• Delegasi Tun Abdullah Badawi ke Paris bagi menghadiri Persidangan Perubahan Iklim Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 14 Januari 2015 tentang delegasi Tun Abdullah Badawi ke Paris bagi menghadiri Persidangan Perubahan Iklim Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)

    Hari ini, Malaysiakini telah memetik[1] Tun Abdullah Badawi sebagai berkata NGO beliau, Landskap Malaysia[2] telah membiayai perjalanan beliau ke Paris dengan ‘bantuan’ daripada sumber lain.

    Demi ketelusan, Tun Abdullah harus menjawab beberapa persoalan seperti berikut:

    (i) Berapakah jumlah yang dibayar oleh Kerajaan Malaysia untuk tiket penerbangan, hotel dan sewaan kereta bagi delegasi Tun Abdullah?

    Menurut rekod yang telah saya perolehi, delegasi Tun Abdullah terdiri daripada beliau dan isterinya Tun Jeanne Abdullah, dan 9 individu lain termasuklah doktor peribadi beliau iaitu Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim, aide-de-camp beliau Supt Mohd Khairi bin Kahidrudin dan dua orang pengawal keselamatan. Yang menariknya, menurut sumber dan rekod tersebut yang merangkumi senarai rooming dan perjanjian penyewaan kereta bagi delegasi Tun Abdullah, bayaran hotel dan sewaan kereta bagi Dzulkifli David Abdullah dan Dr Dzaeman Dzulkifli David dilabelkan sebagai “bayaran persendirian.” Kedua – dua individu tersebut juga dilabelkan sebagai ‘sahabat peribadi kepada mantan PM’ (Rujuk Lampiran 1 & 2).

    Menurut laman web Landskap Malaysia, Dzulkifli David Abdullah disenaraikan sebagai Ahli Lembaga Pengurus NGO tersebut manakala Dr Dzaeman Dzulkifli disenaraikan sebagai Ahli Lembaga Pengurus alternatif. Berdasarkan maklumat ini, nampaknya seperti Landskap Malaysia yang membayar penginapan dan kenderaan kedua-dua Ahli Lembaga Pengarah tersebut, manakala perbelanjaan selebihnya bagi delegasi telah dibayar oleh kerajaan Malaysia.

    Delegasi Tun Abdullah telah menginap di Hotel Marriot Champs Elysees yang merupakan sebuah hotel 5 bintang di tengah bandar Paris. Menurut sumber yang telah saya perolehi, Tun Abdullah dan Tun Jeanne menginap di suite Vice-President manakala orang yang lain telah menempah 5 buah bilik deluxe dan sebuah bilik twin sharing.[3]

    Carian yang dilakukan ke atas Hotel Marriot Champs Elysees menunjukkan kadar semalaman bagi bilik suite adalah RM3725 untuk bulan Januari manakala kadar semalaman bagi bilik Deluxe adalah RM1774. Oleh itu, jumlah keseluruhan bagi penginapan Tun Abdullah untuk seminggu adalah RM22,350 manakala jumlah bagi bilik deluxe adalah RM10,644. (Kadar ini mungkin kurang tepat memandangkan kadar penginapan sepatutnya lebih tinggi semasa persidangan Perubahan Iklim PBB).

    Rekod juga menunjukkan bahawa Tun Abdullah dan delegasi beliau masing-masing telah menyewa sebuah Mercedez Benz S500 dan Mercedez Viano (MPV) selama seminggu. Mengikut laman web syarikat sewaan kereta, kadar sewaan seminggu bagi Mercedez Benz SUV adalah Euro3586 (RM16,854) manakala kadar sewaan seminggu bagi MPV Mercedez Viao adalah Euro 2523 (RM11,858).

    Jumlah keseluruhan bagi penginapan hotel dan sewaan kenderaan telah mencecah RM115,000 (tidak termasuk tiket penerbangan).[4] Adakah tanggungan perbelanjaan ini merupakan ‘bantuan’ yang dinyatakan oleh Tun Abdullah kepada wartawan Malaysiakini?

    (ii) Jika kerajaan Malaysia telah membiayai keseluruhan atau sebahagian besar perbelanjaan delegasi Tun Abdullah ke Paris, apakah yang dicapai oleh delegasi dalam minggu tersebut?

    Tidak salah jika kerajaan Malaysia yang membayar dan menanggung perbelanjaan delegasi Tun Abdullah menghadiri Persidangan Perubahan Iklim di Paris ataupun apa sahaja program yang memberi kepentingan kepada Malaysia. Sebagai contoh, delegasi Tun Abdullah mungkin ke Paris bagi mendapatkan dana daripada yayasan dan negara maju bagi tujuan memulihara hutan di Malaysia. Namun demi ketelusan, Tun Abdullah perlu mendedahkan apa tujuan sebenar beliau ke Paris dan apa hasil yang dicapai daripada lawatan tersebut.

    Pada ketika ramai rakyat Malaysia terpaksa memotong perbelanjaan harian disebabkan oleh peningkatan kos sara hidup, para pembayar cukai di Malaysia tidak harus menanggung perbelanjaan mewah ahli politik ke luar negara yang seakan-akan tidak memberi sebarang faedah kepada Malaysia sama ada secara langsung atau tidak.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    Lampiran 1: Susunan bilik penginapan bagi delegasi Tun Abdullah di Paris

    Lampiran 2: Kereta sewa bagi delegasi Tun Abdullah di Paris

    [1] https://www.malaysiakini.com/news/326782#.VpdXqsCRHrk.twitter

    [2] http://www.landskapmalaysia.org/

    [3] Tidak termasuk penginapan bilik ‘twin sharing’ untuk dua Ahli Lembaga Pengarah Landskap Malaysia

    [4] Tidak termasuk penginapan dan sewaan kenderaan untuk dua Ahli Lembaga Pengarah Landskap Malaysia