• TPPA (Bab 1) – Mustapa Mohamed dan MITI harus dipuji atas usaha keterlibatan awam mereka

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang berkenaan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) pada 14 Januari 2016

    TPPA (Bab 1) – Mustapa Mohamed dan MITI harus dipuji atas usaha keterlibatan awam mereka

    Pada 12 Januari (Selasa), saya dan rakan-rakan sejawat Parlimen daripada kedua-dua belah pihak telah menghadiri sebuah taklimat khas yang dianjurkan oleh Menteri Perdagangan dan Industril Mustapa Mohamed, dan pasukan beliau di MITI berkenaan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA atau Trans Pacific Partnership Agreement). Sepanjang pengetahuan saya, ini merupakan kali pertama semenjak PRU13 di mana seorang Menteri telah mengadakan taklimat untuk Ahli Parlimen dari kedua-dua belah parti tentang usul dan rang undang-undang yang akan diundi di Parlimen.[1]

    Menteri telah menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli-Ahli Parlimen semasa sesi plenari. Beliau juga menyatakan bahawa beliau akan mencadangkan agar undian ke atas TPPA dibuat semasa debat khas parlimen yang akan berlangsung pada 26 dan 27 Januari 2016. Beliau sememangnya harus dipuji kerana menganjurkan sesi khas ini, lebih-lebih lagi kerana TPPA tidak memerlukan persetujuan perundangan untuk diluluskan. Sesi khas parlimen ini akan membenarkan Ahli Parlimen daripada kedua-dua pihak untuk menyuarakan soalan penting dan kebimbangan terhadap TPPA yang kini bertambah banyak.

    Selepas sesi plenari tersebut, kesemua Ahli Parlimen telah dijemput untuk turut serta salah satu daripada empat buah bengkel bagi membincangkan isu-isu panas berkenaan TPPA, iaitu: ‘Harta Intelektual dan Akses Kepada Ubat-ubatan,’ ‘Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (ISDS atau Investor State Dispute Settlement’, ‘Pemerolehan Kerajaan dan Perusahaan Milik Negara’ serta ‘Akses Pasaran / Buruh / Alam Sekitar’. Saya telah menghadiri bengkel ‘Akses Pasaran / Buruh / Alam Sekitar’ dan ingin memberi pujian kepada pegawai dari MITI dan kementerian lain atas kesudian mereka untuk menjawab pelbagai soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen dari kedua-dua belah pihak. Jawapan mereka adalah cukup komprehensif dan menunjukkan pemahaman terhadap isu-isu-isu TPPA.

    Pada masa yang sama, kementerian MITI juga harus dipuji kerana memberi akses info berkenaan TPPA kepada orang awam. Ini merupakan kali pertama Kos Faedah Analisis oleh PriceWaterhouseCoopers dan Analisis Kepentingan Negara oleh Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa digunakan bagi menganalisa kesan TPPA. Walaupun kedua-dua buah kajian ini banyak menonjolkan kesan-kesan positif TPPA, akan tetapi ia juga menonjolkan bidang yang menjadi kerisauan serta kesan-kesan negatif akibat daripada TPPA. Kedua buah kajian ini adalah dalam Bahasa Inggeris, namun Kementerian juga telah mengeluarkan versi Bahasa Malaysia yang merupakan ringkasan daripada kedua buah kajian tersebut. Teks akhir TPPA sebanyak 16 jilid juga telah dicetak dan diedarkan kepada kesemua Ahli Parlimen pada hari terakhir sesi persidangan tahun lepas. Salinan Kos Faedah Analisis dan Analisis Kepentingan Negara juga turut diberikan kepada semua Ahli Parlimen. Malahan, ringkasan teks akhir TPPA versi BM telah diberikan kepada semua Ahli Parlimen pada Selasa. Kesemua maklumat berkenaan TPPA ini dapat dimuat turun daripada laman web MITI.[2] Maklumat lanjut termasuk pembentangan serta sesi dialog yang telah dijalankan oleh MITI juga boleh diperoleh daripada laman web MITI.

    Walaupun saya masih mempunyai banyak keraguan terhadap TPPA, yang akan saya bangkitkan dalam kenyataan media yang seterusnya, Mustapa Mohamed dan pasukan beliau di MITI harus dipuji berhubung usaha mereka untuk meningkatkan tahap keterlibatan awam, bukan sahaja dengan Ahli-Ahli Parlimen, malahan dengan kerajaan-kerajaan negeri, kumpulan industri serta wakil-wakil NGO. Walaupun ramai penjawat awam masih sedang belajar untuk mendekati masyarakat umum, namun ini merupakan satu pembelajaran dan penanda aras yang bagus bagi kerajaan. Interaksi sebegini perlu diteruskan sebagai salah satu proses perlaksanaan TPPA, jika ia menerima undian majoriti pada persidangan parlimen khas pada 26 dan 27 Januari ini.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] Sebelum ini, saya pernah hadir ke sebuah taklimat kepada kedua-dua belah pihak politik yang dianjurkan oleh Kementerian Pertahanan, di mana topik perbincangan adalah penyusunan semula Khidmat Negara. Namun, taklimat itu tidak berkaitan dengan mana-mana rang undang-undang atau usul yang perlu diluluskan di Parlimen.

    [2] http://fta.miti.gov.my/index.php/pages/view/71

Leave a reply.