bab 2) pada 15 Januari 2016

    Lagi kerisauan terhadap TPPA

    Dalam kenyataan saya semalam, saya telah memuji Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mustapha Mohamed dan pasukan beliau di MITI atas usaha mereka untuk meningkatkan tahap keterlibatan awam dan memberi akses awam untuk dokumen-dokumen yang berkaitan dengan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA atau Trans Pacific Partnership Agreement). Namun walaupun pelbagai usaha telah dilakukan oleh Menteri dan MITI, masih terdapat beberapa kerisauan berkenaan TPPA yang masih belum dirungkaikan. Saya akan menyenaraikan 5 perkara tersebut, iaitu:

    i) Pengecualian kontrak Kerjasama Awam-Swasta (PPP) dan monopoli import beras oleh BERNAS

    Melalui rundingan, Malaysia telah berjaya mendapat beberapa pengecualian dalam TPPA terutamanya untuk bidang pemerolehan kerajaan dan perusahaan milik negara. Walaupun beberapa pengecualian ini membantu dari segi memberi tempoh penyesuaian bagi kerajaan dan syarikat Malaysia untuk bersedia menghadapi impak penuh TPPA, namun terdapat juga sesetengah pengecualian yang akan memberi kesan negatif terhadap Malaysia. Misalnya, Kerjasama Awam-Swasta (PPP atau Public-Private Partnership) adalah tidak tertakluk kepada pemerolehan kerajaan di bawah TPPA. Ini bermakna pemberian kontrak secara terus yang berat sebelah seperti konsesi tol akan berterusan tanpa henti. Kerajaan mungkin berjaya meraih lebih sokongan daripada rakyat Malaysia untuk TPPA jika ianya telah membuka PPP kepada persaingan yang lebih terbuka dan telus.

    Selain itu, pengecualian yang diperoleh Malaysia untuk mengekalkan BERNAS sebagai pengimport tunggal beras di Malaysia mengurangkan potensi faedah TPPA kepada pengguna di Malaysia. Analisa Kepentingan Negara (NIA) oleh Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) menekankan faedah penambahan keselamatan makanan dan akses kepada bekalan beras import melalui Vietnam yang juga merupakan negara ahli TPPA. TPPA akan mengehadkan perlaksanaan sekatan eksport beras oleh negara pengeluar seperti Vietnam, yang telah berlaku pada 2008 apabila harga pasaran beras mengalami peningkatan mendadak. Kajian tersebut juga menekankan potensi penjimatan berbillion ringgit oleh kerajaan ekoran daripada pemerolehan bekalan beras import yang lebih stabil. Malangnya, penjimatan tersebut tidak dapat direalisasikan kerana pengekalan BERNAS dalam memonopoli pengimportan beras. “Pengurangan ketara perbelanjaan kerajaan dan peningkatan faedah kebajikan yang akan berlaku” jika “campur tangan kerajaan dihapuskan dan pasaran bebas dibenarkan” juga tidak akan terjadi.[1]

    Ketika saya bertanyakan isu dua pengecualian ini kepada Menteri di dialog TPPA anjuran MITI baru-baru ini, beliau telah menerangkan bahawa sebab pengecualian ini adalah kerana Malaysia mahu mengekalkan fleksibiliti dalam kedua-dua perkara tersebut. Ini merupakan alasan rapuh untuk mengekalkan polisi yang hanya akan menguntungkan sesetengah pihak yang terpilih dan mempunyai hubungan politik, tetapi merugikan majoriti rakyat Malaysia. Sebenarnya, adalah lebih senang untuk menyokong sebuah TPPA yang memaksa BERNAS untuk melepaskan monopolinya.

    ii) Kesan yang mungkin akibat penubuhan kesatuan sekerja dalam kalangan pekerja asing dalam bidang tertentu seperti perladangan

    Bab Buruh dalam TPPA mempunyai impak positif ke atas keupayaan pekerja untuk membentuk kesatuan sekerja, menganjurkan mogok serta bergabung dengan badan antarabangsa. Sememangnya, Malaysia merupakan satu daripada empat buah negara (termasuk Brunei, Vietnam dan Mexico) yang dikenalpasti oleh sekumpulan senator Parti Demokrat (Amerika Syarikat) sebagai negara yang harus mempertingkatkan hak-hak pekerja sebagai sebahagian daripada TPPA. Kemungkinan bertambahnya kekerapan mogok pekerja juga dibangkitkan dalam laporan ISIS dan PwC. TPPA akan memaksa Malaysia untuk meminda undang-undangnya agar selaras dengan amalan terbaik Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

    Berikut merupakan senarai undang-undang yang dikenalpasti dalam laporan NIA dari ISIS yang perlu dipinda bagi mematuhi amalan terbaik ILO:

    1. Akta Kerja 1955;
    2. Akta Kesatuan Sekerja 1959;
    3. Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Kerja) 1966;
    4. Akta Passport 1966 (pelaksanaan peruntukan);
    5. Akta Perhubungan Perusahaan 1967;
    6. Ordinan Buruh Sabah (Cap. 67);
    7. Ordinan Buruh Sarawak (Cap. 76);
    8. Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981; dan
    9. Akta Standard-Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990.

    Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan parti politik yang menyokong hak buruh seharusnya menyambut baik Bab Buruh dalam TPPA. Kemungkinan besar bahawa isu buruh ini akan menjadi salah satu fokus utama dalam proses ‘pensijilan’ oleh Amerika Syarikat, terutamanya jika Parti Demokrat memenangi Pilihan Raya Presiden 2016. Ini adalah kerana kumpulan pro-buruh yang lebih rapat dengan Parti Demokrat pasti akan terus menekan Presiden dan Senator Demokrat bagi menjamin pematuhan perlindungan hak-hak buruh.

    Namun, proses pembentukan kesatuan sekerja dan keanggotaan kesatuan merupakan perkara yang perlu diberi perhatian. Sebagai contoh, Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Ladang (NUPW atau National Union of Plantation Workers) kini mewakili bilangan rakyat Malaysia dalam sektor perladangan yang semakin berkurangan. Apakah akan terjadi jika pekerja asing yang kini menguasai sektor perladangan memutuskan untuk membentuk kesatuan sekerja berasingan di mana mereka akan memegang semua jawatan kepimpinan? Adakah dengan ini pekerja asing dapat merundingkan tawaran yang lebih baik daripada majikan mereka berbanding pekerja tempatan kerana perbezaan bilangan antara pekerja asing dan rakyat Malaysia dalam sektor tersebut? Adakah garis pemisah ini turut akan digunakan dalam sektor dan industri lain yang kini dikuasai oleh warga asing? Pegawai MITI telah menyatakan bahawa mereka akan berbincang dengan setiap sektor dan kementerian berkaitan untuk merangka jalan ke arah proses pembentukan kesatuan sekerja, namun saya tidak yakin bahawa akan wujud hala tuju yang jelas dalam memastikan perlindungan hak buruh yang sama rata bagi rakyat Malaysia dan juga pekerja asing.

    iii) Kemungkinan besar syarikat Amerika menggunakan Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (ISDS atau Investor State Dispute Settlement) terhadap kerajaan Malaysia

    Kebimbangan saya terhadap Bab Pelaburan yang membenarkan pelabur asing untuk menyaman kerajaan negara tuan rumah dalam mana-mana forum timbang tara antarabangsa adalah amat spesifik. Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa sudah terdapat peruntukan ISDS di dalam beberapa Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA atau Free Trade Agreements) dan Perjanjian Pelaburan Dua Hala (BIT atau Bilateral Investment Treaties). Sebagai contoh, Lynas, sebuah syarikat Australia, boleh menggunakan prosiding ISDS terhadap kerajaan Malaysia jika lesen mengimport nadir bumi yang belum diproses dibatalkan, walaupun pembatalan tersebut dibuat berdasarkan kebimbangan terhadap alam sekitar mahupun ketidakpatuhan. Ini adalah kerana Malaysia merupakan sebahagian daripada Perjanjian Perdagangan Bebas Australia-New Zealand-ASEAN dan kita juga telah menandatangani Perjanjian Perlindungan dan Promosi Pelaburan (IPPA atau Investment Protection and Promotion Agreement) dengan Australia.[2]

    Perlu dinyatakan juga bahawa kes ISDS tidaklah berlaku sekerap yang disangka. Dalam tempoh 30 tahun, hanya pernah berlaku sebuah kes ISDS melibatkan Australia, iaitu kes saman oleh syarikat tembakau Philip Morris berhubung cetakan pada kotak rokok. Baru–baru ini, mahkamah timbang tara antarabangsa di Singapura telah memutuskan kemenangan berpihak kepada Australia.[3] Tambahan lagi, tembakau telah dikeluarkan daripada peruntukan ISDS di dalam TPPA[4].

    Harus difahami juga bahawa peruntukan ISDS juga memberikan perlindungan kepada syarikat Malaysia yang telah membuat pelaburan besar di negara lain. Perkara ini telah dibangkitkan oleh seorang bekas peguam di organisasi antarabangsa yang mengendalikan kes ISDS, dalam sebuah rencana yang diterbitkan oleh Malaysian Insider[5].

    Walaubagaimanapun, kebimbangan utama saya berkisar ISDS dalam TPPA adalah kemungkinan besar bahawa kerajaan Malaysia akan diheret ke timbang tara antarabangsa oleh syarikat Amerika. Di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) yang melibatkan Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico, sebanyak 35 saman kes ISDS telah difailkan terhadap kerajaan Kanada, 22 terhadap kerajaan Mexico dan 20 kes terhadap Amerika Syarikat (AS). Kanada telah kalah atau membayar pampasan untuk 6 kes dan membayar pampasan 170 juta USD, manakala Mexico telah kalah 5 kes dan membayar pampasan 204 juta USD. Sebaliknya, Amerika Syarikat tidak pernah mengalami kekalahan dalam kes ISDS NAFTA mahupun sebarang kes ISDS.

    Sebaliknya, syarikat Amerika telah menggunakan ISDS sebanyak 132 kali atau 22% daripada keseluruhan tuntutan ISDS peringkat global sejak tahun 1987 dan syarikat-syarikat tersebut telah memenangi 48 kes, kalah 35 kes dan sedang menunggu keputusan untuk 37 lagi kes[6].

    Bukti ini menunjukkan bahawa syarikat AS adalah jauh lebih efektif dalam menggunakan ISDS untuk kelebihan mereka, berbanding dengan syarikat bukan AS. Ketidakseimbangan inilah yang membimbangkan kerana Malaysia kurang berpengalaman dalam berlawan dengan firma guaman yang mewakili syarikat multinasional AS.

    iv) Kesan tidak pasti terhadap harga ubatan di bawah kategori ‘biologik’ pada masa hadapan

    Sekali lagi, saya mempunyai kebimbangan yang spesifik terhadap kesan yang mungkin timbul terhadap harga ubat akibat TPPA. Ia mungkin tidak tepat untuk menganggap bahawa harga Panadol di farmasi tempatan atau sebarang ubatan generik akan mengalami peningkatan mendadak ekoran daripada TPPA. Ini sama sekali tidak benar kerana perlindungan paten bagi ubat ‘asal’ sudah tamat tempoh dan Malaysia bukanlah tiada perlindungan paten bagi farmaseutikal.

    Jadual 1 dalam laporan NIA oleh ISIS merumuskan perbezaan utama dalam perlindungan harta intelek bagi produk farmaseutikal (lihat di bawah). Perbezaan utama adalah di bawah TPPA, tempoh perlindungan paten selama 5 hingga 8 tahun akan diberikan kepada ubatan molekul besar atau dikenali sebagai ubatan biologik, yang pada masa kini tidak terdapat dalam undang-undang Malaysia. Laporan NIA oleh ISIS turut menunjukkan impak negatif terhadap Malaysia dalam konteks harga ubatan, namun jenis dan bilangan ubatan yang akan terjejas akibat daripada perlindungan tambahan TPPA adalah tidak jelas. Laporan tersebut juga memetik angka daripada Persatuan Farmaseutikal Malaysia yang menyatakan bahawa 5 hingga 10% daripada penjualan ubatan adalah terdiri daripada ubatan biologik. Adalah tidak jelas sama ada peratusan ubatan biologik akan berkembang pada masa hadapan. Jika ya, maka kesan TPPA terhadap harga ubatan mungkin akan turut makin meningkat. Penjelasan terperinci diperlukan daripada Menteri Kesihatan dan pegawai Kementerian Kesihatan, yang sehingga kini agak membisu berhubung perkara ini.


    Sumber: Laporan NIA ISIS

    v) Lanjutan hak cipta daripada 50 tahun kepada 70 tahun di bawah TPPA

    Kebimbangan terakhir saya adalah berkenaan lanjutan tempoh perlindungan hak cipta sedia ada daripada 50 tahun kepada 70 tahun di bawah TPPA. Laporan NIA oleh ISIS menunjukkan bahawa ini akan memberi kesan negatif terhadap Malaysia. Pengguna di Malaysia akan perlu membayar anggaran 115 juta USD setahun akibat daripada lanjutan tempoh hak cipta ini (antaranya termasuk produk seperti Mickey Mouse, Disney dan Hollywood!). Ini jelas menandakan kuasa pelobian sebilangan kecil syarikat AS yang akan mengaut keuntungan besar daripada lanjutan hak cipta ini.

    Banyak maklumat salah dan tidak tepat berhubung potensi kesan negatif TPPA telah disebarkan. Menerusi kenyataan ini, saya telah menyenaraikan 5 kebimbangan menggunakan bukti dan analisis daripada laporan ISIS dan PwC, yang telah dijalankan oleh kerajaan Malaysia. Jika perkara – perkara ini tidak ditangani dengan betul dan jujur oleh Menteri MITI, ia akan menjadi alasan kukuh untuk tidak menyokong TPPA.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] Laporan NIA oleh ISIS memetik kata dari kajian Vengedasalam, et.,al, 2011, Malaysian Rice Trade and Government Interventions, University of Sydney. 

    [2] http://dfat.gov.au/trade/topics/pages/isds.aspx

    [3] http://www.smh.com.au/federal-politics/political-news/australian-government-wins-plain-packaging-case-against-philip-morris-20151218-glqo8s.html

    [4] http://healthaffairs.org/blog/2015/11/10/trade-health-and-tobacco-exceptionalism-the-tpp-tobacco-carve-out/

    [5]http://www.themalaysianinsider.com/sideviews/article/setting-the-record-straight-on-tpps-investor-state-dispute-settlement-shaun

    [6] http://www.thirdway.org/memo/trade-q-and-a-whats-the-deal-on-isds

Leave a reply.